Sunday, November 23, 2008

Tiada peralihan kuasa Jun 2009



Ahad November 23, 2008

PETALING JAYA: Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz tidak akan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada Datuk Kamilia Ibrahim jika beliau mengambil alih jawatan nombor dua pergerakan tersebut kelak.


Perkembangan terbaru dalam pergerakan itu sekali gus 'mengkuburkan' pelan peralihan kuasa Jun 2009.


Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, pelan peralihan pergerakan itu yang diumumkan Ogos lalu hanyalah antara beliau dengan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.


"Memandangkan saya akan mempertahankan jawatan Ketua Wanita, mandatnya adalah selama tiga tahun... tidak sekejap sekejap.


"Sebab itu, saya mengatakan (dari awal) tidak perlu ada pertandingan (bagi jawatan Ketua Wanita). Jika tiada pertandingan, saya akan (sepatutnya) menyerahkan (jawatan itu) kepada shahrizat pada Jun nanti," katanya kepada The Star.


Rafidah, Ahli Parlimen Kuala Kangsar memberitahu, kini pergerakan itu kembali kepada proses pemilihan mengikuti demokrasi yang akan memilih sama ada "saya atau beliau."


Dengan keputusan Shahrizat mencabar Rafidah bagi jawatan Ketua Wanita, Kamilia akan menjadi calon tunggal bagi kerusi Naib Ketua Wanita.


Justeru, Kamilia sudah pasti memenangi kerusi itu tanpa cabaran.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/23/mstar_berita/20081123103804&sec=mstar_berita

Warta fatwa larang sertai yoga dalam 2 bulan

Ahad November 23, 2008

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN


PETALING JAYA: Proses mewartakan fatwa mengenai senaman yoga dijangka mengambil masa kira-kira dua bulan untuk dikuatkuasakan.


Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd. Tamyes Abd Wahid ketika dihubungi mStar Onlineberkata, Majlis Agama Negeri Selangor akan bermesyuarat pada 2 dan 3 Disember ini itu membincangkan secara khusus mengenai keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan semalam.


“Sesuatu fatwa yang diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan perlu mendapat kelulusan Majlis Agama Islam negeri sebelum dibawa kepada perkenaan Sultan. Selepas mendapat perkenan Sultan, baru ia boleh diwartakan,” katanya.


Tambanhya, proses mewartakan sesuatu fatwa itu akan mengambil masa kira-kira dua bulan jika tidak ada sebarang penangguhan.


“Jika tiada banyak bantahan dan mendapat kelulusan Majlis Agama Islam negeri dan dapat perkenaan Sultan, dalam masa dua bulan ia (fatwa) akan dapat diwartakan,” katanya.


Menurut Tamyes, selepas sesuatu fatwa itu diwartakan penjelasan mengenai fatwa itu perlu dihebahkan kepada orang ramai.


Agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab perlu memberi penjelasan kepada orang ramai dengan mengedarkan artikel dan edaran awam.


“Mereka juga memberi penjelasan melaui media massa agar masyarakat mendapat makluman yang jelas mengenai sesuatu isu yang telah menjadi fatwa,”
ujarnya.


Tamyes juga menjelaskan, pelaksanaan dalam bentuk perundangan akan dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam negeri masing-masing.


“Di Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merupakan badan yang bertanggungjawab mengenainya. Mereka diberi kuasa untuk proses penangkapan jika ia diperlukan,” katanya.


Ditanya adakah setelah fatwa yoga diwartakan, umat Islam yang didapati masih mengamalkannya akan didenda atau dipenjara, Tamyes berkata, JAIS diberi kuasa untuk melaksanakan aspek perundangan.


Namun, katanya, ia tidak bermakna proses penangkapan dan denda boleh dilaksanakan dengan sewenang-wenangnya.


“Kita tidak boleh suka-suka tangkap orang, JAIS ada prosedur tertentu yang akan dikaji sebelum sebarang tindakan diambil,” katanya.


Sementara itu, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria yang dihubungi juga enggan mengulas lanjut.


“Maaf saya tidak boleh komen apa-apa mengenainya. Tunggulah nanti, saya akan umumkan,” katanya.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/23/mstar_berita/20081123102120&sec=mstar_berita

Gempar meteor jatuh


EMPAT keping gambar ini menunjukkan rakaman meteor jatuh ke Bumi sebelum meletup dan mengeluarkan cahaya cerah di Edmonton, Kanada Khamis lalu.

--------------------------------------------------------------------------------

EDMONTON – Satu cahaya meteor menyebabkan satu siri panggilan kecemasan dilaporkan kepada polis di bandar Edmonton, Alberta, Kanada pada Khamis lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Seorang petani, Marcel Gobeil berkata, pada mulanya meteor itu kelihatan seperti percikan bunga api dan mempunyai pelbagai warna di angkasa.

“Saya tidak pernah melihatnya sebelum ini, ia berwarna hijau, dan biru seterusnya bertukar menjadi merah. Ia sungguh besar,” katanya.

Pihak perkhidmatan kecemasan di wilayah Alberta menerima banyak panggilan bermula pada pukul 5.30 petang waktu tempatan pada Khamis lalu dengan terdapat laporan terdengar satu dentuman.

Polis juga tidak meragui laporan itu kerana satu rakaman video dari sebuah kereta polis berjaya merakamkan insiden tersebut di Edmonton.

Imej video itu menunjukkan satu cahaya kecil menjelma di angkasa sebelum menjunam ke arah Bumi dan hilang dalam satu letupan cahaya selama lima saat.

Beberapa pakar astronomi akan mengkaji pita rakaman dan laporan saksi bagi menentukan lokasi meteor itu jatuh walaupun seorang saintis di Edmonton, Alister Ling menyatakan ia mungkin berlaku di tengah Alberta.

Seorang profesor di Universiti of Alberta, Chris Herd berkata, meteor itu mungkin seberat beberapa tan dan panjang satu meter. – Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1123&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Cemerlang ketika ibu bapa bercerai


ENA diberi kucupan tahniah oleh ibu bapanya pada Konvokesyen UiTM Shah Alam semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

SHAH ALAM - Tekanan paling besar yang pernah dihadapi Ena Suhaila Abas adalah penceraian kedua ibu bapanya setahun lalu.

Lebih teruk apabila ia berlaku di saat-saat gadis berusia 22 tahun itu menghadapi peperiksaan akhir semester bermula sekitar Julai tahun lalu.

Menurut Ena Suhaila, walaupun menangis seharian memikirkan nasib keluarganya dia tetap menggagahkan diri mengulangkaji pelajaran sebagai persediaan menghadapi peperiksaan.

"Selepas mendapat berita ayah dan mak nak berpisah, saya terus menangis tak henti-henti seharian di depan buku. Ketika menangis saya cuba tenangkan diri dan fikir dalam-dalam bahawa tangisan tak akan satukan mereka semula dan tekad untuk lupakan itu semua buat sementara waktu," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Anak keempat daripada tujuh beradik itu memberitahu, hasil ketabahan akhirnya berjaya mengekalkan keputusan cemerlang dengan memperoleh Anugerah Dekan pada setiap peperiksaan akhir sepanjang tiga tahun pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ena Suhaila yang memperoleh CGPA 3.72. memberitahu, keputusan cemerlang tersebut melayakkannya menerima Anugerah Naib Canselor pada hari ketiga Konvokesyen UiTM Ke-69 di sini semalam.

Dia menerima Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian (Pemasaran).

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1123&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Artis ditipu berjuta ringgit

Oleh MALIAH SURIP dan ZAINI SAMSU HADI



KERATAN Kosmo! semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Selain vokalis kumpulan Search, Amy yang mendakwa menjadi mangsa penipuan seorang ejen pelaburan rupa-rupanya ramai lagi artis terkenal tanah air turut menjadi mangsa.

Walaupun pada mulanya enggan tetapi atas perasaan bimbang lebih ramai akan terpedaya, mereka tampil membuat pengakuan kepada Kosmo! Ahad semalam.

Salah seorang daripada mereka, Hattan juga menjadi mangsa dan mendakwa rakan-rakan artis yang lain turut kerugian berjuta-juta ringgit setelah wanita yang menjadi ejen skim lesap Julai lalu.

Malah beliau juga mengaku menggunakan wang berjumlah RM50,000 daripada tabung Amanah Saham Didik milik anaknya, Adam.

Walaupun kesal dengan apa yang berlaku, Hattan berharap ia menjadi teladan kepada masyarakat supaya jangan terpengaruh dengan sebarang skim pelaburan.

Semalam Kosmo! melaporkan Amy kerugian lebih RM1 juta kerana terpedaya oleh ejen tersebut.

Tempias juga terkena kepada penyanyi dan pelakon, Awie, yang rugi ribuan ringgit setelah menyertai skim pelaburan yang sama.

