Thursday, September 23, 2010

Nasib ditentukan bulan depan

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

2010/09/23


KUALA LUMPUR: Nasib seorang bekas pegawai kanan polis berpangkat Asisten Komisioner (ACP) yang didakwa merogol seorang gadis terencat akal di sebuah bilik stor kedai runcit, tujuh tahun lalu akan diketahui 29 Oktober ini apabila Mahkamah Tinggi di sini, membuat keputusannya.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan selesai memberikan hujah masing-masing dalam rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan tertuduh, Matsusah Sadikin daripada tuduhan itu di akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan, Matsusah, 68, yang juga bekas pegawai kanan polis Cawangan Khas Bukit Aman, dituduh melakukan kesalahan itu di bilik stor kedai runcit di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru di sini, antara jam 4 petang hingga jam 7 malam antara 1 Oktober hingga 31 Oktober 2003.

Tertuduh didakwa mengikut Sesyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau sebatan atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.


Sementara itu, pada prosiding semalam, Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azura Zainal Abidin berhujah walaupun mangsa menyukai seks dan merelakannya namun disebabkan keadaan mentalnya kurang sempurna, dia tidak menyedari kesan dan akibat perbuatannya itu.


Tambah Aidatul pakar psikologi dalam keterangannya ketika perbicaraan utama sebelum ini menyatakan mangsa yang ketika kejadian berusia 23 tahun adalah terencat akal yang mempunyai pembelajaran tahap rendah ditambah dengan keterangan kakak mangsa bahawa adiknya itu sukar memahami percakapan orang lain kecuali diterangkan dalam bahasa yang mudah.

Bagaimanapun, peguam Mohd Rafie Mohd Shafie yang mewakili Matsusah berhujah Hakim Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf dalam membuat keputusan itu.


“Hakim (Mahkamah Sesyen) dalam penghakimannya mendapati mangsa mampu membuat keputusan dan pilihan sama ada membenar atau merelakan hubungan seks dengan tertuduh.


“Mangsa juga dapat menjawab soalan yang dikemukakan dengan jelas dan baik ketika memberikan keterangannya di mahkamah,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Nasibditentukanbulandepan/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...