Thursday, October 7, 2010

Cucu Raja Arab Saudi dibicara



GAMBAR rakaman kamera litar tertutup yang ditayangkan di sebuah mahkamah kelmarin menunjukkan Saud Abdulaziz (kiri) memukul Bandar Abdulaziz di dalam sebuah lif di Hotel Landmark, London pada 22 Januari lalu.


LONDON - Seorang anggota kerabat diraja, Saud Abdulaziz Bin Nasir Al Saud yang merupakan cucu pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah II memukul sehingga mati seorang pembantu lelakinya dalam serangan ganas didakwa bermotifkan seks di sebuah hotel eksklusif di sini.

Pendedahan itu dibuat dalam perbicaraan di sebuah mahkamah kelmarin.

Juri sebuah mahkamah majistret di sini diberitahu bahawa Saud membunuh pembantunya, Bandar Abdulaziz selepas menderanya secara fizikal dan seksual selama beberapa minggu.

Kerabat diraja tersebut didakwa mencurahkan arak sebelum bertubi-tubi menumbuk kepala pembantunya yang berusia 32 tahun dengan menyebabkan beberapa giginya patah dan mangsa mengalami pendarahan otak di bilik suite Hotel Landmark, tempat mereka menginap, di sini.

Putera itu turut mencekik Bandar sehingga menyebabkan tulang lehernya retak selain menggigit kedua-dua pipi mangsa dalam serangan yang mempunyai hubung kait dengan dorongan seks.

Saud, 34, cuba menutup jenayahnya dengan membersihkan kesan darah dalam serangan tersebut sebelum menghubungi pihak berkuasa.

Pada mulanya, dia dilaporkan memberitahu polis bahawa Bandar cedera dalam satu insiden rompakan.

Kerabat diraja berkenaan kemudian mengaku membunuh pembantunya tetapi menafikan membunuh dengan niat atau berniat untuk mendatangkan kecederaan teruk terhadap mangsa.

Pasangan tersebut tiba di bandar raya ini pada Disember tahun lalu dalam percutian terakhir mereka mengelilingi dunia.

Juri diberitahu, Saud dilihat cuba menggoda krew bar dan menggunakan khidmat pelacur lelaki sekurang-kurangnya dua kali semasa percutiannya di sini.

Putera itu memberitahu polis beliau adalah rakan Bandar yang merupakan anak angkat sebuah keluarga golongan sederhana di Arab Saudi dan rakannya itu mengiringinya ke mana sahaja beliau pergi.

Namun, mahkamah dimaklumkan bahawa Bandar duduk dalam kelas ekonomi manakala Saud menaiki penerbangan kelas pertama.

Pembantu lelaki itu dikatakan berjalan dengan mengekori tuannya dan dia tidur di lantai bilik hotel mereka.

Ketua pasukan pendakwa raya, Jonathan Laidlaw berkata: "Hubungan mereka lebih kompleks berbanding apa yang diakui oleh defendan dan ia bukan hubungan yang sihat.

"Bandar dilayan seperti seorang pembantu atau amah dan terdapat unsur jahat dalam layanan defendan terhadap mangsa.

"Beliau akan memukul Bandar dan penderaan itu bukan sahaja melibatkan keganasan fizikal - ia turut melibatkan elemen seksual," tambahnya.

Juri berkenaan menonton rakaman kamera video litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan Saud berulang kali menumbuk Bandar di dalam lif hotel itu pada 22 Januari lalu.

"Apa yang jelas dalam kejadian ini adalah mangsa hanya menurut dan tidak melawan," kata Laidlaw.

"Dia langsung tidak mempertahan diri atau cuba melawan atau menaikkan tangannya terhadap defendan," ujar pendakwa raya itu.

Serangan tersebut menyebabkan telinga Bandar bengkak tiga kali ganda saiz asal dan memerlukan pembedahan pemulihan.

Pada 14 Februari lepas iaitu malam pembunuhan, pasangan itu makan malam sempena Hari Kekasih sebelum kembali ke hotel mereka sebelum tengah malam.

Seorang penginap di bilik bawah menyatakan, dia terdengar nada suara tinggi dan bunyi perabot jatuh.

Pada tengah hari esoknya, Saud menghubungi kenalan di Kedutaan Arab Saudi.

Kenalan itu tiba di bilik mereka dan menemuinya sedang sedih dan menangis di samping pembantunya.

Pakar-pakar polis menemui bukti forensik daripada seluar dalam Bandar.

Di sebalik penemuan itu, putera berkenaan berterusan menafikan bahawa dia adalah gay.

Namun, kata Laidlaw: "Bukti jelas menunjukkan bahawa dia adalah gay atau memiliki kecenderungan homoseks".

Pemeriksaan ke atas komputer riba putera itu mendapati beliau pernah melayari laman agensi teman sosial dan rumah urut gay.