"Saya akui saya tertipu dan ini adalah kesilapan paling bodoh yang pernah saya lakukan. Mungkin kerana memikirkan untuk mendapat pulangan jangka pendek, saya melabur," ujarnya kepada Kosmo! Ahad.

Lebih terkejut, katanya, wanita yang menjadi ejen itu juga rupa-rupanya mempunyai empat kes polis sebelum ini.

Selain itu, penyanyi Misha Omar juga mengalami nasib yang sama selepas terpengaruh dan turut mengalami kerugian ribuan ringgit.

"Kalau nak sebut jumlah kerugian, buat sakit hati," jelasnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1123&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Berjalan lima kilometer - Mahu mengadu tidak tahan didera ibu tiri


MUHAMAD RIDZUAN menunjukkan kesan lebam pada pahanya di Hospital Ampang semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


AMDITA

--------------------------------------------------------------------------------

AMPANG JAYA - Seorang kanak-kanak tahun empat sebuah sekolah rendah bertindak nekad dengan berjalan sejauh lima kilometer semata-mata untuk mengadu dia didera ibu tirinya di Pandan Indah di sini kelmarin.

Tujuannya ialah untuk pergi ke rumah ibu saudaranya di Lembah Maju selepas tidak tahan menjadi mangsa dera wanita tersebut yang didakwa telah berlarutan sejak beberapa bulan lalu.

Difahamkan, Muhamad Ridzuan Amir, 10, akan dicubit, diketuk dengan senduk dan dipukul dengan tangan hanya kerana kesalahan kecil seperti lambat makan dan tersalah membaca ketika mengaji.

Ibu saudaranya, Amdita @ Tinah Kaling, 29, memberitahu, dia yang sedang membuat kerja rumah ketika itu terkejut sebaik melihat Muhamad Ridzuan terpacul di depan rumahnya pukul 10.30 pagi.

"Ketika saya hendak bertanya kepada dia, saya telah menarik tangannya dan dia memberitahu jangan berbuat demikian kerana sakit.

"Saya tanya kenapa tetapi dia tidak mahu cakap kerana takut dan apabila diperiksa, saya dapati ada kesan lebam begitu juga pada kedua-dua belah pahanya,''
katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tambahnya, selepas didesak, barulah Muhamad Ridzuan hendak bercerita.

Menurut Amdita, dia kemudiannya telah membawa kanak-kanak itu ke Balai Polis Ampang untuk membuat laporan pukul 12.15 tengah hari sebelum dirujuk ke Hospital Ampang.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1123&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Saya tidak terlibat - Akhil Hayy

Oleh FATIHAH MOHAMED



AKHIL HAYY

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Penyanyi yang terkenal dengan gelaran Ustaz Rock, Akhil Hayy atau nama sebenarnya Akhil Abdul Hayy kesal kerana namanya dijaja oleh pihak-pihak tertentu sebagai pengikut ajaran sesat 'Ajaran MLM'.

Sebaliknya beliau menafikan terbabit dengan ajaran itu malah tidak tahu apa-apapun mengenainya.

"Saya benar-benar terkejut dengan dakwaan itu dan ia memberi kesan buruk pada imej saya yang berusaha memantapkan akidah semua umat Islam.

"Sebelum ini saya tidak mengetahui langsung mereka (pengikut Ajaran MLM) menggunakan nama saya kerana tiada sesiapa pun bertanya mengenainya sehinggalah kisah mengenai ajaran ini dikeluarkan media,"
katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.

Akhil mengulas dakwaan mengaitkan dirinya sebagai salah seorang daripada beberapa selebriti terkenal tanah air yang menjadi pengikut 'Ajaran MLM.'

Kosmo! melalui siri laporannya mendedahkan mengenai ajaran sesat 'Ajaran MLM' yang lebih menjurus memeras ahli memberi sejumlah wang mengikut perkiraan berdasarkan 'formula dosa sepanjang hayat' atas tujuan membiayai sebuah kerajaan Islam yang lebih sahih 'Maahad Al-Zaiton' di Indonesia.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1123&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Amalan yoga haram

PUTRAJAYA: Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan umat Islam mengamalkan yoga secara sistematik, yang membabitkan unsur-unsur fizikal dan spiritual kerana ia bertentangan dengan syariat Islam.

Pengerusinya, Datuk Dr Abdul Shukor Husin bagaimanapun berkata, amalan fizikal iaitu senaman dalam yoga, tanpa adanya unsur-unsur mentera dan pemujaan pada zahirnya tidak menjadi kesalahan.

Namun, katanya, ia tidak digalakkan kerana dikhuatiri boleh menghakis akidah seseorang Muslim memandangkan ia merupakan salah satu komponen daripada keseluruhan amalan yang diharamkan itu.

“Amalan yoga yang berasal dari masyarakat Hindu mempunyai tiga peringkat, peringkat pertama adalah fizikal iaitu senaman, peringkat kedua adalah mentera dan pemujaan bagi mendapatkan ketenangan dan peringkat ketiga adalah penyatuan diri dengan tuhan.


“Oleh itu ahli muzakarah bersetuju memutuskan apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang dan bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya.

Abdul Shukor berkata, perkara itu diputuskan dalam persidangan Anggota Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan ke-83 yang bersidang 22-24 Oktober lalu di Kota Bharu, Kelantan dan akan dipanjangkan kepada majlis-majlis agama negeri untuk diwartakan.

“Selain Malaysia, amalan yoga telahpun diharamkan di Singapura dan Mesir,” katanya.

Abdul Shukor berkata, pada peringkat ini, program kesedaran mengenai amalan itu akan diperluaskan ke seluruh negara melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Beliau turut menasihatkan masyarakat Islam supaya berhati-hati dan berwaspada dengan perkara yang boleh memesongkan akidah, serta perlu mengkaji secara mendalam mengenai sesuatu amalan sebelum melakukannya.

Beliau berkata, terdapat banyak amalan lain dalam Islam yang boleh dilakukan bagi menjaga kesihatan dan mendapatkan ketenangan termasuk mengamalkan sembahyang dan berzikir.

Yoga adalah satu pakej senaman yang telah diamalkan sejak 3,000 tahun sebelum Masihi dan dikatakan boleh melambatkan penuaan, mengurangkan risiko kencing manis, lelah dan penyakit jantung. — Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20081123112247/Article/index_html

Hanya yoga sistematik haram

PUTRAJAYA - Majlis Fatwa Kebangsaan semalam mengharamkan umat Islam mengamalkan yoga secara sistematik, yang melibatkan unsur-unsur fizikal dan spiritual kerana ia bertentangan dengan syariat Islam.

Pengerusinya Datuk Dr. Abdul Shukor Husin bagaimanapun berkata, amalan fizikal iaitu senaman dalam yoga, tanpa adanya unsur-unsur mentera dan pemujaan pada zahirnya tidak menjadi kesalahan.

Namun, katanya, ia tidak digalakkan kerana dikhuatiri boleh menghakis akidah seseorang Muslim memandangkan ia merupakan salah satu komponen daripada keseluruhan amalan yang diharamkan itu.

"Amalan yoga yang berasal dari masyarakat Hindu mempunyai tiga peringkat, peringkat pertama adalah fizikal iaitu senaman, peringkat kedua adalah mentera dan pemujaan bagi mendapatkan ketenangan dan peringkat ketiga adalah penyatuan diri dengan tuhan.

"Oleh itu ahli muzakarah bersetuju memutuskan bahawa apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang dan bertentangan dengan ajaran Islam,"
katanya kepada pemberita di sini.

Abdul Shukor berkata, perkara itu diputuskan dalam persidangan Anggota Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan ke-83 yang bersidang 22-24 Oktober lalu di Kota Bharu, Kelantan, dan akan dipanjangkan kepada majlis-majlis agama negeri untuk diwartakan.

Selain Malaysia, amalan yoga telahpun diharamkan di Singapura dan Mesir, katanya. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1123&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Umat Islam dilarang sertai yoga




Sabtu November 22, 2008

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN



PUTRAJAYA: Umat Islam negara ini diminta tidak mengamalkan senaman yoga yang didapati mengandungi unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan.


Arahan itu terkandung dalam fatwa yang diumumkan Majlis Fatwa Kebangsaan hari ini.


Pengerusi majlis itu, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin berkata, Majlis Muzakarah Kebangsaan juga bersetuju dan memutuskan bahawa apa jua bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang kerana bertentangan dengan Islam.


Jelasnya, perkara tersebut telah diputuskan oleh Majlis Muzakarah Kebangsaan yang bersidang 22 hingga 24 Oktober lalu di Kota Bharu, Kelantan. Tambah beliau, amalan fizikal senaman yoga tanpa unsur-unsur tersebut pada zahirnya tidaklah menjadi kesalahan.


