Wednesday, February 18, 2009

Bapa 13 tahun setuju jalani ujian DNA


ALFIE yang duduk di sebelah Chantelle memangku anak mereka.


LONDON - Seorang pelajar yang berumur 13 tahun, Alfie Patten bersetuju menjalani ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) bagi membuktikan dia ialah bapa kepada seorang bayi perempuan, lapor sebuah akhbar semalam.

Alfie sebelum ini menghiasi muka depan akhbar di seluruh dunia pada minggu lalu selepas dia menjadi bapa kepada anak yang dilahirkan oleh kekasihnya, Chantelle berusia 15 tahun.

Bagaimanapun, dua remaja lelaki lain turut membuat pengakuan bahawa mereka mungkin menjadi bapa kepada bayi perempuan itu dan bukannya Alfie.

"Saya ialah satu-satunya teman lelaki Chantelle dan kami sudah bersama selama dua tahun. Pastinya saya ialah bapa kepada bayi perempuan itu," kata Alfie.

"Apabila saya mendapati dia (Chantelle) sudah mempunyai anak, saya bertanya kepadanya sama ada saya ialah bapa kepada bayi itu dan dia mengesahkannya. Saya mempercayai kata-katanya," tambahnya.

Menurut Alfie, dia tidak pernah mendengar mengenai ujian DNA tetapi ibunya menjelaskan ia akan membuktikan siapakah bapa kepada anak itu.

"Jika saya menjalani ujian itu, mereka (kedua-dua remaja itu) akan menutup mulut," katanya.

Kelmarin, seorang remaja Richard Goodsell yang berumur 16 tahun dan Tyler Barker berumur 14 tahun menyatakan mereka pernah tidur bersama Chantelle sebelum dia melahirkan anak. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0217&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...