Sunday, February 8, 2009

‘Tinggalkan bilik ini’



IPOH: “Excuse me! Excuse me! Saya minta semua ‘reporter’ meninggalkan bilik ini sekarang!” jerit Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim yang memasuki pejabat Menteri Besar di Bangunan Perak Darul Ridzuan dengan suara tinggi jam 10.05 pagi, semalam.

Suara Dr Abdul Rahman yang kuat menyebabkan beberapa pengawal peribadi bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menengking dan cuba mendekati Dr Abdul Rahman, lalu beliau keluar dengan dikawal beberapa anggota polis.

Terdahulu, Mohammad Nizar yang dititah Sultan Perak supaya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar tiba di pejabat itu kira-kira jam 9.40 pagi dan berlaku kekecohan di laluan masuk utama ke bangunan itu sebaik Timbalan Pesuruhjaya II Pas itu cuba memasuki Pejabat Menteri Besar kerana pintu pagar ditutup.

Selepas berunding dengan pengawal, beliau bersama beberapa Exco dibenarkan memasuki dan terus mengadakan sidang akhbar dalam pejabat dengan kira-kira 30 wartawan.

Mohammad Nizar kemudian meninggalkan pejabatnya untuk melihat pejabat bekas Exco Kanan Negeri, Datuk Ngeh Koo Ham di tingkat satu bangunan terbabit dengan diikuti wartawan.

Bagaimanapun, kira-kira jam 10.20 pagi, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias dilihat memasuki pejabat Exco kanan itu dan meminta semua wartawan keluar.

Mohammad Nizar kemudian keluar dari pejabat Ngeh untuk kembali ke pejabatnya dan disapa Dr Abdul Rahman yang mahu berbincang dengannya.

“Datuk Seri, boleh berjumpa saya sekejap,” katanya, tetapi Mohammad Nizar tidak menjawab.

Pada jam 10.35 pagi, kereta rasmi Menteri Besar, AGS 10 dilihat membawa Mohamad Nizar meninggalkan Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Ketika ditanya dalam perjalanan keluar sama ada beliau diminta meninggalkan pejabat oleh Datuk Dr Abdul Rahman atau Azisman, Mohammad Nizar berkata: ‘Tidak ada. Saya ada mesyuarat. Saya nak bagi bertenang saja.’

Mohammad Nizar dan bekas Exconya mendakwa terkejut kerana mendapati bilik mereka dikosongkan lantas mengadakan sidang akhbar untuk menyatakan tidak puas hati dengan berkata: ‘Ini tindakan menyelongkar pejabat saya. Tiada notis untuk mengosongkannya.’

Katanya, beliau hanya menerima surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Rahman Hashim untuk memulangkan kunci bilik pejabat, kenderaan rasmi dan sebagainya.

Bagaimanapun, persidangan media tidak dapat diteruskan apabila wakil media diminta Abdul Rahman dan Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias supaya meninggalkan premis terbabit.

Pada sidang media itu, Mohammad Nizar menegaskan kerajaan Pakatan Rakyat masih sah dan beliau hanya meletakkan jawatan jika adanya undi tidak percaya terhadapnya dalam persidangan DUN.

Mengenai keingkaran beliau kepada titah Sultan Perak, beliau berkata: ‘Cuma kaedahnya dalam bahasa Diraja, kita kena sebut ya ampun tuanku, maka patik mohon derhaka. Ini ayat yang dipetik daripada konteks yang salah.’

Mohammad Nizar berkata, beliau tidak akan mengosongkan kediaman rasmi Menteri Besar kerana tidak menerima surat untuk berbuat demikian.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20090207094712/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...