Friday, September 3, 2010

Amah disyaki dera bayi ditahan

2010/09/03

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang diburu polis bagi membantu siasatan kes kematian seorang bayi berusia 15 bulan dipercayai didera, ditahan polis di Taman Melawati, Ampang, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, wanita itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari sejurus mendapat maklumat orang awam yang melihatnya di kawasan berkenaan.


Katanya, Rita Rohayati, 25, dipercayai pergi ke sebuah rumah di Jalan Permata 1, Taman Permata, untuk meminta bantuan daripada penghuni rumah berkenaan.


“Namun, penghuni rumah itu dipercayai mengecam wajah wanita berkenaan selepas membaca sebuah akhbar tempatan sebelum segera menghubungi Balai Polis Taman Melawati. Pasukan polis peronda bergegas ke rumah berkenaan dan menahan wanita itu.


“Wanita itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk siasatan lanjut berhubung kejadian itu,”
katanya.


Difahamkan, suspek yang berasal dari Majalengka, Jawa Barat menghilangkan diri sejurus mengetahui kematian bayi itu di sebuah pusat perubatan swasta di Pusat Bandar Puchong, kira-kira jam 4.43 petang, Jumaat lalu.


Terdahulu, polis menerima maklumat berhubung kematian Tan Jin Yong daripada seorang kakitangan pusat perubatan berkenaan yang menghubungi polis. Doktor mengesahkan bayi itu sudah meninggal dunia dan mendapati terdapat kesan dera pada mangsa.


Menurutnya, sebaik saja mengetahui bayi itu meninggal dunia, suspek yang bekerja dengan keluarga terbabit sejak setahun lalu menghilangkan diri. Bayi itu dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat sebelum laporan bedah siasat mengesahkan mangsa mati akibat didera.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Amahdisyakiderabayiditahan/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...