Ibu Saud ialah anak perempuan Raja Abdullah.

Ayahnya, Putera Abdulaziz iaitu anak saudara Raja Abdullah, mengikuti perbicaraan tersebut di galeri awam mahkamah berkenaan.

Perbicaraan akan disambung. - Agensi

Nikah segera elak fitnah




PERNIKAHAN kali ketiga penyanyi yang popular dengan lagu Janji Manismu, Aishah, kali ini bersama duda anak enam Faizal Sazali Zulkifli, 44, pada 30 April lalu banyak menimbulkan tanda tanya berikutan pernikahan tersebut dilakukan di sempadan Thailand dan bebas daripada pengetahuan umum.

Malah, selepas bergelar isteri dan bertemu media dalam beberapa majlis hiburan, Aishah masih enggan membuka mulut. Namun, selepas beberapa waktu, pihak media dapat juga menghidu berita pernikahannya dan Kosmo! menjadi akhbar pertama yang membuat laporan mengenainya secara eksklusif pada 24 Jun tahun ini.

Menurut Aishah yang ditemui pada majlis pelancaran album terbarunya baru-baru ini, dia langsung tiada niat untuk menyembunyikan status mahupun suaminya. Juga tiada sebarang rahsia yang disembunyikan sebalik perkahwinannya yang dilakukan di sempadan Thailand.

“Saya tidak sembunyikan perkahwinan kerana kedua-dua keluarga tahu akan pernikahan kami. Cuma pada usia begini dan ini bukan perkahwinan pertama kami berdua, saya rasa tidak perlu untuk saya menghebohkannya. Kami berdua telah fikir panjang sebelum pernikahan dan apa yang penting kami telah bernikah.


ALBUM Anak diterbitkan oleh syarikat milik Aishah sendiri iaitu Aishah Creative Enterprise.


“Bezanya tiada publisiti sahaja, selepas bernikah saya tidak sembunyikan status dan suami kerana saya akan memperkenalkan Faizal sebagai suami kerana tidak mahu menimbulkan fitnah,” ujarnya.

Tambah Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 45, meskipun pernikahannya kelihatan dilakukan secara tergesa-gesa kerana perkenalan selama seminggu di dunia maya menerusi laman sesawang www.muslimah.com itu telah membawa dirinya ke jenjang pelamin, itu bukan bermakna dia menyembunyikan sesuatu.

“Selain waktu yang sesuai, kami bernikah segera di sempadan kerana untuk mengelak fitnah dan suami saya ketika itu masih belum dapat surat cerai. Kalau saya ingin buat di sini dan buat sebuah majlis perkahwinan walaupun secara kecil-kecilan ia tetap mengambil masa yang panjang untuk persediaan,” tuturnya.

Luah Aishah lagi, dia bukanlah punca suaminya bercerai kerana ketika dia mula berkenalan dengan Faizal, suaminya itu telah pun dalam proses memohon penceraian di mahkamah syariah.

“Saya tidak pernah bermadu dan saya bukan puncanya bercerai kerana ketika baru berkenalan dengannya, dia telah pun dalam proses pernceraian di mahkamah,” balasnya.


AISHAH bersama dua puteranya, Armand Azhari (kiri) dan Azhad Ahlami.


Kehidupan yang dicari-cari

Aishah mengakui kehidupannya banyak berubah sejak bergelar isteri kepada Faizal. Kehidupannya lebih tenang dan teratur. Malah, hubungan mereka juga direstui oleh dua orang anak Aishah daripada perkahwinan keduanya, Armand Azhari, 16 dan Azhad Ahlami, 10.

“Anak-anak saya merestui, malah mereka yang menggalakkan saya berkahwin lagi. Kata mereka, jika mereka sudah besar nanti siapa yang akan menemani saya. Anak saya juga memanggil Faizal dengan panggilan ayah walaupun mula-mula mereka memanggilnya uncle,” katanya.

Tanpa berselindung Aishah memberitahu kehidupannya kini merupakan kehidupan yang dicari-cari selama ini.

“Saya selalu tengok pasangan yang berusia balik daripada sembahyang subuh di masjid bersama-sama. Sekarang saya dapat suami yang mampu membimbing ke arah kebaikan dan dapat membimbing anak-anak saya.

“Suami saya cakap, kenapa nak tunggu sudah pencen baru nak berubah. Jadi sekarang kehidupan kami lebih baik dan bermakna daripada dahulu. Anak-anak pun ada contoh yang baik dan lebih kerap ke masjid berbanding dahulu,” ucapnya.

Album Anak

Aishah yang selama ini popular dengan genre pop kini telah muncul dengan sebuah album kerohanian yang berjudul Anak. Album yang diterbitkan oleh syarikatnya sendiri iaitu Aishah Creative Enterprise dan diedarkan oleh Nasyeed.Com dan Sony Music itu telah lama diidamkan Aishah.

