Thursday, October 7, 2010

Pijak perut isteri

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

2010/10/07

KUALA LUMPUR: Tidak tahan mendengar leteran isterinya selepas tidak pulang ke rumah sejak dua bulan lalu, seorang suami berusia 30 tahun membelasah isterinya selain memijak perut wanita terbabit yang sedang mengandungkan enam bulan, kelmarin.

Difahamkan, lelaki berkenaan hilang kawalan selepas mangsa yang berusia 26 tahun menuduhnya sudah berkahwin lain sehinggakan mengabaikan kebajikannya.


Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, di sebuah rumah di Cheras, di sini, suspek menampar dan mencekik isterinya itu selepas tidak tahan mendengar leterannya.


Menurut sumber, mangsa yang cuba mempertahankan dirinya bertindak melawan suaminya hingga menambahkan lagi kemarahan suspek.


“Suspek kemudian menampar mangsa sehingga terjatuh. Sebaik terjatuh, suspek terus memijak perut mangsa walaupun menyedari wanita berkenaan sedang mengandungkan anak sulung mereka,” katanya.


Beliau berkata, akibat terlalu sakit, mangsa merayu agar dikasihani.


“Namun, suspek yang bagaikan sudah dirasuk syaitan itu terus menendang dan memukul mangsa.


“Wanita malang itu bagaimanapun bernasib baik apabila adik mangsa berusia 20-an yang juga tinggal di rumah berkenaan menghalang suspek daripada bertindak lebih ganas,” katanya.


Sumber berkata, tersentak dengan campur tangan adik iparnya itu, suspek meninggalkan rumah.


“Mangsa kemudian dibawa ke klinik swasta berhampiran kediaman mereka selepas mengalami pendarahan,” katanya.


Difahamkan, kandungan wanita berkenaan masih baik, namun mangsa dinasihatkan supaya berhati-hati.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Cheras, di sini, berhubung kejadian berkenaan untuk siasatan dan tindakan lanjut.


Difahamkan, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pijakperutisteri/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...