Wednesday, January 28, 2009

Adun lompat: Ini komen Tok Guru




Best!.. Perkembangan ini amat membanggakan kita dan sewajarnya kita perlu bersyukur kepada Allah di atas kurniaan yang amat besar ini - Nik Aziz

25 Jan 2009 10:43PM



KB: Penyertaan Adun Bota, Dato' Nasharuddin Hashim, ke dalam Parti KeAdilan Rakyat membuktikan fitnah dan hasutan Umno terhadap Pakatan Rakyat selama ini demi untuk meraih sokongan akhirnya 'menikam' diri.

Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, juga menyifatkan 'penghijrahan' Adun Bota itu sebagai hukuman terhadap pemimpin Umno yang mengecam Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohd Nizar selama ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penyertaan Nasharuddin yang menyertai KeADILan sambil mengucap tahniah di atas tindakan itu.

Sambil melahirkan rasa terharu serta rasa syukurnya, beliau berkata fenomena itu memberi tamparan hebat kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) di mana rakyat semakin menolak mereka.

"Sekiranya sebelum ini angin perubahan telah berlaku kepada rakyat sehingga BN kalah teruk dalam pilihan raya umum lalu, namun perkara yang sama turut berjangkit di kalangan Adun.

"Perkembangan ini amat membanggakan kita dan sewajarnya kita perlu bersyukur kepada Allah di atas kurniaan yang amat besar ini,"
ujarnya lagi.

Tuan Guru seterusnya berkata, dengan penyertaan itu juga, bererti warga wakil rakyat di kalangan Pakatan Rakyat turut bertambah dan ia akan menjadi benteng pertahanan yang semakin kuat khususnya di Perak.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua anggota dan penyokong Pakatan Rakyat sama-sama mengukuhkan perpaduan di samping menterjemahkan imej yang cukup baik pada masyarakat umum.

"Dengan imej yang baik, bersih selain perjuangan kita yang lebih pada kebajikan berbanding lawan, rakyat termasuk penyokong parti akan tertawan," ujarnya.

Tambahnya, tidak mustahil ada lagi dikalangan Adun BN akan menyertai Pakatan Rakyat sama ada menyertai PAS, KeAdilan atau DAP. / Harakah

http://www.klpos.com/news/2009/01/25/4.html

Adun lompat: PKR tambah kerusi, intai posisi MB Perak?


Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bota, Parit, Perak Datuk Nasarudin Hashim
25 Jan 2009 10:30PM
AHLI Dewan Undangan Negeri kawasan Bota, Parit, Perak Datuk Nasarudin Hashim yang sebelum pilihanraya umum 2008 ialah Ahli Parlimen Parit dan baru-baru ini tidak disambung kontrak sebagai Pengerusi FELCRA serta tewas dan pemilihan Ketua UMNO Bahagian Parit hari ini umum sertai Parti Keadilan Rakyat.

Beliau membuat pengumuman itu dalam satu sidang akhbar di ibupejabat PKR dekat Petaling Jaya. Hadir sama ialah Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nasarudin,58 mendakwa keputusannya itu adalah demi kepentingan para pengundinya di kawasan Bota.

Nasaruddin yang sebelum ini Pengerusi Felcra diganti oleh Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Rahman.

Dalam pilihanraya umum Mac 2008 beliau diturunkan bertanding kawasan Dewan Undangan Neegeri Bota.Tempatnya sebagai Ahli Parlimen Parit ditandingi oleh Mohd Nizar Zakaria yang Berjaya tewaskan calon PAS.

Nasaruddin menewaskan calon PKR Usaili Alias dengan majoriti 2,068 undi selepas memperoleh 6,556 undi di DUN Bota dalam pilihanraya Mac lalu.

Berikutan langkah ini kini Pakatan Rakyat ada 32 kerusi di Dewan Undangan Negeri Perak berbanding 27 Barisan Nasional.

PKR pula tambah satu kerusi dari tujuh sebelum ini jadi lapan manakala DAP 18 dan PAS enam.

Ada khabar angin yang bergelar kata PKR kini mengintai balik jawatan Menteri Besar Perak yang terpaksa diberi pada datuk seri Nizar Jamaluddin dari PAS kerana ADUN Melayu PKR tidak ada kelayakan akademik.

Nasaruddin ialah seorang graduan dan bekas pegawai kerajaan di Wisma Putra dan Kementerian Penerangan. / Agendadaily

http://www.klpos.com/news/2009/01/25/2.html

Adun lompat: MB alu-alukan, misi tarik lebih ramai Adun BN diteruskan


MB Perak, Datuk Seri Ir. Mohd. Nizar Jamaluddin
25 Jan 2009 10:36PM

MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohd. Nizar Jamaluddin berharap lebih ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) akan mengikut jejak wakil rakyat Bota, Datuk Nasarudin Hashim untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Mohd. Nizar berkata, beliau amat mengalu-alukan kemasukan Nasarudin yang juga bekas Pengerusi Felcra Berhad ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), salah satu komponen parti dalam Pakatan Rakyat, berkuat kuasa hari ini.

"Kita alu-alukan kemasukan beliau memandangkan beliau adalah orang yang hebat dan bijak.

"Kita minta ADUN yang lain mengikut jejak langkah beliau,"
katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman yang dibuat Nasarudin untuk menyertai PKR pada sidang media yang turut dihadiri Penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim kira-kira pukul 2.30 petang tadi di ibu pejabat PKR, di sini.

Nasarudin, 58, berkata, beliau mengambil keputusan itu setelah mempertimbangkan kepentingan rakyat khususnya penyokong dan pengundi di kawasan DUN Bota dan amat yakin dengan kepimpinan PKR yang mempunyai iltizam dan idealisme yang kuat untuk memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara ini.

Mohd. Nizar berkata, Nasarudin telah memberitahu hasrat beliau untuk menyertai PKR beberapa minggu yang lalu.

"Saya telah mengetahuinya sebelum ini dan beliau lebih nekad untuk mengambil keputusan itu setelah keputusan pilihan raya kecil Kuala Terengganu baru-baru ini yang berpihak kepada PAS," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan menawarkan sebarang jawatan kepada Nasarudin berikutan penyertaannya ke dalam Pakatan Rakyat, Nizar berkata, pihaknya akan berbincang mengenai perkara tersebut.

"Setakat ini, jawatan beliau adalah ADUN Bota. Kita tidak menyatakan tidak ada sebarang kemungkinan beliau ditawarkan jawatan... kita akan bincangkan," katanya.

Katanya, pihaknya kini sedang dalam usaha menarik lebih ramai ADUN dan ahli BN untuk menyertai Pakatan Rakyat.

"Kita sedang berusaha ke arah itu dan kini sedang merangka strategi untuk melaksanakannya," katanya.

Bernama melaporkan bahawa desas-desus mengenai kemungkinan Nasarudin meninggalkan Umno bertiup kencang selepas beliau tewas dalam pertandingan jawatan Ketua Umno Bahagian Parit pada pemilihan dua bulan lepas.

Nasaruddin adalah bekas timbalan ketua bahagian berkenaan. / Mstar

http://www.klpos.com/news/2009/01/25/3.html

Lompatan pertama YB


Yang pertama sejak heboh isu lompat parti bermula setahun yang lalu.. Adun Bota dari Umno (BN) isytihar keluar parti 'join' PKR - Foto The Star


25 Jan 2009 10:14PM



PJ: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota di Perak, Datuk Nasarudin Hashim menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuat kuasa hari ini.

Ia diumumkan oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di ibu pejabat parti itu dekat sini pukul 2.30 petang tadi.

Dalam pada itu, BN Perak mengadakan mesyuarat khas kira-kira pukul 9 malam ini yang antara lain membincangkan isu Nasarudin meninggalkan Umno untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi, Setiausaha Umno Perak, Datuk Ramly Zahari berkata, mesyuarat tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali di pejabat Umno di Ipoh.

Dengan perkembangan ini, Nasarudin yang juga bekas Ahli Parlimen Parit merupakan ADUN pertama dari Barisan Nasional (BN) dan ADUN kedua menyertai PKR sejak 8 Mac lalu.

Pada November lalu, ADUN Bebas Ngemah di Sarawak, Gabriel Adit menyertai PKR - salah satu anggota komponen Pakatan Rakyat.

Nasarudin juga merupakan bekas Pengerusi Felcra Berhad selama dua tahun sejak Oktober 2006.

Nasarudin ketika mengumumkan keputusannya itu berkata, beliau bertindak sedemikian setelah mempertimbangkan kepentingan rakyat khususnya penyokong dan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota.

Nasarudin, 58, berkata, beliau amat yakin dengan kepimpinan PKR yang mempunyai iltizam dan idealisme yang kuat untuk memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara ini.

"Setelah mengambil pertimbangan terutamanya melihat perkembangan suasana politik khasnya melihat arah tuju sokongan rakyat selepas pilihan raya umum ke-12 Mac lalu serta keadaan yang wujud dalam parti dan kepimpinan Umno masa kini, saya dengan ini mengambil keputusan untuk keluar dari Umno dan seterusnya menyertai PKR iaitu salah satu parti dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui belum memaklumkan keputusan itu kepada Umno dan akan menulis surat dalam waktu terdekat.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, Nasaruddin menewaskan calon PKR, Usaili Alias dengan majoriti 2,068 undi.

Nasarudin dari Umno memperoleh 6,556 undi.

Pada pilihan raya umum ke-12, Pakatan Rakyat yang kini memerintah Perak, menguasai 31 kerusi DUN manakala BN pula 28 kerusi.

Ketua Umum Pakatan Rakyat dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata, beliau gembira dengan perkembangan itu kerana Nasarudin merupakan seorang tokoh Umno yang penting di Perak terutama dalam Bahagian Parit.

"Beliau seorang yang aktif dalam Umno dan dianggap sebagai tokoh bukan sahaja di Bahagian Parit malah mempunyai potensi yang amat besar di Perak," katanya.