Idea dan perancangan sejak tahun lepas membuahkan hasil apabila dia bertemu dengan penerbit yang benar-benar tahu apa yang dia inginkan iaitu Dakmie yang pernah menerbitkan album untuk Rabbani sebelum itu.


INILAH kali pertama Aishah dan anak-anak dirakam bersama Faizal oleh media.


“Tidak sangka agak sukar dan mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan keseluruhan album. Jika sebuah lagu pop saya boleh selesaikan rakaman selama 40 minit berbeza dengan album ini. Surah al-Fatihah sahaja mengambil masa lebih kurang satu jam dan terpaksa dirakam semula bagi mendapatkan sebutan yang benar-benar jelas.

“Saya dipantau oleh mereka yang arif dalam bidang ini sepanjang tempoh rakaman dan secara keseluruhan ia mengambil masa selama dua bulan untuk disiapkan,” tuturnya yang terlibat sebagai penulis lirik album tersebut.

Album itu yang sudah berada di pasaran itu menghimpunkan 20 buah doa dan zikir berlagu antaranya Doa Nabi Zakariya, Selawat Syifa, Doa Melihat Bayi dan Qasidah Doa Syukur Beroleh Zuriat. Selepas ini, akan diadakan siri album kerohanian daripada Aishah, walaupun begitu tegas Aishah dia masih akan aktif menyanyi lagu-lagu pop seperti biasa.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1007&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm

Jayanthy ragu status syarikat suami


JAYANTHY (kanan) bersama Manikavasagam berjalan masuk
ke pejabat JSJK Selangor untuk meminta nasihat semalam.


SHAH ALAM – S. Jayanthy, isteri ahli perniagaan S. Anpalagan yang dilaporkan hilang pada 4 Ogos 2009 hadir ke pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor di sini semalam bagi meminta nasihat dan bantuan berkaitan dakwaan penyelewengan syarikat milik suaminya itu.

Jayanthy, 34, yang memakai baju berwarna merah jambu dan berseluar hitam hadir bersama Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam pada pukul 11.55 pagi sebelum keluar sejam kemudian.

Jayanthy berkata, dia diarahkan oleh polis Bukit Aman berbuat demikian selepas mendakwa terdapat pertukaran status syarikat milik Anpalagan, 43, iaitu Swiss Krishma Sdn. Bhd. kepada Beruntung Cattle Farm.

Menurutnya, beberapa penipuan juga dikesan termasuk jawatan pengarah syarikat terbabit yang didakwa telah ditukar tanpa sebarang notis pada Disember tahun lalu.

“Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) juga mendapati beberapa perubahan berlaku dalam pegangan saham pada 24 Disember 2009,” kata beliau di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1007&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Raja Azura suami berpisah



Oleh Roslen Fadzil

2010/10/07

KUALA LUMPUR: Pelakon, pengacara dan penyampai radio popular, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 38, disahkan bercerai talak satu dengan suaminya, Adzmin Tan Sri Osman, 37, pada 28 September lalu.

Sumber memberitahu Harian Metro semalam, Raja Azura atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Engku (KE) bercerai di sebuah mahkamah syariah di Selangor, pada tarikh berkenaan dan ia dilaksanakan dalam prosiding tertutup atas permintaan pasangan itu.

“Raja Azura mahupun Adzmin tidak mahu kecoh-kecoh dengan perceraian mereka. Rumah tangga mereka sudah gagal diselamatkan selepas masing-masing cuba mendapatkan khidmat kaunseling bagi menyelesaikan kemelut yang melanda sejak beberapa lama itu. Namun, mereka bercerai secara baik dan menerima hakikat tiada lagi jodoh,” kata sumber itu.

Pada 6 Ogos lalu, pengacara Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) itu mengadakan sidang media tergempar untuk menjelaskan khabar angin menyatakan rumah tangganya bergolak, sekali gus memberitahu sebab kunjungannya bersama Adzmin ke Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, pada 3 Ogos lalu.

Pada sidang media itu, Raja Azura menegaskan kunjungan mereka ke mahkamah tiada kena mengena isu memfailkan permohonan cerai seperti yang hangat diperkatakan, sebaliknya bagi mendapatkan khidmat kaunseling demi menyelesaikan kemelut yang melanda.

Raja Azura berkahwin dengan Adzmin yang juga anak bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Arof, pada 10 Mac 2001. Pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata, Megat Muhammad Raziq, 8, Megat Luqman Hakim, 7, serta Puteri Mia Maizurah, 4.

Sumber itu berkata, walaupun Raja Azura amat bersedih dengan perceraian itu, dia masih meneruskan tugas rutinnya seperti biasa iaitu sebagai penyampai radio Sinar FM dan pengacara beberapa program TV serta majlis rasmi.

