Wednesday, May 6, 2009

Suri rumah ditipu jurujual syarikat penapis air

KUALA LUMPUR: Terpedaya dengan kata-kata manis dua jurujual sebuah syarikat jualan langsung, seorang suri rumah ‘terjerat’ selepas mendakwa kedua-dua mereka bijak memanipulasikan wanita itu sehingga dia kini terpaksa menanggung bil tunggakan berjumlah ribuan ringgit. 

Difahamkan, jurujual lelaki dan wanita itu menggunakan taktik licik apabila ‘memancing’ mangsa kononnya syarikat mereka membuat promosi percubaan untuk memasang sistem penapis air selama 14 hari tanpa sebarang caj dikenakan. 

Malah, kedua-dua ‘kaki belit’ itu turut meyakinkan suri rumah terbabit bahawa dia boleh memulangkan semula penapis air berkenaan jika tidak berpuas hati sebelum dikatakan memujuk serta mendesaknya menandatangani beberapa dokumen.

Mangsa yang kebingungan turut mendakwa seolah-olah dipukau apabila tanpa rela membiarkan keduanya melakukan kerja pemasangan penapis air itu, selain menurunkan tandatangan pada dokumen disediakan.

Bagaimanapun, suri rumah itu terkilan apabila dia sebaliknya dikenakan caj, malah terpaksa melangsaikan hutang lebih RM3,000 bagi penapis air berkenaan bagi mengelak tindakan mahkamah terhadapnya. 

Menurut mangsa mahu dikenali Lina, 30-an, pada Ogos tahun lalu, dia didatangi kedua-dua jurujual itu ketika sedang menjemur pakaian di rumahnya di Jinjang, Sentul di sini yang menawarkan sistem penapis air secara percuma selama tempoh percubaan 14 hari sebelum mengatakannya tidak berminat.

“Namun, pujukan dan desakan ‘bertubi-tubi’ membuatkan saya serba salah dan kemudian mereka bersikap agresif apabila tetap memasang alat itu tanpa persetujuan.

“Mereka juga memaklumkan yang kononnya saya boleh memulangkan semula barang terbabit jika tidak berpuas hati tanpa sebarang caj,”
katanya di sini, semalam.

Lina berkata, kedua-dua jurujual itu kemudian turut mendesaknya menandatangani borang pembelian sebelum dia yang tidak tahu menahu hal sebenar dikatakan hanya menuruti arahan keduanya.

“Apabila suami pulang dari kerja, saya dan suami bersetuju memulangkan semula penapis air berkenaan, namun terkejut selepas dimaklumkan oleh pekerja syarikat jualan langsung bahawa mereka kena membayar RM600, iaitu 30 peratus daripada harga promosi barang itu.

“Kami tidak mempunyai wang dan sejak itu saya kerap menghubungi syarikat berkenaan untuk membuka semula penapis air itu, namun tidak dilayan,”
katanya yang pernah membuat bayaran ansuran bulanan bagi penapis air itu, tetapi hanya sekali.

Menurut Lina, sejak itu, dia tidak pernah membuat bayaran namun terkejut apabila menerima surat syarikat langsung itu untuk menjelaskan bayaran tertunggak kira-kira RM600 dan perlu diselesaikan dalam tempoh 14 hari, bagi mengelak tindakan undang-undang diambil.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...