Wednesday, May 6, 2009

Wanita hamil temui ajal lepas kejadian ragut


Jamilah





JOHOR BAHRU - Selepas koma sehari setengah akibat terjatuh daripada motosikal setelah diragut Ahad lalu, seorang wanita menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultanah Aminah (HSA) semalam.

Lebih memilukan, mangsa, Jamilah Selamat, 31, yang baru bernikah dengan suaminya, Razali Ahmad, 41 (gambar), enam bulan lalu kini sedang hamil dua bulan.

"Saya terima takdir ini, tetapi saya terkilan kerana dia diragut kira-kira 70 meter dari rumah selepas pulang dari kerja.

"Malah, arwah sempat singgah di pasar malam untuk membeli makanan dan barang dapur hasil duit gaji pertamanya yang diterima pada hari kejadian," kata Razali ketika ditemui di HSA semalam.

Menurut Razali, pada kejadian pukul 7.30 malam itu, arwah yang baru sebulan bekerja sebagai jurujual kraftangan di pekan Ayer Hitam sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki motosikal Honda EX-5 dari tempat kerjanya.

"Kira-kira 70 meter hendak sampai ke rumah di Taman Mekar, arwah diragut dua lelaki bermotosikal menyebabkan dia hilang kawalan lalu terjatuh," katanya.

Kemudian, isterinya dihantar dengan ambulans ke Klinik Kesihatan Ayer Hitam sebelum dirujuk ke Hospital Batu Pahat dan HSA.

Razali berkata, Jamilah yang akan menyambut hari lahir ke-32 pada Isnin depan merupakan isteri keduanya dan masing-masing mempunyai dua anak berusia antara 5 hingga 18 tahun hasil perkahwinan dahulu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0506&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...