Ketika ditanya sama ada punca perceraian itu disebabkan orang ketiga, sumber itu enggan mengesahkannya.

“Itu tidak dapat dipastikan dan biar perkara itu wartawan bertanya kepada Raja Azura. Hakikat ini kerana selama ini dia tidak pernah bercakap mengenai hal rumah tangga mahupun suaminya kepada orang lain. Dia (Raja Azura) tidak akan sekali-kali mendedahkan aib sesiapa termasuk suaminya,” katanya.

Harian Metro cuba mendapatkan komen Raja Azura berhubung perceraian itu semalam, namun difahamkan dia berada di Genting Highlands, Pahang, kerana terbabit rakaman program Kedek-Kedek Drypers, sekali gus menutup talian telefon bimbitnya.

Raja Azura dalam kenyataan sebelum ini mengaku dia dan Adzmin berkahwin atas dasar cinta sama cinta. Kali terakhir mereka dilihat bersama ialah ketika pulang beraya di Alor Setar, Kedah, pada 10 September lalu.

Misteri bau busuk terurai



Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

2010/10/07

MELAKA: Pencarian punca bau busuk yang disangka bangkai tikus oleh seorang penduduk di Kampung Batu 4, Solok Pantai, Batu Berendam, dekat sini, semalam membawa kepada penemuan mayat lelaki warga emas dalam keadaan dibungkus dengan plastik sampah.

ANGKAT...mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian.
ANGKAT...mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian.
Lebih mengejutkan, mayat mangsa, Abdul Halim Manan, 70, yang juga seorang pembantu kedai makan di Taman Melaka Baru itu, ditemui kira-kira jam 7.30 pagi di kawasan pokok pisang di tepi longkang yang ditutup dengan pelepah kelapa dipercayai diletakkan di situ sejak malam Sabtu lalu.


Penduduk, Mohd Azahari Mohd Zin, 13, berkata dia terkejut dengan penemuan mayat lelaki warga emas berkenaan, tetapi mendakwa ada melihat seseorang meletakkan plastik sampah terbabit di kawasan itu tanpa mengesyaki sesuatu.


Menurutnya, ketika kejadian dia berada di dapur rumahnya dan mendengar bunyi orang berjalan di belakang rumah.


“Saya dengar bunyi orang berjalan di belakang rumah dan mengintai dari belakang pintu. Saya nampak seorang perempuan sedang mengheret satu bungkusan plastik hitam dan meletakkannya di pangkal pokok pisang di tepi longkang.


“Berikutan itu, saya menegurnya dan orang itu hanya jawab dia mahu buang sampah sebelum beredar,” katanya.


Menurutnya, disebabkan rasa ingin tahu, selepas hujan lebat keesokan harinya dia pergi melihat ke tempat wanita itu membuang sampah berkenaan dan melihat ada satu bungkusan plastik hitam ditutupi dengan pelepah kelapa.


“Pagi Ahad lalu saya pergi ke tempat itu dan melihat terdapat satu bungkusan hitam. Saya tidak syak apa-apa ataupun mengusik plastik berkenaan yang kelihatan seperti sampah biasa.


“Pagi tadi (semalam), saya dan datuk (Hamzah Baba, 60) tercium bau yang amat busuk. Datuk arahkan saya mencari sama ada bangkai tikus atau haiwan mati. Saya beritahu datuk bau busuk itu mungkin datang dari bungkusan sampah itu.


“Datuk memeriksa bungkusan plastik itu sebelum mengoyak sebahagiannya menggunakan sabit sebelum dia terperanjat melihat benda seperti kepala manusia,” katanya.


Katanya, datuknya kemudian memberitahu penemuan itu kepada beberapa penduduk kampung sebelum memeriksa dan mendapati ada mayat manusia di dalam plastik terbabit sebelum seorang jiran menghubungi polis.

Sementara itu, Hamzah berkata, beberapa hari sebelum ini dia tidak perasan perkara pelik ataupun terhidu bau busuk mayat mangsa yang dipercayai sudah mati.


“Pagi tadi (semalam) masa keluar rumah kira-kira jam 7.15 pagi untuk menghantar cucu ke sekolah, saya tercium bau amat busuk dan menyangkakan bangkai tikus tetapi tidak sempat mencarinya.


“Sebaik pulang, saya menyuruh cucu pergi mencari dari mana datangnya bau busuk itu sebelum memeriksa bungkusan plastik sampah di kawasan kebun di belakang rumah saya dan mendapati ada mayat di dalamnya,” katanya.


Sementara itu, suasana di kampung terbabit gempar dengan berita penemuan mayat lelaki itu yang tersebar menyebabkan kawasan tempat kejadian dipenuhi orang ramai.

