Thursday, April 29, 2010

Minda: Mana pergi undi Ah Lan?

2010/04/27

DI mana Alan dan Ah Lan? Ketika Kamal memberikan hentakan kuat dan Nathan mula berpaling memberikan sokongan, kelibat Alan dan Ah Lan tampak masih meragukan.

Malah, ketiadaan satu lagi watak daripada gabungan nama Ahli Parlimen baru Hulu Selangor, P Kamalanathan itu menimbulkan suasana sedikit gusar di pekarangan Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Kuala Kubu Baru iaitu lokasi pusat penjumlahan undi bagi pilihan raya kecil kawasan itu, malam kelmarin.


Pada awal sesi penjumlahan undi kira-kira jam 6 petang Ahad, undi pos memberikan calon Barisan Nasional (BN) itu majoriti 647 undi berbanding calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zaid Ibrahim.


Menerusi dua skrin putih di pekarangan dewan itu, orang ramai dan wakil media dapat melihat perkembangan pengiraan undi, tetapi keselesaan BN tidak bertahan lama apabila peti undi dari dewan mengundi di kawasan majoriti masyarakat Cina dibawa masuk.


Bermula peti undi kelapan daripada keseluruhan 137 peti undi, Zaid memintas dan mendahului dengan majoriti 23 undi apabila mengumpul 1,439 manakala Kamalanathan (1,416 undi) dan sejak itu, bekas Ahli Parlimen Kota Bharu itu terus mendahului termasuk memiliki majoriti sehingga 1,532 undi pada peti undi ke-61.


Ketika itu, sudah timbul tanda tanya mengenai peluang BN merampas kembali kerusi Hulu Selangor daripada PKR dan paparan demi paparan pada papan putih disambut dengan laungan penyokong PKR, yang berkubu di kawasan masjid, tidak jauh dari dewan berkenaan.


Namun kemunculan peti undi dari kawasan didominasi masyarakat Melayu termasuk tanah rancangan Felda dan dibantu pula undi masyarakat India mula mengurangkan jurang majoriti Zaid dan ketika peti undi ke-101, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkenaan hanya memiliki majoriti 119 undi saja.


Peralihan dan penguasaan semula itu menjelmakan kelegaan kepada BN sebelum kemunculan Kamalanathan dan isteri, S Shobana serta rombongan ke pintu masuk dewan berkenaan kira-kira jam 8.25 malam, menguatkan telahan pada BN sudah menang.


Kehadiran Timbalan Perdana Menteri yang juga ‘panglima perang’ bagi pilihan raya Hulu Selangor, Tan Sri Muhyiddin Yassin di kawasan dewan kira-kira lima minit kemudian mengesahkan bahawa BN sudah merampas kerusi itu diikuti ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kira-kira jam 9 malam.

Pada papan skrin pula, penguasaan Kamalanathan semakin ketara dan pada peti undi ke-121, dia mendahului majoriti 1,035 undi sebelum peti undi terakhir iaitu ke-137, mengesahkannya sebagai Ahli Parlimen baru dengan 24,997 manakala Zahid (23,272) iaitu majoriti 1,725 undi atau 3.57 peratus.


Sebelum 48,945 atau 75.87 peratus penduduk Hulu Selangor keluar mengundi, Muhyiddin menjangkakan BN mampu menang dengan majoriti lebih besar, tetapi sudah pasti, ketiadaan sokongan Alan dan Ah Lan hampir meranapkan impian berkenan.


Mujur jentera BN bertindak bijak dan tepat dua hari sebelum hari pengundian iaitu menyelesaikan masalah pembayaran pampasan tanah bekas peneroka Felda Sungai Buaya dan kesediaan Projek Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bergabung kepakaran membina persimpangan bertingkat di Sungai Buaya.


Masalah pembayaran tanah itu berlanjutan sejak 1994 apabila 363 peneroka diarah berpindah untuk pembangunan, tetapi ia tergendala. Patuh kepada arahan Najib, Ketua Putera Umno yang juga Ketua Umno Bahagian Baling, Datuk Abdul Azeez Rahim bertindak menjadi orang tengah dan membawa syarikat Idiqa Holding Sdn Bhd membeli tanah seluas 1,621 ekar (648 hektar) itu.

Secara serta-merta, seramai 100 peneroka menerima RM1,000 wang tunai dan draf bank RM49,000 sebagai pendahuluan. Seramai 90 orang menerima bayaran pendahuluan itu di majlis penuh makna itu, manakala jentera BN menyentuh hati masyarakat dengan mengunjungi rumah 10 lagi peneroka yang sudah uzur untuk menyampaikan wang tunai dan draf bank berkenaan.


