Saturday, May 8, 2010

'Tidak amanah jika zalimi isteri'

2010/05/08

KUALA LUMPUR: Isteri perlu dilindungi daripada segala macam kemudaratan, malah kaum hawa itu berhak mendapatkan keselesaan hidup daripada suami, bukannya boleh diperlakukan sesuka hati sehingga mendatangkan kecederaan.

Peguam Syarie, Datuk Zaidi Zain berkata, setiap pasangan suami isteri mempunyai hak dan tanggungjawab masing-masing dan antara hak isteri ialah mendapat ketenangan hidup dan jaminan keselamatan bersama suami.


Menurutnya, sebagai ketua dan pemimpin rumah tangga, suami sepatutnya melindungi isteri daripada semua jenis kemudaratan, dari segala aspek fizikal mahupun spiritual.


“Jika suami melakukan kezaliman terhadap isteri, bererti dia sudah tidak amanah dalam menjaga isteri, malah berdepan dengan akibat dan hukuman daripada perlakuannya itu.


“Kemudaratan terhadap isteri, dengan apa cara dan alasan sekalipun, adalah tidak dibenarkan sama sekali,”
katanya ketika diminta mengulas laporan muka depan Harian Metro kelmarin, mengenai nasib seorang wanita berusia 33 tahun yang patah kaki akibat dipijak suami.


Suami mangsa yang berusia 51 tahun itu dikatakan bertindak kejam memijak kaki wanita terbabit dengan but sehingga patah, malah turut menghantukkan kepala isterinya dengan topi keledar, menendang dan membelasahnya sekuat hati.


Dia memperlakukan isterinya sedemikian kerana geram dan gagal mengawal perasaan marah selepas menerima sepucuk surat daripada isterinya yang meminta cerai dan mengesyaki isterinya menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain. Akibat tindakan ganas suami, wanita terbabit cedera parah dan terpaksa dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB), untuk mendapatkan rawatan.

Zaidi berkata, seorang suami tidak boleh bertindak keterlaluan terhadap isteri, sebaliknya menggunakan pendekatan berhemah seperti memberi nasihat dengan baik sekiranya ada yang tidak kena berlaku pada diri isteri.

Beliau berkata, dalam kes berkaitan perceraian juga seorang suami tidak boleh bertindak bersendirian dan sesuka hati membelasah isteri hanya kerana tidak bersetuju dan tidak dapat menerima kehendak isteri.


“Suami isteri kenalah ikut undang-undang dan hukum syarak yang diguna pakai. Apabila nak tuntut cerai ikutlah cara yang betul iaitu melalui mahkamah dan kalau tak bersetuju, suami masih boleh untuk membela diri.


“Apabila sesuatu kes sebegini dirujuk kepada mahkamah, tidaklah secara automatik mahkamah memberikan apa yang diminta isteri. Sudah banyak kes sebegini dan mahkamah tidak memberikan keputusan begitu mudah,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tidakamanahjikazalimiisteri/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...