Thursday, January 1, 2009

MCA tolak ujian HIV bakal pengantin


KUALA LUMPUR - MCA membantah rancangan mewajibkan masyarakat bukan Islam menjalani ujian saringan HIV kepada bakal pengantin untuk mengelak penyakit itu berjangkit.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, ujian itu hanya untuk memperoleh pengesahan sama ada seseorang itu dijangkiti tetapi tidak pula diikuti tindakan susulan.

"Ia mengenai kerahsiaan mereka (bakal pengantin) yang diuji. Kita mesti pastikan identiti mereka dirahsiakan kerana ini adalah stigma sosial," kata bekas Menteri Kesihatan itu pada sidang akhbar di sini semalam.

Baginya, apa yang lebih penting ialah wujudkan kesedaran terhadap bahaya HIV sebelum menjadikan ujian itu mandatori.

Cadangan ujian itu disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 20 Disember lalu sebelum diikuti pengumuman bahawa pasangan Muslim akan diwajibkan menjalani saringan ujian HIV mulai tahun ini.

Dalam reaksi segera, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz ketika dihubungi malam tadi menyifatkan ujian HIV kepada bukan Islam itu soal kebajikan dan perlu difikirkan secara serius oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

"Kami melihat isu ini penting untuk umat Islam tetapi ia juga satu isu kesihatan dan kualiti hidup merentasi kaum dan agama," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...