Anwar berkata, hal itu merupakan satu anjakan perubahan memandangkan salah satu sebab Nasarudin menyertai PKR adalah atas kehendak rakyat di kawasannya.

"Saya melihat ini sebagai satu permulaan baru dan anjakan perubahan dalam Pakatan Rakyat," katanya.

Ketika ditanya berhubung PKR Pulau Pinang yang mendakwa kerajaan negeri yang dikuasai DAP tidak mengadakan perbincangan dengan parti itu sebelum membuat sesuatu keputusan, Anwar berkata, beliau telah menerima laporan berhubung perkara itu daripada kerajaan negeri pagi tadi.

"Itu adalah isu di peringkat kerajaan negeri. Kita akan adakan perbincangan di peringkat Pakatan Rakyat di Pulau Pinang," katanya.

MESYUARAT BN

Dalam pada itu, BN Perak akan mengadakan mesyuarat kira-kira pukul 9 malam ini yang antara lain akan membincangkan isu 'lompat parti' Nasarudin.

Setiausaha BN Perak, Datuk Ramly Zahari berkata, mesyuarat tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali di pejabat Umno di Ipoh.

"Ada dua tiga perkara yang akan kita bincangkan hari ini. Antaranya adalah isu Datuk Nasarudin dan postmortem pilihan raya kecil Kuala Terengganu baru-baru ini," katanya lewat petang ini.

Beliau bagaimanapun menafikan bahawa mesyuarat ini diadakan mengejut kerana ia sudah dirancang sejak tiga minggu lalu.

"Bukan mengejut. Kita dah bincang nak adakan sejak dua tiga minggu sudah dan malam ini kita berkesempatan adakan sebab esok cuti Tahun Baru Cina," katanya.

Beliau berkata, mesyuarat tersebut akan dihadiri oleh semua ADUN BN di Perak.

Mengulas lanjut mengenai penyertaan Nasarudin ke dalam PKR, Ramly berkata, beliau berasa terkejut mendengar berita itu hari ini.

"Saya memang terkejut. Sebelum ini memanglah ada dengar khabar angin mengenai hal itu tapi biasalah khabar-khabar angin mengenai lompat parti memang selalu kedengaran sejak pilihan raya umum tempoh hari.

"Sepanjang pengetahuan saya, beliau (Nasarudin) tidak pernah memberitahu secara peribadi kepada sesiapa terutamanya kepada Datuk Seri Tajol sebagai Pengerusi BN.

"Jika benar beliau merasa terkilan tentang sesuatu perkara, beliau harus membincangkannya sesama kita,"
katanya.

Ditanya sama ada keputusan Nasarudin disebabkan beliau tewas dalam pertandingan jawatan Ketua Umno Bahagian Parit pada pemilihan dua bulan lalu, Ramly berkata, Nasarudin perlu memandang kekalahannya sebagai adat pemilihan.

"Kemungkinan beliau ini telah berjumpa dengan kepimpinan tertinggi PKR dan telah ditawarkan 'gunung permata' jika menyertai parti itu," katanya. / Mstar


http://www.klpos.com/news/2009/01/25/1.html

MB Selangor nak bongkar dokumen lama


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim




26 Jan 2009 11:23PM



MENTERI Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau akan mendedahkan dokumen membabitkan perbelanjaan kerajaan negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Beliau berkata, tindakan ketua pembangkang dan bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang mendedahkan dokumen mengenai pembiayaan lembu korban baru-baru ini telah mendorong beliau untuk melakukan tindakan yang sama.

Bagaimanapun, beliau berkata dokumen itu akan hanya didedahkan pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor.

"Ini sebab saya belajar daripada dia (Dr Mohamad Khir) tetapi saya akan dedahkan hanya di dalam sidang DUN (Dewan Undangan Negeri) Selangor... bukan di tempat sembarangan.

"Kita mesti hormati OSA (Akta Rahsia Rasmi) kerana kita telah angkat sumpah tetapi saya akan buat (pendedahan) dan saya percaya dia (Mohamad Khir) setuju," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Projek Perintis Laman Dapur Dewan Undangan Negeri Ijok di sini semalam.

Baru-baru ini Dr. Mohamad Khir mendedahkan beliau mempunyai salinan minit mesyuarat bertarikh 28 November tahun lepas yang disahkan Menteri Besar yang mengarahkan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNs), Selangor Incorporated Corporation (SIC) membiayai RM110,400 untuk pembelian 46 ekor lembu bagi ibadah korban dan peruntukan itu perlu ditanggung anak syarikat kerajaan negeri yang lain.

Bekas Menteri Besar Selangor itu juga mendakwa mempunyai resit pembayaran bagi lembu berkenaan berjumlah RM110,400 bertarikh 16 Disember dan memberitahu kesemua bukti itu telah diposkan kepadanya.

Ditanya sejauh mana kebenaran dakwaan Dr. Mohamad Khir itu, Abdul Khalid berkata: "(Dakwaan) Tidak berapa betul kerana saya hanya beri senarai surau di Bandar Tun Razak apabila PKNS putuskan untuk serah lembu di kawasan itu setelah mendermakan lembu di seluruh kawasan Selangor."

"PKNS dan anak syarikatnya hanya menjalankan tanggungjawab sosial korporatnya sahaja," kata beliau dipetik Bernama.

Mengenai dakwaan Mohamad Khir bahawa segala hasil negeri perlu dimaklumkan kepada Sultan Selangor, Abdul Khalid berkata, ketua pembangkang itu tidak sepatutnya membabitkan sultan dalam isu itu.

Sementara itu, beliau berkata dalam pertemuannya dengan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini, baginda bersetuju sebanyak RM1 juta daripada hasil kutipan zakat disumbangkan kepada Palestin. / Mstar

http://www.klpos.com/news/2009/01/26/9.html

Muthupalaniappan dipecat!

Jan 24, 09 3:36pm

M Muthupalaniappan yang mahu mencabar Datuk Seri S Samy Vellu untuk jawatan presiden MIC, telah dipecat.

Bagaimanapun, beliau masih boleh merayu dalam masa 14 hari dari tarikh 'surat pemecatannya' yang diterimanya dari lembaga disiplin parti itu pada 21 Januari.

Menurut surat tersebut, Muthupalaniappan, 68, dipecat kerana melanggar prinsip parti dan bertindak secara yang memudaratkan kepentingan parti.

Dalam surat tersebut, pengerusi jawatankuasa disiplin itu, G Vadiveloo berkata Muthupalaniappan dipecat berkuat serta merta.

Pemecatan beliau bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana bekas naib presiden MIC itu sentiasa membuat kritikan pedas terhadap Samy Vellu.

Sejak mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan presiden, Muthupalaniappan mengkritik Samy Vellu yang didakwa bertanggungjawab terhadap kekalahan teruk MIC dalam pilihanraya umum pada Mac 2008.

Sehubungan itu, tindak tanduk beliau itu didakwa bertentangan dan memudaratkan kepentingan MIC dan diberi surat tunjuk sebab.

Bagaimanapun, para pemerhati mendakwa ia mungkin satu usaha untuk memastikan Samy Vellu tidak dicabar untuk jawatan presiden.

Dalam surat tunjuk sebab bertarikh 23 Disember lalu, bekas naib presiden MIC itu dituduh membuat dakwaan tidak berasas terhadap kepimpinan parti dalam satu artikel yang disiarkan dalam akhbar Makkal Osai November lalu dan dalam wawancara ekslusif dengan Malaysiakini bulan lalu, di mana beliau antara lain, bercakap penutupan dan penubuhan cawangan MIC untuk tujuan politik.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan hari ini, Muthupalaniappan tidak kisah dengan perkembangan terkini itu.

Katanya, beliau "gembira kerana sudah tiba masanya untuk saya tidak lagi menjadi ahli MIC.

"Jika saya terus menjadi ahli, saya juga akan dituduh pengkhianat kepada masyarakat, Barisan Nasional dan negara keseluruhanya".

Beliau sekali lagi mengecam Samy Vellu dan menuduhnya menggunakan jawatan presiden MIC sebagai "perisai".

"Saya berharap akhirnya akar umbi MIC akan mengutamakan kepentingan parti daripada kepentingan peribadi," katanya.

Muthupalaniappan yang menjadi pengerusi MIC Negeri Sembilan selama 16 tahun, bagaimanapun berkata beliau telah banyak membawa kemajuan, perubahan dan manfaat kepada masyarakat India dan di negeri itu dan dihargai oleh masyarakat india di negeri itu.

"(Tetapi) itu MIC dulu," katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/97105

Umno Perak pujuk ADUN Bota ubah fikiran



Selasa Januari 27, 2009

Oleh ARIFUDDIN ISHAK


PETALING JAYA: Badan Perhubungan Umno Perak kini dalam usaha mengadakan perbincangan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasarudin Hashim bagi memujuk agar beliau kembali ke pangkuan Umno dan Barisan Nasional (BN).


Setiausaha Umno Perak, Datuk Ramly Zahary berkata, setakat hari ini pihaknya telah berjaya mengadakan rundingan dengan Nasarudin bagi mengetahui punca sebenar beliau memutuskan untuk meninggalkan BN dan menyertai Pakatan Rakyat.


"Rundingan sudah bermula... bagi kami ini merupakan petanda positif kerana sekurang-kurangnya masih wujud komunikasi antara beliau dan Umno negeri, kita tak putus hubungan lagi," katanya kepada mStar Online.


Ramly berkata pihaknya telah menghantar beberapa wakil yang rapat dengan Nasarudin untuk mengadakan rundingan dengan beliau.


"Kita sudah hantar wakil yang baik dengan beliau, biar mereka bincang dengan cara yang santai kerana itu lebih baik untuk kedua-dua pihak tanpa ada rasa segan silu," katanya.


Ditanya apakah perkembangan hasil pertemuan tersebut, beliau berkata sehingga kini pihaknya berpuas hati dengan perbincangan yang diadakan.