Namun demikian beliau menasihati umat Islam agar meninggalkan amalan tersebut kerana dikhuatiri akan menghakis akidah mereka.


Tiga perkara yang boleh menghakis akidah umat Islam adalah kepercayaan di hati, menerusi perkataan dan perbuatan.


“Memandangkan terdapat elemen tersebut dalam amalan yoga, maka umat Islam wajib memelihara akidah mereka daripada terhakis. Saya nasihatkan mereka tinggalkannya (yoga) dan pilih senaman lain seperti berbasikal,solat, zikir dan sebagainya,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.


Selain Malaysia, amalan yoga telahpun diharamkan di Singapura dan Mesir, katanya.


Abdul Shukor berkata, pada peringkat ini, program kesedaran mengenai amalan itu akan diperluaskan ke seluruh negara melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).


Turut hadir Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz.


Tambah beliau, Majlis Fatwa Kebangsaan hanya mengeluarkan fatwa berhubung isu tersebut.


Jelasnya, pelaksanaan dari dari sudut undang-undang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.



“Kuasa perlaksanaan dari sudut undang-undang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Setelah ia diwartakan barulah kita boleh tahu apa tindakan yang boleh dikenakan ke atas mereka yang masih mengamalkannya,” katanya.


Ketika ditanya adakah keputusan majlis fatwa ini akan dipertikaikan oleh masyarakat bukan Islam, Shukor berkata:


“Fatwa ini khusus kepada umat Islam. Masyarakat agama lain masih bebas meneruskan amalan yoga. Kita menghormati agama-agama lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.”


Awal bulan lalu pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Zakaria Stapa menasihati orang Islam yang mengamalkan senaman yoga supaya menghentikannya kerana bimbang boleh memesongkan akidah.


Menurut Zakaria, yoga yang berasal daripada masyarakat Hindu, menggabungkan unsur keagamaan dan penyembuhan jiwa.


"Mereka mengamalkan yoga kerana percaya boleh menyatukan mereka dengan Tuhan," katanya.


Yoga adalah amalan kesihatan yang diperkenalkan sekitar 3,300 sebelum Masihi, dikatakan dapat membantu melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko diabetes, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan jantung.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/22/mstar_berita/20081122135047&sec=mstar_berita

Shahrizat: 'Saya dipaksa terima pelan peralihan Wanita'


Sabtu November 22, 2008

PETALING JAYA: Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang kelmarin mendedahkan pendiriannya mahu mencabar Tan Sri Rafidah Aziz bagi kerusi Ketua Wanita Umno berkata, beliau telah dipaksa untuk menerima pelan peralihan kuasa pergerakan tersebut.


Naib Ketua Wanita itu berkata, Rafidah tidak pernah berbincang dengannya terlebih dahulu ataupun dirundingkan dalam majlis eksekutif Wanita Umno sebelum mahu melaksanakan pelan peralihan.


Bekas Ahli Parlimen Lembah Pantai dan bekas anggota jemaah menteri itu berkata, Rafidah hanya memaklumkan mengenai pelan tersebut kepadanya pada satu majlis di Pusat Dagangan Dunia Putra dan terus memaklumkan terus kepada umum.


"Boleh anda bayangkan apa yang telah berlaku jika saya menolak pelan peralihan di hadapan 700 hingga 800 orang yang hadir termasuk Perdana Menteri (yang juga Presiden Umno)," kata beliau kepada The Star semalam.


Shahrizat juga mengakui beliau hanya bertindak sebagai "yes man" terhadap kepimpinan Rafidah sekian lama.


Kata Shahrizat, sejak memegang jawatan Naib Ketua Wanita beliau tidak pernah menawarkan pandangannya kerana Rafidah merupakan pemimpin yang berpengaruh dan bercakap apa yang beliau rasakan mahu nyatakan.


"Saya melihat diri saya sebagai penyokong (sahaja). Ini untuk mengekalkan kestabilan (dalam Wanita Umno)," katanya sambil menambah, beliau terpaksa mengambil masa yang lama untuk meluahkan pendiriannya sambil memfikirkan kesan ke atas pergerakan tersebut.


"Bagaimanapun sebaik sahaja saya mengambil keputusan, saya tidak akan beralih," kata beliau yang dicalonkan untuk jawatan Ketua dan Naib Ketua Wanita.


Semalam Rafidah ketika menyahut pendirian Shahrizat berkata, beliau akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti Mac depan.


Dengan perkembangan terbaru ini pelan peralihan kuasa melibatkan kedua-dua pemimpin tersebut juga musnah.


Semalam, Rafidah turut melahirkan kekecewaannya kerana pelan peralihan yang dipersetujui exco pergerakan itu ditolak dan dipertikaikan selepas tempoh tiga bulan beliau mengumumkannya iaitu pada 4 Ogos lalu.


Kata Rafidah, semenjak tarikh itu tiada sesiapa dalam exco mahupun pihak luar mempertikaikan keputusannya itu.


"Bahkan Datuk Seri Shahrizat sendiri, sama ada antara empat mata, dalam exco, dan dalam sidang media, telah berkali-kali menegaskan bahawa beliau tidak akan bertanding jawatan ketua walaupun dicalonkan dan akan patuh pada pelan peralihan serta patuh kepada nasihat pemimpin-pemimpin besar parti.


"Bahkan beliau telah menyatakan bahawa 'kata akan dikota' dan 'my word is my honour' (semuanya telah disiar dalam media),"
kata Rafidah.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/22/mstar_berita/20081122133134&sec=mstar_berita

Najib: Kerajaan tidak akan sentiasa turunkan harga petrol




Sabtu November 22, 2008

LIMA: Kerajaan tidak akan sentiasa mengurangkan harga runcit petrol dan diesel apabila harga minyak mentah dunia turun kerana ia tidak menentu dan boleh naik lagi dalam masa terdekat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.


Beliau berkata menurunkan harga terlalu cepat dan sangat rendah boleh menyebabkan kesan tidak baik terhadap usaha membangunkan sumber tenaga alternatif.


"Harga minyak rendah "ia tidak boleh bertahan, ia akan naik (dan) apabila harga naik, ia perlu dikaji semula," katanya kepada wartawan Malaysia di Hotel Miraflores sini Jumaat, ketika ditanya mengenai kesan harga rendah petrol terhadap Petronas dan ekonomi negara.


Beliau kini berada di ibu negara Peru untuk menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) yang bermula di sini Sabtu.


Najib bercakap kepada wartawan setelah menunaikan solat Jumaat di Pusat Islam Peru di sini di mana belia menyampaikan sumbangan AS$5,000 kepada pusat tersebut.


Najib berkata kebanyakan pengusaha pam petrol mendapati sukar dengan harga yang tidak menentu itu berdasarkan pada harga harian dan malahan mingguan, mereka mahu sedikit penentuan dalam harga petrol.


"Kajian sekali dalam dua minggu adalah sesuatu yang mereka boleh terima, katanya."Harga minyak tidak akan berada pada paras AS$50 sampai bilabila, ia tentu sekali akan naik, tambah beliau.


"Lagi pun, harga barangan tidak berkurangan sebanyak mana yang kita dapat kurangkan harga minyak," kata beliau.


Kerajaan telah mengurangkan harga runcit petrol dan diesel sebanyak tiga kali sejak beberapa bulan lepas, yang terkini hanya beberapa hari lepas ekoran harga minyak mentah turun dengan mendadak disebabkan krisis ekonomi global, tambah beliau.


Bagaimanapaun, Julai lepas, harga minyak mentah mencacat satu rekod tinggi iaitu AS$147 setong yang memaksa kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel, kata Najib.


"Sama ada kita akan menurunkan dan sama ada dalam tempoh jangka pendek, kita hendaklah mengkaji kenaikannya, semua faktor ini perlu diberi pertimbangan," kata beliau.


Malahan, "kita tidak tahu apa akan berlaku dengan harga petrol atau minyak dalam masa beberapa bulan akan datang, perkara ini perlu dikaji lagi."Beliau berkata "pengurangan harga minyak mestilah mengambil kira sama ada pengurangan wajar dilakukan sepenuhnya kerana saya tidak fikir harga minyak akan terus berada di paras ini."


Ketika ditanya sama ada ini bermakna kerajaan tidak akan mengurangkan harga runcit minyak, beliau berkata: "Saya tidak kata tidak ada pengurangan tetapi kita kena lihat kewajaran."


Dari segi ekonomi negara, Najib berkata kesan terhadap inflasi tentu sekali lebih positif bermakna "kita ada peluang mengurangkan harga minyak."


