Wednesday, January 21, 2009

Segera berubat elak rosak badan


KUALA LUMPUR: Artis sangat mudah menjadi mangsa santau atau perbuatan sihir kerana perbuatan khurafat itu boleh dilakukan melalui publisiti meluas yang diberi kepada golongan berkenaan.

“Gambar penuh dan maklumat peribadi saja boleh dijadikan ‘modal’ untuk melakukan sihir,” kata seorang pengamal perubatan tradisional yang berpengalaman luas dalam hal ‘sihir menyihir’.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Shafiq berkata, jika seseorang artis itu kurang amalan agamanya, penggunaan gambar dan maklumat peribadi saja cukup untuk ‘mengenakan’ mereka.

“Benda ini (sihir) guna perantaraan jin. Dengan menggunakan gambar, maklumat peribadi, bacaan serta amalan tertentu, kebarangkalian untuk sihir yang ditujukan kepada seseorang artis itu menjadi kenyataan adalah tinggi.

“Bagi artis yang kuat amalan agamanya dan sering mengamalkan bacaan doa untuk melindungi diri daripada perkara tidak diingini, mereka susah menjadi mangsa sihir, termasuk santau,” katanya.

Menurut Shafiq selain menggunakan gambar dan maklumat peribadi, individu yang berniat jahat terhadap seseorang artis itu hanya perlu melakukannya dengan memantau pergerakan mereka.

“Pergerakan artis boleh diketahui apabila golongan terbabit membuat aktiviti tertentu seperti sesi bertemu peminat atau persembahan.

“Santau menerusi makanan dan angin boleh dilakukan. Sama ada menjadi atau tidak bergantung kepada kepakaran bomoh yang diupah,” katanya.

Justeru, Shafiq berkata, seseorang artis itu perlu lebih berwaspada, terutama ketika menerima pemberian tertentu daripada individu tidak dikenali.

“Makanan adalah medium paling mudah disalah gunakan. Walaupun sesuap, jika santau menerusi makanan yang dihasilkan ‘kuat’, bersiap sedialah untuk menderita,” katanya.

Menurut Shafiq, kebiasaannya jika seseorang itu terkena sihir, individu yang melakukannya dapat diketahui.

“Biasanya apabila berubat, pengamal perubatan yang membantu memulihkan mangsa dapat mengesan ia angkara siapa. Terpulang kepada mangsa untuk mengetahuinya atau tidak,” katanya.

Ditanya mengenai upah untuk melakukan tugas terkutuk itu, Shafiq memaklumkan, ia mampu mencecah ribuan ringgit.

“Kebiasaannya seseorang itu sanggup mengenakan orang lain menggunakan sihir disebabkan perasaan dengki dan sakit hati,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090118174028/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...