Thursday, July 1, 2010

Aktor Winter Sonata Bunuh Diri

Published: Rabu Jun 30, 2010 MYT 5:39:00 PM
Updated: Rabu Jun 30, 2010 MYT 6:07:40 PM

Park Yong-Ha

SEOUL: Pelakon dan penyanyi popular Korea Selatan Park Yong-Ha, 33, ditemui tidak bernyawa dan dilaporkan membunuh diri pagi tadi.

Tubuhnya ditemui di kediamannya di Nonhyung-dong, Seoul oleh ibunya sendiri.

Laporan Yonhap News hari ini melaporkan sebelum membunuh diri, pelakon Winter Sonata itu sempat mengirimkan SMS kepada ayahnya yang sedang bertarung dengan sakit kanser perut.

SMS yang dihantar itu berbunyi: "I'm Sorry. I'm Sorry". Namun begitu dia tidak meninggalkan sebarang surat perpisahan.

Menurut pihak polis Metropolitan Seoul, Park membunuh diri dengan menggantungkan dirinya menggunakan kabel charger telefon bimbit.

Bagaimanapun, motif tindakannya membunuh diri itu masih tidak diketahui lagi. Pihak polis masih lagi melakukan penyelidikan lebih lanjut tentang tragedi tersebut.

Park memulakan kerjaya seninya bermula pada tahun 1994. Namun, namanya mula melonjak di Korea dan Jepun setelah membintangi drama bersiri Winter Sonata pada 2002.

Selepas itu, Park turut membintangi tiga buah filem. Yang terakhir adalah The Scam yang telah ditayangkan pada 2009.

Tidak hanya setakat itu, Park juga popular sebagai penyanyi. Selain melancarkan beberapa album di Koria dan Jepun. Dia juga pernah memenangi beberapa anugerah seperti Japan Gold Disc Awards bagi kategori Artis Asian Terbaik, Lagu Sepanjang Tahun serta Anugerah Istimewa Japan-Korea Friendship Year 2005.

Disebabkan kematian mengejut itu, banyak pihak telah menyuarakan rasa khuatir mereka terhadap kes bunuh diri di Korea Selatan.

Negara tersebut telah mencatatkan kadar kes bunuh diri yang semakin meningkat sejak beberapa tahun kebekalakangan ini.

Pada 2 Oktober 2008, artis terkenal Choi Jin-Sil juga ditemui telah menggantungkan diri di bilik mandi rumahnya. Sebelum itu, pada 8 September 2008, suaminya, Ahn Jae-hwan yang merupakan pelawak terkenal ditemui mati di dalam keretanya.

Tubuh Choi Jin-Sil telah ditemui oleh adik lelakinya, Choi Jin-yeong. Dia yang turut melibatkan diri sebagai aktor dan penyanyi kemudian telah mengambil keputusan untuk membunuh diri pula pada 29 Mac lalu.

Kematian Choi Jin-yeong itu dipercayai berpunca akibat daripada rasa tekanan dan depresi setelah kematian kakak tersayangnya.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/6/30/mstar_hiburan/20100630173540&sec=mstar_hiburan

Balu dapat ganti rugi RM1.4 juta

KUALA LUMPUR - Seorang balu berjaya mendapat ganti rugi RM1.4 juta setelah Mahkamah Tinggi di sini semalam mendapati berlaku kecuaian pihak polis apabila suaminya yang disyaki penagih dadah mati ketika dalam tahanan lokap Balai Polis Rawang 11 tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng memutuskan perkara itu ketika membenarkan rayuan Suzana Md. Aris berhubung taksiran ganti rugi yang diberikan terlebih dahulu kepadanya sebanyak RM137,220.

Suzana selaku plaintif memfailkan saman pada tahun 2000 terhadap Deputi Supritendan Ishak Hussin, yang merupakan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Gombak dan Asisten Komisioner Massari Hashim selaku Ketua Polis Daerah.

Selain mereka sebagai defendan pertama dan kedua, suri rumah itu turut menamakan Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Norian Mai dan kerajaan Malaysia sebagai defendan ketiga dan keempat.

Plaintif menuntut ganti rugi RM1.7 juta setelah mendakwa polis cuai dalam menjalankan tugas sehingga suaminya Mohd. Anuar Sharip, 31, meninggal dunia di dalam lokap pada 19 Ogos 1999 kerana menghidap radang paru-paru.

Suzana yang mempunyai dua anak berusia 19 dan 13 tahun bagaimanapun tidak hadir dan diwakili peguam P. Uthayakumar.

Swee Seng dalam keputusannya hanya semalam memerintahkan supaya bekas Ketua Polis Negara itu (kapasiti peribadi) dan kerajaan bertanggungjawab membayar ganti rugi tersebut.

Mahkamah menetapkan ganti rugi tanggungan bagi dua anak plaintif berjumlah RM400,000, ganti rugi am dan teruk berjumlah RM1 juta dan kadar faedah lapan peratus dari tarikh kematian sehingga selesai saman.

Kesemua defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Wan Roslan Wan Ismail.

Sementara itu Suzana bersyukur dengan keputusan mahkamah dalam menuntut keadilan atas kematian suaminya 11 tahun lalu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0701&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Wanita lari separuh bogel elak diperkosa 10 lelaki

2010/06/30

GERIK: Seorang remaja perempuan terpaksa lari dalam keadaan separuh bogel sejauh kira-kira satu kilometer bagi menyelamatkan diri daripada diperkosa 10 lelaki sebaik selesai mengadakan hubungan seks dengan teman lelakinya di sebuah ladang kelapa sawit, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam itu, remaja berusia 18 tahun dari sebuah kampung di sini, pada mulanya dibawa bersiar-siar oleh teman lelakinya berusia 20-an dengan motosikal.


