Tuesday, May 19, 2009

Satu lagi mati akibat leptospirosis

BUKIT MERTAJAM: Satu lagi kematian akibat penyakit leptospirosis dilaporkan kelmarin, menjadi dua kes pada masa ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata Kementerian Kesihatan masih menunggu laporan bedah siasat punca kematian itu.

“Kematian itu adalah daripada 23 kes yang dirawat di dua hospital kelmarin,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Sementara itu, seramai 12 lagi pendatang tanpa izin yang ditahan di Depoh Tahanan Juru dekat sini, dimasukkan ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) selepas dikesan mengalami simptom penyakit leptospirosis.

Seramai 10 pendatang dihantar ke HBM kira-kira jam 6 petang kelmarin manakala dua lagi dimasukkan ke hospital sama kira-kira jam 2.30 petang semalam. Setakat ini, jumlah pendatang yang menerima rawatan meningkat kepada 35 orang sejak 7 Mei lalu.

Daripada jumlah itu, 12 pendatang terbaru yang baru dimasukkan ke HBM, sembilan adalah warga Bangladesh manakala tiga lagi warga Myanmar.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Abd Rahman Harun, berkata 12 pendatang terbabit dihantar ke hospital selepas mengadu demam dan mempunyai simptom penyakit leptospirosis.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...