"Jikalau kita kurangkan harga terlalu cepat, apakah ini bererti bahawa bila harga naik, nanti, kita terpaksa menaikkan harga kepada pengguna dan jika harga petrol terlalu rendah, usaha untuk membangunkan sumber tenaga yang lain mungkin tidak ada insentif," kata beliau.


"Bagaimanapun, kerajaan sedar bahawa memang ada tanggungjawab kita untuk mengkaji semula harga minyak berdasarkan kepada harga minyak di pasaran dunia.


"Dan tentu sekali kita akan membincangkan dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Negara yang akan datang,"
katanya.


Beliau berkata bahawa dari segi pendapatan negara dan Petronas, tentu sekali ia akan berkurangan, tetapi subsidi minyak juga berkurangan, jadi ada imbangan antara dua.


"Tahun depan, kita masih lagi boleh bertahan dari segi pendapatan dan sumber kepada kerajaan," kata Najib.


Timbalan Perdana Menteri itu berkata "penjimatan subsidi akan lebih ketara" dengan harga minyak mentah telah jatuh kepada AS$50 setong, tetapi angka ini perlu dikaji.


Mengenai rebat yang dibayar kepada pemilik kereta dan motosikal untuk memperbaharui cukai jalan sejak Mac tahun ini, beliau berkata ia akan dikaji semula pada tahun depan, bagi menunggu satu pusingan tempoh pembayaran rebat yang akan berakhir pada Mac 2009. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/22/mstar_berita/20081122134717&sec=mstar_berita

Shahrir: Harga minyak dijangka turun 15 sen lagi hujung bulan ini



Sabtu November 22, 2008

PUTRAJAYA: Harga minyak dijangka turun 15 sen lagi pada hujung bulan ini, menjadikan harga minyak di pasaran turun daripada RM2 ketika ini kepada RM1.85 seliter.


Penurunan harga sebanyak 15 sen itu juga menjadikan harganya lebih rendah daripada RM1.92 seliter sebelum kenaikan pada Jun lalu, sekaligus menjadikan ia harga terendah sejak lebih dua tahun lalu.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad berkata penurunan perlu dibuat secara berhemah serta tersusun dengan asas-asasnya dan penurunan sebanyak 15 sen itu adalah paling maksimum.


"Saya jangka harga minyak akan turun 15 sen juga pada hujung bulan ini. Pokoknya, kita akan turunkan harga berikutan harga minyak mentah menurun," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Hari Keluarga kementerian di sini hari ini.


Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan harga minyak petrol RON97 turun daripada RM2.15 kepada RM2 seliter manakala RON92 dan diesel masingmasing daripada RM2.05 kepada RM1.90 seliter.


Ia merupakan penurunan kali kelima harga bahan api itu selepas mengalami kenaikan tertinggi pada Jun lalu apabila kerajaan menaikkan harga runcit petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter ketika harga minyak mentah dunia meningkat sekitar AS$125 setong.


Semalam, Shahrir berkata jika mengikut harga di pasaran, sehingga 20 Nov lalu harga minyak adalah RM1.60 seliter (tanpa subsidi) ketika harga purata minyak mentah di bawah AS$60 dolar setong, sekaligus, buat pertama kalinya harga runcit di pam lebih tinggi daripada harga pasaran.


Sehubungan itu, katanya mesyuarat Exco Majlis Ekonomi Negara pada 1 Dis ini akan membincangkan mekanisme tertentu termasuk keperluan penetapan harga lantai memandangkan trend penurunan harga minyak sekarang menyebabkan satu harga minimum sukar ditentukan.


Beliau turut menyifatkan penurunan harga minyak mentah dunia adalah di luar ramalan dan dugaan serta tidak diketahui akan menurun sehingga ke tahap mana pada akhirnya.


"Pada mesyuarat 1 Dis ini, kena dibincangkan apa keputusan dan sasar daripada segi kerajaan dalam melihat kepada menghadapi keadaan di mana sekarang harga minyak mentah turun dengan begitu pantas.


"Pada Ogos lalu, oleh kerana ada subsidi, ia dapat diturunkan dengan lebih cepat, jika tidak ada fakta subsidi, harga minyak RM2.70 hanya boleh diturunkan pada September, tetapi oleh kerana ada subsidi 30 sen, lagi cepat kita dapat turunkan harga runcit di pam,"
katanya. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/22/mstar_berita/20081122155334&sec=mstar_berita

Ketua Pemuda DAP tidak pertahan jawatan




Sabtu November 22, 2008

IPOH: Ketua Pemuda DAP Nga Kor Ming yang juga anggota exco Kerajaan Negeri Perak hari ini mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan sayap parti itu 6 Disember ini.


"Ini merupakan masa terbaik untuk saya melepaskan jawatan...banyak kejayaan yang telah Pemuda DAP kecapi sejak saya berada di sayap ini pada tahun 2003," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di pejabat DAP Perak di sini hari ini.


Nga yang juga Anggota Parlimen Taiping dan Anggota Dewan Undangan Negeri Pantai Remis turut memegang jawatan sebagai Naib Bendahari DAP dan Setiausaha DAP Perak.


Nga berkata masanya adalah sangat sesuai bagi beliau menyerahkan kepimpinan kerana kedudukan sayap berkenaan begitu stabil dan banyak barisan pemimpin yang mampu menggalas cabaran untuk menerajui sayap itu.


"Pemuda DAP tiada sebarang tanggungan hutang dan prestasi semua calon berada di tahap yang terbaik...(lepas jawatan) bukan kerana faktor usia. Umur saya 36 tahun dan had umur maksimum adalah 40 tahun," katanya.


Dalam perkembangan lain, Nga yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Awam negeri menyangkal laporan sebuah akhbar semalam bahawa cadangan lawatan rombongan Ahli Majlis Daerah Teluk Intan ke Langkawi akan melibatkan kos sebanyak RM50,000.


"(Sebenarnya) Kerajaan Negeri telah mengarahkan lawatan itu dibatal kerana merugikan peruntukan yang boleh diguna untuk pembangunan...tetapi perbelanjaan itu hanya RM23,000 dan bukanlah seperti yang disiarkan," katanya. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/22/mstar_berita/20081122160727&sec=mstar_berita

Anak berhutang along, bapa terima ugutan

SELAYANG: Seorang warga emas mendakwa menerima ratusan panggilan misteri selain rumahnya disimbah cat merah dipercayai dilakukan along yang tidak berpuas hati selepas gagal mencari anaknya yang menghilangkan diri sejak awal bulan lalu.

Ng Swee Lin, 63, mendakwa, anak lelakinya, Kwang Chee Choon, 36, yang tinggal bersamanya di Kampung Indah, Selayang Baru di sini, dipercayai meminjam wang daripada along, bagaimanapun jumlahnya tidak diketahui.

“Pada 13 November lalu, rumah saya dibaling cat merah dipercayai dilakukan along yang gagal mencari anak saya.

“Esoknya saya menerima puluhan panggilan daripada beberapa lelaki, seorang daripadanya memperkenalkan diri sebagai Ah Chong memberitahu anaknya ada berhutang dengannya.


“Bagaimanapun, apabila saya tanya berapa jumlahnya, along terbabit enggan beritahu dan meminta saya berjaga-jaga,” katanya.


Mangsa membuat laporan di Balai Polis Selayang kerana bimbang dirinya diancam kumpulan along terbabit.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20081122095634/Article/index_html

Michael Jackson peluk Islam


GAMBAR fail ini menunjukkan Michael (tengah) menutup seluruh tubuhnya dengan pakaian tradisional Arab di Manama, Bahrain pada 25 Januari 2006.

--------------------------------------------------------------------------------


WAJAH Michael pada 8 November tahun lalu.

--------------------------------------------------------------------------------

LOS ANGELES - Raja pop, Michael Jackson memeluk agama Islam dalam satu majlis di rumah seorang rakannya di Los Angeles, lapor sebuah akhbar semalam.

Sebuah akhbar melaporkan penyanyi berusia setengah abad yang sebelum ini menganuti mazhab Kristian Jehovah's Witness itu menukar namanya kepada Mikaeel.

Michael yang digelar Jacko kerana perangainya yang pelik duduk di atas lantai berdepan dengan seorang imam dalam majlis tersebut.

Penyanyi yang merupakan antara terhebat sepanjang zaman itu memeluk Islam beberapa hari sebelum dia dijadualkan menghadirkan diri di Mahkamah Tinggi London.

Penyanyi di mana album lebih 750 juta unit terjual di seluruh dunia itu disaman oleh putera kedua Raja Bahrain kerana gagal menghasilkan album selepas menerima wang pendahuluan miliknya.

Satu sumber memberitahu bahawa majlis itu berlangsung pada minggu ini sewaktu Michael merakamkan album terbarunya di rumah seorang pemain keyboard yang menggubah muzik untuk album Thriller, Steve Porcaro.