Sumber berkata, remaja itu dibawa sejauh kira-kira 40 kilometer sebelum memasuki sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Belum Baru dan mengadakan hubungan seks dengan teman lelakinya itu.


“Bagaimanapun, selepas masing-masing keletihan dan berehat di bawah pokok kelapa sawit, tiba-tiba datang 10 lelaki dengan beberapa motosikal dan cuba merogol remaja itu.


“Disebabkan ketakutan kerana melihat ramai lelaki cuba merogolnya, mangsa meronta dan melarikan diri dengan mencapai seluar dan telefon bimbitnya,”
katanya.


Katanya, mangsa hanya sempat memakai seluarnya ketika lari menyelamatkan diri dengan berjalan kaki sejauh kira-kira satu kilometer sebelum menghubungi talian 999.


Menurut sumber, 10 minit kemudian, sepasukan anggota polis tiba dan menyelamatkan remaja itu daripada menjadi mangsa rogol beramai-ramai.


Mangsa kemudian membuat laporan polis pada malam kejadian sebelum dibawa ke Hospital Gerik (HG) dan doktor mengesahkan terdapat kesan koyakan pada kemaluan mangsa.


“Mangsa mengaku kenal teman lelakinya sebulan lalu dan kali pertama melakukan hubungan seks,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Wanitalariseparuhbogelelakdiperkosa10lelaki/Article

Buang atas daun pisang



Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my
2010/06/30

RAWANG: Malang sungguh nasib seorang bayi lelaki yang baru beberapa jam dilahirkan apabila ditinggalkan dalam keadaan bogel dengan hanya beralaskan daun pisang oleh ibu kandungnya sendiri di belakang sebuah rumah di Jalan Mawar 6, Taman Mawar, Rawang di sini, pagi semalam.

Perbuatan tidak berperikemanusiaan remaja berusia 18 tahun itu yang bekerja sebagai pembantu sebuah kedai kain di bandar ini bagaimanapun menjerat dirinya sendiri apabila dia ditahan polis selepas seorang penduduk membuat laporan mengenai penemuan bayi berkenaan yang masih bertali pusat sejam selepas bayi itu ditinggalkan di belakang rumahnya, kira-kira jam 10 pagi.

Ketika ditahan, remaja berkenaan berada dalam keadaan lemah dan letih dipercayai kerana baru melahirkan anak dalam sebuah bilik di rumah ibu saudaranya di kawasan sama.

Difahamkan, remaja terbabit menumpang di rumah ibu saudaranya di sini selepas dia didapati mengandung hasil hubungan seks dengan teman lelakinya yang dikenali sejak Oktober tahun lalu dan sepanjang perkenalan itu, mereka dikatakan sudah dua kali melakukan persetubuhan haram.

Bagaimanapun, sejurus mengetahui remaja itu mengandung, teman lelakinya yang selama ini dikatakan hanya mengambil kesempatan selepas menabur janji dan ungkapan cinta, menghilangkan diri.

Difahamkan, teman lelakinya enggan bertanggungjawab menyebabkan kehidupan remaja terbabit terumbang-ambing sebelum dia mengambil keputusan menumpang di rumah ibu saudaranya.

Remaja dari Taman Puchong Permai, Puchong, dekat sini itu terpaksa menumpang di rumah ibu saudaranya untuk mengelak jiran mengetahui dia mengandung.

Bayi berkenaan dipercayai baru dilahirkan beberapa jam sebelum ditemui seorang penduduk selepas dia mendengar tangisan ketika melalui kawasan berkenaan, sebelum memaklumkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, susulan laporan itu, anggota Unit Peronda Polis (MPV) Rawang bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati bayi terbabit masih hidup dan cukup sifat.

“Hasil siasatan dan beberapa maklumat yang diperoleh, polis menahan seorang remaja berusia 18 tahun yang dipercayai ibu kepada bayi terbabit kira-kira jam 11 pagi.

“Suspek ditahan di rumah ibu saudaranya yang berusia 40-an,”
katanya.
Menurutnya, ketika ditemui bayi malang itu dalam keadaan sihat dan tidak ada kesan lebam atau luka di badannya kecuali hanya sedikit kesan gigitan serangga.

“Kami percaya bayi itu hasil hubungan terlarang suspek bersama teman lelakinya yang dilahirkan di rumah saudaranya itu dan polis tidak menolak kemungkinan ada individu lain membantu membuang bayi terbabit.

“Polis akan mengambil keterangan ibu saudara suspek yang berkemungkinan besar bersubahat dalam kes pembuangan bayi itu dan gerakan mengesan teman lelakinya dijalankan bagi membantu siasatan,”
katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan, manakala bayi dan suspek dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan susulan berikutan bimbang terdapat kecederaan dalaman pada bayi terbabit.

Sementara itu, Harian Metro difahamkan remaja terbabit kurang bergaul dengan penduduk di kawasan itu dan beberapa jiran memaklumkan mereka pernah ternampak suspek, namun tidak mengetahui yang dia mengandung hasil hubungan sulit dengan teman lelakinya.

Bayi menggigil



Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my
2010/06/30

SEREMBAN: “Pilunya hati saya apabila melihat keadaan bayi menggigil kesejukan, terbaring atas tong sampah dengan hanya beralas kertas surat khabar,” kata Maideen Machapu, 42, pemandu lori syarikat kontraktor pemungut sampah yang menemui seorang bayi lelaki, semalam.

Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, bayi lelaki dipercayai baru lahir dan masih hidup ditemui terbaring atas tong sampah di ruang membuang sampah rumah di Taman Sri Pulai 3, Sikamat.

Bayi malang berpakaian lengkap itu dikatakan hampir terjatuh sebelum diangkat beberapa jiran berdekatan yang turut tersentak menyaksikan kejadian terbabit.
Maideen berkata, dia berada dalam lori dan terkejut apabila dimaklumkan Bed Prasad Sharu, 23, mengenai penemuan berkenaan.

“Saya turun dari lori untuk memeriksa dan mendapati bayi lelaki cukup sifat itu terbaring atas tong sampah dengan hanya beralas surat khabar tanpa sebarang nota atau objek lain.

“Saya seperti mahu menangis melihat bayi yang memakai baju, seluar, sarung tangan dan kaki menggigil teruk walaupun ketika itu tidak hujan,”
katanya.

Menurut Maideen, dia segera memaklumkan kepada pemilik rumah berkenaan sebelum menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.

“Saya bersyukur kerana bayi malang yang dianggarkan seberat dua kilogram (kg) itu masih bernyawa dan amat kesal dengan tindakan kejam ibu bapanya yang sanggup membuangnya begitu.

“Mujur bayi itu tidak dibuang di rumah kosong kerana sampah di premis berkenaan kebiasaannya tidak dikutip dan saya tidak dapat bayangkan apa terjadi kepada bayi terbabit,”
katanya.

Pemilik rumah berkenaan, Ng Ah Moy, 68, berkata, dia sedang berehat, terkejut apabila terdengar teriakan seseorang dari luar rumahnya.

“Sejurus keluar, saya dimaklumkan penemuan itu dan melihat jiran berdekatan sedang mendukung bayi malang terbabit sebelum sepasukan anggota polis tiba.

“Selain terkejut, saya yang menetap di sini sejak empat tahun lalu bersama anak dan menantu, sedih dengan kejadian ini. Kejam sungguh mereka yang tergamak membuang bayi tidak berdosa itu,”
katanya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, pihaknya menahan wanita warga asing berusia 20-an di sekitar lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

“Penahanan dilakukan hasil penelitian rakaman CCTV rumah berdekatan lokasi bayi itu dibuang,” katanya.

Bayi berkenaan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk tindakan lanjut.

Perkara itu mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Masyarakat, Datuk Zainab Nasir.

Tuesday, June 29, 2010

Budak 13 tahun sehebat Spiderman


HIBIKI KONO menunjukkan kemahirannya memanjat dinding dengan menggunakan peralatan yang dicipta daripada mesin hampagas di King's College School, Cambridge baru-baru ini.


CAMBRIDGE - Impian seorang budak lelaki untuk menjadi hebat seperti wira pujaannya, Spiderman tercapai setelah dia mencipta sejenis alat yang dapat membantunya memanjat dinding, lapor sebuah akhbar semalam.

Budak lelaki itu, Hibiki Kono, 13, memanjat dinding sekolahnya baru-baru ini dengan menggunakan pad pelekap yang direka daripada mesin pembersih hampagas yang dibeli di sebuah pasar raya.

Hibiki menghabiskan masa lima bulan untuk menghasilkan peralatan tersebut di kelas rekaan teknologi di sekolahnya, King's College School di sini, Britain. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0629&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm

Misteri objek bulatan di ladang gandum

Misteri objek bulatan di ladang gandum


GAMBAR menunjukkan 193 bulatan di sebuah ladang gandum tidak jauh dari Warminster, Britain.


LONDON - Hampir 200 bulatan objek misteri ditemui di sebuah ladang gandum terbaru tidak jauh dari Warminster, Wiltshire di sini, lapor sebuah akhbar semalam.

Sebanyak 193 bulatan dihasilkan dalam satu bentuk formasi seperti bulan dan matahari di Wiltshire yang lebih dikenali sebagai ibu kota objek terbang yang tidak dikenali (UFO) di Britain.

Bulatan itu mengandungi 193 bentuk seperti cincin, termasuk enam bulatan utama dan tujuh bulatan di bahagian tengah.

Pakar Lakaran Bulatan Ladang Gandum Karen Alexander berkata: "Ia merupakan bulatan yang lebih kompleks pada tahun ini.

"Formasi ini berlaku dekat perkampungan Mere. Kejadian seperti itu pertama kali berlaku di kawasan tersebut sejak 1997," katanya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0629&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Gadis 21 tahun jadi doktor

Gadis 21 tahun jadi doktor


RACHEL FAYE HILL


LONDON - Rachael Faye Hill yang baru berusia 21 tahun mencipta sejarah apabila dia menjadi doktor paling muda di Britain selepas memperoleh ijazah sarjana muda bidang perubatan daripada Universiti Manchester pada 14 Julai depan, lapor sebuah akhbar semalam.

Rachael 'merampas' gelaran itu daripada Heenal Raichura yang berjaya menamatkan pengajiannya di Universiti St. George pada tahun 2008 ketika berusia 22 tahun.

Kebanyakan institusi pendidikan tidak akan menerima pelajar memasuki bidang perubatan sehingga pemohon berusia 18 tahun.

Tempoh pengajian pula memakan masa selama enam tahun menyebabkan graduan bidang itu biasanya berusia 23 atau 24 tahun.

Namun, Rachael dibenarkan untuk mengikuti pengajian perubatan hanya beberapa minggu selepas ulang tahun kelahiran ke-17.

Tidak lama lagi, Rachael akan memulakan latihan selama dua tahun di Hospital Royal Preston.