"Beliau (Nasarudin) sudi berbincang, maknanya laluan sudah terbuka.


"Namun kita akan terus beruasaha mengadakan perbincangan dengan beliau bagi mengetahui keadaan sebenar dan cuba selesaikan dengan baik,"
katanya.


Kelmarin, Nasarudin bertindak keluar daripada BN dan mengumumkan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkuat kuasa serta-merta.



IKRAR SETIA BN PERAK


Semalam wakil rakyat BN Perak yang menemui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak di ibu negara telah menyatakan ikrar akan kekal dalam BN.


Ikrar itu dibuat beberapa jam selepas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang mendakwa tiga lagi ADUN BN dijangka menyertai Pakatan Rakyat ekoran langkah Datuk Nasarudin Hashim kelmarin.


Mengulas lanjut, Ramly berkata, mereka melahirkan sumpah taat setia untuk terus bersama BN.


"Semalam semua ahli yang hadir membuat ikrar taat setia kepada BN di hadapan Datuk Seri Najib," kata beliau ketika dihubungi hari ini.


Malah, kata beliau, mereka juga mencapai kata sepakat iaitu masih menaruh harapan bahawa Nasarudin, ADUN Bota akan kembali menyertai Umno dan BN.


Tambah Ramly, mereka juga yakin Nasaruddin sedang menguji BN melalui tindakannya itu.


"Kita yakin beliau sedang uji BN... beliau nak tahu apakah reasksi kita selepas buat pengumuman untuk keluar.


"Kita sangat yakin dengan Datuk Nasarudin, beliau akan membuat perhitungan yang sewajarnya,"
katanya.


Pertemuan yang diadakan di ibu negara itu dihadiri oleh 26 daripada 27 ADUN dan 11 daripada 13 Ahli Parlimen BN dari Perak.


Selain itu Umno Perak juga menyeru supaya Nasarudin mengubah pendiriannya untuk meninggalkan BN.


"Kita seru supaya beliau patah balik (kembali) kepada Umno dan BN," katanya.


Mengulas lanjut mengenai pertemuan itu, Ramly berkata, semua pemimpin yang hadir berpeluang menyampaikan pandangan berhubung perkembangan terbaru itu.


Malah katanya, Najib turut menasihatkan agar pemimpin-pemimpin Umno dan BN supaya tidak mengeluarkan kenyataan bersifat negatif kerana ia akan menjejaskan proses rundingan dan perbincangan dengan Nasarudin.


Kata beliau lagi, Umno Perak mengklsifikasikan isu ini sebagai malapetaka kepada parti dan memandang serius mengenainya.


"Kita memandang serius mengenai perkebangan terbaru ini dan sedang berusaha mengambil tindakan yang wajar bagi membendungnya," katanya yang enggan menjelaskan dengan lebih lanjut.


Dalam pada itu, Najib ketika ditemui wartawan selepas pertemuan malam tadi berkata, antara ketetapan dibuat ialah semua memberi pengakuan dan disokong dengan setiap wakil rakyat menyatakan kesetiaan kepada BN melalui parti masing-masing.


"Waima apa jua keadaan sekalipun ini termasuk juga satu dua yang tidak hadir, tapi telah menelefon untuk menyatakan pendirian sama dan harap ia melenyapkan sebarang khabar angin yang diuar-uarkan oleh parti pembangkang yang menyatakan kononnya ada wakil rakyat BN dari Perak mahu melompat parti," katanya.


Najib yang juga Timbalan Pengerusi BN memberitahu, selain itu pertemuan malam tadi juga membincangkan beberapa perkara yang penting iaitu keutuhan berkhidmat kepada rakyat dan yakin kepada BN.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/27/mstar_mutakhir/20090127165127&sec=mstar_mutakhir

Tuesday, January 27, 2009

"Biarkan saya tanding tentukan kebenaran" - Muthu gesa MIC




Selasa Januari 27, 2009

Oleh G. MANIMARAN


Sambil menyifatkan kenyataan terbaru Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu semalam sebagai "satu lagi langkah mengelabui mata" semata-mata, Datuk M. Muthuppalaniappan, yang dipecat minggu lalu berkata, beliau wajar dibenarkan bertanding untuk menentukan kebenaran.


"Biarkan saya bertanding dan serahkan kepada ahli parti menentukan sama ada kenyataan-kenyataan media saya (sebelum ini) telah memudaratkan parti ataupun sebaliknya.


"Biar anggota parti yang menentukan perkara ini, bukan CWC (kerana didakwa tidak bebas).


"Kalau benar kenyataan saya telah menjejaskan parti, biar saya (diundi) ditewaskan,"
kata beliau ketika dihubungi.


Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Samy Vellu semalam bahawa beliau tidak akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) sekiranya ia dijadual mendengar rayuan Muthuppalaniappan kelak.


Muthuppalaniappan mempunyai masa 14 hari untuk mengemukakan rayuan kepada CWC berhubung keputusan Jawatankuasa Disiplin memecatnya.


Beliau berharap anggota CWC akan bertindak secara adil dan tanpa rasa bimbang jika ia membincangkan rayuannya.


"Beberapa anggota CWC yang menghubungi saya berpendapat tindakan memecat saya adalah tidak wajar, tetapi mereka tidak boleh meluahkan pendirian ini dalam CWC... mereka bimbang," katanya.




Presiden MIC: Samy tetap pertahan tidak kisah siapa pencabar


KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu tetap akan mempertahankan jawatan itu tidak kira siapa bakal pencabarnya dalam pemilihan Presiden kali ini.


Bekas anggota Kabinet itu berkata, beliau tidak kisah sama ada akan terdapat lagi calon yang mahu merebut kerusi itu selepas bakal pencabarnya, Datuk M. Muthuppalaniappan telah pun dipecat dari parti minggu lalu.


"Kami akan biarkan apa yang akan berlaku dan lihat apa yang akan berlaku," kata beliau di sini semalam sambil menambah, pemilihan bagi jawatan-jawatan lain akan diadakan September ini.


Muthuppalaniappan, bekas Naib Presiden MIC telah dipecat dari parti oleh Jawatankuasa Disiplin MIC berkuat kuasa minggu lalu.


Ia diumumkan dalam sepucuk surat bertarikh 21 Januari lalu.


Bagaimanapun beliau akan mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti itu.


Katanya, majoriti pemimpin akar umbi parti itu telah menghubunginya untuk menyatakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan itu selepas beliau didakwa mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejas imej parti.


Pada November lepas, Muthuppalaniappan mengumumkan akan mencabar Samy Vellu untuk jawatan Presiden MIC pada pemilihan presiden yang dijangka April atau Mei ini.


Jawatankuasa Disiplin memberi tempoh 14 hari kepada bekas Pengerusi MIC Negeri Sembilan itu untuk membuat rayuan kepada CWC.


"Jawatankuasa itu dibawah telunjuk Samy Vellu. Dia semakin takut bahawa saya akan mencabar dan menang. Jika ia tidak benar, kenapa ambil tindakan untuk sesuatu yang saya tidak lakukan.


"Saya juga tidak mendapat perbicaraan yang adil dan saksama,"
kata Muthuppalaniappan.


Muthuppalaniappan mendakwa CWC parti itu akan mengekalkan keputusan Jawatankuasa Disiplin itu kerana anggota CWC adalah pak turut Samy Vellu.


Samy Vellu, yang menerajui MIC sejak 1979, pernah berkata bahawa beliau akan mempertahankan jawatan presiden bagi penggal ke11 dan akan menyerahkan kepimpinannya kepada timbalannya selepas pemilihan jawatan lain parti pada perhimpunan agung parti yang dijadual September ini.


Sehubungan itu, Samy Vellu berkata, beliau tidak akan mempengerusikan CWC jika ia dijadual mendengar rayuan Muthuppalaniappan.


"Saya tidak akan mengulas pemecatannya memandangkan ia diputuskan oleh Jawatankuasa Disiplin," kata beliau.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/27/mstar_berita/20090127140852&sec=mstar_berita

Obama: Amerika bukan musuh negara Islam


Selasa Januari 27, 2009

WASHINGTON: Dalam temu bual yang pertama dengan stesen televisyen Al Arabiya sejak melangkah ke White House minggu lalu, Presiden Barack Obama menekankan soal ikatan peribadinya dengan dunia Islam dan harapan untuk melihat kewujudan sebuah negara Palestin.


"Saya mempunyai keluarga saya yang beragama Islam. Saya pernah tinggal di negara-negara Islam," kata Obama yang merupakan Presiden yang ke-44 Amerika Syarikat (AS).


Beliau mengangkat sumpah pada 20 Januari lalu menggantikan Presiden George W. Bush, yang dilihat oleh banyak pihak sebagai 'musuh' dan menjalin hubungan dingin dengan dunia Islam.


Dalam transkrip yang diedarkan oleh White House hari ini, Obama berkata:


"Tugas saya kepada dunia Islam adalah untuk menyampaikan mesej bahawa rakyat Amerika bukan musuh anda."


"Kami kadangkala melakukan kesilapan - kami bukan sempurna," kata Presiden pertama daripada kalangan masyarakat kulit hitam.


Temu bual dengan Al Arabiya yang ditujukan kepada masyarakat Islam di seluruh dunia, menekankan visi peribadinya - perubahan antarabangsa bersimbolik yang ditekankan oleh Obama sepanjang kempennya untuk menawan White House.


"Bagaimanapun jika anda melihat pada rekod prestasi (AS)... Amerika tidak lahir sebagai kuasa penjajah dan oleh itu, penghormatan dan rakan kongsi sama (sifatnya) yang Amerika miliki dengan dunia Islam, antara 20 hingga 30 tahun lalu, dan tiada sebab mengapa kita tidak boleh mengembalikannya," tambah beliau.


Ketika kempen pemilihannya, Obama telah berjanji untuk memperbaiki hubungan dengan dunia Islam.


Mesej hampir serupa juga ditekankan oleh Obama dalam ucapan sulungnya selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden minggu lalu.


