Sunday, January 25, 2009

Ketua cawangan ejen calon ahli MT Umno ditahan


PUTRAJAYA: Seorang ketua cawangan Umno Bahagian Temerloh ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam, berhubung politik wang yang membabitkan seorang calon ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu yang ditahan kelmarin.

Difahamkan, penahanan lelaki berusia 47 tahun itu dilakukan berikutan beliau didakwa sebagai ejen calon berkenaan.

Sumber berkata, jika perlu, SPRM akan mendapatkan perintah mahkamah untuk menahan reman lelaki terbabit hari ini.

“Kita sudah mengenal pasti sekurang-kurangnya dua saksi bagi kes itu,” katanya di sini, semalam.

Kelmarin, akhbar melaporkan seorang Ketua Bahagian Umno Wilayah Persekutuan yang juga calon MT Umno menyerah diri di pejabat SPRM Temerloh.

Ahli politik berusia 40-an itu, memberi keterangan berhubung kegiatan politik wang dengan menyogok beberapa perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno Mac ini.

Beliau memberi keterangan dari jam 9.30 pagi hingga 5.30 petang.

Kelmarin, Pengarah SPRM Pahang, Sutinah Sutan, dipetik berkata sekurang-kurangnya 35 orang dari Temerloh dan Maran sudah memberi keterangan masing-masing kepada suruhanjaya berkenaan.

Katanya, mereka tidak ditahan tetapi sebahagian daripadanya perlu berada di pejabat SPRM sehari atau dua bagi membantu siasatan.

Selasa lalu, 12 ahli Umno, termasuk seorang wanita, ditahan berhubung kegiatan politik wang, dalam beberapa siri serbuan di sekitar Maran dan Temerloh, Pahang.

Akhbar melaporkan ahli jawatankuasa Umno bahagian berusia antara 30 hingga 50 tahun itu, dipercayai perwakilan bahagian yang akan menghadiri Perhimpunan Agung Umno, Mac ini, dikatakan diberikan wang antara RM300 dan RM500 seorang.

Sementara itu, SPRM sudah mendakwa tiga ahli Umno termasuk seorang Naib Ketua bahagian di Perak atas dakwaan memberi rasuah ketika pemilihan jawatan bahagian itu, Oktober lalu.

Mereka yang didakwa ialah Naib Ketua Umno Bahagian Beruas, Azman Noh; Ketua Umno Cawangan Panchor, Alor gajah, Johari Ibrahim dan ahli Umno Bahagian Raub, Junaidi Abdul Hamid.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090124091301/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...