Wednesday, February 18, 2009

Misteri bebola api dari angkasa


IMEJ televisyen menunjukkan satu serpihan terbakar (dalam bulatan) jatuh dari angkasa ketika sekumpulan orang menyertai acara maraton di Austin, Texas Ahad lalu.


AUSTIN - Pihak berkuasa di Texas kebingungan selepas menerima banyak laporan daripada orang ramai yang menyaksikan satu serpihan terbakar jatuh dari angkasa, lapor sebuah akhbar semalam.

Beberapa saksi menjerit apabila imej bebola api misteri itu dirakamkan menerusi kamera televisyen pada waktu pagi Ahad lalu.

Rakaman itu dilakukan ketika satu pertandingan maraton diadakan di bandar Austin.

Setakat ini belum ada penjelasan yang munasabah bagi mengenal pasti dari mana asalnya bebola api itu.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (AS) menerima banyak laporan daripada orang ramai yang mendakwa menyaksikan bebola api tersebut.

Pejabat Syerif Austin kemudian menghantar sebuah helikopter bagi melakukan siasatan tetapi gagal menemui sebarang bukti berhubung serpihan jatuh dari angkasa.

Terdapat kebimbangan bahawa bebola api itu berpunca daripada pelanggaran dua buah satelit pada minggu lalu kira-kira 800 kilometer dari bumi.

Bagaimanapun, Pusat Pemerintah Tentera Amerika Syarikat menyatakan laporan bebola api itu tidak mempunyai kaitan dengan perlanggaran antara sebuah satelit AS dengan Rusia.

Sebelum ini Pihak Pentadbiran Penerbangan Persekutuan memberi amaran kepada juruterbang kemungkinan serpihan akibat pelanggaran satelit jatuh ke bumi. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0217&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...