Tuesday, January 27, 2009

Nasaruddin umum tinggalkan Umno


IPOH: Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bota daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Nasaruddin Hashim, semalam menyertai kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ketika dihubungi berkata, Nasaruddin membuat pengumuman menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya semalam.

Dengan ini, kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak yang dianggotai DAP, PAS dan PKR mempunyai 32 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala BN 27 kerusi iaitu 26 Umno dan satu MCA.

Mohammad Nizar menyifatkan Nasaruddin, 58, yang juga bekas Pengerusi Felcra sebagai seorang yang beriman, berilmu dan berpengalaman.

Sementara itu, dalam kenyataan akhbar Nasaruddin yang diperoleh dari laman web Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau (Nasaruddin) berkata, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan kepentingan rakyat khususnya penyokong dan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri kawasan Bota.

Pada pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu, Nasaruddin menewaskan calon PKR, Kapt (B) Usaili Alias dengan majoriti 2,068 undi. Nasarudin memperoleh 6,556 undi.

Desas-desus mengenai kemungkinan Nasaruddin meninggalkan Umno bertiup kencang selepas beliau tewas dalam pertandingan jawatan Ketua Umno Bahagian Parit pada pemilihan dua bulan lalu. Nasaruddin adalah bekas timbalan ketua bahagian berkenaan. — Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090126095223/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...