Thursday, January 22, 2009

Wartawan buat dua laporan polis


KUALA TERENGGANU: Dua laporan polis diterima daripada dua wartawan yang bertugas sempena Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu yang mendakwa mereka menerima wang RM300 daripada pihak tidak dikenali.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Shukri Dahlan, berkata kes berkenaan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah untuk tindakan lanjut.

“Kita menerima laporan kira-kira jam 7.30 pagi dan 11 malam daripada dua individu berbeza dan kes berkenaan masih dalam siasatan,” katanya.

Menurutnya, hanya dua kes berkaitan pilihan raya dilaporkan sejak semalam dan ia membuktikan pilihan raya kali ini berjalan lancar.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, menafikan beliau terbabit dalam kegiatan pemberian wang kepada wartawan, termasuk yang membuat laporan berhubung kejadian itu.

Difahamkan, kedua-dua wartawan berkenaan dari sebuah laman web dan kejadian berlaku di Pusat Media Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, petang kelmarin, selepas mereka didatangi individu tidak dikenali.

Wan Farid berkata, dalam tempoh pilihan raya kecil sekarang, pelbagai pihak akan mengambil kesempatan untuk memburukkan peribadinya.

“Yang pasti ia bukan daripada Barisan Nasional... saya boleh pastikan kerana ia bukan wang saya,” katanya selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan Pusat Bukit Besar, di sini, semalam.

Beliau yang ditemani isterinya, Toh Puan Intan Baizura Abdul Wahab, kelihatan tenang dan sentiasa tersenyum ketika bertemu pengundi di sekolah berkenaan selepas mengundi pada jam 8.02 pagi.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090118173720/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...