Thursday, July 15, 2010

Ditinggal teman lelaki di China

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
2010/07/15

KUALA LUMPUR: Demi cinta, seorang gadis Iban sanggup mengikut teman lelakinya yang juga warga Afrika ke China kononnya untuk menjalankan perniagaan walaupun mereka baru berkenaan melalui sebuah laman sosial.

Mangsa, Christina Anak Luke Niju, 22, dari Sandakan, Sabah dipercayai melarikan diri bersama lelaki terbabit yang dikenali sebagai James sejak awal Mei lalu.


Mangsa yang mesra dipanggil Cory yang juga seorang pelajar tahun akhir Diploma Perniagaan dari Politeknik Kuching, Sarawak, dipercayai dibawa lari ke China sebelum dikurung teman lelakinya itu berdasarkan satu pesanan e-mel yang dihantar mangsa kepada rakan sebiliknya yang dikenali sebagai Ernie.


Ibu mangsa, Elpedia Metello, 53, tidak menolak kemungkinan anak gadisnya itu terpedaya dengan janji manis lelaki terbabit kerana pernah mendengar beberapa kes seperti ini yang disiarkan media.


Menurutnya, mereka tidak pernah berselisih faham malah menyifatkan anak sulungnya daripada dua beradik itu seorang yang periang dan gemar melayari internet.


“Saya dan suami amat terkejut selepas mendapat tahu anak gadis saya sudah tidak pulang ke asramanya dan dimaklumkan kini berada China oleh rakan sebiliknya itu pada 2 Mei lalu. Sebelum melarikan diri, Cory ada menghubungi saya supaya mengirimkan surat beranak ke alamat asrama dengan alasan untuk pembelajarannya.


“Malah, anak saya juga pernah meminta wang untuk ke China kerana mahu mengikut rombongan kelasnya, namun saya tidak mengizinkan disebabkan keadaan kewangan yang tidak mencukupi,”
katanya pada sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA, di sini, semalam.


Difahamkan, James yang berusia lingkungan 20-an mula berkenalan dengan mangsa sejak awal tahun ini melalui sebuah laman sosial dan dipercayai sering berkomunikasi melalui laman sembang berkenaan sehingga membawa kepada pertemuan di ibu kota.


“Menurut Ernie, Cory dipercayai menaiki kapal terbang ke Kuala Lumpur pada 24 April untuk berjumpa dengan teman lelakinya itu yang mengaku sebagai pelajar sebuah kolej swasta di Subang, Selangor.


“Cory juga memberitahu rakannya itu yang mereka akan ke China untuk mengikuti James bagi menjalankan perniagaan bersama-sama,” katanya.


Menurutnya, dia pernah menghubungi anak gadisnya itu beberapa kali selain mendapatkan maklumat daripada rakannya namun usahanya itu gagal.

Selepas menunggu hampir seminggu, pada 6 Mei lalu, dia dan suami kemudian membuat laporan di Balai Polis Sandakan berhubung kehilangan Cory dan turut memaklumkan Wisma Putra bagi membantu menjejaki gadis itu.


“Cory dikatakan menghubungi Ernie melalui e-mel pada 10 Mei lalu dan memberitahu dia ditinggalkan James di China dan tidak mempunyai wang untuk pulang ke tanah air.


“Dia turut memaklumkan yang James ada menerima sejumlah wang yang banyak daripada individu tidak dikenali sebelum meninggalkannya kepada seorang lelaki lain,”
katanya.


Hasil maklumat itu, keluarga cuba menghubungi mangsa melalui e-mel diberikan namun gagal dan tidak dapat dikesan lagi hingga kini.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, beliau amat kesal dengan tindakan pihak berkuasa tempatan yang tidak bertindak pantas untuk menyelamatkan mangsa walaupun beberapa maklumat sudah disalurkan keluarga.


“Saya mengesyaki mangsa mungkin dijadikan keldai dadah oleh sindiket tertentu selepas dijual oleh James berdasarkan beberapa kes yang diterima sebelum ini. “Kita (MCA) akan cuba mendapatkan bantuan dan maklumat daripada Interpol untuk mengesan lokasi mangsa dan seterusnya membawa mangsa pulang ke tanah air,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/DitinggaltemanlelakidiChina/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...