Wednesday, May 6, 2009

Negara kita masih selamat

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia tidak perlu bimbang mengenai wabak Influenza A H1N1 kerana tiada kes berkaitan wabak berkenaan menjangkiti individu dalam negara walaupun angka yang dicatatkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan peningkatan.

Setakat semalam, laporan WHO memaklumkan bahawa dua negara iaitu Colombia dan El Salvador mengesahkan kes di negara masing-masing menjadikan jumlah negara yang terbabit ialah 20.

Antara negara yang sudah disahkan mempunyai wabak berkenaan ialah Austria, Kanada, Hong Kong, Costa Rica, Denmark, Perancis, Jerman, Ireland, Israel, Itali, Belanda, New Zealand, Korea, Sepanyol, Switzerland dan United Kingdom.

Jumlah kes keseluruhan yang dilaporkan ialah 985 dengan 25 kematian iaitu penambahan sebanyak 87 kes berbanding hanya 898 membabitkan 20 kematian pada hari sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata tahap amaran penularan wabak itu masih lagi berada di Tahap 5 dan sehingga kini belum lagi ada sebarang sekatan dikenakan terhadap pelancong atau rakyat tempatan.

“WHO tidak menyarankan sebarang sekatan dari segi kesihatan, perjalanan dan perdagangan serta penutupan sempadan bagi perlindungan kesihatan antarabangsa.

“Namun, orang ramai masih perlu mengutamakan langkah berjaga-jaga dan dinasihatkan menangguhkan lawatan antarabangsa sekiranya mengalami tanda-tanda jangkitan terutama demam, batuk, selesema dan sakit tekak,”
katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Menurutnya, WHO turut menyarankan beberapa langkah tambahan sebagai persediaan melindungi diri daripada wabak berkenaan iaitu dengan mengamalkan kebersihan diri.

“Orang ramai dinasihatkan mengamalkan kebersihan diri iaitu dengan membasuh tangan lebih kerap menggunakan sabun terutama selepas batuk,” katanya.

Katanya, saringan kesihatan di semua pintu masuk antarabangsa yang menerima pelawat dari negara terjejas serta kepulangan rakyat Malaysia dari negara berkenaan terus dipertingkatkan.

“Bilangan penerbangan yang disaring ialah 42 manakala penumpang yang disaring seramai 4,452 orang, namun tiada kes yang dirujuk ke hospital,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Ismail berkata, semua pengamal perubatan tempatan sudah dilengkapkan dengan persediaan menghadapi wabak berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20090505052534/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...