Beberapa jiran mangsa termasuk pemilik rumah sewa nyata terkejut dengan penemuan mayat lelaki itu.


Peniaga kedai runcit, Norlin Alias, 31, berkata tiga hari sebelum penemuan mayat itu, isteri mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan kelihatan pelik apabila dilihat mundar-mandir di kawasan tempat kejadian.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Misteribaubusukterurai/Article


Buang mayat suami dalam semak belakang rumah


ANGGOTA polis mengusung mayat Abdul Halim yang dibuang oleh isterinya di dalam semak Kampung Solok Pantai, Batu Berendam semalam.


MELAKA – Polis menahan seorang wanita selepas mengesyaki dia bukan sahaja menyembunyikan kematian suaminya akibat sakit tua malah bertindak membuang mayat suaminya itu ke dalam semak dalam kejadian di Kampung Solok Pantai Batu 4, Batu Berendam di sini Sabtu lalu.

Wanita yang mengalami masalah mental berusia 45 tahun itu ditahan pagi semalam apabila rahsianya itu terbongkar selepas penduduk yang tidak tahan dengan bau busuk terjumpa mayat Abdul Halim Manan, 70, yang disumbat di dalam plastik berwarna hitam.

Difahamkan, jarak antara rumah mangsa dengan kawasan pembuangan itu hanya 50 meter.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Supritendan R. Gunarajan berkata, siasatan awal mendapati kematian mangsa tidak melibatkan sebarang unsur jenayah dan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Katanya, siasatan awal mendapati wanita tersebut telah membuang mayat suaminya pada Sabtu lalu dengan mengheretnya ke kawasan semak.

“Ada penduduk mendakwa ternampak wanita itu mengheret beg plastik hitam pada pukul 12 tengah malam Sabtu lalu tetapi tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah mayat suaminya ditemui pukul 7.30 pagi tadi (semalam).

“Siasatan awal kita mendapati ketika itu suami mangsa baru sahaja meninggal dunia dan wanita tersebut bertindak sedemikian kerana tidak tahu hendak buat apa,” katanya yang memberitahu pasangan itu hanya tinggal berdua di situ.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1007&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Gerakan Terima Peletakan Jawatan Keng Yaik

Khamis Oktober 7, 2010

KUALA LUMPUR: Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata hari ini beliau telah menerima peletakan jawatan Tun Dr Lim Keng Yaik sebagai penasihat parti - keputusan yang dilihat sebagai pusingan-U.

Mesyuarat tergempar jawatankuasa kerja pusat parti itu semalam memutuskan untuk menolak peletakan jawatan Dr Lim dan menggesa beliau mempertimbangkan semula keputusannya.

"Selepas pertimbangan mendalam, saya memutuskan menerima peletakan jawatan Tun Dr Lim Keng Yaik sebagai penasihat Parti Gerakan Rakyat Malaysia (PGRM).

"Kami bermesyuarat tengah hari ini membincangkan banyak perkara mengenai parti dan negara," kata Dr Koh dalam satu kenyataan ringkas di sini malam ini.

Dr Koh berkata, Dr Lim akan memainkan peranan lain dalam parti selaku pengerusi Majlis Anggota Seumur Hidup Gerakan bagi pihaknya. Pada masa ini pengerusi majlis itu ialah Dr Koh.

"Beliau telah menerimanya dengan baik. Oleh itu, saya menggesa semua pemimpin dan anggota PGRM di semua peringkat supaya merapatkan barisan dalam semangat Satu Hati dan bergerak bersama ke depan, memberi fokus berkhidmat untuk negara, rakyat dan parti," kata Dr Koh.

Dr Lim, bila dihubungi berkata, beliau akan hanya mengulas perkara itu selepas melihat sendiri kenyataan itu.

"Tunggu sampai saya lihat kenyataan itu dulu. Cuba hubungi saya lagi esok," katanya.

Dr Lim, yang telah bersama Gerakan selama 36 tahun, menyerahkan teraju parti itu kepada Dr Koh pada April 2007.

Isnin lepas, Dr Lim mengeluarkan kenyataan menggemparkan mengatakan beliau melepaskan jawatan penasihat Gerakan kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Dr Koh. - BERNAMA

http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/10/7/mstar_berita/20101006203029&sec=mstar_berita

Bekas Pengacara TV3 Bercerai Talak Satu

Khamis Oktober 7, 2010

Saat bahagia Nadia dan suaminya, Sulaiman @ Mohd Helmi kini hanya tinggal kenangan.

KUALA LUMPUR: Bekas pengacara Wanita Hari Ini (WHI) di TV3, Nadia Shahrul Anuar sah bercerai talak satu dengan suaminya, Sulaiman @ Mohd Helmi Mohd Ilyasdi Mahkamah Tinggi Syariah di sini, Rabu.

