KUALA LUMPUR, 12 Nov: Rakyat sekali lagi sedang memerhati  apakah akan ada sebarang tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  terhadap pesalah 'jerung' seperti yang didedahkan Ketua Audit Negara dalam  laporan audit 2009 baru-baru ini.
Bagi PAS, mereka mahu SPRM berani  berani bertindak khususnya terhadap 15 kes penyelewengan termasuk di Kementerian  Pertahanan yang melibatkan sejumlah RM310,000 wang rakyat digunakan untuk  persiapan bilik VVIP.
Ianya termasuk kos set lampu (chandelier) RM10 000,  home theatre RM12,000, kertas dinding (wallpaper) RM95,800 dan set sofa  RM13,000."Setiap kali laporan audit  dikeluarkan menyebabkan rakyat yang prihatin sesak dada kerana memikirkan  bagaimana wang negara dibelanjakan semacam harta emak bapa mereka, tanpa  memikirkan rakyat yang masih ramai menderita.
"Kita tentu masih ingat  bagaimana Pendedahan yang dipetik dari Laporan Ketua Audit Negara 2006 tentang  perbedaan ketara harga pasaran dengan harga yang dibayar untuk beberapa  peralatan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), kata Ketua Penerangan PAS,  Idris Ahmad.
Tambahnya, ramai terkejut bagaimana harga set screw driver  boleh menjadi RM224.94 sedangkan harga pasaran hanya RM40, harga kamera digital  kodak melonjak kepada RM8,254.29 (harga pasaran RM2,990), set pasu plastik  RM42.80 (harga pasaran RM5.20), set tea 6 kerusi RM9,075 (harga pasaran RM1,500)  dan 2 tonne jack RM5,741.69 (harga pasaran RM50).
Lebih menarik lagi  katanya apabila pihak audit tahun 2006 tidak dapat mengesahkan 14 bayaran  kemajuan 6 buah kapal peronda (Petrol Vessel – PV) Tentera Laut Diraja Malaysia  yang berjumlah RM943.46 juta kepada kontraktor bagi tempoh Disember 1999 hingga  Januari 2002 disebabkan baucer bayaran dan dokumen sokongan yang berkenaan telah  hilang daripada simpanan Kementerian Pertahanan.
"Kos membina 6 buah PV  ini ialah RM5.35 bilion. Baucer yang hilang bukan bernilai RM10, tetapi hampir  RM1 bilion. Jika pegawai kerajaan yang buat tuntutan tol sebanyak RM 3 pun  perlukan dokumen, tiba-tiba wang rakyat sebanyak RM 1 bilion diberi kepada  kontraktor tanpa dokumen. Apa sudah jadi dengan negara kita?,"  soalnya.
"Apa makna laporan audit yang saban tahun melaporkan cukup baik,  malangnya yang memimpin negara tidak sensitif untuk memperbaiki penyelewengan,"  tambahnya lagi.
Pada laporan audit negara 2008 juga melaporkan berlaku  ketirisan sebanyak RM 28 bilion.
Sehubungan itu, PAS tegasnya  mengharapkan SPRM bertegas dan mengheret mereka yang bertanggungjawab atas  kewangan awam mesti ke muka pengadilan, termasuklah jerung yang bertaraf  menteri. 
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29443:pas-harap-sprm-berani-tangkap-jerung&catid=1:utama&Itemid=50
 
 
No comments:
Post a Comment