Tuesday, January 27, 2009

Abhisit dibayangi isu pelarian Rohingya

DALAM tempoh bulan pertama dilantik sebagai perdana menteri, Abhisit Vejjajiva membuktikan kesungguhannya menangani isu hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang dalam pentadbirannya.

Namun, tanpa perlu mengambil masa lama, kerajaan Abhisit dibayangi tindakan tidak berperikemanusiaan tenteranya terhadap pelarian Rohingya dari Myanmar.

Diberitakan, pasukan keselamatan Thailand menunda bot berisi 992 pelarian Rohingya sehingga ke tengah laut dan membiarkan mereka terapung-apung di situ tanpa bantuan.

Untuk makluman, bot berkenaan tidak dilengkapi enjin untuk membolehkan penumpangnya menyelamatkan diri bergerak ke pantai.

Sebahagian mangsa yang terselamat selepas dihanyut ombak sehingga ke Indonesia atau Kepulauan Andaman berkata, dianggarkan 550 pelarian itu maut.
Semua mangsa beragama Islam itu juga mendakwa dipukul, dilayan kasar dan empat daripada mereka dicampak ke laut dengan tangan masing-masing diikat.

Tidak mengejutkan sama sekali, seperti biasa tentera Thailand tampil membuat penafian.

Insiden itu mengundang perhatian antarabangsa terhadap janji pemimpin Thailand lepasan Universiti Oxford itu untuk menghormati hak asasi manusia dalam pentadbirannya.

Pada masa sama, Abhisit juga sebenarnya terhutang budi kepada tentera Thailand kerana bersikap berkecuali dalam krisis kepemimpinan sebelum ini sehingga membuka ruang untuknya menjadi perdana menteri.

Walaupun berjanji untuk menyiasat dakwaan pelarian Rohingya itu, Abhisit turut mengeluarkan kenyataan menafikan penganiayaan berlaku bagi pihak tentera.

Malah, timbalannya, Suthep Thaugsuban, mendakwa insiden itu dirancang pihak tertentu untuk memburukkan imej Thailand.

Saintis politik di Universiti Chulalongkorn, Thitinan Pongsudhirak, berkata Abhisit tidak akan menghambat pentadbiran tentera hanya kerana isu itu.

“Tentera memainkan peranan besar sehingga membolehkan Parti Demokrat (pimpinan Abhisit) berjaya menguasai kerajaan.

“Disebabkan Abhisit terpaksa menerima hakikat ini, beliau mengambil sikap sederhana dalam isu pelarian Rohingya itu,”
katanya.

Dalam jangka pendek, kesan insiden itu terhadap Abhisit mungkin tidak ketara, terutama apabila media tempatan menguar-uarkan tentera berhak bertindak ke atas pelarian berkenaan atas alasan keselamatan.

Menurut akhbar, pelarian Rohingya itu berpotensi menjadi ‘pengganas Islam’ di kawasan selatan Thailand.

Pendirian itu memang mudah difahami jika penilaian dibuat berdasarkan sejarah bagaimana nasionalis Thailand dan rakyatnya - majoriti beragama Buddha - mengendalikan isu masyarakat Islam asing di negara iu.

Sikap Abhisit berpihak kepada tentera mengingatkan kepada perdana menteri sebelum ini, Thaksin Shinawatra, yang memang mempunyai rekod buruk dalam aspek hak asasi manusia.

Selepas 80 penunjuk perasaan dibiarkan mati kelemasan di belakang lori tentera di Tak Bai pada 2004, Thaksin enggan mengambil tindakan terhadap pelakunya.

Lebih keji, Thaksin berhelah dengan mendakwa kematian itu disebabkan mangsa terlalu lemah kerana ketika itu semua umat Islam berpuasa Ramadan.

Pemerhati berpendapat, sikap Thaksin itu adalah cubaannya untuk melunakkan pihak tentera yang akhirnya terbukti menggulingkan kerajaan dua tahun kemudian.

Dalam kes Abhisit, penganalisis percaya sikap perdana menteri itu lebih kepada ‘membalas budi’ terhadap pasukan keselamatan Thailand.

Memang sebelum Abhisit dilantik ke jawatan itu, tentera kurang bekerjasama dengan dua pengganti Thaksin (yang dilantik melalui pilihan raya), iaitu Samak Sundaravej dan Somchai Wongsawat.

Tentera juga enggan menguatkuasakan perintah darurat dikeluarkan kroni Thaksin itu, selain bersikap lunak ke atas penunjuk perasaan yang menawan Rumah Kerajaan serta dua lapangan terbang utama Thailand.

Pada satu ketika, Panglima Tentera Thailand, Anupong Paochinda, muncul di televisyen untuk mendesak Somchai - juga adik ipar Thaksin - supaya meletak jawatan bagi mengatasi krisis politik negara itu.

Tindakan Anupong digambarkan sebagai ‘rampasan kuasa tentera melalui televisyen’ bagi kerajaan Somchai.

Pakar Thailand di Universiti Kebangsaan Australia, Andrew Walker, berkata memang belum dapat disahihkan setakat mana pengaruh tentera ada dalam kerajaan Abhisit.

“Namun, adalah jelas Abhisit terhutang budi kepada pegawai tentera negaranya,” katanya.

Selain itu, ada faktor lain yang memungkinkan sebarang tindakan siasatan serius terhadap tentera tidak akan dibuat kerajaan.

Kolonel yang didakwa mendalangi episod terbaru itu, Manat Kongpan, didapati mahkamah terbabit secara langsung dalam kematian kira-kira 30 orang Islam di Masjid Krisek pada 2004.

Walaupun terbukti penduduk kampung dikepung dan ditembak di dalam masjid itu, tiada tindakan diambil terhadap Manat.

Beberapa hari lalu, Manat berdalih dengan mendakwa dia membekalkan makanan kepada pelarian Rohingya itu.

Keterangan Manat di depan jawatankuasa khas Parlimen itu bercanggah sama sekali dengan pengakuan mangsa.

Insiden terbaru itu menguatkan lagi kebimbangan kumpulan pejuang hak asasi manusia terhadap kemampuan pemimpin Thailand menguruskan isu kemanusiaan.

Tanpa latar belakang ketenteraan pun, pemimpin Thailand nampaknya tetap melindungi pasukan keselamatannya yang memang mencatat rekod buruk, terutama apabila berdepan dengan masyarakat Islam.

“Sepatutnya, dia (Manat) menghadapi dakwaan jenayah di mahkamah, tetapi sebaliknya dipilih mengepalai pasukan krisis antarabangsa ditubuhkan kerajaan baru,” kata anggota Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Asia, Awzar Thi.

Kenyataan Awzar itu merujuk kepada jawatan terkini Manat, iaitu pegawai kanan Pusat Operasi Keselamatan Thailand, unit antikomunis yang ditubuhkan semula selepas kudeta tentera pada 2006. - Agensi

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090126100325/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...