Thursday, July 15, 2010

2 lagi mungkin dijangkiti

2010/07/15

KUALA LUMPUR: Dua anggota penyelamat yang terbabit dalam operasi mencari mangsa lemas di Pusat Rekreasi Lubuk Yu, Maran, Pahang bulan lalu, mungkin menjadi kes terbaru jangkitan melioidiosis dan leptospirosis.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, mereka yang terdiri daripada penyelamat awam dan sukarelawan operasi berkenaan dimasukkan ke Hospital Selayang di sini dan berada dalam keadaan stabil.


Beliau berkata, sehingga hari ini, jumlah mereka yang masih berada di hospital ialah enam orang termasuk satu kes di unit rawatan rapi dan dua lagi dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.


“Ujian makmal ke atas sampel air mengesahkan kehadiran bakteria leptospira.


Sementara itu, aktiviti saringan yang dijalankan di kawasan kampung berdekatan tempat kejadian mengesan enam penduduk kampung yang demam dan semua mereka dimasukkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.


Bagaimanapun, Dr Mohd Ismail berkata semua penduduk kampung itu berada dalam keadaan stabil dan memandangkan mereka tidak terbabit dalam operasi menyelamat mangsa lemas secara langsung, risiko jangkitan wabak adalah rendah.


“Kementerian ingin menegaskan jangkitan leptospirosis dan meliodosis tidak boleh menular daripada seorang ke seorang. Oleh itu masyarakat tidak perlu panik kerana ia tidak boleh tersebar di dalam komuniti,” katanya.


Beliau berkata, jangkitan wabak berkenaan hanya terjadi apabila seseorang terdedah kepada air atau tanah yang tercemar oleh bakteria leptospira.


“Oleh itu, mereka yang menghadapi luka di kulit disaran tidak mendedahkan diri kepada air yang dikhuatiri tercemar dengan najis tikus seperti sungai di taman rekreasi,” katanya.


Orang ramai diminta menjaga kebersihan tempat berkenaan dan persekitaran rumah mereka supaya tidak menarik perhatian tikus yang boleh mencemari air dan tanah sehingga mendatangkan risiko jangkitan.


Setakat ini, wabak itu meragut nyawa enam daripada 110 penyelamat yang terbabit dalam operasi itu. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2lagimungkindijangkiti/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...