Bintang yang memiliki banyak lagu popular termasuk The Way You Make Me Feel itu dilihat agak muram sebelum dua rakannya yang telah memeluk Islam memberikannya nasihat.

Pencipta lagu dari Kanada Michael, David Wharnsby dan penerbit album, Phillip Bubal, dilihat berada bersama-sama Michael sepanjang majlis itu berlangsung.

"Mereka mula menerangkan kepada Michael mengenai Islam dan bagaimana kehidupan mereka berubah menjadi lebih baik selepas memeluknya. Michael lebih tenteram selepas itu," kata sumber berkenaan.

"Seorang iman dipanggil dan Michael kemudian melafaz dua kalimah syahadah," tambahnya.

Kata sumber berkenaan, Michael memilih untuk menggunakan nama Mikaeel iaitu salah satu malaikat dalam Islam dan menolak satu lagi nama yang diberikan kepadanya iaitu Mustafa yang bermaksud orang yang terpilih.

Turut berada dalam majlis untuk bersama-sama meraikan detik bersejarah saudara baru itu ialah penyanyi Yusuf Islam, 60 yang dahulunya dikenali sebagai Cat Stevens.

Pada tahun lalu, seorang abang Michael, Jermaine Friday berkata, penyanyi itu menunjukkan minat untuk mendalami Islam sejak dia memeluk ajarannya pada tahun 1989.

"Sekembalinya saya dari Mekah saya memberikan sejumlah buku mengenai Islam dan dia bertanyakan banyak soalan mengenai ajaran tersebut dan saya memberitahunya ia sesuatu yang indah dan mententeramkan," jelas Friday.

"Michael membaca semua buku yang saya berikan dan dia berbangga kerana saya menemui sesuatu yang memberikan ketenangan dan kekuatan diri," tambahnya.

Friday memberitahu, berdasarkan minat mendalam yang ditunjukkan oleh saudaranya itu dia percaya bahawa Michael akan memeluk Islam pada suatu hari nanti.

"Banyak yang boleh dia (Michael) lakukan bagi memperbaiki diri seperti yang saya lakukan," ujarnya.

Pada Isnin depan, Michael dijadualkan memberi keterangan di sebuah mahkamah di London berhubung tuntutan ganti rugi sebanyak AS$7 juta (RM25.3 juta) oleh Sheikh Abdullah bin Hamad Al Khalifa iaitu putera kedua Raja Bahrain.

Beliau mendakwa memberikan sejumlah wang itu sejak tahun 2005 sebagai bayaran pendahuluan menghasilkan album untuk sebuah syarikat rakaman miliknya.

Menurut Sheikh Abdullah, beliau turut memberikan sebuah kereta mewah baru jenama Rolls Royce berharga AS$120,000 (RM434,727) untuk kegunaan Michael.

Putera berkenaan dan Michael menjalin persahabatan ketika penyanyi itu tinggal di Bahrain selepas dia dibebaskan daripada tuduhan mencabul seorang kanak-kanak berusia 13 tahun pada 2005.

Michael mengalami masalah kewangan sejak dia ditahan pada tahun 2003 dan baru-baru ini dia menukar hak milik Neverland Ranch kepada sebuah firma hartanah kerana gagal melunaskan bayaran bulanan.

- Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1122&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Jumpa cacing dalam otak pesakit wanita

WASHINGTON - Sekumpulan doktor pakar yang sedang melakukan pembedahan membuang tumor otak seorang pesakit wanita terkejut selepas mereka mendapati terdapat seekor cacing, lapor sebuah akhbar semalam.

Pesakit itu dari Arizona, Amerika Syarikat (AS), Rosemary Alvarez menjalani pembedahan membuang tumor otak selepas mengalami kesakitan pada tangan dan penglihatannya menjadi kabur.

Selepas melakukan ujian imbasan, doktor-doktor memutuskan untuk melakukan pembedahan tetapi terkejut selepas mendapati seekor cacing telah menembusi otak Alvarez.

Para doktor berpendapat kehadiran cacing adalah mungkin akibat makan daging babi yang tidak masak atau disebarkan oleh individu yang tidak mencuci tangan selepas menggunakan tandas.

Alvarez yang dijangka pulih sepenuhnya selepas pembedahan itu berharap orang ramai akan mengambil iktibar daripada pengalamannya.

"Basuh tangan anda dan basuh tangan anda," katanya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1122&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Mahu gadai nyawa demi Fadhil - Gadis cuba terjun dari bumbung hotel sebab ada masalah dengan kekasih

Oleh HISHAM IDRIS
hisham idris.com.my



FADHIL cuba memujuk kekasihnya, Sha yang cuba terjun dari bumbung sebuah hotel di Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA TERENGGANU - "Saya tak nak turun, saya tak nak makan... saya nak Fadhil."

Itulah jeritan Sha gadis berusia 18 tahun yang cuba terjun dari atas bumbung hotel 10 tingkat di Jalan Tok Lam di sini petang semalam.

Sha yang bekerja di sebuah salon rambut di sini, dikatakan bertindak demikian selepas teman lelaki yang dikenali sebagai Fadhil ingin berpisah dan tidak lagi memberi perhatian kepadanya.

'Drama' itu bermula pukul 1.35 petang apabila Sha naik ke atas bumbung hotel lalu berdiri di bahagian tebing sebelah belakang sambil berpaut pada tiang penebat petir setinggi dua meter.

Gadis yang memakai baju dan seluar jean berwarna hitam itu kemudiannya dilihat berlegar-legar di atas tebing bumbung tersebut sebelum anggota polis dan bomba tiba.

Sepanjang usaha memujuk itu, Sha menjerit-jerit ke arah anggota penyelamat, manakala beberapa kakitangan hotel menyusun puluhan tilam sebagai langkah keselamatan jika dia bertindak terjun.

Malah orang ramai yang memenuhi kawasan hotel turut bersuara memujuk gadis berkenaan supaya melupakan hajat untuk terjun.

Keadaan semakin 'panas' apabila Fadhil tiba di tempat kejadian pukul 2.10 petang dengan sebuah kereta Proton Satria berwarna hitam dari arah Jalan Sultan Sulaiman.

Sebaik tiba, lelaki itu menjerit meminta Sha turun sebelum dia dibawa naik ke atas bumbung hotel oleh pihak polis bagi memujuk gadis tersebut.

Selepas sejam usaha dijalankan, Fadhil gagal mententeramkan Sha walaupun berjaya mendekati kekasihnya itu sebelum dia akhirnya mengundurkan diri pukul 3.11 petang.

Polis pula mengarahkan orang ramai bersurai pukul 3.17 selepas keadaan bertambah buruk kerana ada antara mereka mula bersorak.

Suasana cemas berakhir pukul 3.25 petang apabila Sha yang kepenatan, rebah lantas diselamatkan oleh pasukan penyelamat yang berada di atas bumbung.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1122&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Anggap ibu bapa kafir


Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina@kosmo.com.my




REMY (kiri) dan Adlin ketika bercakap kepada Kosmo! dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Sesiapa yang tidak menjadi pengikut Ajaran MLM kesemuanya dianggap kafir termasuk ibu bapa dan adik- beradik sendiri.

Tidak cukup dengan itu, sesiapa yang tidak menjadi pengikut mereka juga tidak layak meraikan Hari Raya dan menganggap korban haiwan ternakan sempena Hari Raya Korban sesuatu yang sia-sia.

Itu antara yang diajar oleh pentilawah (penceramah) Ajaran MLM seperti didakwa bekas pengikutnya, Remy, 20-an.

"Menurut mereka, daripada menyembelih korban baik wang itu disumbang untuk dana pembentukan kerajaan Islam yang baru,'' ujarnya kepada Kosmo! di sini semalam.


--------------------------------------------------------------------------------

Menurutnya lagi, selain itu, para pengikut juga diminta mengganggap setiap pentilawah sebagai nabi dan jangan sesekali mengingkari arahannya.

"Sememangnya pentilawah memang petah berkata-kata dan bijak memanipulasi tafsiran ayat al-Quran jika ada perkara yang kami bantah.

"Sebagai umat Islam, sudah pastinya apabila disebut tentang apa juga yang terdapat dalam al-Quran, pastinya tiada apa yang boleh dipersoalkan,"
akui Remy.

Menurutnya, pentilawah ajaran sesat itu biasanya menyalahgunakan maksud ayat-ayat al-Quran tertentu sebagai senjata 'meracuni' fikiran ahli-ahlinya.

"Sebagai contoh, kerajaan Islam tulen yang hendak dibina oleh 'Ajaran MLM' pada 2015 juga akan dikaitkan sebab perlu adanya kerajaan itu dengan petikan ayat al-Quran begitu juga perlunya 'berhijrah' ke sana," katanya.