Kata Obama, beliau akan mengambil bahagian dalam forum-forum Islam di luar negara untuk menyampaikan mesej itu.


"Kami akan melakukan untuk memenuhi komitmen kami bagi membolehkan saya memberikan ucapan dari sebuah ibu negeri negara Islam," kata Obama kepada stesen yang berpangkalan di Dubai.


Bagaimanapun beliau tidak menyatakan lokasi yang bakal beliau kunjungi dan masa.


"Kami akan melakukan untuk melaksanakan komitmen-komitmen saya agar lebih efektif dalam mendampingi, mendengar serta bercakap kepada dunia Islam," katanya.


Obama juga ditanya mengenai mesej yang disampaikan oleh rangkaian Al-Qaeda baru-baru ini sejak dipilih November lalu.


Beliau bersetuju dengan penemu bual bahawa suara rakaman video yang terbaru kelihatan "gugup".


"Apa yang ia menyatakan kepada saya ialah mereka muflis idea," katanya.


Mengenai perkembangan di Asia Barat, Obama memberitahu Israel dan Palestin bahawa sudah tiba masa kedua-duanya kembali ke meja perundingan.


Obama juga telah menghantar duta khas AS, George Mitchell ke rantau itu.


Bagaimanapun presiden baru itu tidak mahu harapan yang tinggi diletakkan dalam usaha mencari penyelesaian berhubung konflik Israel-Palestin.


"Saya percaya masa sudah tiba untuk kedua-dua pihak sedar bahawa hanya mereka yang akan menghasilkan kemakmuran dan keamanan di rantau itu," kata beliau sambil menambah, "malah, ini masanya untuk kembali ke meja perundingan."


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/27/mstar_berita/20090127145309&sec=mstar_berita

Tindakan Nasaruddin tidak jejas Umno Perak




Selasa Januari 27, 2009

SITIAWAN: Tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim melompat parti tidak melemahkan Umno Perak, sebaliknya memberi nafas baru bagi membina semula parti, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali hari ini.

Mengibaratkan tindakan Nasaruddin umpama 'jaringan gol awal' permainan bola sepak yang baru bermula, beliau berkata tindakan itu tidak akan menjejaskan Umno.


"Umpama permainan bola sepak, kita kena satu gol tidak bermakna kita akan kalah kerana permainan baru sahaja bermula," katanya kepada pemberita pada majlis jamuan Tahun Baru Cina anjuran Pengerusi MCA Perak, Datuk Kong Cho Ha di Dewan SMJK Nan Hwa di sini hari ini.


Tajol Rosli berkata usaha bersungguh-sungguh gabungan Pakatan Rakyat (PR) memujuk wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di negeri ini keluar parti dan menyertai mereka adalah satu langkah terdesak untuk mengekalkan kuasa PR di Perak.


Beliau mendakwa kerajaan PR di Perak terpaksa mengambil langkah sedemikian sebagai persediaan awal menghadapi kemungkinan akan kehilangan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Februari ini.


"Kalau kita ingat, kes rasuah membabitkan dua anggota Exco daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan dibicara di mahkamah Februari ini. Oleh itu mereka (PR) mengambil tindakan untuk memancing Adun BN terlebih dahulu sekiranya keputusan tidak memihak mereka berlaku pada Februari nanti," katanya.


Pada Ogos lepas, Kapt (B) Mohd Osman Jailu yang juga Adun Changkat Jering dan Jamaluddin Mohd Radzi yang juga Adun Behrang dihadapkan ke mahkamah kerana didakwa terlibat rasuah berhubung projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar.


Sementara itu, pada majlis jamuan Tahun Baru Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak di Ipoh, Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini menafikan tindakan Nasaruddin keluar Umno dan menyertai PKR kerana telah ditawarkan jawatan tertentu atau wang sebagai habuan.


Di KOTA KINABALU, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata tindakan Nasaruddin meninggalkan Umno untuk menyertai PKR mencemarkan proses demokrasi yang diamalkan di Malaysia.


"Rakyat telah memberi kepercayaan kepada seseorang berdiri di atas satu tiket (Umno), lepas itu dia lompat. Kepercayaan orang yang mengundi dia, bukan kerana diri dia sendiri, tetapi kerana kapasiti dia dalam parti yang diwakilinya yang menyebabkan dia menang (dalam pilihan raya)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Gabungan Persatuan-persatuan Cina Sabah Bersama Pemimpin di sini.


Shafie berkata wakil-wakil rakyat harus tegas dengan tindak-tanduk mereka di masa akan datang bagi memastikan perjuangan parti tidak dipersendakan dengan perbuatan seperti Adun Bota itu.


"Manusia bukan seperti barangan yang boleh dijual beli," katanya.


Mengenai pemilihan Umno Mac ini yang akan menyaksikan beliau bertanding merebut jawatan naib presiden, Shafie berkata beliau yakin perwakilan akan memilih pemimpin yang bukan sahaja dapat diterima oleh anggota parti, tetapi juga masyarakat Melayu dan kaum lain di luar Barisan Nasional.


"Sekiranya masyarakat lain boleh menerima kita, ini boleh membantu menguatkan parti kita, terutama dalam pilihan raya akan datang.


"Amat penting sekiranya masyarakat di luar parti menerima kita kerana merekalah yang menentukan kerajaan akan datang,"
katanya.


Pada majlis itu, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan menyumbangkan RM50,000 kepada gabungan persatuan Cina itu bagi melaksanakan pelbagai aktiviti kebudayaan, terutamanya aktiviti yang melibatkan golongan muda. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/27/mstar_berita/20090127181913&sec=mstar_berita

Hubungan Umno-Gerakan Pulau Pinang kembali jernih




Selasa Januari 27, 2009

PULAU PINANG: Sambutan Tahun Baru Cina kali ini dilihat mungkin menjadi titik permulaan yang akan menjernihkan kembali hubungan Umno dan Gerakan Pulau Pinang yang agak keruh sebelum ini.


Atas semangat setiakawan dan menghormati rakan dalam komponen Barisan Nasional (BN), para pemimpin Umno negeri turut sama-sama meraikan rakan mereka itu pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran Gerakan Pulau Pinang di ibu pejabat parti di Jalan Macalister, di sini hari ini.


Hubungan Umno dan Gerakan Pulau Pinang dikatakan agak renggang berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang dianggap menyinggung perasaan masyarakat Cina di negara ini semasa berceramah pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, Ogos lalu.


Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim ketika ditanya pemberita sama ada kehadiran pemimpin Umno pada majlis itu menandakan mereka telah berdamai, berkata Umno tidak pernah bersengketa malahan menghormati semua parti dalam komponen BN dan setiap kaum di negara ini.


"Cuma dalam hal ini (kenyataan Datuk Ismail) Gerakan yang marahkan Umno dan kemudian memutuskan hubungan di peringkat negeri. Kita harap kerjasama antara kedua-dua parti akan lebih harmoni sempena tahun baru ini dan hubungan kami lebih jernih," katanya.


Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon pula berkata kehadiran pemimpin Umno Pulau Pinang pada majlis rumah terbuka itu merupakan permulaan yang baik dalam semangat perayaan dan perpaduan.


Katanya Umno dan Gerakan Pulau Pinang sebenarnya mempunyai hubungan sebagai kawan, bagaimanapun berikutan beberapa perkara yang tidak disenangi membuatkan timbul masalah dalam hubungan itu.


"Sebenarnya kerjasama yang wujud antara Umno dan Gerakan dalam konteks Barisan Nasional (BN) di peringkat kebangsaan memang sangat kukuh.


"Bagaimanapun di Pulau Pinang, kita akan ambil masa untuk memulihkannya dan kehadiran mereka (pemimpin Umno) merupakan satu permulaan yang baik dalam semangat perayaan serta perpaduan," katanya.


Turut hadir pada majlis itu ialah Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Pengerusi Perhubungan MCA Pulau Pinang Datuk Liow Tiong Lai dan Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang (PCTH) Tan Sri Lim Gait Tong. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/27/mstar_berita/20090127151123&sec=mstar_berita

Langkah ADUN Bota petanda awal 'gelombang wakil rakyat'?


Selasa Januari 27, 2009

Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB


PETALING JAYA: Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota dari Umno, Datuk Nasarudin Hashim melompat Parti Keadilan Rakyat (PKR) kelmarin, salah satu komponen Pakatan Rakyat, dilihat kemungkinan petanda awal "gelombang wakil rakyat" berbanding "gelombang rakyat" Mac lalu.


Justeru, penganalisis politik berpendapat tindakan Nasarudin yang mengumumkan untuk menyertai Pakatan Rakyat kelmarin dilihat mungkin akan membuka jalan kepada wakil rakyat BN yang lain untuk mengikut langkah beliau.


Pensyarah sains politik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Ghazali Mahyudin berkata, untuk menyifatkan tindakan melompat parti ini sebagai permulaan 'gelombang wakil rakyat' mungkin terlalu awal, namun ia tidak mustahil.


"Setakat ini, mungkin terlalu awal untuk meramalkan akan ada lagi wakil rakyat BN yang akan melompat ke pembangkang kerana pada masa ini baru ada seorang wakil rakyat BN yang menyertai pembangkang.


"Jika ada yang kedua (menyertai pembangkang), mungkin itu boleh dikatakan permulaan 'gelombang wakil rakyat' selepas berlakunya 'gelombang rakyat' pada pilihan raya umum, Mac lalu,"
katanya ketika dihubungi mStar Online.


Beliau berkata, tindakan Nasarudin seperti 'menunjuk jalan' kepada wakil rakyat BN lain yang mungkin sedang berkira-kira untuk menyertai pembangkang.


"Hal ini tidak mustahil akan berlaku kerana dalam Umno, ada banyak puak dan mungkin ada yang rasa mereka dipinggirkan lalu memikirkan perkara itu.


"Mungkin ada yang tidak puas hati kerana kalah dalam perebutan jawatan dan sebagainya.