Perceraian secara baik itu dilafazkan di hadapan Hakim Syarie Mohd Amran Mat Zain selepas peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain memberitahu anak guamnya, Sulaiman bersetuju untulk melafazkan cerai.

Menurut Mohd Zaidi, persetujuan dicapai selepas Sulaiman, 29, selaku plaintif dan Nadia, 26, yang dinamakan sebagai defendan berpuas hati dengan perjanjian penyelesaian yang ditandatangani pada 25 Ogos lalu.

Antara perkara yang dipersetujui ialah hak penjagaan kekal anak tunggal pasangan itu, Mohamed Aaron Erwin, tiga tahun, diserahkan kepada Sulaiman.

Nadia pula dibenarkan untuk mengambil anaknya pada hujung minggu dan pada waktu-waktu kecemasan dan dibenarkan untuk membawa kanak-kanak itu ke tempat yang selamat dalam jagaannya.

Bagaimanapun, demi keselamatan anak itu, dia haruslah diiringi dengan pengawal keselamatan yang disediakan.

Perjanjian itu juga melibatkan persetujuan Nadia untuk mengugurkan tuntutan edah, nafkah tertunggak, mutaah dan harta sepencarian manakala Sulaiman yang merupakan pengarah jualan VW Cars Sdn Bhd akan menarik semula permohonan nusyuz yang difailnya.

Nadia hadir bersendirian di mahkamah dan diwakili peguam syarie Wan Akram Zainal Abidin manakala Sulaiman hadir bersama ayahnya dan dikawal oleh enam pengawal peribadi.

Pada 28 Disember 2008, Nadia memfailkan permohonan untuk bercerai secara baik di mahkamah rendah syariah atas dakwaan tiada persefahaman, campur tangan pihak ketiga dan berlaku penganiayaan tubuh badan.

Bagaimanapun, Sulaiman menafikan dakwaan mengasari tubuh badan bekas isterinya menerusi kenyataan akhbar yang dibuatnya dan mendakwa dirinya kesal dengan tindakan Nadia yang meninggalkan keluarga selepas menjalinkan hubungan dengan lelaki lain.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/10/7/mstar_hiburan/20101006184727&sec=mstar_hiburan

Bekas pengacara TV3 dicerai



NADIA

KUALA LUMPUR – Setelah turun naik mahkamah hampir setahun, kemelut rumah tangga bekas pengacara TV3, Nadia Shahrul Annuar, 26, terlerai semalam apabila suaminya, Sulaiman @ Mohd. Helmi Mohd. Ilyas melafazkan cerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam.

Sulaiman, 29, selaku plaintif membuat lafaz tersebut secara tertutup di dalam kamar Hakim Syarie Mohd. Amran Mat Zain setelah kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikan perceraian tersebut secara baik.

Peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain yang mewakili plaintif ketika ditemui selepas prosiding berkata, anak guamnya telah lafazkan cerai talak satu terhadap Nadia dan mahkamah membenarkan cerai tersebut.

“Melalui perjanjian penyelesaian yang dipersetujui bersama, kedua-dua pihak bersetuju menarik balik dakwaan masing-masing yang telah difailkan di mahkamah.

“Ini melibatkan permohonan nusyuz oleh plaintif, permohonan perceraian oleh defendan (Nadia) di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam dan hak jagaan anak yang akan dijaga oleh bapanya,” kata Mohd. Zaidi.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1007&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Wednesday, October 6, 2010

Harga Minimum Rokok Kini 35 Sen Sebatang

KUALA LUMPUR: Berkuatkuasa 1 Oktober lepas, Kementerian Kesihatan telah menetapkan harga minimum rokok ialah 35 sen sebatang, atau RM7 bagi sepaket 20 batang rokok.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, langkah itu membuktikan komitmen kerajaan untuk mengurangkan kemampuan membeli rokok di kalangan pengguna, khususnya kanak-kanak kerana boleh mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan.

"Rokok telah disahkan sebagai penyebab pelbagai masalah kesihatan dan penyakit-penyakit serius yang boleh membawa kepada kesengsaraan dan kematian. Saya pasti, masyarakat sedar akan bahaya merokok.

"Generasi muda dinasihatkan agar tidak memulakan tabiat merokok yang amat merugikan dan merosakkan kesihatan ini,"
katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Penetapan harga minimum itu juga selaras dengan keputusan kerajaan menaikkan cukai rokok sebanyak 3 sen sebatang, yang turut berkuatkuasa Jumaat lepas, menyaksikan harga runcit rokok naik di seluruh negara bermula semalam, iaitu RM10 bagi sepaket 20 batang berbanding RM9.30 sebelum ini.

Sehubungan itu, Liow berkata, semua pengilang dan pengimport rokok dikehendaki memohon kelulusan harga baru jualan runcit bagi produk masing-masing kepada kementeriannya sebelum Jumaat ini, bagi menggelakkan ada pihak menjual di bawah harga minimum baru.