"Ibu saya merupakan seorang doktor veterinar. Tetapi saya rasa lebih sesuai membantu manusia. Akhirnya saya memohon menyertai sekolah perubatan di England ketika berusia 15 tahun," jelasnya.

Pada mulanya, Rachael belajar di Kolej Colegio Hispano Britanico di Lanzarote sebelum guru-gurunya mengenal pasti potensi dan membenarkannya untuk 'lompat kelas' selama beberapa tahun. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0629&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm

Makan setiap 15 minit tapi masih kurus


GAMBAR menunjukkan Lizzie Velasquez duduk di atas meja dipenuhi dengan makanan ringan.


AUSTIN - Seorang gadis yang menjadi pelajar sebuah universiti di Amerika Syarikat (AS), Lizzie Velasquez makan 60 kali sehari tetapi memiliki berat badan seperti kanak-kanak berusia lapan tahun, lapor sebuah akhbar semalam.

Velasquez menghidap penyakit Sindrom Neonatal Progeroid (NPS), menyebabkan dia cepat tua, hilang lemak dan tisu badan.

Untuk kekal bertenaga, pelajar perempuan berusia 21 tahun itu makan setiap 15 minit dalam sehari dengan pengambilan tenaga bersamaan 5,000 hingga 8,000 kalori tetapi berat badannya tidak pernah melebihi 27.4 kilogram.

"Saya selalu menimbang berat saya dan saya akan teruja jika berat saya bertambah walaupun cuma 0.4 kilogram," kata Lizzie yang memiliki ketinggian 157.5 sentimeter.

"Saya makan sedikit kerepek, gula-gula, coklat, piza, kek, donut, ais krim, mi dan kuih sepanjang hari dan saya sedih apabila orang mendakwa saya kurus kerana menghidap aneroksia," tambahnya.

Lizzie dilahirkan empat minggu pramatang dengan berat cuma 1.1 kilogram dan kesihatannya sering terganggu.- Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0629&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Awan berbentuk jenazah


BENTUK awan aneh menyerupai jenazah yang sempat dirakam di Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Dua anggota tentera di sini terkejut apabila terlihat kepulan awan yang berbentuk seperti jenazah yang dikafan berdekatan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra awal pagi semalam.

Kedua-dua mereka, Penolong Pengawal Gudang Peluru, Koperal Mahiran Che Taib, 33, dan Koperal Suhaimi Mahsan, 38, dari Kem 21 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Pengkalan Chepa di sini mendakwa melihat objek itu pada pukul 6.40 pagi.

Menurut Mahiran, dia melihat kepulan awan berbentuk aneh itu selepas menunaikan sembahyang Subuh di surau kem tersebut.

"Ketika itu saya berjalan keluar dari surau untuk meneruskan tugas di balai pengawal dan menjenguk rakan yang bertugas di menara kawalan di kem tersebut.

"Kemudian rakan saya (Suhaimi) tunjuk isyarat menggunakan tangan supaya melihat ke langit kerana terdapat objek berbentuk jenazah setinggi lebih satu meter dan ia seolah-olah sedang bergerak turun dari langit," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Selain itu, Mahiran pula berkata, kepulan awan yang berbentuk seperti kalimah syahadah juga kelihatan di atas objek tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0629&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Minda: 10 penipuan tentang Israel

2010/06/29

WARTAWAN Belgium, Michel Collon, menggunakan bukunya, ‘Israel, let’s talk about it’ (Israel, mari kita berbicara mengenainya) untuk mendedahkan bagaimana laporan media Eropah melakukan penipuan berdekad-dekad dalam usaha mereka menyokong kewujudan negara haram Israel.

Dalam buku itu, Collon menyenaraikan 10 penipuan besar disebarkan media Barat bagi menjustifikasi penubuhan negara Israel serta menghalalkan tindakan negara Zionis itu.


Penipuan itu adalah: 1. Penubuhan Israel adalah sebagai reaksi terhadap pembunuhan beramai-ramai bangsa Yahudi ketika Perang Dunia Kedua.


Hakikatnya, kata Collon, projek mewujudkan Israel itu diluluskan Kongres Zionis Pertama di Basel, Switzerland, pada 1897.


Dalam persidangan itu, pemimpin Zionis memutuskan untuk menakluk Palestin bagi menyediakan ruang untuk mereka membangunkan Israel.


Untuk makluman, Perang Dunia Kedua berlaku di antara 1939 hingga 1945.


2. Untuk menghalalkan penghijrahan besar-besaran ke Palestin, Yahudi mendakwa wilayah itu adalah warisan mereka selepas diusir pada tahun 70 Masihi.


Kata Collon, data itu hanyalah rekaan semata-mata.


“Saya bercakap dengan beberapa sejarawan terkenal Israel, termasuk Shlomo Sand, yang percaya peristiwa penghijrahan beberapa abad silam tidak pernah berlaku.


“Penduduk Palestin tidak pernah meninggalkan kawasan mereka pada zaman purba.


“Justeru, kedatangan mereka ke Palestin kononnya untuk menduduki tanah warisan tidak berasas sama sekali,”
katanya.

Menurut Collon, Yahudi yang mendesak mahu pulang ke ‘tanah asal’ mereka di Palestin sebenarnya berasal dari Barat, Eropah Timur dan Afrika Utara.


Memetik pendapat Sand, Collon berkata, sebenarnya isu negara Yahudi tidak wujud sama sekali kerana bangsa itu yang berada di pelbagai negara tidak memiliki persamaan sejarah, bahasa atau budaya.


“Satu-satunya persamaan mereka adalah agama, tetapi agama bukan asas membina negara,” katanya.