"Mungkin mereka tidak menyatakannya tetapi dalam diam-diam, siapa tahu... seperti apa yang dilakukan Nasarudin," katanya.


Ghazali berkata, tindakan nekad tersebut mungkin diambil Nasarudin memandangkan Umno kini berada dalam keadaan lemah dan mempunyai saingan yang semakin kuat.


"Jika Umno kuat dan parti lawan lemah, mungkin mereka akan berfikir dua kali untuk ke parti lawan tetapi oleh sebab Umno sedang lemah, maka mereka rasakan tidak ada guna bertahan dalam Umno.


"Kita tahu dalam politik, semua orang mahu menjaga kepentingan masing-masing dan istilah setiakawan adalah perkara terakhir yang diambil kira," katanya.


Beliau berkata, gabungan parti dalam Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP yang semakin kuat sememangnya mampu menarik wakil rakyat BN menyertai mereka.


"Selepas menang di lima negeri pada pilihan raya umum Mac lalu, mereka juga telah memenangi pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu dan jika tidak menang pun pada pilihan raya Sarawak yang akan datang, mereka mungkin berjaya menambah kerusi," katanya.


Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Ahmad Nizamuddin Sulaiman juga berpendapat, tindakan Nasarudin itu akan menarik wakil rakyat BN yang lain untuk mengikut jejak langkah beliau.


"Saya tidak menolak kemungkinan bahawa ia akan menjadi bola salji yang semakin lama semakin besar... semakin lama, semakin ramai pula yang akan bertindak demikian.


"Mungkin pada masa ini, ada yang sedang tunggu dan lihat dan tindakan ADUN Bota ini menyebabkan mereka semakin berani," katanya.


Beliau berkata, tindakan Nasarudin sebagai wakil rakyat Umno menyertai PKR sememangnya sesuatu yang mengejutkan memandangkan ahli-ahli Umno mempunyai disiplin yang kuat dan patuh kepada arahan parti.


"Walaupun beliau adalah ADUN, bukan ahli Parlimen tetapi tindakan beliau sebagai seorang pemimpin daripada Umno sememangnya mengejutkan.


"Kita tidak jangka 'lompat parti' ini akan berlaku di kalangan ahli Umno yang kuat disiplinnya dan sering mengikut arahan parti. Kita jangka mungkin wakil rakyat dari Sabah atau Sarawak,"
katanya.


Beliau berkata, tindakan Nasarudin itu bagaimanapun merupakan langkah 'selamat' kerana Perak kini diperintah oleh Pakatan Rakyat.


Bagaimanapun, beliau percaya, kekalahan Nasarudin merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Parit baru-baru ini menjadi penyumbang utama kepada tindakannya menyertai PKR.


"Walaupun beliau ADUN, jawatan Ketua Bahagian penting kerana saluran dana kerajaan pusat untuk membantu rakyat akan disalurkan kepada Ketua Bahagian.


"Mungkin kekalahannya itu menyebabkan beliau tidak berpuas hati dan merasakan telah hilang pengaruh,"
katanya.


Justeru katanya, BN sebagai parti pemerintah perlu mengkaji semula pengagihan dana ini yang bukan sahaja hanya diserahkan kepada Ketua Bahagian tetapi juga kepada ADUNnya.


Katanya, wakil-wakil rakyat Umno sepatutnya mempunyai semangat setiakawan yang kuat dan berjiwa Umno jika tidak mahu perkara ini terus berulang.


"Jangan kerana nyamuk seekor, habis kelambu dibakar," katanya.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/27/mstar_berita/20090127121922&sec=mstar_berita

Lim minta Kerajaan Pusat luluskan peruntukan RM500 juta



Selasa Januari 27, 2009

PULAU PINANG: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini sekali lagi meminta Kerajaan Persekutuan meluluskan permohonan kerajaan negeri bagi peruntukan RM500 juta untuk melaksanakan pelbagai projek yang telah dirancang di negeri itu.


"Saya berharap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan meluluskan peruntukan itu bagi melaksanakan projek monorel, Jalan Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) dan Jambatan Kedua Pulau Pinang yang sedang dilaksanakan, dapat disiapkan dengan jayanya," katanya pada majlis perayaan Tahun Baru Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang (PCTH) di sini hari ini.


Projek itu dirancang untuk kesejahteraan rakyat dan pemangkin ekonomi Pulau Pinang, katanya.


Turut hadir pada majlis itu ialah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, Pengerusi PCTH, Tan Sri Lim Gait Tong, Presiden Gerakan Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Pengerusi Perhubungan MCA Pulau Pinang, Datuk Liow Tiong Lai. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/27/mstar_berita/20090127161234&sec=mstar_berita

Siasat punca lompat parti - Zahid


Selasa Januari 27, 2009

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata siasatan lanjut perlu dilakukan bagi mencari punca tindakan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) melompat parti seperti yang dilakukan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota, Datuk Nasaruddin Hashim.


Ahmad Zahid berkata bantuan harus diberikan supaya tekanan peribadi tidak menyebabkan tekanan politik kepada wakil-wakil rakyat BN terutama di negeri-negeri yang diperintah pembangkang.


"Ini kerana mungkin daripada segi peruntukan, kita (Kerajaan Pusat) boleh membantu... Mungkin mereka mengalami masalah daripada segi membiayai aktiviti-aktiviti yang dilakukan sebagai wakil rakyat," katanya.


Mengenai tindakan Nasaruddin itu, beliau berkata: "Memang saya tidak terkejut dengan keputusan itu... tetapi pada saya, beliau mungkin mempunyai sebab-sebab tersendiri (untuk melompat parti) dan harus kita ketahui (sebabnya)," katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan Festival Pembangunan Ekonomi Islam 2009 (I-Fest 09) di sini.


Kelmarin Nasaruddin mengumumkan keputusannya untuk keluar Umno dan menyertai Parti Keadilan Rakyat dan menyatakan tindakan itu diambil setelah lama mempertimbangkannya. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/27/mstar_berita/20090127101813&sec=mstar_berita

3 lagi ADUN BN Perak sertai Pakatan?



Selasa Januari 27, 2009



MENTERI Besar Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin memberi angpow kepada singa ketika menghadiri rumah terbuka Tahun Baru Cina DAP di Ipoh semalam. Inilah julung-julung kalinya DAP Perak mengadakan rumah terbuka Tahun Baru Cina selepas Pakatan Rakyat menguasai negeri itu selepas Pilihan raya Umum ke-12 Mac lalu. -fotoBERNAMA



PETALING JAYA: Kira-kira 24 jam selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota dari Umno menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mendakwa tiga lagi ADUN Barisan Nasional (BN) dijangka menyertai Pakatan Rakyat.


Terdahulu di ibu negara, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan bahawa ada lagi wakil rakyat BN yang akan menyertai Pakatan Rakyat.


Timbalan Pengerusi BN itu menyifatkan semua itu sebagai khabar angin sahaja.


"Semua itu khabar angin sahaja...saya tidak fikir (ada lagi yang akan berpaling tadah)," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkara itu berikutan tindakan Datuk Nasaruddin Hashim yang menyertai PKR semalam.


Nizar ketika mengulas lanjut isu itu memberitahu, perbincangan dengan ketiga-tiga ADUN terbabit sedang berlangsung dengan Pakatan Rakyat.


"Kita sedang berurusan. Perbincangan mengenainya sedang berjalan," kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran DAP Perak di Ipoh hari ini.


Ketika ditanya mengenai identiti ADUN berkenaan, beliau berkata ketiga-tiga wakil rakyat berkenaan ialah dari Umno.


"Kami mengalu-alukan penyertaan mereka ke dalam Pakatan Rakyat dan kami terbuka untuk menerima mereka," katanya.


Dengan keputusan Nasarudin, kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak yang dianggota DAP, PAS dan PKR mempunyai 32 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala BN 27 kerusi iaitu 26 Umno dan satu MCA.


Dalam pada itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali berkata, keputusan Nasaruddin tidak menjejaskan kedudukan BN.


Kata beliau, keputusan Nasaruddin itu hanya membawa perubahan kepada jumlah kerusi di persidangan DUN.


Tajol Rosli, yang juga Pengerusi BN Perak, berkata BN di Perak masih kukuh dan berazam mahu merampas semula Perak daripada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum akan datang.


"Kita ada tiga tahun lagi untuk berbuat demikian dan BN telah menggerakkan semua jentera terutamanya untuk meraih undi pengundi muda.


"BN mendapati kekurangan undi pada pilihan raya umum ke-12 adalah di saluran tiga dan empat... kita akan gerakkan jentera untuk mendapatkan sokongan pengundi muda daripada saluran tersebut,"
katanya selepas menghadiri sambutan rumah terbuka Tahun Baru Cina Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Chuan di Gunung Rapat di sini.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/27/mstar_berita/20090126180417&sec=mstar_berita

Najib nafi ada lagi wakil rakyat BN lompat Pakatan

Selasa Januari 27, 2009



TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (empat, kanan) dan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat (lima, kanan) menggaul yee sang ketika menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA di Wisma MCA di sini, hari ini. Turut hadir ketua-ketua komponen Barisan Nasional (dari kiri) Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu; isteri Presiden MCA, Datin Seri Chooi Woke Chun; isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting dan isteri, Datin Seri Wendy Ong



KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menafikan bahawa ada lagi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang akan menyertai Pakatan Rakyat.


Beliau menyifatkan semua itu sebagai khabar angin sahaja.


"Semua itu khabar angin sahaja...saya tidak fikir (ada lagi yang akan berpaling tadah)," katanya ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA di Wisma MCA, di sini, semalam yang turut dihadiri pemimpin-pemimpin parti komponen BN, para diplomat asing serta pelancong asing.


Najib berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota daripada BN, Datuk Nasarudin Hashim yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam.


Timbalan Presiden Umno itu menyifatkan tindakan Nasaruddin sebagai satu perkara yang tidak diduga dan berharap Nasaruddin akan dapat berfikir semasak-masaknya berhubung tindakannya menyertai PKR.