Beliau berkata, selain itu, mereka juga perlu mempamerkan notis harga minimum rokok secara jelas dan mudah dilihat di semua kaunter atau tempat jualan tanpa sebarang logo, jenama, tanda niaga atau deskripsi mengenai rokok berkenaan.

Katanya, kegagalan mematuhi arahan itu boleh dikenakan hukuman maksimum penjara 2 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali, mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Liow berkata, kementeriannya turut menyediakan perkhidmatan seperti klinik berhenti merokok bagi membantu mereka yang terbabit menghentikan tabiat yang terbukti memudaratkan itu.

Berdasarkan statistik, setakat ini terdapat tiga juta perokok atau kira-kira 11 peratus daripada jumlah penduduk di negara ini. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/10/6/mstar_berita/20101005215637&sec=mstar_berita

Cuma berdua dalam rumah

Oleh Murni Wan Omar

2010/10/06

KAJANG: Seorang chef di sebuah hotel bertaraf lima bintang dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, di sini, semalam, atas tuduhan berada bersama seorang wanita yang tidak mempunyai hubungan mahram dengannya, sehingga menimbulkan syak, pada September tahun lalu.

DJohan Mohd Radzi, 42, didakwa melakukan perbuatan itu dengan Rizana Ahmad Rithauddeen, 35, di sebuah rumah di Fawina Court Condo, Jalan Hilir, Taman Ampang Hilir, Ampang, pada jam 10.10 pagi, 15 April 2009.

DJohan didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 manakala pendakwaan terhadap Rizana dibuat mengikut Seksyen 29(1)(b) enakmen sama dan berhadapan hukuman penjara maksimum sehingga dua tahun dan denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.


Terdahulu, pendakwa syarie, Mohamad Nazri Basrawi memaklumkan bahawa kedua-dua tertuduh tidak mengaku bersalah dan pada tarikh semalam ditetapkan untuk perbicaraan.


Rizana bagaimanapun meminta mahkamah memberi tarikh baru berikutan peguam yang sepatutnya mewakili mereka berdua, tidak dapat hadir ke mahkamah.


Selain itu, Rizana juga meminta secara lisan untuk mahkamah memanggil pengadu kes itu untuk memberi keterangan berhubung perkara yang berlaku pada hari kejadian.


Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah bagaimanapun menegur Rizana dan memaklumkan bahawa kes ini masih di peringkat pendakwaan dan perlu melalui perbicaraan dan mereka boleh melakukannya apabila dipanggil membela diri, jika disabitkan dengan pertuduhan itu.


“Mahkamah benarkan permohonan untuk menangguhkan kes kerana jika terdapat peguam pada tarikh akan datang, berkemungkinan perbicaraan perlu diadakan semula. Ini akan membazirkan masa mahkamah dan pihak terbabit.


“Mahkamah beri peluang terakhir kepada kamu berdua dan jika masih gagal mengemukakan peguam, prosiding akan diteruskan. Bon jaminan sebelum ini iaitu RM2,300 dinaikkan kepada RM2,500,”
katanya.


Mahkamah menetapkan 8 Februari 2011 pada jam 9 pagi untuk perbicaraan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Cumaberduadalamrumah/Article

Kuli ladang sawit pakai kereta mewah

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

2010/10/06

GOMBAK: Seorang pendatang asing warga Indonesia dikesan mampu hidup mewah dengan memiliki kereta model Mercedes-Benz walaupun hanya bekerja sebagai pemetik tandan kelapa sawit di negara ini.

Namun, rahsia kemewahan dimiliki terbongkar selepas lelaki berusia lingkungan 30-an terbabit dikesan menjalankan kegiatan mencuri motosikal secara besar-besaran di daerah ini Kegiatan jenayahnya itu terbongkar selepas sepasukan polis menyerbu tempat tinggalnya di sebuah rumah kongsi di Taman Tasik Puteri, Batu Arang, di sini, semalam.

Ketua Polis Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, polis memberkas suspek semasa melakukan ‘Ops Lejang’ di sebuah rumah kongsi di ladang kelapa sawit di kawasan terbabit.

Menurutnya, sebelum itu, polis mendapat maklumat kawasan rumah kongsi didiami suspek menjadi lokasi kumpulan pencuri motosikal warga asing menyembunyikan motosikal curi.

“Dalam serbuan itu, polis merampas sebuah kereta Mercedes-Benz dan enam motosikal curi yang dilaporkan hilang di Klang, Petaling Jaya dan Brickfields.

“Siasatan mendapati kereta Mercedes-Benz yang ditemui itu menggunakan nombor pendaftaran palsu manakala nombor casis pada enjin kenderaan terbabit sudah diubah suai bagi mengelakkan identiti asal kereta itu dikenal pasti,” katanya.

