Thursday, October 7, 2010

Dua samun pelajar dijel 28 bulan

2010/10/07

KUALA LUMPUR: Seorang pelayan sambilan dan penganggur dikenakan hukuman 28 bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menyamun seorang pelajar pada Disember tahun lalu.

Hakim Zainal Abidin Kamarudin menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Nasir Satapa, 36, dan Sayed Zukinai Sayed Ab Aziz, 43, menukar pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.


Zainal Abidin memerintahkan hukuman penjara itu berjalan dari tarikh kedua-dua tertuduh ditangkap iaitu pada 8 Disember 2009.


Mengikut pertuduhan mereka didakwa menyamun beg sandang warna hitam berisi dompet yang mengandungi kad pengenalan, cukai jalan motosikal, wang tunai RM500, pengecas telefon bimbit dan satu telefon bimbit jenis Sony Ericcson milik Abdul Aziz Mahmud, 19.


Kesalahan dilakukan di Jalan Segambut, Jinjang, di sini, pada jam 7 malam, 5 Disember 2009.


Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman sehingga 20 tahun penjara dan sebat, jika sabit kesalahan.


Mengikut fakta kes, mangsa disamun ketika sedang berjalan di Jalan Segambut Bahagia. Secara tiba-tiba, dia didatangi sebuah kereta jenis Gen. 2 warna merah yang dinaiki kedua-dua tertuduh.


Salah seorang tertuduh turun dari kereta itu dan menarik beg sandang milik mangsa sebelum melarikan diri dengan kereta itu. Kawan pengadu kemudian bertindak mengejar kereta tersebut sehingga berjaya menangkap tertuduh di Jalan Kuching sebelum dibawa ke balai polis.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ashiqin Zulkifli.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Duasamunpelajardijel28bulan/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...