Tidak hairanlah, penduduk Kampung Sungai Buaya dan Bandar Baru Sungai Buaya menghadiahkan 1,013 undi majoriti atau 37 peratus daripada undi majoriti dikumpul Kamalanathan.


Reaksi masyarakat Sungai Buaya itu melengkapkan kerja keras seluruh jentera BN menjelajah setiap pelosok daerah sama ada Felda atau estet, kawasan pedalaman, bandar atau bandar baru dengan prinsip bahawa setiap pengundi adalah penting dan pengundi adalah raja.


Pada sidang media selepas itu, Najib menyifatkan kejayaan BN merampas semula kerusi berkenaan sebagai peralihan besar sokongan rakyat kepada BN dan kemenangan itu membawa erti amat besar kerana bertanding di negeri yang dikuasai pakatan pembangkang.


Ketika ditanya mengenai kebanyakan peti undi di kawasan Cina yang tidak menyokong BN, Najib berkata, beliau akan membuat analisis mengenai keputusan berkenaan dan enggan membuat kesimpulan dengan cepat.


“Kita kena kaji dengan lebih mendalam walaupun kebanyakan peti undi di kawasan Cina kita (BN) kalah, tetapi berdasarkan kepada permulaan kempen sehingga hari penghabisan, saya percaya sudah berlaku peningkatan.


“Saya cukup puas hati dengan prestasi kali ini, saya percaya dalam pilihan raya akan datang majoriti kita akan bertambah, yang penting bagi saya bukan kemenangan saja, tetapi kelangsungan kawasan ini terus kekal dalam tangan BN,”
katanya.


Komposisi kaum di Hulu Selangor sendiri melambangkan 1Malaysia dengan mempunyai 53 peratus kaum Melayu, 26 peratus kaum Cina dan 19 peratus kaum India.


Di pihak pembangkang pula, Zaid tertekan dengan isu peribadinya sejak peringkat awal kempen, umpamanya dakwaan dirinya seorang kaki botol dan pengakuannya memiliki seekor kuda lumba yang diberi nama Kelantan iaitu negeri kelahirannya.


Malah, ketika masyarakat sekitar Sungai Buaya menunaikan solat Jumaat bersama pemimpin negara sebelum soal tanah dan pembinaan persimpangan bertingkat itu diselesaikan, berlaku kejadian ‘aneh’ di sebuah masjid di Bukit Sentosa.


Akibat terlalu asyik menyampaikan khutbah berbaur politik, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Ali terlupa membaca selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w iaitu rukun khutbah menyebabkan jemaah terpaksa melakukan solat Zuhur.


Manakala keesokannya, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mengeluarkan kenyataan menyanggah arahan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya masjid dan surau di Selangor tidak dijadikan gelanggang untuk berpolitik atau tempat mengadakan demonstrasi negatif.


Amat tidak wajar orang luar mempertikaikan arahan institusi kesultanan Selangor dan sudah pasti, ramai pengundi terutama kelompok atas pagar yang juga anak watan, terguris dengan kenyataan Nik Aziz itu.


Justeru, semalam muncul dengan gelombang baru rakyat Hulu Selangor, BN mula meneruskan misi mengotakan janji pilihan raya dan kempen mereka.


Biarpun penat berperang, Kamalanathan dan Azeez muncul di sebuah pejabat di Jalan Besar Sungai Buaya, tengah hari semalam untuk melunaskan bayaran pendahuluan berjumlah RM50,000 seorang kepada baki 263 pemilik dan waris bekas peneroka Sungai Buaya itu.


Selepas ini, Kamalanathan yang memilih Sungai Buaya sebagai kampung angkatnya, akan bertemu pengundi di beberapa kawasan lain untuk mengumpul maklumat mengenai janji dan projek pilihan raya sebelum menjadi orang tengah supaya ia dipercepatkan kerana kini masanya untuk dia bekerja memikul amanah dan kepercayaan masyarakat.


Namun, amat rugi bagi mereka yang tidak keluar mengundi atau belum mendaftar sebagai pemilih walaupun sudah layak, kerana mereka umpama warga asing yang tidak dapat menunaikan hak di sebuah negara merdeka ini.


Atau mungkin mereka boleh diumpamakan sebagai orang tidak berpuasa yang tiada langsung kenikmatan dan keghairahan menanti hadirnya waktu Maghrib yakni berbuka puasa.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda_ManapergiundiAhLan_/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...