Thursday, March 17, 2011

Mufti S'gor larang Injil guna kalimah Allah diedar

Mufti S'gor larang Injil guna kalimah Allah diedar
Mac 17, 11 9:45am

Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abd Wahid berkata 5,000 naskah kitab Injil berbahasa Melayu akan dilarang pengedaran di negeri itu kerana ia tertakluk kepada Enakmen Islam Selangor bersabit penggunaan kalimah Allah di dalam kitab suci Kristian itu, lapor Tv Selangor.

NONETamyes sekali gus mengesahkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz bahawa tindakan kerajaan memansuhkan penahanan naskah Kitab Injil berbahasa Melayu tidak sah di sisi undang-undang syariah di Selangor.

Mufti Selangor itu berkata kebimbangan utama pihaknya terhadap arahan kerajaan pusat menarik balik penahanan itu adalah kesannya ke atas generasi muda umat Islam.

"Saya tetap berpandangan bahawa memang sewajarnya (pengedaran kitab Injil itu) dihalang, kerana terjemahannya mengandungi kalimah God yang diterjemahkan kepada Allah (dan) ini adalah bahaya dan mengelirukan kepada anak-anak muda khususnya," katanya kepada Tv Selangor.

Sepuluh negeri kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan mempunyai undang-undang syariah yang menghalang penggunaan kalimah “Allah” sama ada secara lisan ataupun bertulis.

Selain 5,000 naskah di Pelabuhan Kelang, penahanan 30,000 naskah Kitab Injil yang sama di Kuching turut ditarik balik, mengikut pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Jala petang Selasa lalu.

Kenyataan bercanggah

NONEKenyataan Nazri dan Tamyes bersabit pengedaran Kitab Injil itu dijangka menambah kemelut susulan kenyataan-kenyataan yang bercanggah oleh Kementerian Dalam Negeri dan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersabit isu itu.

Tamyes sendiri melahirkan rasa kesal kerana tidak ada penyelarasan dalam menangani isu kitab-kitab Injil berbahasa Melayu yang diimport dari Indonesia itu.

"Sepatutnya kita ni kalau nak buat keputusan biarlah ada persepakatan, kenapa pula seorang mengatakan boleh seorang mengatakan tidak," katanya.

Ahad lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengeluarkan kenyataan mendakwa pihaknya menunggu keputusan Peguam Negara sama ada penahanan 35,000 Kitab Injil di Pelabuhan Kuching dan Pelabuhan Klang boleh ditarik balik.

Menurut Hishamuddin, keputusan itu berkait dengan kes penggunaan kalimah Allah yang masih belum dibicarakan di Mahkamah Rayuan yang berlarutan sejak 2010.

Namun pada pagi Selasa, Muhyiddin berkata isu itu akan dibincangkan pada mesyuarat mingguan Kabinet esok. Katanya, Menteri harus membincangkan perkara itu sebelum sebarang keputusan dibuat.

Syarat KDN satu penghinaan

Ironinya, sebelah petang hari sama Idris Jala mengumumkan kesemua 35,000 naskah yang ditahan di Pelabuhan Kelang (sejak 2009) dan Pelabuhan Kuching (sejak Januari 2011) akan dibenarkan masuk ke negara ini.

Bagaimanapun KDN meletakkan dua syarat iaitu setiap naskah kitab suci itu harus mempunyai nombor bersiri dan cop "Hanya Untuk Penganut Kristian" sebelum dibenarkan pengedaran dan mesti bersertakan nombor siri.

sibu by election 090510 sibu churchSyarat itu, bagaimanapun ditolak oleh pihak gereja di Sarawak yang melihatnya sebagai satu penghinaan terhadap kesucian agama Kristian dan kekangan terhadap kerja-kerja dakwah yang dijalankan oleh gerakan mubaligh.

Paderi Goodnews Church, Jefferey Wei ketika dihubungi Tv Selangor menegaskan penganut Kristian tidak dapat menerima perkara yang merendahkan martabat kitab suci mereka.

“Saya rasa jika kita letak nombor siri dan cop atas Kitab Injil ini, kita seperti mencemarkan kitab suci kami dan menghina kedudukannya. Ia menjadikan seolah-olah seseorang yang memiliki kitab ini melakukan satu jenayah. Tiada penganut Kristian akan menerima perkara ini,” katanya.


http://malaysiakini.com/news/158853

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...