Wednesday, June 3, 2009

Skim pinjaman khas

KUALA LUMPUR 1 Jun – Kerajaan sedia mengkaji kemungkinan mewujudkan skim pinjaman wang untuk golongan yang tidak mempunyai kerja tetap bagi mengelak golongan itu meminjam dengan ah long.

Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, skim pinjaman yang sedia ada kebanyakannya adalah untuk pekerja tetap dan ingin membuka perniagaan sahaja.

“Ketika ini tiada skim tertentu bagi membantu golongan tidak bekerja tetap, justeru kerajaan perlu melihat satu skim khas untuk membantu mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis penghargaan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kepada media di sini hari ini.

Menurut Awang Adek, pihaknya perlu memperhalusi cadangan tersebut kerana ia melibatkan banyak pihak seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bank Negara dan badan-badan berkaitan.

Jelas beliau, jika skim tersebut dilaksanakan, ia akan dibuat untuk jangka masa panjang bukan seperti skim yang diperkenalkan oleh ah long.

“Perkara ini agak rumit, ia perlu diperhalusi ekoran kerajaan perlu memikirkan cara lebih efisien untuk pembayar menjelaskan balik pinjaman tanpa paksaan,” katanya.

Rabu lalu, polis membebaskan tiga lelaki yang diperlakukan seperti binatang apabila leher dan kaki mereka dirantai serta dikurung dalam ‘lokap’ buatan ah long.

Lebih kejam, mangsa hanya dibekalkan dengan sebuku roti untuk setiap dua minggu dan terpaksa minum air paip dalam bilik kecil yang dilengkapi tandas itu.

Awang Adek menambah pada masa ini kerajaan menyediakan pelbagai jenis pinjaman termasuk pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) bagi peminjam yang mahu menjalankan perniagaan dan Amanah Ikhtiar Malaysia bagi penduduk luar bandar.

Mengenai LHDN, Awang Adek memberitahu, jumlah pungutan cukai bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini menunjukkan peningkatan berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

Bagaimanapun, jelasnya, jumlah keseluruhan pungutan cukai tahun ini dijangka terjejas ekoran keadaan ekonomi dunia yang meleset.

“Tahun lalu jumlah hasil kutipan adalah sebanyak RM90.6 bilion iaitu sebanyak 16 peratus peningkatan dari tahun sebelumnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu, jumlah individu yang telah disenarai hitam ekoran tidak menjelaskan pembayaran cukai telah menurun iaitu 42,000 orang sahaja berbanding 72,000 beberapa tahun sebelum ini.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0602&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...