--------------------------------------------------------------------------------


Sebelum ini, Kosmo! mendedahkan Ajaran MLM mewajibkan pelaburan sejumlah wang bagi membayar yuran kelas tilawah serta bayaran bagi beberapa siri perjumpaan seperti Aqabah juga diyakinkan dengan tafsiran al-Quran.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1122&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Saturday, November 22, 2008

Industri arak tidak mendapat tempat di Negara Buddha

Friday, November 21, 2008


Di Malaysia industri arak mewah dan makmur. Ia bukan sekadar dikilang dan dijual, malah syarikat-syarikatnya diapungkan di bursa saham. Mereka mengaut untung besar dan antara syarikat korporat yang paling aktif dalam negara. Ini berlaku walaupun Malaysia dikatakan sebuah negara Islam. Demikianlah toleran dan baiknya budi orang Malaysia.

Thailand adalah sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Buddha. Mereka kuat berpegang teguh kepada agama dan kepercayaan mereka dan malah saya merasakan rakyat Thai adalah antara penganut agama Buddha yang kuat dan ini ketara dari istana sehinggalah ke rakyat biasa.

Arak yang diharamkan oleh Islam juga turut diharamkan oleh agama Buddha. Bezanya bagi rakyat Thai mereka bukan sekadar akur dengan hukum itu tetapi sanggup bangkit mempertahankannya. Baru-baru ini usaha untuk mengapungkan sebuah syarikat arak, Thai Beverage PLC (pembikin “beer chang” yang popular di negara berkenaan) di Stock Exchange of Thailand (SET) telah menerima tentangan dari rakyat Thai dan sebuah protes telah dianjurkan oleh sami-sami Buddha negara berkenaan.

Menurut laporan hasil dari tentangan berterusan dari komuniti Buddha itu akhirnya SET membuat keputusan menolak permohonan syarikat berkenaan.

Menurut “The Thai Buddhist Channel” sekiranya syarikat ini diapungkan bermakna rakyat Thai bersubahat mengizinkan syarikat yang menghasilkan produk haram ini membuat lebih keuntungan. Negara berkenaan menurut saluran berita Buddha itu tidask memerlukan syarikat seperti ini dalam pasaran saham Thai.

Untuk makluman tidak ada syarikat arak yang tersenarai di SET. Malaysia bagaimana?

Posted by roslan sms at 6:33:00

http://n32.blogspot.com/

Kanser prostat


Definisi

Kanser yang berpunca dari prostat dikenali sebagai kanser prostat primer . Kanser jenis ini lebih lazimnya berlaku di kalangan kaum lelaki yang berusia 50 tahun ke atas. Insidens atau kejadian penyakit ini meningkat bagi setiap 10 tahun atau sedekad hayat. Kanser prostat ialah sejenis kanser yang tumbuh secara perlahan-lahan. Di peringkat awalnya, ia mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala. Ia tinggal di dalam kelenjar prostat atau merebak ke nodus limfa yang berhampiran dan seterusnya ke lain-lain bahagian badan. Perebakan ini dikenali sebagai metastasis kanser.

Apakah itu kelenjar prostat?

Prostat adalah kelenjar seks lelaki. Saiznya adalah sebesar kacang walnut. Ia terletak di bawah pundi-pundi kecil di hadapan rektum. Prostat mengelilingi bahagian atas uretra iaitu saluran yang membawa air kencing daripada pundi kencing.Prostat memerlukan hormon lelaki terutamanya testosteron yang dihasilkan oleh testis untuk menjalani fungsinya.Hormon-hormonyang lain pula dihasilkan dalam jumlah yang kecil oleh kelenjar-kelenjar adrenal.Seperti juga organ-organ badan yang lain, prostat terbentuk daripada berbagai-bagai jenis sel. Biasanya sel-sel berpecah untuk menghasilkan sel-sel yang lain apabila diperlukan.

Kelenjar prostat yang normal Epidemiologi

Di Amerika Syarikat, kanser prostat ini jarang berlaku di kalangan pemuda Amerika. Kadar insidensnya hanya 1 bagi setiap 100,000 orang lelaki yang berumur 40 tahun ke bawah. Walau bagaimanapun mengikut kajian yang telah dibuat oleh Prostate Cancer Centre Amerika

kadarnya meningkat kepada 82 bagi setiap 100,000 lelaki yang berumur antara 50 - 54 tahun
518 bagi setiap 100,000 lelaki berumur antara 60 - 64
1,326 untuk setiap 100,000 lelaki berumur antara 70 - 74
Secara amnya, kanser prostat adalah kanser kedua yang paling biasa berlaku di kalangan kaum lelaki selepas kanser kulit. Kanser prostat lebih lazim berlaku di negara-negara barat berbanding dengan di Malaysia.


Punca-punca

Penyebab kanser prostatmasih tidak diketahui tetapi sesetengah para pengkaji mempercayai bahawa kanser ini mungkin disebabkan oleh hormon lelaki terutamanya testosteron hormon testosteron.Oleh itu,kanser prostat hanya berlaku pada kaum lelaki.Hormon ini bertindak mempercepatkan pembentukan kanser prostat. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa faktor risiko yang boleh menggalakkan kejadian kanser tersebut.Antara faktor-faktor risikonya ialah

Sejarah keluarga yang pernah mendapat kanser prostat.

Lelaki yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap kanser prostat mempunyai risiko lebih tinggi mendapat penyakit ini.
Risiko mereka meningkat sehingga 2 ke 3 kali ganda.
Risiko mendapat penyakit ini juga meningkat di kalangan lelaki yang ibu atau adik-beradik perempuannya menghidapi kanser ovari atau kanser payudara. Ini adalah kerana faktor risiko yang diwarisi melalui kromosom Xdaripada ibu.




Pemakanan/diet.

Lelaki yang mengambil makanan yang mengandungi banyak lemak berisiko mendapat kanser prostat - terutamanya lemak dari daging merah dan sumber lemak haiwan yang lain. Mereka ini akan mengalami gejala yang lebih teruk.
Penyakit ini lebih kerap terjadi di negera-negara yang banyak bergantung kepada daging dan hasil tenusu sebagai makanan utama mereka berbanding dengan penduduk di negara yang memakan nasi, produk kacang soya dan sayur-sayuran

Ia meningkat mengikut umur.

Bagi seseorang lelaki apabila umurnya meningkat, risiko untuk mendapat penyakit ini juga akan meningkat.
Kanser prostat berlaku secara eksklusifnya kepada lelaki yang berusia 50 tahun ke atas. Insidens meningkat bagi setiap dekad selepas umur 50 tahun.
Lelaki yang berumur 70 tahun mempunyai risiko 12 kali ganda mendapat penyakit ini berbanding dengan lelaki yang berumur 50 tahun .

Pendedahan kepada bahan-bahan tertentu seperti kadmium, getah dan juga logam.

Pendedahan kepada bahan kimia tertentu boleh meningkatkan risiko kanser prostat.Contohnya.

*pekerja-pekerja yang terdedah kepada kadmium
*pekerja-pekerja di bidang pembuatan tayar dan getah
*petani
*mekanik
*pekerja-pekerja di sektor pembuatanlogam.
*Aktif secara seksual.

Satu kajian terbaru telah menunjukkan risiko mendapat kanser prostat meningkat dengan bertambahnya pasangan seks wanita bagi seseorang lelaki itu.

Status perkahwinan

lelaki yang masih bujang mempunyai risiko yang lebih rendah mendapt kanser ini.
Mempunyai sejarah penyakit kelamin.
Hiperplasia benigna prostatik (BPH).
Pernah menjalanipembedahan vasektomi
Penduduk Amerika dan juga Eropah mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser prostat berbanding penduduk Asia.

Tanda-tanda dan gejala penyakit

Di peringkat awal, kanser prostat selalunya tidak menunjukkan sebarang gejala.


Gejala bagi kanser prostat lazimnya bermula dengan

1-Bertambah keinginan untuk membuang air kecil.
2-Aliran kencing menjadi lemah.
3-Kesukaran hendak memula membuang air kecil.
4-Hilang kawalan terhadap pembuangan air kecil.
5-Pengeluaran air kencing yang perlahan atau terganggu.
6-Kencing tidak lawas.
7-Sakit ketika pancutan mani atau tiada air mani.
8-Terdapat darah di dalam air kencing atau air mani.
9-Nodus limfa membengkak di sekitar kawasan kelangkang.
10-Seringkali terasa sakit di bahagian pelvis, saraf tunjang, pinggang, dan tulang dada.
11-Hilang minat terhadap seks.
12-pembesaran prostat


Gejala di atas tidak semestinya bermakna seseorang itu menghidap kanser prostat. Mereka mungkin juga mengalami satu keadaan lain yang dinamakan hiperplasia benigna prostatik

Benign Prostatic Hyperplesia.

hiperplasia benigna prostatik
sejenis penyakit benigna yang biasanya terjadi di kalangan lelaki tua di mana kelenjar prostat mengalami pembesaran.