3. Penipuan ketiga ialah dakwaan kononnya Palestin tidak didiami sesiapa ketika Yahudi mula-mula mendudukinya.

Kata Collon, ada beberapa dokumen dan bukti menunjukkan produk pertanian Palestin dieksport ke luar negara pada abad ke-19.


Katanya, Perancis adalah antara negara yang mendapat manfaat daripada produk pertanian Palestin pada abad itu.


4. Ada pihak mendakwa warga Palestin meninggalkan negara mereka secara sukarela.


“Ini satu lagi penipuan,” kata Collon.


Menurut wartawan itu, memang ramai pihak percaya kepada dakwaan palsu berkenaan.


Malah, katanya, pada peringkat awal dia sendiri yakin terhadap tuduhan itu, sehinggalah dia bertemu sejarawan Israel, seperti Benny Morris dan Ilan Pappe.


“Kata Morris dan Pappe, warga Palestin dihalau dan dilarang kembali melalui kekerasan dan keganasan,” katanya.


5. Israel didakwa satu-satunya negara demokrasi di Timur Tengah dan wajib dipertahankan.


Kata Collon, Israel sebenarnya bukan saja negara melanggar undang-undang, malah satu-satunya negara yang tidak dibatasi mana-mana peraturan bagi menjelaskan sempadannya.


“Semua negara di dunia ini memiliki perlembagaan yang menyatakan had batasan masing-masing tetapi tidak bagi Israel.


“Negara itu wujud hasil projek perluasan wilayah yang tidak mengenal batasan dan undang-undangnya amat rasis,”
katanya.


Melalui peraturan diguna pakai Israel, kata Collon, negara itu khusus untuk Yahudi dan individu bukan daripada bangsa itu dilihat sebagai ‘bukan manusia’.


“Ia amat bercanggah daripada demokrasi,” katanya.


6. AS didakwa cuba melindungi demokrasi di Timur Tengah melalui Israel.


Pada masa sama, kata Collon, semua pihak tahu AS menyalurkan dana ke Israel sehingga RM9.7 bilion setahun.


“Wang itu digunakan untuk menyerang negara jiran Israel,” katanya.


AS, kata Collon, sebenarnya hanya berminat memastikan aliran petroleum di rantau itu tidak terganggu.


7. AS kononnya berusaha mencapai persetujuan di antara Israel dan Palestin.


“Ia bohong sama sekali,” kata Collon.


Bekas Ketua Dasar Kesatuan Eropah (EU), Javier Solana, pernah memberitahu Israel bahawa negara itu adalah anggota ke-21 EU.


Industri senjata Eropah juga bekerjasama dengan Israel dan menyokong mereka secara kewangan.


Bagaimanapun, kata Collon, apabila warga Palestin memilih kerajaan mereka secara demokratik, Eropah enggan mengiktirafnya, malah memberi lampu hijau kepada Israel menyerang Gaza.


8. Menganggap mana-mana pihak yang mempertikaikan sejarah Israel sebagai anti-Semit.


Sebenarnya, kata Collon, hujah itu digunakan bagi menutup mulut pihak yang cuba mendedahkan tembelang Israel.


“Apabila kita mengkritik Israel, ia bukan semangat anti-Semit, tetapi mengecam dasar kerajaan yang tidak mengiktiraf persamaan hak dan taraf di antara Yahudi, Kristian dan Islam.


“Ia juga memusnahkan keamanan di antara pengikut pelbagai agama,”
katanya.


9. Media massa mendakwa Palestin punca keganasan.


Sebaliknya, kata Collon, penjajahan Israel itulah keganasan sebenar kerana mereka merampas tanah dan kediaman penduduk yang berhak.


10. Isu sering dibangkitkan kononnya tiada jalan penyelesaian di antara Israel dan Palestin.


Hakikatnya, kata Collon, penyelesaian boleh dicapai.


“Kita cuma perlu memberi tekanan ke atas sekutu Israel di AS dan Eropah serta rantau lain di seluruh dunia,” katanya.


Bagi Collon, tekanan umum terhadap media massa yang enggan melaporkan kebenaran juga boleh menyumbang kepada penyelesaian sebenar di Timur Tengah.


“Menggunakan Internet atau media lain, marilah kita sama-sama melaporkan berita sebenar mengenai Palestin,” katanya. - Agensi

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda_10penipuantentangIsrael/Article

Produk tiruan Po Chai Pills mengandungi racun

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my
2010/06/29

KUALA LUMPUR: Orang awam dinasihatkan supaya berhati-hati dengan kemunculan produk tradisional tiruan, Po Chai Pills yang dikesan mengandungi sejenis racun, diclofenac.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata produk yang dikilangkan di Hong Kong itu digunakan secara tradisional untuk melegakan demam, selesema, cirit-birit, muntah dan sakit perut.


“Sebelum ini, Jabatan Kesihatan Hong Kong turut mengeluarkan amaran kepada orang ramai untuk tidak membeli atau menggunakan produk tradisional yang disyaki tiruan itu dengan nombor kelompok 21214 kerana dikesan mengandungi racun diclofenac, 22 Jun lalu.


“Produk dari kelompok ini didapati berbeza daripada aspek pembungkusan dan warna pil yang lebih gelap berbanding produk asal,”
katanya dalam kenyataan akhbar di sini, semalam.


Beliau berkata, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) di Malaysia sudah mendaftarkan satu produk yang dikilangkan Li Chung Shing Tong, Hong Kong dengan nama Poh Chai Pill bernombor pendaftaran MAL 19988034T.


