Thursday, January 29, 2009

Kes disiasat SPRM tak gugur


KUALA LUMPUR: Ahli Umno yang terbabit dengan politik wang kini bukan saja berdepan dengan hukuman yang bakal dikenakan Lembaga Disiplin parti itu, malah tindakan undang-undang oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Walaupun kami tidak merujuk sebarang kes yang kami kendalikan kepada SPRM, tapi kami bekerja seiring dengan mereka. Mungkin, mereka juga menyiasat kes yang sama. Kami tak tahu,” kata anggota Lembaga Disiplin Umno dan penasihat undang-undang parti itu Datuk Mohd Hafarizam Harun.

Apabila SPRM membayangkan lebih banyak ahli Umno akan diheret ke mahkamah, lembaga disiplin parti itu tidak pula menampakkan tanda pihaknya akan memperlahankan tempo siasatan.

Kata Mohd Hafarizam, lembaga itu akan menjalankan tanggungjawabnya seperti biasa dan sedang menyiasat lebih 100 kes rasuah politik.

Beliau berkata, ada anggota parti memfailkan laporan sama kepada lembaga itu serta SPRM dan setiap pihak menyiasatnya secara berasingan.

“Kami tidak gugurkan sesuatu kes hanya kerana ia turut disiasat SPRM, begitu juga sebaliknya. Saya ingin tegaskan andai kata orang berkenaan didapati tidak bersalah oleh mahkamah, belum tentu dia boleh melepaskan diri daripada kami.

“Ini kerana kami menjalankan siasatan berlandaskan etika parti berkaitan penyalahgunaan kuasa, manakala SPRM menjalankan siasatan berasaskan unsur jenayah (kesalahan berkenaan),” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, siasatan bergantung kepada laporan yang diterima kerana pihaknya tidak boleh menjalankan penyiasatan tanpa aduan rasmi.

Mohd Hafarizam berkata, SPRM ada memohon bantuan lembaga itu berhubung beberapa kes.

“Apabila mereka datang kepada kami, selalunya mereka meminta bukti seperti wang yang digunakan dalam kes terbabit dan kami beri kerjasama penuh kepada mereka,” katanya.

Mohd Hafarizam menolak andaian bahawa kerjasama seperti itu sesuatu yang negatif memandangkan mereka yang disabitkan kesalahan oleh mahkamah berdepan dengan kemungkinan dikenakan hukuman penjara dan didenda, manakala mereka yang didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno, mungkin hanya dipecat atau hilang hak sebagai anggota parti.

“Jangan bandingkan kami dengan SPRM kerana kami adalah dua badan berbeza.

Lembaga Disiplin adalah sebuah badan dalam parti politik dan walaupun kami mempunyai tujuan sama iaitu untuk membasmi rasuah, kami mengamalkan prosedur dan undang-undang berbeza. Kami tidak boleh heret orang ke muka pengadilan seperti SPRM.

“Kami laksanakan tugas kami mengikut apa yang ditetapkan kepada kami, berdasarkan peraturan yang dipersetujui anggota Umno,” katanya.

Mohd Hafarizam menolak tanggapan bahawa kerjasama antara lembaga itu dan SPRM adalah helah bagi lembaga itu untuk lepas tangan daripada mengendalikan kes membabitkan ‘ikan besar’ dalam parti berkenaan.

“Kami bertindak tanpa rasa takut atau pilih kasih dan dengan tidak memandang saiz ikan. Kalau kami dapati sesuatu aduan itu mempunyai asas, kami akan siasat,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, ada juga kes yang mempunyai asas kukuh tetapi tidak boleh diteruskan siasatan kerana tidak cukup dokumen.

“Apabila menerima aduan, kami melihatnya satu demi satu dan menelitinya tanpa mengira sama ada ia terletak di bawah tanggungjawab kami atau tidak.

“Selepas itu, kami menelitinya lagi untuk melihat sama ada ia berasas dan jika berasas, kami lihat sama ia mempunyai bukti yang mencukupi,” katanya.

“Kalau tidak cukup, kami akan hantar surat bagi meminta si pengadu mengemukakan dokumen dan bukti yang diperlukan. Malangnya, kebanyakan surat seperti ini tidak dibalas dan oleh itu kami tidak boleh meneruskan kes berkenaan kerana kekurangan bukti,” katanya.

Barangkali, kini tiba masa bagi anggota Umno memilih kaedah yang mengenakan hukuman lebih berat. — Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090128085025/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...