Monday, May 18, 2009

Ditipu tokoh Maulidur Rasul

Faizah mengaku gelap mata dijanjikan pulangan sebanyak enam kali ganda daripada wang yang dilaburkan.




"INGATKAN ini peluang buat duit, tapi akhirnya duit lebur begitu saja." Itulah luahan seorang mangsa pelaburan skim cepat kaya, Faizah Mustopa, 54.

Beliau mendakwa ditipu bersama kira-kira 2,500 pelabur lain oleh syarikat ala skim cepat kaya yang dikendalikan seorang lelaki yang pernah menerima anugerah Maulidur Rasul.

Dia yang ditemui Jurnal baru-baru nampak tenang walaupun RM45,000 duit yang dilaburkan dalam syarikat yang beribu pejabat di Kuala Lumpur itu lesap.

"Pada mulanya saya was-was juga, tapi memandangkan dia ialah bekas pegawai kerajaan dan antara penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan, saya terpukau mendengar projek-projek yang bakal dijalankan hasil daripada pelaburan itu.

"Fikir saya, masakan dia mahu menipu kaum sebangsa dengannya? Dia pun bukan sembarangan orang," katanya.


FAIZAH berharap wang pelaburannya sebanyak RM30,000 akan dipulangkan.


Bercerita mengenai operasi sebenar yang dilakukan oleh syarikat tersebut Faizah menjelaskan, wang pelaburan kononnya akan digunakan untuk membiayai projek petroleum, import dan eksport baja ke India. Ia menggunakan nama kerajaan Brunei yang mahu syarikat itu membekalkan hasil tenusu segar ke negara mereka.

"Pada peringkat awal, mereka katakan saya masuk pelaburan ke dalam syarikat itu untuk usaha sama dalam beberapa projek yang mereka jalankan tetapi pada bulan November, mereka kata saya jadi pemegang saham pula.

"Oleh kerana yakin dengan penerangan yang diberikan, saya melabur RM30,000 dalam skim itu dan meminjamkan rakan sebanyak RM15,000 untuk dibuat modal melabur," cerita Faezah.

Bekas pekerja syarikat swasta ini memberitahu, setiap pelabur akan menerima 10 peratus daripada modal pelaburan selama 60 bulan.

"Sepatutnya, saya akan menerima RM3,000 setiap bulan selama lima tahun seperti yang dijanjikan. Ini bermakna hasil pelaburan dijanjikan pulangan sehingga enam kali ganda iaitu bersamaan dengan RM180,000.


NIRWANDY


"Namun saya dan pelabur lain hanya menerima RM3,000 untuk tiga bulan pertama, itu pun bayaran tidak dibuat sekali gus.

"Selepas pembayaran ketiga, syarikat itu mula mencipta 1001 alasan bila hal pulangan dibangkitkan.

"Sampai sekarang, mereka terus menyuruh kami tunggu. Tak tahu sampai bila lagi nak tunggu," katanya.

Faizah yang juga ibu tunggal kini hanya menyewa sebuah bilik di Jalan Chow Kit dan menyara hidupnya dengan bekerja sebagai kerani data dengan pendapatan RM600 sebulan.

Faizah tidak menafikan ramai pelabur yang sanggup membuat pinjaman daripada bank, ceti haram dan ah long untuk mendapatkan modal melabur.

"Memang ramai yang pinjam duit. Ada juga yang sanggup jual rumah untuk melabur. Saya tak tahu pula nasib mereka yang meminjam dengan pihak ketiga.

"Mungkin mereka pun tengah panas punggung sebab ramai yang mengejar untuk kutip hutang," katanya yang mengakui gelap mata kerana dijanjikan keuntungan yang berlipat kali ganda.

Jelas Faizah, selepas sedar dirinya ditipu dan wang simpanan untuk hari tuanya habis dilaburkan, dia tidak mahu meminta lebih daripada syarikat itu.

"Saya tidak mahu kaya segera, saya juga tak mahu projek berjuta-juta. Cukuplah kalau saya dapat balik baki duit yang saya laburkan. Itu sudah sangat melegakan saya," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0517&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_07.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...