Tuesday, January 27, 2009

Harga barang naik


Oleh Nor Adilah Bukhorie
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Harga barang keperluan harian yang dijual di beberapa pasar sekitar ibu kota menunjukkan peningkatan, bagaimanapun masih berada di bawah paras harga siling yang ditetapkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) sempena Tahun Baru Cina.

Tinjauan yang dibuat di Pasar Chow Kit di sini, semalam mendapati hampir keseluruhan peniaga mengikut peraturan dengan tidak meletakkan harga barang kawalan melebihi harga siling.

Peniaga ayam, Mohd Dani Abdullah, 25, berkata harga bagi ayam proses RM6.50 sekilogram, meningkat 15 peratus berbanding RM5.50 sekilogram sebelum ini.

“Kebanyakan peniaga ayam menjual dengan harga yang sama, tetapi kami menjual dengan harga yang berpatutan dan tidak menaikkan harga sesuka hati serta mengikut peraturan,” katanya.

Menurutnya, harga ayam meningkat kerana peningkatan harga daripada pemborong selain mendapat permintaan menggalakkan daripada pengguna sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina.

Peniaga sayur, Andi Tukiman, pula berkata harga sayur-sayuran tidak banyak berubah dan kebanyakannya masih lagi kekal pada harga sedia ada.

“Terdapat harga beberapa sayur yang naik seperti cili merah dan tomato, tetapi sayur-sayuran lain tidak berubah dan masih mampu dibeli pengguna serta mengikut peraturan,” katanya.

Harga bagi cili merah meningkat 10 peratus daripada RM10 sekilogram kepada RM11 sekilogram, manakala tomato naik 50 sen daripada RM2.50 sekilogram menjadikannya RM3 sekilogram.

Walaupun harga barang kawalan yang dijual tidak melebihi harga siling, pengguna mendakwa harga yang ditetapkan peniaga agak mahal serta berharap peniaga menurunkan harga dengan keadaan ekonomi sekarang yang agak lembab.

Bagi Hadi Marali, 45, yang bekerja sendiri, harga sedia ada sekarang terlalu mahal walaupun harga minyak sudah turun dan peniaga sepatutnya turut menurunkan harga barang yang dijual.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090126102610/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...