Mac 13, 11
9:19pm
Jelas, penahanan kitab suci Krisitian itu tidak diambil kira dalam skrip yang digubal oleh syarikat- yarikat perunding seperti Apco dan Mckinsey untuk “menjual” Najib sebagai berjiwa Malaysia dan pelindung hak penganut semua agama.
Jika skrip itu, yang disusun teliti dengan upah yang lumayan, dituruti tanpa rintangan, maka Najib dan BN sudah lama mencapai matlamat menjadikan konsep 1Malaysia senjata politik paling berkesan untuk meraih semula kepercayaan rakyat.
Ini kerana semua lapisan masyarakat, Melayu dan bukan Melayu, menerima kesan buruk sekian lama daripada dasar- dasar Umno-BN yang akhirnya hanya memperkayakan ahli kerabat pemimpin dan sahabat handai mereka.
Manusia merancang namun Tuhan menentukan...setiap kali Najib dilihat maju satu, dua langkah ke depan dalam perang untuk menawan hati rakyat, timbul pendedahan yang membongkar tembelang kepimpinan sebenar beliau.
Penahanan 30,000 naskhah alkitab Injil di Pelabuhan Kuching sejak awal tahun ini dan 5,000 lagi di Pelabuhan Kelang sejak 2009 semata- mata kerana ia berbahasa Melayu menempelak gagasan 1Malaysia dan kebebasan beragama yang dijamin di bawah Perlembagaan.
Pejabat Perdana Menteri membisu seribu satu bahasa. Begitu juga dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein.
Turut bungkam adalah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini tidak pernah melepaskan peluang untuk membidas Pakatan Rakyat walaupun berada di luar negara.
Terus bungkam
Namun, seperti Najib dan Hishamuddin, beliau juga membisu seribu bahasa atas isu yang melibatkan kepentingan awam, khususnya masyarakat Kristian.
Mungkinkah sikap bungkam “pejuang-pejuang' ini kerana masih “mencongak” kelebihan atau dividen politik yang bakal diperolehi sekiranya sesuatu keputusan diambil?
Dalam maksud lain, nampaknya pendekatan yang diguna-pakai Najib serta Umno-BN pimpinannya, yang menjadi paksi kepada keputusan adalah bukan apa yang wajar tetapi apa yang boleh mendatangkan kelebihan dari sudut kertas undi.
Sekian lama, kerajaan Umno-BN menjadikan aspek ini asas dalam segala pertimbangannya. Lebih-lebih lagi kerajaan sekarang.
Oleh kerana bimbang sokongan akan merudum, sama ada dari orang Melayu mahupun bukan Melayu, maka Umno-BN mencari pelbagai helah untuk menunda merungkai isu- isu yang membabitkan kepentingan rakyat.
Akibat terjebak dalam politik perkauman, Umno-BN memastikan isu penggunaan kalimah Allah oleh penerbitan Kristian terus dibelit birokrasi mahkamah walaupun sudah lama berlarutan.
Media arus perdana pula diperalatkan untuk menutup arahan pegawai khas perdana menteri supaya tidak ada nyanyian lagu suci atau simbol nabi Isa ketika perdana menteri menghadiri majlis rumah terbuka Hari Natal tahun lalu.
Lesen judi
Lesen perjudian baru dikatakan dikeluarkan kepada syarikat milik seorang jutawan Cina tetapi kemudian ditarik balik selepas rakyat beragama Islam dan bukan Islam sama-sama membantah tindakan itu.
Sekali lagi soal sokongan politik menjadi asas pertimbangan proses membuat keputusan, bukannya halal haram judi atau pun kesan amalan itu ke atas masyarakat.
Pada masa sama, untuk mengimbangi pemberian ratusan ribu sijil kewarganegaraan kepada penduduk Cina dan India, perdana menteri memupuk hubungan dengan pertubuhan bukan kerajaan Melayu tegar seperti PERKASA.
Politik perkauman sempit dimainkan menerusi PERKASA dan Datuk Ibrahim Ali serta satu lagi senjata yang masih bisa iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.
Semuanya untuk memastikan Umno terus didukong sebagai pelindung agama Islam, institusi Raja dan pejuang hak-hak keistimewaan orang Melayu.
Strategi ini dilaksanakan secara licik – ibarat lontar batu, sembunyi tangan.
Masyarakat umum yang bergantung kepada media arus perdana semata- mata pula ibarat tangan kanan yang tidak tahu perlakuan tangan kiri iaitu Umno-BN.
Strategi ini amat berbahaya dan tidak menghairankan, ketegangan kaum semakin dirasai. Kecurigaan dan prasangka antara kaum ini adalah terjemahan program- program tajaan Najib yang berselindung di sebalik topeng 1Malaysia.
Apabila berita penahanan alkitab Injil, arahan-arahan pegawai perdana menteri kepada gereja, kenyataan rasis Menteri Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar (hanya beberapa contoh) dilaporkan menerusi portal- portal berita di Internet, skrip yang digubal begitu teliti oleh Apco dan Mckinsey mula kelihatan rapuh dan tidak lebih daripada gimik politik.
Politik perkauman yang mewarnai pemerintahan Umno-BN masih dan amat menebal sekali di jiwa Perdana Menteri Najib Razak dan menteri- menteri Umno.
http://malaysiakini.com/columns/158516
No comments:
Post a Comment