“Pemegang pendaftaran yang juga pengedar tunggal produk berkenaan di Malaysia iaitu Po Chai Herbal Technology(M) Sdn Bhd juga mengesahkan bahawa produk campur palsu kelompok 21214 berkenaan tidak dikilangkan pengeluar di Hong Kong dan ia produk tiruan.


“Diclofenac adalah sejenis ubat penahan sakit yang mendatangkan kesan sampingan seperti gangguan gastro-usus termasuk gastrik, loya, muntah, ulser peptik dan pendarahan.


“Malah, ia diklasifikasikan sebagai racun dalam Jadual Pertama di bawah Akta Racun 1952 dan hanya boleh dibekal doktor atau ahli farmasi,” katanya.


Sehubungan itu, orang awam dinasihatkan supaya berwaspada ketika membeli produk berkenaan dan memastikan ia produk tulen.


“Produk tradisional yang berdaftar di Malaysia dinilai dari segi kualiti dan keselamatan serta disyaratkan untuk mempunyai pelekat hologram. Sekiranya terdapat sebarang keraguan, orang ramai boleh menyemak kesahihan produk di farmasi komuniti swasta berhampiran,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/ProduktiruanPoChaiPillsmengandungiracun/Article

Bayi pertama OrphanCare

2010/06/29

KUALA LUMPUR: Pusat pelindung bayi OrphanCare yang ditubuhkan bagi menempatkan bayi terbuang untuk diserahkan kepada keluarga angkat menerima bayi pertamanya 26 Jun lalu.

Presidennya, Datuk Adnan Mohd Tahir, berkata bayi berusia lima hari itu diserahkan ke pusat berkenaan oleh ibu bapanya berusia 20-an yang belum bernikah.


“Pasangan itu menyembunyikan kehamilan daripada keluarga masing-masing dan menempatkan sementara bayi mereka di sini sementara membuat keputusan sama ada hendak menjaga atau menyerahkan terus bayi mereka di sini,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.


Adnan berkata, hingga kini terdapat lebih 300 pasangan mendaftar dengan OrphanCare bagi proses pengambilan anak angkat dan pihaknya yakin tiada masalah untuk memilih ibu bapa angkat sesuai untuk bayi berkenaan.


Justeru, katanya, pasangan yang berdepan masalah sama diseru untuk menghubungi OrphanCare bagi mendapatkan bantuan atau khidmat kaunseling.


Pusat berkenaan di Kampung Tunku, Petaling Jaya dibuka 24 jam hanya bertindak sebagai transit saja dan bayi terbabit akan dijaga dan ditempatkan di pusat ini tidak lebih daripada seminggu sebelum diserahkan kepada keluarga angkat untuk dibesarkan dengan sempurna.


“Kami juga akan mengadakan kempen kesedaran untuk menggalakkan pengambilan anak angkat kanak-kanak selain bayi kerana kami percaya mereka lebih sesuai berada di rumah berbanding pusat jagaan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/BayipertamaOrphanCare/Article

Enam tahun jadi hamba seks bapa saudara

2010/06/29

KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun terpaksa menanggung derita selama enam tahun apabila dia dijadikan tempat untuk memuaskan nafsu bapa saudaranya berhati binatang.

Perbuatan terkutuk bapa saudara berusia 56 tahun yang juga pegawai Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) itu dilakukan di beberapa lokasi termasuk di taman permainan kanak-kanak.


Menurut sumber, bagi mengelak perbuatannya dihidu, suspek yang tinggal di sebuah kampung di Seberang Takir, di sini, dikatakan bijak menggunakan helah dengan membawa mangsa bersiar-siar setiap hujung minggu sebelum mengambil kesempatan merogolnya.


Mangsa trauma dengan perbuatan lelaki itu terpaksa memendam rasa apabila diugut merahsiakan perbuatan berkenaan menyebabkan bapa saudara berpangkat pegawai itu semakin ‘selesa’ melakukan perbuatan terkutuk terbabit.


Bagaimanapun, rahsia lelaki itu yang sepatutnya menjadi pelindung kepada kanak-kanak terbongkar selepas mangsa mengadu sakit di bahagian kemaluan kepada ibunya, Jumaat lalu, sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk pemeriksaan.


Sumber berkata, hasil pemeriksaan doktor mengesahkan ada kesan koyak pada alat sulit kanak-kanak itu.


Ibu mangsa yang terkejut dengan hasil pemeriksaan doktor itu kemudian mendapatkan penjelasan daripada anaknya yang menceritakan segala perbuatan keji bapa saudaranya itu sejak enam tahun lalu.


Berikutan pengakuan kanak-kanak terbabit, ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada Khamis lalu.


Polis memberkas warga emas itu di kediamannya di Seberang Takir, kira-kira jam 11 pagi, Jumaat lalu. Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan K Manoharan, mengesahkan kejadian itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Enamtahunjadihambaseksbapasaudara/Article

'Hantu’ biadab

Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my
2010/06/29

KUANTAN: Dua pengunjung karnival di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), di sini, menempuh saat paling menyeksakan apabila dicabul dua lelaki yang menyamar sebagai ‘hantu’ ketika memasuki rumah hantu, dalam dua kejadian berasingan, tengah hari kelmarin.

Dalam kejadian pertama kira-kira jam 12 tengah hari, mangsa berusia 20 tahun mengunjungi karnival berkenaan masuk ke dalam rumah hantu itu untuk melihat pameran menyeramkan.


Bagaimanapun, pada masa sama, suspek warga Nepal yang kebetulan berada dalam rumah hantu berkenaan menyamar menjadi ‘hantu’ sebelum memeluk mangsa dari belakang.


