Sunday, March 29, 2009

Maestro tutup kedai


KAKITANGAN Maestro mengosongkan pejabat syarikat itu di Damansara, Kuala Lumpur semalam.





KUALA LUMPUR - Desas-desus mengenai operasi syarikat rakaman dan pengurusan artis terkenal Maestro Talent Management Sdn. Bhd. (Maestro) akan dihentikan pada 1 April ini bakal menjadi kenyataan.

Walaupun Ketua Pegawai Operasi Maestro, Freddie Fernandez (gambar) dan Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah tidak memberi sebarang kenyataan mengenai status operasi syarikat itu, namun pejabatnya di Bukit Damansara di sini sudah bersiap untuk ditutup.

Tinjauan Kosmo! di pejabat Maestro semalam mendapati semua kakitangan syarikat itu sibuk mengemas barang-barang untuk meninggalkan pejabat mereka.

Kosmo! turut difahamkan, semua 19 kakitangannya juga telah menandatangani surat berhenti kerja yang berkuat kuasa 31 Mac ini atas alasan syarikat mengalami masalah kewangan.

Freddie bersama Zainir juga dilihat hadir ke pejabat berkenaan sekitar pukul 4.30 petang dan mereka dikatakan menemui setiap pekerja secara individu untuk memberi penjelasan serta surat berhenti kerja dan meminta mereka mengosongkan premis itu.

Zainir yang keluar dari pejabat Maestro kira-kira pukul 7.25 malam bagaimanapun enggan mengulas mengenai penutupan operasi syarikat itu.

"Saya tidak mempunyai apa-apa untuk dikatakan. Buat masa ini saya tidak boleh beri sebarang kenyataan,'' kata Zainir yang terkejut melihat kehadiran wartawan di pejabat itu.

Maestro ialah sebuah syarikat bersekutu milik Astro yang ditubuhkan pada 24 Julai 2003 dan kini menaungi lebih 40 orang artis, kebanyakannya bekas peserta program Akademi Fantasia dan Raja lawak.

Dalam pada itu, Freddie turut enggan mengulas mengenai perkara itu dengan alasan semuanya akan diuruskan oleh pihak Astro.

"Saya memohon maaf dan harap anda faham bahawa saya tidak boleh komen,'' kata Freddie.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0328&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...