|    | Nov 12, 10 3:13pm 
 Seorang ahli MCA hari ini membuat laporan polis supaya menyiasat kemungkinan  berlaku pecah amanah oleh pemimpin parti itu berhubung pembelian 42.4 peratus  saham dalam Star Publications (M) Sdn Bhd oleh badan  pelaburannya.
 
 Laporan polis itu dibuat oleh naib pengerusi MCA cawangan  Bukit Pasar, Hui Huat di balai polis Seremban semalam.
 
 Dalam laporannya, Hui mendakwa  amalan MCA memiliki saham berkenaan daripada badan pelaburannya, Huaren  Holdings, adalah bercanggah dengan perlembagaan parti.
 
 “Pemindahan saham  ini tidak mendapat kebenaran mesyuarat agung khas (EGM) MCA. Pembelian dan  pemindahan saham adalah di atas arahan majlis presiden. Tetapi mengikut Artikel  47, Perlembagaan MCA, majlis presiden tiada kuasa membuat keputusan pembelian,”  laporan polis itu dipetik.
 
 Katanya, pembelian itu juga tidak mendapat  pengesahan Jawatankuasa Pusat MCA, seperti yang disyaratkan oleh Artikel 45.9  perlembagaan parti berkenaan.
 
 “Oleh hal demikian, pembelian ini  adalah satu penyelewengan kuasa yang tidak dibenarkan di bawah Perlembagaan MCA.  Transaki pembelian saham ini adalah void ad initio dan satu tindakan  pecah amanah terhadap ahli-ahli MCA,” katanya lagi dalam laporan  itu.
 
 Menurut Hui, keputusan parti memiliki saham daripada Huaren Holdings  yang dimiliki sepenuhnya oleh parti itu sebenarnya adalah tindakan yang tidak  diperlukan dan sehubungan itu, mencurigakan.
 
 Katanya, kegagalan  mengadakan EGM bagi membahaskan perkara itu, juga melanggar tanggungjawab  fidusiari.
 
 Ketika dihubungi untuk ulasan lanjut, Hui berkata parti itu  berdepan dengan 'precedence' di mana pembelian besar perlu melalui kelulusan  perhimpunan agung parti.
 
 “Semasa zaman (bekas presiden Tun  Dr) Ling Liong Sik (pertama dari kiri), EGM diadakan sebelum parti  membeli kumpulan penerbitan Nanyang. Tetapi kali ini tidak,” katanya.
 
 Hui  juga berkata beliau akan membuat aduan yang sama kepada Pendaftar Pertubuhan  kerana ia membabitkan perlembagaan parti.
 
 Pada 5 November lalu, MCA  mengesahkan ia memindahkan 313,315,769 saham bernilai RM1 seunit Star Publishing  daripada Huaren Holdings kepada parti itu, pada nilai pasaran lebih kurang RM1.3  bilion.
 
 http://malaysiakini.com/news/148029
 |  | 
No comments:
Post a Comment