Terkejut dipeluk `hantu’ biadab itu, mangsa kemudian menjerit ketakutan dan meminta pertolongan pengunjung lain sebelum suspek terbabit diberkas.


Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar, berkata siasatan awal mendapati mangsa mendakwa tidak menyedari kehadiran suspek terbabit yang datang dari arah belakang.


Menurutnya, mangsa dikatakan meronta dalam usaha melepaskan diri sambil menjerit meminta pertolongan pengunjung lain sebelum suspek terbabit diberkas.


Katanya, dalam kejadian kedua, seorang lagi gadis turut menjadi mangsa ‘hantu’ yang menyamar, tetapi suspek kali ini membabitkan seorang warga Bangladesh.


Kamaruzzaman berkata, suspek terbabit didakwa bertindak memegang dada mangsa ketika gadis itu berjalan di dalam rumah hantu.


“Mangsa yang terkejut apabila dicabul ‘hantu’ itu menjerit meminta pertolongan menyebabkan suspek ketakutan sebelum cuba untuk memboloskan diri.


“Bagaimanapun, suspek berjaya diberkas sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk siasatan lanjut,”
katanya di sini, semalam.


Beliau berkata, dua suspek yang ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hantu__8217_biadab/Article

Pelajar MTD digantung

2010/06/29

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar dibuang, manakala empat yang lain digantung persekolahan selepas mereka ditahan reman bagi membantu siasatan kes kematian seorang pelajar Tingkatan Empat Maktab Tentera Diraja (MTD) di Kem Perdana Sungai Besi, Muhammad Naim Mustakim Mohd Sobri, 16, dipercayai akibat dibuli.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan itu dibuat serta-merta untuk menyingkirkan pelajar Tingkatan Lima sekolah berkenaan yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu hingga menyebabkan mangsa mati.


“Tindakan itu diputuskan serta merta untuk menyingkirkan pelajar berkenaan selain menggantung persekolahan terhadap empat lain,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sijil Penghargaan kepada Petugas Defence Service Asia (DSA) 2010 dan Penyerahan Cek Sumbangan di Dewan Perdana Felda, Jalan Maktab, semalam. Beliau berkata, pelajar itu juga akan berdepan dengan tindakan undang-undang daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Kementerian Pertahanan dan Polis tentera (MP).


“Kita memandang serius kes buli di sekolah dan tindakan wajar perlu diambil bagi membendung masalah buli,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PelajarMTDdigantung/Article

Tinggal keluarga demi kekasih

2010/06/29

MELAKA: Seorang wanita sanggup bergelumang dengan dosa dan meninggalkan keluarganya tanpa khabar berita sejak tujuh bulan lalu semata-mata mahu tinggal dengan kekasihnya.

Bagaimanapun, selepas sekian lama menghilangkan diri kononnya mencari haluan hidupnya sendiri, wanita berusia 31 tahun itu ‘mengalah’ dan mahu pulang ke pangkuan keluarganya.


Difahamkan, kononnya dia menyangkakan dapat hidup bahagia dengan kekasihnya yang juga suami orang berusia 43 tahun, namun impiannya tidak seindah diimpikan menyebabkan dia menghubungi ibunya untuk kembali ke pangkuan keluarga.


Wanita terbabit bernasib baik kerana keluarganya masih menyayanginya dan sanggup menerimanya semula, walaupun dia ‘menconteng arang’ ke muka mereka.


Sebelum dapat diambil keluarganya, wanita itu ditahan sepasukan polis kira-kira jam 3 pagi di Bukit Beruang atas kesalahan tinggal sebumbung dengan bukan muhrim sebelum diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tinggalkeluargademikekasih/Article

'Jangan cari Mas lagi'

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
asnawi@hmetro.com.my
2010/06/29

REMBAU: “Ayah ibu jangan cari Mas lagi,” itulah kata-kata seorang gadis berusia 13 tahun yang ‘ghaib’ selepas pulang dari sekolahnya di sini, sejak Khamis lalu.

Mas Juliana Padli, pelajar tingkatan satu Sekolah Datuk Lela Maharaja Chembong, dikatakan menghubungi neneknya (Pijah Suboh 50-an) sehari selepas menghilangkan diri.


Bapa mangsa, Padli Warno, 38, berkata, kehilangan itu disedari selepas dia pergi ke sekolah berkenaan untuk menjemput anaknya pulang kira-kira jam 4.30 petang.


“Selepas beberapa lama menunggu di pekarangan sekolah, saya bertanyakan rakan sekolahnya dan terkejut selepas diberitahu dia dilihat menaiki bas seorang diri menghala ke Seremban.


“Rakannya memberitahu anak saya ada menghubungi seseorang menggunakan telefon awam tidak lama sebelum itu,”
katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Rembau.


Beliau berkata, dia cuba mencari anaknya di beberapa lokasi termasuk di rumah saudara-mara, namun menemui jalan buntu menyebabkan dia membuat laporan polis.


Menurutnya, anaknya dilihat berubah sikap selepas memiliki telefon bimbit sejak tiga bulan lalu.


“Apa yang menghairankan, anak saya sering dilihat menghubungi dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada seseorang.


“Saya tidak berpeluang menyemak telefon bimbitnya kerana ketika mandi pun dia membawa telefon bimbit bersama. Saya menegurnya beberapa kali supaya jangan terlalu menggunakan telefon bimbit berkenaan,”
katanya yang juga seorang peniaga.


Padli berkata, dia tidak mengetahui motif sebenar anak sulung daripada tiga beradik melarikan diri dan gagal dikesan hingga ke hari ini.


