OLEH: DR AMINUDIN MANSOR
Fenomena bentuk hiburan semakin berubah.  Manusia mula menggemari cerita seram, menakutkan dan cerita-cerita hantu.  Permintaan kepada cerita seumpama ini dalam kalangan orang ramai sangat  menggalakkan.
Pembikin drama dan filem mula mengalih arah dengan  mengeluarkan pelbagai cerita seram dan hantu seperti Hantu Kak Limah Balik,  Nyangkung, Saka Jentayu, Nyiang Rapik, Ningsun, Ceplos, Skrip 7707, Jangan  Pandang Belakang Congkak, Janin dan sebagainya.
Filem dan drama ini ada  unsur-unsur menakutkan, menyeramkan, suspens, kejutan dan sedikit lawak. 
Bentuk hiburan baru ini mempengaruhi kebanyakan penonton Melayu yang  gemar dengan unsur-unsur tahyul.
Apa yang dipersoalkan adalah sebanyak  mana nilai pendidikan dan nilai murni terdapat dalam filem dan drama tersebut.  Para penerbit dan juga pengeluar filem jangan hanya memikirkan keuntungan  semata-mata tetapi mestilah juga memikirkan akibat daripada tayangan tersebut  kepada penonton khususnya kanak-kanak.
Di sekolah, dalam Komponen Sastera  (Komsas) terdapat bahan pengajaran seperti cerpen, drama, novel dan juga cerita  klasik yang banyak memaparkan pengajaran dan nilai-nilai murni. Tetapi di luar  khususnya di televisyen dan filem 80 peratus cerita mengandungi unsur seram dan  tahyul.
Tidak salah menayangkan drama dan filem yang mengandungi unsur  seram dan tahyul, tetapi ia biarlah berlandaskan Islam iaitu membawa pengajaran  dan kesedaran kepada mereka yang terpengaruh kepada unsur tersebut.
Drama  dan filem biarlah menjadi medium mendidik dan mengajar masyarakat ke arah  kemajuan. Jangan hanya berlegar dalam kepompong seram, tahyul, dan akhirnya  boleh membawa kepada syirik.
Hiburan dan kesenian dalam Islam ada  batasnya, para pembikin drama dan filem mestilah bertanggungjawab terutama dalam  penulisan skrip.
Elakkan daripada perkara-perkara yang boleh membawa kepercayaan penonton  kepada syirik.
Dalam drama dan filem yang berunsur seram selitkan akidah,  ibadat dan akhlak dengan pendekatan Islam supaya memberi petunjuk kepada manusia  khususnya umat Islam yang menonton sesebuah filem yang ditujukan khususnya  kepada oran Melayu yang beragama Islam.
Hiburan dan kesenian dalam Islam  mestilah ada unsur-unsur mendidik, mengajar, memberi pedoman, dengan batas  akhlak yang digariskan.
Islam melarang keras umatnya melakukan syirik  dan menyembah selain daripada Allah, di mana manusia meyakini bahawa ada yang  bersekutu dengan Allah dalam mengatur urusan kehidupan alam.
Drama dan  filem juga mestilah mengelakkan unsur-unsur lucah, seks dan nilai-nilai yang  tidak baik. 
Aspek nilai-nilai kebaikan, pengajaran dan teladan mestilah  yang dapat membantu masyarakat yang membangun ke arah negara  maju.
Penulis mantan pendidik, pengamal media. PhD Persuratan Melayu,  UKM.
http://www.sinarharian.com.my/SH/com/content/story8552053.asp
 
 
No comments:
Post a Comment