Saturday, May 8, 2010

Nana perdaya kami

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my
2010/05/07

KUALA LUMPUR: Dengan tutur kata lembut dan penampilan ahli perniagaan berjaya, seorang wanita ligat memperdayakan orang ramai menerusi pelaburan penternakan ikan keli dan lintah di kawasan Hulu Langat.

Wanita yang hanya dikenali sebagai Nana berusia 30-an licik mempengaruhi orang ramai terutama kakitangan kerajaan membuat pelaburan kononnya mampu mendapat keuntungan lumayan sebelum ghaib selepas melesapkan sejumlah wang milik mangsa.


Dia dikatakan menawarkan kolam untuk disewa manakala bekalan benih, penjagaan serta pemasaran diuruskannya pada masa sama mengikis duit mangsa dengan pelbagai alasan sebagai modal di kolam rakan serta adik angkatnya.


Setakat ini, wanita itu didakwa memperdayakan ramai mangsa dan sering berpindah kolam di sekitar Hulu Langat apabila penipuannya terbongkar.


Seorang mangsa, Saiful Bahri Mohammad Yusof, 38, berkata dia dan isteri, Hamizah Osman, 42, kehilangan simpanan hampir RM50,000 diperdaya wanita itu.


“Kami diperkenalkan dengan Nana sekitar Mac 2008, menerusi seorang jiran kononnya boleh membantu mencari wang tambahan selepas isteri saya berminat dalam bidang penternakan ayam kampung.


“Nana mempengaruhi kami melabur di kolam lintah dan keli kerana ia lebih menguntungkan berbanding ternakan ayam menyebabkan kami bersetuju,”
katanya ditemui di sini, semalam.


Menurutnya, mulanya mereka hanya mahu menternak lintah di kolam di Kampung Kuala Pangsun dan membelanjakan hampir RM15,000 termasuk membeli benih, makanan serta upah pekerja.


“Nana memberi jaminan lintah boleh dijual selepas tiga bulan tetapi sehingga enam bulan belum ada hasil, malah kolam kami mulanya kelihatan banyak telur tiba-tiba hampir kosong,” katanya.

“Dengan alasan menunggu benih membesar, kami dipengaruhi menyewa kolam keli pula kononnya ikan itu boleh dijual selepas tempoh 90 hari dan menawarkan pembelian anak ikan saiz empat inci,” katanya yang membuat tiga laporan polis Saiful Bahri berkata, selepas menyewa kolam pada 25 Mei 2009, dia bersetuju membeli 113,000 anak ikan tetapi saiz diberikan terlalu kecil iaitu kurang seinci.


“Tidak sampai hari ke-40, saya membelanjakan kira-kira RM12,000 membeli makanan tetapi rasa pelik kerana palet dibeli terlalu cepat habis misalnya apabila saya menghantar 30 beg palet, dalam tempoh beberapa hari separuh hilang.


“Nana juga kerap meminta wang dengan alasan membaiki pam air dan apabila kami bertanya, dia mula mengugut ikan kami akan mati kerana mempertikaikannya dan akhirnya perkara sebenar terbongkar apabila saya nampak pekerja diupah mencuri beg palet kami dan digunakan di kolam rakannya di situ,” katanya.


Dia berkata, usaha mendapatkan kembali ganti rugi palet itu bagaimanapun gagal selepas Nana berdolak-dalik dan ghaib “Kami mendapatkan khidmat penyiasat persendirian selain memohon bantuan Presiden Kebangsaan Pertubuhan Sukarelawan Seni, Kebudayaan, Sosial dan Pendidikan India Malaysia (PSKSP), Dr N Thanasegeran mengesan Nana dan menemuinya penghujung tahun lalu,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Nanaperdayakami/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...