Katanya, beliau difahamkan ada beberapa sebab mengapa Nasaruddin mengambil tindakan sedemikian, tetapi tidak menjelaskan sebab-sebab itu.


"(Tindakan Nasaruddin sertai PKR) satu perkara yang kita (BN) tak duga. Tapi saya berharap Adun Bota ini dapat berfikir semasak-masaknya langkah yang dia telah buat," katanya.


Kelmarin, Nasaruddin mengumumkan beliau keluar daripada Umno dan menyertai PKR setelah mempertimbangkan kepentingan rakyat khususnya para penyokong dan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri kawasan Bota.


Pengumuman itu dibuat di ibu pejabat PKR di sini yang turut dihadiri Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, Nasaruddin menewaskan calon PKR Kapt (B) Usaili Alias dengan majoriti 2,068 undi. Nasarudin memperoleh 6,556 undi.


Sementara itu, Najib ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Gerakan di sini, berharap semua wakil rakyat BN memikirkan semasak-masaknya sebelum mengambil keputusan untuk meninggalkan parti terutama ketika dalam saat parti amat memerlukan sokongan dan kesetiaan mereka.


"Tidaklah wajar sekiranya ada apa-apa masalah peribadi atau perasaan tidak puas hati, kita nak tinggalkan parti ataupun mengetepikan parti dalam saat parti memerlukan sokongan dan kesetiaan kita kepada parti dan perjuangan kita," katanya.


Beliau berkata, semua wakil rakyat mesti faham bahawa Umno dan BN secara keseluruhannya telah terlalu banyak menabur jasa pada rakyat dan negara.


Najib dijangka mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi BN Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali hari ini berhubung perkara itu.


Sebelum ini, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mendakwa, terdapat sebilangan lagi wakil rakyat BN yang sedang menanti untuk menyertai mereka selepas Nasarudin berbuat demikian.


Nasarudin adalah wakil rakyat BN pertama yang menyertai parti pembangkang selepas pilihan raya umum Mac lalu.


Dengan penyertaan itu, Pakatan kini mengukuhkan lagi penguasaan mereka di Perak dengan 32 kerusi DUN berbanding 27 daripada BN.


Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri berkata: "Akan berlaku banyak lagi 'lompat parti' selepas ini, kita sedang berusaha ke arah itu."


Bagaimanapun, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Mohammad Tajol Rosli Ghazali berkata, beliau berharap Nasarudin akan memikirkan semula keputusannya itu.


Tajol Rosli juga menjemput Nasarudin untuk menyertai beliau dalam satu perjumpaan dengan Najib petang ini.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/27/mstar_berita/20090126123510&sec=mstar_berita

Harga barang naik


Oleh Nor Adilah Bukhorie
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Harga barang keperluan harian yang dijual di beberapa pasar sekitar ibu kota menunjukkan peningkatan, bagaimanapun masih berada di bawah paras harga siling yang ditetapkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) sempena Tahun Baru Cina.

Tinjauan yang dibuat di Pasar Chow Kit di sini, semalam mendapati hampir keseluruhan peniaga mengikut peraturan dengan tidak meletakkan harga barang kawalan melebihi harga siling.

Peniaga ayam, Mohd Dani Abdullah, 25, berkata harga bagi ayam proses RM6.50 sekilogram, meningkat 15 peratus berbanding RM5.50 sekilogram sebelum ini.

“Kebanyakan peniaga ayam menjual dengan harga yang sama, tetapi kami menjual dengan harga yang berpatutan dan tidak menaikkan harga sesuka hati serta mengikut peraturan,” katanya.

Menurutnya, harga ayam meningkat kerana peningkatan harga daripada pemborong selain mendapat permintaan menggalakkan daripada pengguna sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina.

Peniaga sayur, Andi Tukiman, pula berkata harga sayur-sayuran tidak banyak berubah dan kebanyakannya masih lagi kekal pada harga sedia ada.

“Terdapat harga beberapa sayur yang naik seperti cili merah dan tomato, tetapi sayur-sayuran lain tidak berubah dan masih mampu dibeli pengguna serta mengikut peraturan,” katanya.

Harga bagi cili merah meningkat 10 peratus daripada RM10 sekilogram kepada RM11 sekilogram, manakala tomato naik 50 sen daripada RM2.50 sekilogram menjadikannya RM3 sekilogram.

Walaupun harga barang kawalan yang dijual tidak melebihi harga siling, pengguna mendakwa harga yang ditetapkan peniaga agak mahal serta berharap peniaga menurunkan harga dengan keadaan ekonomi sekarang yang agak lembab.

Bagi Hadi Marali, 45, yang bekerja sendiri, harga sedia ada sekarang terlalu mahal walaupun harga minyak sudah turun dan peniaga sepatutnya turut menurunkan harga barang yang dijual.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090126102610/Article/index_html

Sindiket pukau pegang tangan mangsa


RAUB: Helah digunakan mereka cukup mudah. Dengan hanya memegang tangan, tindakan itu cukup membuatkan mangsa ‘pening’ seolah-olah terpukau sebelum diarah menyerahkan barangan kemas atau wang tunai.

Selepas berjaya diperdaya, mangsa kemudian dibawa ke sebuah restoran berhampiran sebelum anggota sindiket pukau itu bertanyakan pula alamat rumah mangsa bagi mengelak tindakan mereka dicurigai orang ramai.

Sebaik mendapat alamat rumah mangsa, ahli sindiket terbabit kemudian pergi menggeledah rumah berkenaan untuk melarikan barang kemas dan wang tunai.

Dalam kes terbaru, Rabu lalu, dua wanita dan seorang lelaki rakyat China dipercayai dalang sindiket itu, mulanya menghampiri mangsa berusia 30 tahun sebelum berpura-pura bertanyakan rumah ibadat mereka.

Sebaik mangsa memberikan maklumat, seorang daripada suspek dikatakan akan memegang tangan mangsa sebelum terus mengajaknya ke sebuah restoran berhampiran.

Mangsa yang kebingungan kemudian diminta menyerahkan barang kemas dan wang tunai hingga kerugian kira-kira RM18,500.

Sebelum beredar, dua wanita dan seorang lelaki itu kemudian memberikan mangsa `air suci’ serta tujuh biji tomato selain mengarahkan mangsa supaya tidak menoleh ke belakang.

Mangsa hanya tersedar beberapa jam kemudian sebelum mendapati barang kemas dan wang tunai miliknya lesap lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Samsuddin Wan Osman, berkata berikutan kejadian itu, polis menahan kumpulan terbabit di daerah ini, tidak lama selepas mangsa membuat laporan.

Menurutnya, dua wanita dan seorang lelaki berusia 20-an itu kemudian dibawa ke IPD Raub untuk membantu siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

Katanya, setakat ini, polis masih meneruskan siasatan lanjut kejadian terbabit dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil di IPD Raub bagi membantu siasatan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090126101955/Article/index_html

‘Pak Haji’ kaki belit


Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Rasa curiga yang kerap terdetik menyelamatkan seorang ahli perniagaan wanita daripada menjadi mangsa penipuan licik seorang ‘Pak Haji’ yang cuba ‘menyamun’ wang berjumlah ribuan ringgit miliknya dengan menceritakan kesusahan dialaminya, baru-baru ini.

Bagi menguatkan lagi helahnya, lelaki berusia lingkungan 50-an itu turut menyamar kononnya dia adalah suami kepada seorang pengetua sebuah sekolah menengah di bandar raya ini.

Mangsa berusia lingkungan 30-an yang mencurigai tindak-tanduk lelaki terbabit cuba mendapatkan kesahihan itu daripada guru lain di sekolah berkenaan.

Namun, gerak hatinya tepat apabila mendapati ‘Pak Haji’ terbabit adalah penipu sebelum mangsa membuat laporan polis.

Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi Jumaat lalu, mangsa yang tinggal di sebuah kawasan perumahan di Lembah Keramat, dekat sini mendakwa menerima panggilan telefon daripada seseorang yang tidak dikenali.

“Lelaki itu dengan suara lembut memperkenalkan diri sebagai suami kepada seorang pengetua sebuah sekolah menengah di bandar raya ini dan memaklumkan dalam perjalanan ke lapangan terbang untuk menghantar anaknya belajar di United Kingdom.

“Dalam perbualan itu, lelaki yang bergelar ‘Pak Haji’ memaklumkan meminta mangsa membantunya dengan alasan terlupa membawa beg anaknya yang mengandungi dokumen penting, termasuk buku akaun bank yang kononnya tertinggal di rumah,”
katanya.

Sumber berkata, lelaki terbabit merayu agar mangsa meminjamkan wang RM5,000 untuk diberikan kepada anaknya.

“Mangsa yang kasihan bersetuju memasukkan wang ke dalam akaun bank seperti diminta sebelum bertanyakan ‘Pak Haji’ itu di mana bank berhampiran serta butiran dirinya.

“Lelaki itu dikatakan secara tiba-tiba menjadi panik dan berjanji akan menghubunginya semula sebelum mematikan talian,”
katanya.

Katanya, kira-kira setengah jam kemudian, lelaki itu menghubungi mangsa semula dan memberitahu bank berdekatan rumahnya dan namanya sebagai ‘Haji Nik Hamid’

“Namun, mangsa mula mengesyaki ada sesuatu apabila ‘Pak Haji’ terbabit hanya akan memberitahu nombor akaun banknya selepas dia sampai di bank berkenaan di sebuah kompleks beli-belah di Wangsa Maju.

“Mangsa kemudian menghubungi seorang kenalannya yang juga guru dan bertugas di sekolah di mana isteri ‘Pak Haji’ berkenaan mendakwa pengetua sekolah itu adalah isterinya.

“Mangsa terkejut apabila dimaklumkan nama suami pengetua itu lain dengan nama yang diberi ‘Pak Haji’ berkenaan,”
katanya.

