Thursday, January 29, 2009

Kawal populasi aedes


KUALA LUMPUR: Seorang pakar vektor Pusat Perubatan Universiti Malaya mencadangkan langkah mengawal populasi nyamuk aedes, pencetus demam denggi dan chikungunya, secara berterusan dan sistematik di tempat yang disyaki menjadi sarang pembiakan nyamuk itu.

“Antara kaedah pengawalan populasi nyamuk ialah dengan menggunakan perangkap lampu mengandungi gas karbon dioksida,” kata Dr Wan Yusoff Wan Sulaiman.

Beliau berkata, pengawalan itu untuk mengawasi peningkatan bilangan nyamuk dalam kawasan tertentu, menentukan spesies nyamuk dan mengukur keberkesanan langkah kawalan vektor di sesuatu kawasan.

Dr Wan berkata, sudah tiba masanya satu jabatan diwujudkan untuk menjalankan aktiviti pengawalan itu memandangkan situasi kes demam denggi dan chikungunya di negara ini semakin membimbangkan dari tahun ke tahun.

“Kawalan populasi vektor di negara maju seperti Amerika terbukti berkesan mengawal penyebaran penyakit yang berkaitan dengan vektor tersebut,” katanya.

Dr Wan Yusoff berpendapat kaedah pengasapan yang dilakukan sekarang untuk membunuh dan mengawal populasi nyamuk berkemungkinan besar tidak berkesan.

Beliau berkata, pengasapan tidak semestinya tepat pada sasaran dan ditumpukan pada punca yang salah.

“Kita hanya jangka nyamuk ada di situ tapi sebenarnya kita tak pasti. Adakah kita ‘menembak’ pada tempat yang betul?” katanya.

Beliau berkata, asap yang mengandungi bahan pestisid tertentu hanya efektif dalam keluasan radius 200 meter.

“Dalam keluasan itu, nyamuk dengan mudah sudah berpindah ke tempat lain,” katanya.

Selain itu Dr Wan Yusoff juga menyuarakan kebimbangan mengenai kurangnya pengawasan terhadap pembiakan nyamuk aedes di tempat awam seperti di tandas awam, tapak pembinaan, projek pembangunan terbengkalai dan taman atau padang rekreasi.

“Apa saja yang boleh menakung air boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes, seperti mangkuk tandas di tandas awam. Ada sesiapa periksa ada tak telur aedes di situ?” katanya.

Beliau berkata, mangkuk tandas yang menakung air boleh menjadi satu habitat pembiakan nyamuk aedes kerana telur nyamuk aedes mempunyai kelebihan melekat dengan kuat pada dinding perumahnya seperti baldi dan pasu bunga.

“Dan kita pun sedia maklum keadaan tandas awam di Malaysia kebanyakannya tak bersih,” katanya.

Selain itu katanya, telur nyamuk aedes juga berupaya hidup tanpa air atau kering dalam jangka masa panjang dan apabila terkena air ia akan aktif semula dan menetas.

“Ini punca bagaimana spesies nyamuk dari benua tertentu boleh berpindah atau dibawa ke tempat lain seperti nyamuk aedes aegypti dari Afrika dibawa ke Asia dan nyamuk aedes albopictus dari Asia dibawa ke Amerika dan tempat-tempat lain,” katanya. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090128085129/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...