Katanya, apa yang lebih merisaukan, anaknya menghubungi ibu mentuanya memaklumkan supaya jangan mencarinya sehari selepas dia menghilangkan diri.

“Ahad lalu, dia sekali lagi menghubungi neneknya menggunakan telefon awam dan memberitahu balik sehari dua lagi, namun sehingga ke hari ini tidak muncul lagi.


“Melalui panggilan itu, didapati dia berada di Kuala Lumpur membuatkan saya dan keluarga bertambah risau,”
katanya.


Berikutan itu, Padli membuat laporan mengenai kehilangan anaknya di Balai Polis Chembong di sini, jam 7.30 malam hari yang sama.


Sementara itu, Ketua Pemuda Umno yang juga Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, ibu bapa perlu memantau setiap pergerakan anak mereka terutama dalam penggunaan telefon bimbit.

“Pihak sekolah memainkan peranan penting memastikan siapa menjemput murid pulang dari sekolah kerana dikhuatiri orang luar yang mempunyai niat tidak baik.


“Buat permulaan kami mengedarkan 5,000 risalah mengenai kehilangan Mas Juliana di seluruh negeri ini dan menambah jumlah itu pada masa akan datang. selain meluaskan kawasan pengedaran hingga ke Lembah Klang,”
katanya.


Mereka menemui mangsa yang mana ciri fizikalnya rambut kerinting paras bahu berwarna hitam, kulit kuning langsat dan berbadan kurus boleh menghubungi talian 012-6251977 atau balai polis berhampiran.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/JangancariMaslagi/Article

Hanya terbayang maut ketika dijerut anak tiri

2010/06/29

KUALA TERENGGANU: “Ketika itu hanya bayangan maut menjelma dalam kotak fikiran saya apabila ditikam dan dijerut dengan seutas tali di leher oleh anak tiri yang tiba-tiba berubah sikap sebelum diselamatkan anak lelaki yang kebetulan berada di rumah,” kata Rahin Ismail, 53, dari Kampung Durian Burung, di sini.

Menurutnya, sebelum kejadian kira-kira jam 6.30 petang Khamis lalu, anak tirinya yang berusia 34 tahun, dipercayai penagih dadah meminta wang RM10 daripadanya dan selepas diberikan wang berkenaan, lelaki terbabit beredar dari kawasan dapur rumahnya.


Bagaimanapun, katanya, tidak lama kemudian anak tirinya muncul di dapur dan bertanya sama ada dia sudah siap memasak.


Rahin berkata dia menjawab ‘belum’ dan secara tiba-tiba, suspek memaut lehernya serta menikam bahagian belakang kanan badannya dengan pisau.


“Seolah-olah tidak puas dengan tindakan kejamnya itu, dia mengeluarkan seutas tali lalu menjerut leher saya tanpa belas kasihan.


“Panik dengan kejadian itu, saya menjerit meminta tolong dan kebetulan ketika itu seorang anak lelaki berada di rumah. Anak saya datang memberikan bantuan dan bergelut dengan abang tirinya sebelum berjaya melepaskan jerutan pada leher,”
katanya ketika ditemui, semalam.


Menurutnya, dia merangkak menyelamatkan diri dan anak tirinya itu melarikan diri apabila menyedari semakin ramai jiran datang ke rumah selepas terdengar kekecohan yang berlaku.


Katanya, akibat serangan itu, dia dihantar ke unit kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan menerima tiga jahitan di belakang badan sebelum membuat aduan di Balai Polis Kuala Terengganu mengenai kejadian itu.


Tambahnya, anak tirinya itu tinggal bersendirian di rumah arwah ibunya di Kampung Tok Jembal dan membantunya berniaga pasar malam sekitar daerah ini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hanyaterbayangmautketikadijerutanaktiri/Article

Geng Argentina pula samun

2010/06/29

AMPANG: Seorang warga Argentina yang aktif menyamun kediaman mewah di daerah ini bersama empat rakan senegaranya ditahan selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaikinya terbabas sewaktu dikejar sebuah kereta peronda polis di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa di sini , kelmarin.

Sebelum kejadian, suspek yang dikenali sebagai Nelson, 25, bersama empat rakan senegaranya yang menaiki MPV diarah berhenti untuk pemeriksaan selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.


Bagaimanapun, suspek dan rakannya enggan berhenti lalu dikejar kereta peronda polis, kira-kira jam 2.30 petang.


Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, ketika dikejar MPV dinaiki suspek tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan.


Beliau berkata, suspek ditahan manakala empat lagi rakannya melarikan diri ke dalam semak berhampiran. “Hasil pemeriksaan dalam MPV suspek, polis menemui satu televisyen skrin paparan cecair (LCD) dan satu set audio televisyen serta pelbagai alatan pecah rumah,” katanya pada sidang media di sini, semalam.


Katanya, hasil penahanan suspek, polis turut menahan teman wanitanya yang cuba menyogok dua anggota polis RM20,000. “Kita dapat menangkap teman wanita suspek yang berasal dari Petaling Jaya kerana cuba merasuah anggota polis untuk membebaskan warga Argentina itu,” katanya.


Abdul Jalil berkata, wanita berusia 41 tahun itu juga mempunyai rekod jenayah dipercayai terbabit kegiatan samun di sekitar Ampang Jaya. “Kita masih memburu empat lagi rakannya yang juga warga Argentina yang aktif menyamun dan merompak di kawasan perumahan mewah di daerah ini,” katanya.


Menurutnya, suspek direman dua minggu bermula hari ini dan kesnya disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan manakala teman wanitanya dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/GengArgentinapulasamun/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...