Sumber berkata, mangsa kemudian dihubungi sekali lagi oleh ‘Pak Haji’ itu dan kali ini, mangsa meminta nombor telefon isterinya.

“Mangsa menghubungi nombor diberi ‘Pak Haji’ itu dan mendapati satu suara lelaki bukan Melayu mengangkat telefon berkenaan,” katanya.

Bimbang sesuatu buruk berlaku, mangsa membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090126101924/Article/index_html

Abhisit dibayangi isu pelarian Rohingya

DALAM tempoh bulan pertama dilantik sebagai perdana menteri, Abhisit Vejjajiva membuktikan kesungguhannya menangani isu hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang dalam pentadbirannya.

Namun, tanpa perlu mengambil masa lama, kerajaan Abhisit dibayangi tindakan tidak berperikemanusiaan tenteranya terhadap pelarian Rohingya dari Myanmar.

Diberitakan, pasukan keselamatan Thailand menunda bot berisi 992 pelarian Rohingya sehingga ke tengah laut dan membiarkan mereka terapung-apung di situ tanpa bantuan.

Untuk makluman, bot berkenaan tidak dilengkapi enjin untuk membolehkan penumpangnya menyelamatkan diri bergerak ke pantai.

Sebahagian mangsa yang terselamat selepas dihanyut ombak sehingga ke Indonesia atau Kepulauan Andaman berkata, dianggarkan 550 pelarian itu maut.
Semua mangsa beragama Islam itu juga mendakwa dipukul, dilayan kasar dan empat daripada mereka dicampak ke laut dengan tangan masing-masing diikat.

Tidak mengejutkan sama sekali, seperti biasa tentera Thailand tampil membuat penafian.

Insiden itu mengundang perhatian antarabangsa terhadap janji pemimpin Thailand lepasan Universiti Oxford itu untuk menghormati hak asasi manusia dalam pentadbirannya.

Pada masa sama, Abhisit juga sebenarnya terhutang budi kepada tentera Thailand kerana bersikap berkecuali dalam krisis kepemimpinan sebelum ini sehingga membuka ruang untuknya menjadi perdana menteri.

Walaupun berjanji untuk menyiasat dakwaan pelarian Rohingya itu, Abhisit turut mengeluarkan kenyataan menafikan penganiayaan berlaku bagi pihak tentera.

Malah, timbalannya, Suthep Thaugsuban, mendakwa insiden itu dirancang pihak tertentu untuk memburukkan imej Thailand.

Saintis politik di Universiti Chulalongkorn, Thitinan Pongsudhirak, berkata Abhisit tidak akan menghambat pentadbiran tentera hanya kerana isu itu.

“Tentera memainkan peranan besar sehingga membolehkan Parti Demokrat (pimpinan Abhisit) berjaya menguasai kerajaan.

“Disebabkan Abhisit terpaksa menerima hakikat ini, beliau mengambil sikap sederhana dalam isu pelarian Rohingya itu,”
katanya.

Dalam jangka pendek, kesan insiden itu terhadap Abhisit mungkin tidak ketara, terutama apabila media tempatan menguar-uarkan tentera berhak bertindak ke atas pelarian berkenaan atas alasan keselamatan.

Menurut akhbar, pelarian Rohingya itu berpotensi menjadi ‘pengganas Islam’ di kawasan selatan Thailand.

Pendirian itu memang mudah difahami jika penilaian dibuat berdasarkan sejarah bagaimana nasionalis Thailand dan rakyatnya - majoriti beragama Buddha - mengendalikan isu masyarakat Islam asing di negara iu.

Sikap Abhisit berpihak kepada tentera mengingatkan kepada perdana menteri sebelum ini, Thaksin Shinawatra, yang memang mempunyai rekod buruk dalam aspek hak asasi manusia.

Selepas 80 penunjuk perasaan dibiarkan mati kelemasan di belakang lori tentera di Tak Bai pada 2004, Thaksin enggan mengambil tindakan terhadap pelakunya.

Lebih keji, Thaksin berhelah dengan mendakwa kematian itu disebabkan mangsa terlalu lemah kerana ketika itu semua umat Islam berpuasa Ramadan.

Pemerhati berpendapat, sikap Thaksin itu adalah cubaannya untuk melunakkan pihak tentera yang akhirnya terbukti menggulingkan kerajaan dua tahun kemudian.

Dalam kes Abhisit, penganalisis percaya sikap perdana menteri itu lebih kepada ‘membalas budi’ terhadap pasukan keselamatan Thailand.

Memang sebelum Abhisit dilantik ke jawatan itu, tentera kurang bekerjasama dengan dua pengganti Thaksin (yang dilantik melalui pilihan raya), iaitu Samak Sundaravej dan Somchai Wongsawat.

Tentera juga enggan menguatkuasakan perintah darurat dikeluarkan kroni Thaksin itu, selain bersikap lunak ke atas penunjuk perasaan yang menawan Rumah Kerajaan serta dua lapangan terbang utama Thailand.

Pada satu ketika, Panglima Tentera Thailand, Anupong Paochinda, muncul di televisyen untuk mendesak Somchai - juga adik ipar Thaksin - supaya meletak jawatan bagi mengatasi krisis politik negara itu.

Tindakan Anupong digambarkan sebagai ‘rampasan kuasa tentera melalui televisyen’ bagi kerajaan Somchai.

Pakar Thailand di Universiti Kebangsaan Australia, Andrew Walker, berkata memang belum dapat disahihkan setakat mana pengaruh tentera ada dalam kerajaan Abhisit.

“Namun, adalah jelas Abhisit terhutang budi kepada pegawai tentera negaranya,” katanya.

Selain itu, ada faktor lain yang memungkinkan sebarang tindakan siasatan serius terhadap tentera tidak akan dibuat kerajaan.

Kolonel yang didakwa mendalangi episod terbaru itu, Manat Kongpan, didapati mahkamah terbabit secara langsung dalam kematian kira-kira 30 orang Islam di Masjid Krisek pada 2004.

Walaupun terbukti penduduk kampung dikepung dan ditembak di dalam masjid itu, tiada tindakan diambil terhadap Manat.

Beberapa hari lalu, Manat berdalih dengan mendakwa dia membekalkan makanan kepada pelarian Rohingya itu.

Keterangan Manat di depan jawatankuasa khas Parlimen itu bercanggah sama sekali dengan pengakuan mangsa.

Insiden terbaru itu menguatkan lagi kebimbangan kumpulan pejuang hak asasi manusia terhadap kemampuan pemimpin Thailand menguruskan isu kemanusiaan.

Tanpa latar belakang ketenteraan pun, pemimpin Thailand nampaknya tetap melindungi pasukan keselamatannya yang memang mencatat rekod buruk, terutama apabila berdepan dengan masyarakat Islam.

“Sepatutnya, dia (Manat) menghadapi dakwaan jenayah di mahkamah, tetapi sebaliknya dipilih mengepalai pasukan krisis antarabangsa ditubuhkan kerajaan baru,” kata anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Asia, Awzar Thi.

Kenyataan Awzar itu merujuk kepada jawatan terkini Manat, iaitu pegawai kanan Pusat Operasi Keselamatan Thailand, unit antikomunis yang ditubuhkan semula selepas kudeta tentera pada 2006. - Agensi

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090126100325/Article/index_html

Suami mungkin terkena penangan ilmu hitam



KUALA LUMPUR: Suami yang masih sanggup bertoleransi selepas mengetahui isterinya menjalin hubungan dengan lelaki lain, dan diperlakukan seperti hamba berkemungkinan besar terkena ‘penangan’ ilmu hitam.

Demikian reaksi Pengarah Perancangan dan Strategi Kumpulan Penyokong dan Pengaruh Profesional Islam (Pisang), Hanafi Abdul Malek (gambar), ketika mengulas kejadian seorang lelaki berjawatan tinggi di Kangar, Perlis, menjadi mangsa buli isterinya termasuk dicederakan.

Katanya, perbuatan isteri seperti itu bukan saja melanggar norma masyarakat, malah dilaknat Allah.

“Berdasarkan pengamatan, ada kemungkinan suami itu diguna-gunakan dengan ilmu penunduk kerana jarang orang berjawatan tinggi sepertinya boleh dibuli sedemikian rupa. Biasanya, suami terkena ilmu penunduk tidak perasan diperlakukan pelbagai perkara di luar batasan isteri dan sering memberi alasan toleransi serta tidak ingin bergaduh bagi menjaga kerukunan rumah tangga.

“Jika tidak menggunakan ilmu hitam sekalipun, isteri berkenaan tetap dilaknat kerana satunya, sanggup mendera dan kedua melakukan hubungan sulit dengan lelaki lain.,”
katanya.

Harian Metro sebelum ini mendedahkan seorang lelaki berjawatan tinggi dengan pendapatan lebih RM10,000 sebulan sanggup menjadi mangsa buli isterinya, termasuk dicederakan.

Paling menyedihkan, dia hanya diberikan wang saku RM20 setiap hari kerana wang gaji bulanannya dikawal isterinya.

Lebih malang, wanita itu turut mengambil kesempatan bermain kayu tiga apabila menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain.

Bagaimanapun, lelaki itu yang terlalu sayangkan isterinya hanya berdiam diri walaupun dia sepatutnya menjadi ketua keluarga.

Mengulas lanjut, Hanafi berkata, terdapat juga kemungkinan isteri lelaki berkenaan mengambil kesempatan menggunakan pendekatan psikologi selepas mengetahui kelemahan suaminya.

“Mungkin si suami mati pucuk atau mempunyai hutang sehingga isterinya mengugut mendedahkan kelemahan suami kepada masyarakat. Untuk mengetahui sama ada disihir atau tidak, lelaki itu perlu menjalani ujian imbasan pakar dalam bidang perubatan Islam,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pakar Psikiatri Forensik Universiti Malaya, Dr Muhammad Muhsin, ketika dihubungi, berkata sungguhpun tidak banyak, memang terdapat kes sedemikian dilaporkan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090126100115/Article/index_html

Sindiket guna ayat cinta


KUALA LUMPUR: Satu sindiket dikesan memerangkap pembantu rumah warga asing yang bekerja secara sah di negara ini menggunakan ayat-ayat cinta, sebelum memujuk mereka melarikan diri daripada majikan dan bekerja dengan ejen haram.

Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa), Datuk Zulkepley Dahalan berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada majikan berhubung kehilangan amah mereka.

“Biasanya kumpulan ini akan bergerak secara berkumpulan dan ada juga secara solo mendekati amah terbabit sebaik majikan mereka keluar bekerja.

“Ahli sindiket akan mendekati mangsa hingga sasaran lemah dengan segala janji yang ditaburkan sebelum bertindak memujuknya melarikan diri bersama mereka,”
katanya.

Menurutnya, selepas berjaya melarikan diri daripada majikan asal pembantu rumah itu akan mengikuti lelaki anggota sindiket itu untuk bekerja dengan ejen haram dan ada yang terbabit dengan jenayah

Zulkepley berkata, ejen haram itu akan memasarkan pembantu rumah yang melarikan diri itu kepada majikan yang terdesak memerlukan pembantu rumah dengan kos murah dan biasanya majikan akan menghadapi masalah dengan pembantu rumah seperti ini, kerana ada yang terbabit dengan jenayah.

Beliau menasihatkan agar majikan lebih berhati-hati mengambil pekerja asing khususnya pembantu rumah dan boleh merujuk kepada Papa bagi mengesahkan sama ada ejen warga asing terbabit berdaftar atau tidak.

Dalam satu kes pertengahan tahun lalu, seorang amah warga Indonesia bukan saja menghilangkan diri malah turut melarikan wang tunai RM5,000 milik majikannya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090126095658/Article/index_html

Arena Wati sempat siap transkrip tangan


SEMADI...Halimah menyiram air mawar di pusara Allahyarham
Arena Wati di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.


KUALA LUMPUR: Sasterawan Negara, Muhammad Dahlan Abdul Biang atau lebih dikenali sebagai Arena Wati meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras pagi semalam akibat barah paru-paru.

Allahyarham yang berumur 84 tahun meninggal dunia jam 1.40 pagi.

Beliau terkenal di kalangan pelajar sekolah menengah satu ketika dahulu, menerusi novelnya Sandera yang dijadikan teks sastera.

Beliau yang menerima rawatan di HUKM sejak 20 September lalu meninggal di sisi isterinya Halimah Sulong dan dua orang anak, Ratna Siti Akbari dan Hasanuddin.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta tengah hari semalam untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada jam 3 petang.

Empat orang lagi anak Allahyarham ialah Rahmah Wati, Hirianty, Ilhamuddin dan Kamaluddin Rostor.

Anak sulung beliau, Rahmah Wati berkata ketika Allahyarham dirawat di HUKM, bapanya masih sempat berkarya dan menyiapkan transkrip tulisan tangan untuk trinologi terakhirnya yang berjudul Bara-Baraya.

“Trinologi itu akan diterbitkan tahun ini yang berkisar mengenai perjuangan Melayu Nusantara,” katanya.

Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said menyifatkan Allahyarham sebagai sesuatu yang amat bernilai dalam arena sastera.

“Beliau seorang produktif dalam menghasilkan karya seni dan mempunyai banyak ilham dihasilkan menerusi pengalaman hidup,” katanya.

Arena Wati dilahirkan pada 30 Julai 1925 di Kalumpang Kabupatan, Jeneponto, Makasar, Indonesia.

Beliau pernah menggunakan beberapa nama pena lain seperti Duta Muda dan Patria.

Arena Wati pernah dianugerahkan beberapa anugerah seperti SEA Write Award (1985), dan Anugerah Sasterawan Negara (1988).

Arena Wati juga pernah menceburkan diri dalam dunia kewartawanan sekitar tahun 1954 dan pernah menjadi editor di Pustaka Antara.

Antara karya Allahyarham ialah Eno (1985), Syair Pangeran Syarif (1989), Syair Pangeran Syarif Hasyim Al-Qudsi (1989), Syair Perang Cina Di Monterado (1989), Burung Badai (1990), Turina (1991), Citra (1991),

Memoir Arena Wati Enda Gulingku (1991), Ombak Samudera (1992), Meniti Kala by Arena Wati (1993), Panrita (1993), Sudara (1994), Mevrouw Toga (1995), Begawan (1996), Jejak Kreatif oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (1996), Koleksi Terpilih Arena Wati (1996), Sukma Angin (1999), Getar-Getir Maya Kumpulan Cerpen (2000), Trilogi Busa (2002).

Armageddon (2004), Kutukan Dari Langit (2004), Langkah Pertama Kumpulan Cerpen Awal, 1954-1959 (2004), 7 Tegak Bersama (2005), Warna Sukma Usia Muda (2005) dan yang terakhir Cakra Waruga (2006).


Kebanyakkan hasil karya beliau merungkai permasalahan kelompok bawahan dan berkisar mengenai nasib atau pembelaan terhadap golongan tertindas. — Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090126101407/Article/index_html

Akhlak makin teruk


Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my



KUALA LUMPUR: “Apabila merasa diri sudah tidak bertuhan lagi menyebabkan ramai lelaki atau suami seolah-olah relakan saja jenayah sosial ini, manakala wanita pula merasakan diri mereka tidak boleh dipersalahkan atas masalah yang sudah berlaku.

“Ini semua petanda bahawa keruntuhan akhlak masyarakat Islam semakin teruk selain kebangkitan semula zaman jahiliah,”
kata pakar motivasi, Dr Rubiah K Hamzah mengulas kes isteri curang yang lebih berminat memburu lelaki warga asing.

Kes isteri curang mencari ‘kekasih gelap’ atau ‘makan luar’ di kalangan lelaki warga asing berkerjaya profesional, dianggap trend baru selepas mereka mendakwa lelaki warga asing mampu memuaskan segala-galanya mengatasi suami yang gagal berbuat demikian.

Rubiah berkata, apabila akal manusia sudah bertunjang kepada nafsu dan bukan lagi Tuhan, mereka gagal mengenal erti dosa dan pahala sekali gus menggambarkan institusi kekeluargaan tidak lagi menjadi tapak semaian terbaik untuk anak.

“Tidak mustahil apabila masalah ini berlarutan lebih lama, anak muda yang disifatkan bakal pemimpin masa depan menjadi lebih buruk perangainya kerana mereka sudah disogok dengan suapan duit ‘gelap’ begini daripada ibu bapa.

“Kalau di zaman jahiliah berhala menjadi tunjang memesongkan akidah, di zaman ini duit disifatkan pengganti, malah orang yang hilang pegangannya ini mencari kemewahan kerana dianggap lebih penting dan selamat.

“Lebih teruk lagi mereka sudah sampai tahap yang merasakan tidak perlu ada tuhan yakni Allah SWT untuk hidup, sebaliknya wang serta kemewahan lebih diutamakan,”
katanya.

Beliau yang juga penceramah bebas menjelaskan penguatkuasaan undang-undang dan didikan agama perlu dikembalikan kepada bentuk asal jika mahu memperbetulkan keadaan yang pincang itu sekali gus membawa pelaku ke pangkal jalan.

“Jangan pula kita biarkan saja undang-undang tanpa penguatkuasaan dan rasuah berleluasa kerana ini menyebabkan mereka yang mahu menegakkan keadilan enggan lagi melaporkan sebarang kepincangan dalam masyarakat kerana aduan mereka tidak dilayan.

“Akhir nanti apabila sukar dibendung, maka hilanglah terus rasa kemanusiaan yang menjadi sendi dalam masyarakat, sebaliknya mereka (masyarakat) lebih gemar tutup mata dan biarkan saja apa yang berlaku tanpa rasa mahu membetulkannya,”
katanya.

Metro Ahad semalam melaporkan kes suami atau isteri curang mungkin bukan perkara baru hingga timbulnya istilah ‘makan luar’ atau ‘kekasih gelap’ di kalangan masyarakat, bagaimanapun kini timbul ‘trend’ baru di kalangan isteri curang apabila mereka lebih berminat memburu lelaki warga asing yang bekerjaya profesional.

Temu bual dengan empat isteri curang yang kini menjalin hubungan dengan lelaki asing, semuanya warga asing, semuanya mengaku hubungan dengan kekasih masing-masing bukan setakat kawan biasa tetapi sehingga ke bilik tidur.

Alasan diberikan mereka di sebalik perlakuan keji itu ialah kecewa sikap suami masing-masing yang disifatkan gagal menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga, selain hilang kepercayaan terhadap kewibawaan lelaki tempatan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090126100203/Article/index_html

Nasaruddin umum tinggalkan Umno


IPOH: Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bota daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Nasaruddin Hashim, semalam menyertai kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ketika dihubungi berkata, Nasaruddin membuat pengumuman menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya semalam.

Dengan ini, kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak yang dianggotai DAP, PAS dan PKR mempunyai 32 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala BN 27 kerusi iaitu 26 Umno dan satu MCA.

Mohammad Nizar menyifatkan Nasaruddin, 58, yang juga bekas Pengerusi Felcra sebagai seorang yang beriman, berilmu dan berpengalaman.

Sementara itu, dalam kenyataan akhbar Nasaruddin yang diperoleh dari laman web Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau (Nasaruddin) berkata, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan kepentingan rakyat khususnya penyokong dan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri kawasan Bota.

Pada pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu, Nasaruddin menewaskan calon PKR, Kapt (B) Usaili Alias dengan majoriti 2,068 undi. Nasarudin memperoleh 6,556 undi.

Desas-desus mengenai kemungkinan Nasaruddin meninggalkan Umno bertiup kencang selepas beliau tewas dalam pertandingan jawatan Ketua Umno Bahagian Parit pada pemilihan dua bulan lalu. Nasaruddin adalah bekas timbalan ketua bahagian berkenaan. — Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090126095223/Article/index_html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...