Sunday, March 29, 2009

Pak Lah masih berteka-teki

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terus berteka-teki mengenai tarikh peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri kepada penggantinya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO semalam, Abdullah yang kelihatan ceria berkata, beliau akan hanya memaklumkan tarikh itu apabila beliau "suka" untuk berbuat demikian.

"Yang itu (tarikh peralihan kuasa) tak payah tanya, saya akan bagi tau bila-bila saya suka," katanya.

Timbalannya, Najib sebelum ini dinamakan sebagai penggantinya dan peralihan kuasa itu dilaporkan sebelum ini akan diadakan pada Mac ini.

Mengulas kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim bahawa semua menteri di bawah pimpinan Abdullah secara teknikalnya turut dianggap meletak jawatan selepas beliau (Abdullah) meletak jawatan, Abdullah berkata:

"Masa zaman saya dulu pun (Tan Sri) Lim Keng Yaik (bekas menteri Kabinet) pun kata begitu juga, tapi tak jadi apa pun, bukan boleh paksa."

Abdullah juga menganggap Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai gandingan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang baik dan serasi.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0328&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...