Tuesday, January 27, 2009

Sindiket guna ayat cinta


KUALA LUMPUR: Satu sindiket dikesan memerangkap pembantu rumah warga asing yang bekerja secara sah di negara ini menggunakan ayat-ayat cinta, sebelum memujuk mereka melarikan diri daripada majikan dan bekerja dengan ejen haram.

Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa), Datuk Zulkepley Dahalan berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada majikan berhubung kehilangan amah mereka.

“Biasanya kumpulan ini akan bergerak secara berkumpulan dan ada juga secara solo mendekati amah terbabit sebaik majikan mereka keluar bekerja.

“Ahli sindiket akan mendekati mangsa hingga sasaran lemah dengan segala janji yang ditaburkan sebelum bertindak memujuknya melarikan diri bersama mereka,”
katanya.

Menurutnya, selepas berjaya melarikan diri daripada majikan asal pembantu rumah itu akan mengikuti lelaki anggota sindiket itu untuk bekerja dengan ejen haram dan ada yang terbabit dengan jenayah

Zulkepley berkata, ejen haram itu akan memasarkan pembantu rumah yang melarikan diri itu kepada majikan yang terdesak memerlukan pembantu rumah dengan kos murah dan biasanya majikan akan menghadapi masalah dengan pembantu rumah seperti ini, kerana ada yang terbabit dengan jenayah.

Beliau menasihatkan agar majikan lebih berhati-hati mengambil pekerja asing khususnya pembantu rumah dan boleh merujuk kepada Papa bagi mengesahkan sama ada ejen warga asing terbabit berdaftar atau tidak.

Dalam satu kes pertengahan tahun lalu, seorang amah warga Indonesia bukan saja menghilangkan diri malah turut melarikan wang tunai RM5,000 milik majikannya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090126095658/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...