Sunday, March 13, 2011

Hanya berdoa

Oleh HADZLAN HASSAN dan SHAMRAN SARAHAN
metahad@hmetro.com.my

LONGGOK... kesan tsunami di Miyagi, Jepun utara.
LONGGOK... kesan tsunami di Miyagi, Jepun utara.

KUALA LUMPUR: “Saya hanya mampu berdoa... kemudian mencapai helmet (topi keselamatan) dan bersembunyi di bawah meja (di pejabat),” kata Muhammad Zulfahmi Samsudin, 28, menceritakan detik cemas ketika berdepan gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter yang melanda Jepun, kelmarin.

Ketika bencana alam itu berlaku, Zulfahmi melakukan rutin sebagai jurutera di syarikat gergasi, Kumpulan Fuji Elektrik yang terletak di Kawasaki, Jepun, iaitu kira-kira 400 kilometer dari lokasi terjejas teruk.


“Mulanya, saya ingatkan ia hanya gempa bumi biasa. Di Jepun, gempa bumi biasa hanya berlaku dalam tempoh kurang 20 saat, namun gegaran yang berlaku lebih daripada satu minit ketika gempa berlaku kelmarin dan (gegaran) terus berlanjutan membuatkan kami (rakan sekerja) panik.

“Fail di rak meja dan komputer jatuh akibat gegaran itu. Saya hilang punca seketika dan mula teringat keluarga di Malaysia, terutama isteri (Wan Hakimah Wan Ibrahim, 27) dan anak (Nurhannah, 5 bulan), di bibir saya tidak habis-habis berdoa untuk keselamatan diri,” katanya ketika dihubungi semalam.


Zulfahmi tidak menafikan ketika gempa berlaku dia sangat takut kerana ketika itu di berada di tingkat enam pejabat.


“Sukar membayangkan perasaan ketika itu, gegaran sungguh kuat. Saya sangat berharap gegaran itu berhenti secepat mungkin,” katanya.

Selepas kejadian, Zulfahmi berkata, bandar Kawasaki menjadi sesak berikutan orang ramai berduyun-duyun pulang ke kediaman masing-masing.


“Perkhidmatan kereta api dihentikan, bas menjadi tumpuan membuatkan orang ramai beratur sehingga dua kilometer menanti giliran menaiki bas.

“Saya bersama 12 rakan sekerja (warga Jepun) berjalan kaki sejauh 12 kilometer untuk pulang ke rumah masing-masing,” katanya.


Menurut Zulfahmi, walaupun dirinya dalam keadaan tidak menentu, dia bersyukur kerana anak dan isteri pulang ke Malaysia sejak Januari lalu.


“Lebih baik saya hadapi kejadian ini sendiri daripada membabitkan isteri dan anak yang masih kecil. “Saya akan pulang ke Malaysia 24 Mac ini dan berharap semuanya berjalan lancar nanti,” katanya.


Kedutaan Besar Malaysia di Jepun melaporkan, pihaknya masih dalam usaha menghubungi semua warga Malaysia, termasuk pelajar di kawasan yang terjejas teruk, terutamanya di Miyagi, Iwate dan Aomori.


Sehingga jam 6 pagi tadi (5 pagi waktu Malaysia), kedutaan menghubungi 289 warga Malaysia yang berada di wilayah itu.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hanyaberdoa/Article/artikelMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...