Tuesday, May 5, 2009

Membesar tanpa ibu bapa

Ramai ibu bapa di China berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan, namun mereka terpaksa meninggalkan anak-anak di bawah jagaan saudara-mara.


PROGRAM yang diperkenalkan oleh pakar sains sosial di China memberi kesan mendalam kepada kanak-kanak di wilayah Anhui, China.


SEPERTI berjuta-juta kanak-kanak Cina lain, Song Yuedong, 16, hanya berpeluang menemui ibu bapanya sekali dalam setahun. Kehidupannya sama seperti seorang tentera China yang bekerja keras demi berbakti kepada bangsa dan negara. Kanak-kanak seperti Song hidup secara relatif, dia hanya menghubungi ahli keluarganya menerusi panggilan telefon.

Bersikap pemalu, Song yang mengenakan baju-T bercorak bola keranjang Amerika dan berkumis itu kelihatan seperti kebanyakan remaja lain di dunia ini.

Dia tinggal bersama datuk dan neneknya di ladang sayur di Mingchuan, wilayah Anhui, China, sebuah perkampungan termiskin sejak tahun 1970-an. Kini, ia merupakan kawasan utama pengeluaran buruh yang berjaya meningkatkan pertumbuhan negara.

Lebih 130 juta rakyat seperti keluarga Song meninggalkan ladang tersebut semata-mata untuk berhijrah dan mencari pekerjaan di bandar.

Mereka hanya kembali semula ke kediaman masing-masing sekali dalam setahun untuk menyambut Tahun Baru Cina, perayaan tradisi bagi menemukan semula ahli keluarga.

"Apabila mereka pulang, saya berasa begitu gembira kerana akhirnya saya berpeluang berjumpa mereka setelah sekian lama terpisah," ujar Song.

Datuknya, Yequan, 69, seorang yang begitu optimistik dan peramah memberitahu, keempat-empat anaknya telah meninggalkan ladang itu semata-mata ingin mencari nafkah untuk memastikan anak-anaknya hidup dengan baik.

"Dua cucu saya pergi ke sekolah, mereka membesar dengan saya. Selama ini saya yang menjaga dan membeli pakaian mereka," jelasnya. "Keluarga mereka membiayai kesemua tanggungan." Yequan mendidik cucu lelakinya itu ketika ketiadaan ibu bapanya di sisi.

Tetapi bukan semua orang bernasib baik kerana ramai yang menghadapi masalah psikologi berpunca daripada perpisahan dengan ibu bapa mereka.

Pakar sains sosial menggunakan modul bagi mencipta satu terma khas untuk kanak-kanak seumpama itu pada tahun lepas, iaitu liushou ertong atau kanak-kanak tanpa pengawasan ibu bapa.

"Masalah psikologi atau emosi adalah perkara biasa kerana ia di bawah syarat-syarat normal, kanak-kanak memerlukan ibu bapanya untuk berkomunikasi bersama mereka," ujar Dain Chengrong, seorang pakar di People Universiti di Beijing.

"Mereka berpisah dan gagal untuk berkomunikasi. Sesetengah daripada kanak-kanak ini tidak pernah berjumpa ahli keluarga selama lima tahun dan kadang-kadang sepuluh tahun.

"Ini masalah yang serius dalam pembentukan tumbesaran kanak-kanak," jelas Dain bahawa jumlah kanak-kanak yang bermasalah yang dirujuk ialah sebanyak 58 juta pada tahun 2005, berbanding 23 juta pada tahun 2000. Setengah daripada mereka hilang keluarga.


RAMAI ibu bapa di China terpaksa berhijrah ke bandar semata-mata untuk menyara keluarga di kampung.


Di Anhui, pihak berkuasa telah membawa langkah-langkah itu kepada pakar menerusi pengenalan program liushou ertong.

Pada tahun 2004, sekolah Song mempunyai 14 peratus daripada 400 kanak-kanak tanpa pengawasan ibu bapa. Ini adalah program pengenalan pertama yang dijalankan terhadap mereka.

Para pelajar menerima faedah daripada program penjagaan khusus dan pemerhatian daripada ketua-ketua keluarga sementara. Datuk atau nenek mereka juga telah menerima tawaran latihan, sekali gus dapat membantu kanak-kanak membuat kerja sekolah, dan kanak-kanak itu juga boleh menghubungi ahli keluarga sekiranya mereka inginkan.

"Sebelum ini kami menerima banyak masalah daripada para pelajar," kata Pengetua sekolah Song, Xie Xinzheng.

"Tetapi, sejak kami memperkenalkan program ini, kami melihat banyak perubahan yang berlaku dalam menyelesaikan permasalahan kanak-kanak ini." - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...