Sunday, March 29, 2009

Najib akui UMNO perlu berubah jika tidak mahu 'rebah'

25 Mar 2009 5:55AM

Ahli-ahli UMNO dituntut menggilap semula idealisme perjuangan supaya parti keramat itu dapat kembali menjadi peneraju perubahan dalam memenuhi aspirasi orang-orang Melayu khususnya.

Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapan terakhirnya sebagai Timbalan Presiden yang disifatkannya sebagai 'hiba rasanya' berkata, demi mencapai matlamat itu, UMNO mesti melakukan proses muhasabah, pembaruan dan islah.

Beliau yang akan mengambil alih kepimpinan parti daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-59 ini, menjelaskan, bagi memastikan UMNO maju ke depan, parti itu perlu memperbaiki kelemahan serta memperkukuh dan memantapkan kekuatan sedia ada.

"Jika kita tidak melakukan proses ini, UMNO akan dilihat sebagai sebuah parti yang terus-terusan berada dalam penafian.

"Usaha pembaruan ini amat menuntut kita untuk menggilap semula idealisme perjuangan," katanya dalam ucapan perasmian serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri yang disiarkan secara langsung menerusi TV1, TV9 dan Astro di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Ucapan bertajuk Menakhoda Zaman yang memaparkan UMNO sebagai parti memimpin negara sepanjang zaman disambut dengan tepukan daripada 796 perwakilan Wanita, 791 perwakilan Pemuda dan 789 perwakilan Puteri.

Berikutan perhimpunan kali ini melibatkan pemilihan kepimpinan ketiga-tiga sayap parti, Najib mengingatkan tugas para perwakilan merupakan paling berat dalam sejarah UMNO.

Katanya, berbeza dengan tahun-tahun pemilihan lalu, yang dipertaruhkan kali ini sebenarnya ialah survival UMNO itu sendiri.

"Keputusan yang bakal kita ambil sepanjang persidangan kali ini akan menentukan masa depan parti sama ada akan terus mencipta dan melakar sejarah ataupun menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah," katanya.

Beliau yang memetik tiga ayat al-Quran menekankan bahawa perhimpunan malam ini adalah atas satu tujuan iaitu untuk mencarta dan memeta arah tuju seterusnya kepada perjuangan UMNO.

Katanya, pencapaian UMNO lebih enam dekad penubuhannya bukanlah kejayaan kecil atau enteng yang tidak terhenti setakat memperoleh kemerdekaan malah telah berjaya mengisi kemerdekaan dengan prestasi rekod yang sangat cemerlang.

"Parti inilah yang telah berjasa mengangkat rakyat Malaysia daripada kekangan kemiskinan kepada kelas hidup menengah dalam satu generasi sahaja. Hakikatnya, UMNO parti keramat ini telah sentiasa menjadi Nakhoda Zaman," tegasnya.

Bagaimanapun kata Najib, waima apa pun kehebatan dan pencapaian parti, ahli-ahli UMNO hari ini perlu berpijak di bumi nyata kerana landskap politik negara telah berubah sama sekali.

Beliau turut mengingatkan bahawa UMNO akan kuat jika pintu kemasukan dibuka seluas-luasnya kepada orang-orang Melayu dan UMNO terus kekal menjadi parti yang mewakili aspirasi mereka.

"Lalu, sewajibnya dikikis serta dibuang jauh, imej serta tanggapan bahawa pimpinan UMNO kini elitis dan terasing dari dakapan rakyat," katanya.

Kesimpulannya kata Najib, untuk kekal lestari, UMNO mesti memenangi semula hati dan pemikiran orang Melayu.

"Jadinya, mahu tidak mahu, kita mesti berubah untuk kepentingan rakyat. Berubah dari sikap-sikap mazmumah kepada sikap-sikap mahmudah.

"Berubah daripada kurang mesra kepada mesra, daripada mementingkan diri kepada mementingkan rakyat, daripada malas kepada rajin kerja, berubah daripada kurang berkhidmat kepada suka berkhidmat. Berubahlah, jika tidak, kita rebah," tambahnya./Utusan


Najib enggan jadi nahkoda kapal karam

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...