Friday, September 3, 2010

Lelaki diperintah ke Hospital Bahagia

2010/09/03

KLANG: Seorang penganggur yang menikam anggota polis di sebuah kedai makan, dekat sini, Mac lalu, diperintahkan Mahkamah Sesyen, semalam, untuk dihantar ke Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak.

Hakim Yong Zarida Sazali membuat perintah itu terhadap Tan Liok Chong selepas berpuas hati tertuduh berada dalam keadaan tidak waras ketika melakukan perbuatan itu. Yong Zarida berkata, mahkamah juga memerintahkan Tan ditahan di hospital berkenaan sehingga mendapat perkenan daripada Sultan Selangor untuk dibebaskan. “Adalah tidak wajar tertuduh disabitkan dengan pertuduhan itu kerana dia menghidap penyakit mental,” kata Yong Zarida selepas meneliti laporan perbuatan tertuduh.


Mengikut pertuduhan, Tan didakwa menikam Koperal Hasnor Hadi Zainal dengan menggunakan sebilah pisau yang boleh menyebabkan kematian atau kecederaan parah terhadap mangsa. Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 2 pagi, 27 Mac lalu di sebuah kedai makan di Batu 15, Jalan Klang-Banting, dekat sini.


Tan didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Noorbaya Jamil da Aimi Syazwani Sarmin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/LelakidiperintahkeHospitalBahagia/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...