Diagnostik

Ujian Fizikal

Pemeriksaan Rektum (dubur) Digital (Digital Rectal Examination)
Kebanyakan kes kanser prostat bermula di bahagian posterior kelenjar yang hanya boleh diperiksa melalui pemeriksaan rektum digital. Semasa pemeriksaan ini doktor akan memakai sarung tangan dan memasukkan jarinya ke dalam rektum untuk memeriksa kelenjar sama ada terdapat sebarang perubahan atau keabnormalan di kawasan tersebut yang boleh dianggap sebagai kanser.



Ujian Makmal

Pengesanan antigen spesifik prostat (Prostate Specific Antigen)

Ini merupakan satu pemeriksaan yang lazimnya dijalankan untuk kanser prostat. Ujian darah PSA bertujuan untuk menyukat bahan protein yang dihasilkan oleh sel prostat. Jika keputusan menunjukkan ianya di bawah paras 4ug/mL, ini dianggap normal. Tetapi jika ianya mencapai paras melebihi 10 ug/mL ini dianggap tinggi, dan nilai antara 4 hingga 10 dianggap sebagai pinggiran. Semakin tinggi paras PSA semakin besar kemungkinan wujudnya kanser prostat. Seseorang lelaki yang mempunyai keputusan melebihi 16ug/mL dinasihatkan melalui pemeriksaan biopsi bagi memastikan sama ada ia menghidap kanser ataupun tidak.

Kiraan sel darah sepenuhnya

Dilakukan khususnya untuk mengesan anemia (kekurangan jumlah sel darah merah dalam darah). Ini kerana anemia selalunya menentukan perkembangan penyakit tersebut.

Ujian fungsi ginjal,hati,paru-paru dan tulang

Perebakan kanser akan mempengaruhi fungsi ginjal atau buah pinggang,hati dan organ yang lain.Untuk mengesan perebakan kanser,beberapa ujian boleh dijalankan.Antaranya ialah,

Analisis air kencing

Ini juga merupakan satu pemeriksaan yang lazim dijalankan untuk mengesan kewujudan nanah di dalam air kencing yang akan memberi satu isyarat kepada doktor untuk membuat siasatan lanjut (seperti melakukan pemeriksaan rektum (dubur) digital. Jika keputusannya positif, langkah serterusnya adalah untuk menjalankan ujian-ujian pengesahan bagi menentukan kewujudan kanser prostat.

X-ray dada untuk menentukan sama ada kanser telah merebak ke bahagian paru-paru ataupun hati.
imbasan tulang seperti X-ray,CT scan,MRI. Kanser mudah merebak ke bahagian tulang.Oleh itu, ujian seperti ini akan dibuat untuk memastikan tahap perebakan kanser.


Ujian biopsi

link ujian biopsi ialah salah satu daripada ujian pengesahan yang akan dilakukan. Ujian biopsi prostat merupakan ujian pengesahan bagi kanser prostat. Ia dijalankan dengan mengambil sampel sel daripada kelenjar prostat. Sampel ini kemudiannya akan diperiksa di bawah mikroskop untuk mengesan kewujudan sel kanser. Melalui ujian biopsi ini,kita boleh tahu staging kanser itu.

Rawatan

Pembedahan
Radical retropubic prostatetomy
Radioterapi (Radiation Therapy)
Terapi Hormon(Hormonal Therapy)
Cheomotherapy

Radioterapi bagi kanser prostat Prognosis

Kesan yang mungkin berlaku bagi kes kanser prostat adalah pelbagai dan juga banyak bergantung pada tahap keterukan penyakit ini.Jika kanser itu berlaku pada pesakit yang lebih tua, faktor lain seperti tahap kesihatan dan juga kehadiran penyakit lain boleh mempengaruhi kesan penyakit tersebut.
Jika kanser prostat dikesan lebih awal, peluang untuk sembuh meningkat sehingga 98%.

Pengurusan sendiri

Amalkan pemakanan yang baik - dapatkan kalori secukupinya untuk mengembalikan kekuatan dan membina semula tisu-tisu yang normal.
Mendapat sokongan sosial dari keluarga dan rakan-rakan terutamanya dari pasangan anda.
Jalinkan hubungan yang baik dengan anggota perubatan.
Menjadi ahli kumpulan sokongan.
Dapatkan nasihat dari pegawai kebajikan perubatan atau kaunselor.
Ikutilah pemeriksaan lanjutan seperti yang dinasihatkan bagi memastikan penyakit anda tidak berulang lagi atau merebak.
Awasi gejala yang mungkin timbul
Elakkan dari makanan yang mengandungi banyak lemah
Mengambil vitamin D, vitamin E dan Selenium.

Paras PSA akan menurun selepas kanser prostat dirawat dan akan meningkat semula jika kanser prostat berulang lagi.Ia merupakan penunjuk yang sensitif untuk memantau perkembangan kanser dan tindak balasnya terhadap sesuatu rawatan.


Pencegahan

Pengesanan awal adalah sangat penting. Ini memerlukan pemeriksaan kelenjar prostat yang teliti.
Faktor risiko seperti umur dan juga sejarah penyakit dalam keluarga adalah di luar kawalan.
Pemeriksaan fizikal setiap tahun (pemeriksaan rektum digital) dan ujian darah (Antigen prostat spesifik) disyor bagi lelaki yang telah bersara.
Apabila sahaja didiagnoskan sebagai kanser prostat, pesakit perlu dirujuk kepada doktor pakar urologi untuk penyiasatan selanjutnya dan mengesahkan diagnosis.
Mengurangkan pengambilan makanan dari sumber haiwan yang tinggi kandungan lemaknya.Banyak makan ikan dan ayam.
Pengambilan sayur-sayuran dan bijirin juga adalah digalakkan.
fruits and vegetables

Kurangkan pengambilan mentega, margerin dan minyak.
Tomato, limau dan juga tembikai boleh membantu menghalang kerosakan pada DNA. Dengan yang demikian ia boleh mengurangkan risiko untuk mendapat kanser termasuklah kanser prostat.

http://www.tranungkite.net/v7/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=42625#1014715

Lelaki dengan masalah prostat


PEMBESARAN kelenjar prostat (kiri) akan menyebabkan gangguan aliran air kencing berbanding prostat normal (atas), sementara kanser prostat pula (kanan) perlu dibuang sepenuhnya.

--------------------------------------------------------------------------------

PROSTAT adalah kelenjar yang terletak di pangkal pundi kencing golongan lelaki dan mengelilingi salur kencing yang juga dikenali sebagai urethra.
Saiznya sebesar kacang walnut sementara fungsinya adalah menghasilkan cecair yang beralkali untuk air mani.

Seperti kelenjar yang lain, beberapa masalah dan penyakit boleh timbul dalam kelenjar prostat. Penyakit dan masalah yang utama adalah Benign Prostatic Hyperplasia (Pembesaran Kelenjar Prostat) dan kanser prostat.

Pembesaran Kelenjar Prostat

Benign Prostatic Hyperplasia atau BPH adalah pembesaran kelenjar prostat yang disebabkan oleh rangsangan hormon testosterone.

Pertambahan saiz prostat sebegini dapat dilihat di kalangan lelaki berumur 40 tahun ke atas. Mengikut perangkaan, lebih 50 peratus lelaki pada peringkat umur 40-an menghadapi masalah ini dan peratusan berkenaan meningkat kepada 75 peratus di kalangan mereka yang berumur 80 tahun ke atas.

Bilangan kes BPH di Malaysia kian meningkat dengan bertambahnya bilangan warga emas. Pada ujian saringan Kempen Kesedaran Prostat Peringkat Kebangsaan 2004, lebih 50 peratus daripada lelaki yang disaring didapati mempunyai gejala ini.

Saiz kelenjar prostat yang besar daripada normal akan menyebabkan salur kencing yang melalui kelenjar tersebut sempit.

Akibatnya, mereka yang mempunyai masalah ini akan kerap mengalami kesukaran dalam membuang air kecil.

Antara tanda-tanda akibat BPH termasuklah aliran kencing yang kurang baik (poor stream), kerap membuang air kencing (frequency), tidak dapat mengosongkan pundi kencing selepas membuang air (incomplete emptying) dan air kencing menitik dari kemaluan selepas selesai membuang air (terminal dribbling).

Selain itu, pesakit juga akan mengalami nokturia iaitu perlu bangun dari tidur pada waktu malam untuk membuang air kecil.

Sekiranya tidak dirawat, pembesaran kelenjar prostat yang tidak dikawal akan menyebabkan salur kencing tersumbat dan pesakit tidak dapat membuang air kencing secara normal.

