Wednesday, June 3, 2009

Kawasan ‘panas’ samseng jalan raya sudah sejuk

SHAH ALAM: Operasi berterusan polis trafik khususnya di Selangor untuk mengekang samseng jalan raya membuahkan hasil apabila beberapa lokasi yang disifatkan ‘panas’ di negeri ini tidak lagi menjadi tumpuan samseng jalan raya.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintendan Che Hussin Omar, berkata operasi sebulan bermula 1 Mei lalu, sebanyak 125 sekatan jalan raya diadakan dan 3,091 saman dikeluarkan kepada penunggang dan pembonceng motosikal atas pelbagai kesalahan.

Menurutnya, daripada jumlah itu 454 saman dikeluarkan akibat kesalahan tidak memakai topi keledar diikuti lesen tamat tempoh (433), ubah suai motosikal (106), menunggang menentang arus (79), langgar lampu isyarat (59) dan selebihnya lain-lain kesalahan.

“Dalam operasi itu kami turut menyita motosikal dan daerah tertinggi dicatatkan di Kuala Langat dengan 720 kes diikuti Shah Alam (582 kes), Subang Jaya (577 kes) dan Kajang (215 kes),” katanya.

Kebanyakan kesalahan tertinggi dikesan dilakukan penunggang dan pembonceng motosikal di Shah Alam dengan 231 kes.

Che Hussin berkata, berikutan itu, polis trafik akan meningkatkan rondaan khususnya pada malam minggu dan pada masa sama meminta orang ramai tidak memberi sokongan atau berkumpul untuk menyaksikan aksi samseng jalan raya.

“Selain itu kami meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti samseng jalan raya supaya menyalurkan menerusi talian Rakan Cop di 03-21159999.

“Setakat ini, maklumat yang disalurkan orang awam membantu kami mengurangkan samseng jalan raya dan ia petanda positif,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...