Thursday, January 1, 2009

PM: Tugas utama lindungi rakyat

PUTRAJAYA - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, walaupun krisis ekonomi dunia diramalkan cukup mencabar pada 2009, kerajaan berazam mengambil langkah berkesan untuk memelihara kekuatan ekonomi negara dan melindungi kepentingan rakyat.

Kerajaan akan terus bertindak secara prihatin dan bertanggungjawab serta memantau corak dan perkembangan ekonomi dunia dan mengambil langkah wajar menghadapinya, kata Perdana Menteri dalam amanat tahun baru 2009 yang disiarkan menerusi televisyen malam tadi.

Abdullah berkata, Malaysia tidak terkecuali daripada tempias kelembapan ekonomi global tetapi negara ada beberapa kelebihan yang membantu menghadapi keadaan dengan lebih berkesan daripada banyak negara lain.

"Sektor kewangan kita adalah kukuh, tidak seperti waktu krisis kewangan satu dekad yang lalu. Rizab kewangan negara berada pada paras yang tertinggi dalam sejarah kita, iaitu 37 peratus berbanding jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar.

"Institusi kewangan kita mempunyai modal yang kukuh dan ekonomi kita bersifat pelbagai dan tidak bergantung kepada satu sektor tertentu semata-mata,"
katanya.

Mengenai harga minyak, Abdullah kesal harga barangan masih tinggi walaupun harga petrol turun tujuh kali sejak Ogos lepas.

"Saya menyeru semua pihak agar bertimbang rasa terhadap keperitan rakyat dengan menurunkan harga barangan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak keberatan untuk melaksanakan satu lagi pelan pakej rangsangan fiskal bagi negara ini jika ekonomi bertambah buruk pada 2009.

"Keutamaan saya ialah saya benar-benar mahu menyelamatkan rakyat daripada menghadapi kesukaran jika ekonomi sebenar menerima kesan," katanya dalam satu temu bual yang diterbitkan dalam terbitan terbaru mingguan The Edge business.

Kerajaan telah melaksanakan pakej rangsangan RM7 bilion pada 4 November untuk mengharungi kesan krisis ekonomi.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0101&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...