Selain itu, tekanan di dalam pundi kencing yang tinggi boleh menyebabkan risiko buah pinggang menjadi bengkak dan gagal berfungsi (renal failure).

Pembentukan batu karang juga boleh berlaku di dalam pundi kencing akibat masalah tersebut. Oleh kerana pesakit perlu meneran untuk mengeluarkan air kencing, dia juga berisiko mendapat penyakit hernia.

Selain masalah kesihatan, pesakit juga akan menghadapi pelbagai masalah sosial kerana perlu kerap ke tandas untuk kencing.

Oleh kerana pesakit kadang kala terpaksa ke tandas dengan begitu kerap, hingga sejam sekali, ini akan mengganggu aktiviti sosialnya seperti ketika melancong, menonton wayang atau memandu kereta ke tempat yang jauh.

Keperluan bangun pada waktu malam untuk membuang air kencing juga mengganggu tidur seseorang pesakit dan menyebabkannya letih pada siang hari kerana kurang tidur. Ada juga pesakit yang perlu bangun antara enam hingga lapan kali setiap malam.

Pengesahan dan rawatan

Pengesahan penyakit BPH memerlukan sejarah kesihatan pesakit dan tanda-tanda pesakit digunakan untuk mengkategorikan sama ada keadaan serius atau tidak mengikut International Prostate Symptom Score (IPSS).

Tahap IPSS antara lapan hingga sembilan memerlukan rawatan. Sekiranya tahap IPSS seseorang itu adalah 20 hingga 35, keadaannya dikategorikan sebagai serius.

Pemeriksaan fizikal melibatkan pemeriksaan melalui dubur untuk mengesahkan bahawa kelenjar prostat sudah membesar.

Di pusat urologi, terdapat juga alat yang dapat mengukur sama ada aliran air kencing lemah atau tidak (uroflowmeter).

Ujian darah yang perlu dijalankan adalah untuk menentukan fungsi buah pinggang (renal profile) serta bagi menyaring antigen kanser prostat (PSA- Prostate Specific Antigen).

Rawatan untuk BPH pula mungkin secara pengambilan ubat-ubatan ataupun pembedahan. Ubat yang digunakan adalah jenis alpha-2-blocker yang berperanan mengurangkan saiz kelenjer prostat.

Selain itu, ubat jenis 5-alpha reductase dapat membantutkan pembesaran saiz kelenjar prostat dengan mengurangkan penghasilan hormon testosteron.

Berbanding dengan alpha-2-blocker yang memberi kesan hampir serta-merta, ubat jenis 5-alpha reductase hanya akan memberi kesan selepas lebih kurang satu bulan, tetapi kesannya juga lebih berpanjangan.

Kebanyakan kes BPH dapat dirawat dengan kaedah perubatan. Pembedahan diperlukan sekiranya tanda-tanda tidak dapat dikawal lagi dengan ubat atau sekiranya terdapat komplikasi seperti batu karang.

Pembedahan yang biasa dijalankan adalah transurethral resection of prostate (TURP) di mana bahagian prostat yang menyebabkan salur kencing menjadi sempit dibedah untuk membolehkan air kencing mengalir dengan elok semula.

Pembedahan ini dijalankan secara endoskopi di mana teropong khas (endoskop) dimasukkan ke dalam salur kencing dan membolehkan kelenjar prostat dibedah dengan hanya menggunakan alat endoskopi.

Komplikasi yang mungkin terjadi akibat pembedahan ini termasuk pendarahan, masalah pancutan air mani (retrograde ejaculation) serta mati pucuk.

Kaedah-kaedah baru rawatan termasuk dengan penggunaan tenaga gelombang mikro untuk memusnahkan tisu prostat (transurethral microwave thermotherapy).

Kanser prostat

Kanser prostat terjadi apabila sel-sel prostat mengalami mutasi dan bertambah tanpa terkawal. Risiko menghidapi kanser prostat juga bertambah apabila umur melebihi 45 tahun.

Purata umur penghidap pada masa mula didiagnosis adalah 70 tahun. Di Amerika Syarikat, ia telah kerap terjadi di kalangan lelaki berketurunan Afrika.

Antara orang terkemuka yang meninggal dunia akibat kanser prostat termasuk bekas presiden Perancis, Francois Mitterand, presiden Zaire, Mobuto dan pelakon Bill Bixby.

Pada peringkat awal, kanser prostat tidak menyebabkan apa-apa tanda yang ketara berbanding BPH.

Biasanya ia dikesan melalui ujian saringan PSA (prostate specific antigen). Apabila saiz prostat bertambah, ia akan menyebabkan tanda-tanda yang serupa dengan BPH seperti kesusahan keluar air kencing, aliran kencing yang lemah, kencing kerap serta nokturia.

Selain itu, mungkin akan terdapat darah yang keluar bersama air kencing pesakit. Pada ketika ini, kanser prostat boleh dikesan secara pemeriksaan dubur kerana ciri-ciri strukturnya yang berbiji-biji kasar serta keras.

Pada peringkat lewat, sel-sel kanser prostat boleh merebak melalui aliran darah ke organ-organ lain seperti tulang, terutamanya tulang paha, serta ke paru-paru.

Seseorang pesakit akan mengalami sakit pada tulang serta masalah bernafas. Sekiranya tulang belakang juga terlibat, tekanan terhadap saraf tunjang akan menyebabkan seseorang itu lumpuh pada kedua-dua kaki.

Mengesan dan merawat

Seperti yang dinyatakan tadi, kanser prostat dikesan melalui pemeriksaan dubur serta ujian saringan PSA.

Ujian biopsi prostat melalui dubur berpandukan ultrasound (transrectal ultrasonic biopsy) juga perlu dilakukan untuk mengesahkan seseorang itu menghidapi kanser prostat.

Kanser prostate boleh dirawat secara pembedahan dengan mengeluarkan seluruh kelenjar tersebut (radical prostatectomy). Di sesetengah pusat pakar urologi, prosedur ini turut dijalankan dengan bantuan robot.

Radioterapi (sinaran X) juga boleh digunakan untuk merawat kanser prostat dengan memusnahkan sel-sel kanser.

Ia amat berfaedah terutamanya jika pembedahan tidak dapat dijalankan pada sesetengah pesakit yang berisiko tinggi.

Radioterapi juga digunakan untuk merawat mereka yang mempunyai sel-sel kanser yang telah merebak ke tulang paha dan tulang belakang.

Kaedah rawatan lain termasuk kaedah hormon iaitu penggunaan ubat untuk menghentikan sel-sel kanser prostat daripada dirangsang oleh hormon dihydrotestosterone.

Kaedah ini menghalang hormon dihydrotestosterone daripada dihasilkan dan ini akan menyebabkan sel-sel kanser prostat berhenti membahagi serta membesar.

Paras dihidrotestoterone boleh diturunkan juga melalui pembedahan dengan mengeluarkan kedua-dua buah zakar.

Ini kerana buah zakar berfungsi menghasilkan testosterone yang boleh merangsang kelenjar prostat menghasilkan dihydrotestosterone.

Kaedah rawatan hormon biasanya digunakan apabila kanser prostat telah sampai ke peringkat lewat.

Walaupun dapat mengurangkan bilangan sel-sel kanser, ia tidak dapat menyembuhkan pesakit, dan lagipun, ia cuma berkesan untuk satu hingga dua tahun sahaja.

Fungsi utama pada peringkat ini adalah untuk melegakan tanda-tanda sakit pada pesakit yang sudah tenat.

Salah satu ciri kanser prostat adalah sel-sel kansernya kebanyakannya membiak dengan perlahan berbanding kanser yang timbul pada organ lain seperti usus dan perut.

Kajian melalui pembedahan mayat (autopsi) pada lelaki yang meninggal dunia akibat punca-punca lain mendapati 30 peratus daripada mereka yang berumur 50 tahun sudah mempunyai kanser prostat dan angka ini meningkat kepada 80 peratus di kalangan mereka yang berumur 70 tahu ke atas!

Ini bermakna kebanyakan lelaki tidak akan sedar bahawa mereka sudahpun mempunyai kanser prostat serta tidak mengalami apa-apa gejala dan tanda akibat kehadiran kanser tersebut dan akan meninggal dunia akibat punca lain seperti sakit jantung bukannya kerana kanser prostat.

Akhirnya, masalah kelenjar prostat boleh diatasi sekiranya dapat dirawat pada peringkat awal. Lelaki yang berumur 50 tahun ke atas dinasihatkan berjumpa doktor untuk menjalani ujian saringan melalui borang soal jawab IPSS, pemeriksaan dan ujian darah supaya gejala ini dapat dikesan serta dirawat pada peringkat awal.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...