Beliau berkata, selain kenderaan itu, polis turut merampas sebilah parang dipercayai digunakan suspek ketika menjalankan kegiatan jenayah. “Siasatan mendapati suspek adalah pekerja di sebuah ladang kelapa sawit di kawasan berkenaan namun pada masa sama turut terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal.

“Suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kuliladangsawitpakaikeretamewah/Article

Tambang teksi sejauh 20km RM400

2010/10/06

KUALA LUMPUR: Seorang penjual ayam hanya mampu melopong apabila dipaksa membayar tambang teksi berjumlah RM400 walaupun jarak perjalanan cuma 20 kilometer (km), kelmarin.

Lebih perit apabila mangsa yang tidak mempunyai cukup wang untuk membayar tambang teksi terbabit turut dirompak pemandu teksi dan rakannya sebelum mangsa ditinggalkan di bahu jalan.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku selepas mangsa yang berusia 28 tahun menahan sebuah teksi berhampiran hentian bas sementara Bukit Jalil, di sini kira-kira jam 6.15 petang.

Difahamkan, mangsa yang baru turun dari bas meminta pemandu teksi terbabit menghantarnya ke Flat Sri Murni, Selayang.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tambangteksisejauh20kmRM400/Article

Terkejut diminta bayar hutang

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee

2010/10/06

KUALA LUMPUR: Seorang tukang masak yang menetap di luar negara dan pulang bercuti menjenguk keluarganya awal bulan lalu terkejut apabila diminta menjelaskan hutang sewa sebuah premis sebanyak RM3,600 yang kononnya tertunggak selama empat bulan daripada seorang wanita.

Bukan itu saja, lelaki terbabit, Chia Meng Kean, 32, turut menerima surat amaran dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang memintanya menjelaskan bil tertunggak sebanyak RM2,312.37 bagi bayaran bil elektrik premis wanita terbabit di Senawang, Negeri Sembilan.

“Selama 10 tahun saya menjadi tukang masak di restoran Jepun di luar negara antaranya di Amerika Syarikat, England, Australia dan Singapura. Jarang sekali pulang ke tanah air kerana kesibukan bekerja.

“Namun, percutian saya selama dua bulan untuk melawat isteri dan anak-anak dikejutkan dengan hutang piutang yang saya sendiri tidak tahu, menyebabkan masa banyak dihabiskan untuk menyelesaikan masalah ini,”
katanya yang ditemui pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini, semalam.

Menurutnya, dia yang kini menjadi tukang masak di sebuah hotel di Kepulauan Bermuda mengetahui mengenai hutang piutangnya apabila menerima surat perjanjian sewa dari pemilik premis itu yang dialamatkan ke kediaman di Cheras, di sini.

“Saya kemudian bersemuka dengan pemilik premis itu namun mereka mendakwa segala urusan penyewaan dilakukan menerusi ejen hartanah. Premis itu rupa-rupanya dijadikan kafe siber sejak setahun lalu.

“Ejen hartanah yang ditemui pula gagal mengecam wajah saya namun berkeras memberitahu dia membuat salinan kad pengenalan asal bagi surat perjanjian dan menafikan berlakunya penipuan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, sepanjang tahun ini pihaknya menerima 26 aduan daripada mangsa yang mendakwa kad pengenalan mereka disalahgunakan membabitkan kerugian sebanyak RM1.88 juta.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Terkejutdimintabayarhutang/Article

KPDNKK tiada kuasa sekat kenaikan harga susu, kopi

2010/10/06

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak ada kuasa untuk menyekat sebarang kenaikan barang seperti susu dan kopi setakat ini, kecuali selepas Akta Anti-Keuntungan Berlebihan (AAKB) diluluskan.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selepas akta itu diluluskan pada sesi Parlimen bulan ini, baru pihak kementerian mempunyai kuasa.

“Kalau ada kenaikan seperti susu atau kopi kementerian tiada kuasa untuk menyekat sebarang kenaikan, kecuali selepas AAKB itu diluluskan baru pihak kementerian mempunyai kuasa.

“Namun dengan adanya akta itu kita bukannya boleh menyekat terus. Kalau mereka ada sebab untuk menaikkan harga, misalnya barang itu diimport dari luar dengan harga yang tinggi, itu pun kita tidak anggap sebagai keuntungan berlebihan,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KPDNKKtiadakuasasekatkenaikanhargasusu_kopi/Article

10 kali tak hadir bicara

2010/10/06

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, semalam tetap akan meneruskan perbicaraan kes seorang peguam yang menghadapi pertuduhan pecah amanah membabitkan cek bernilai RM120,000 berikutan kes itu sudah banyak kali tertangguh kerana tertuduh tidak hadir ke mahkamah sebanyak 10 kali, menyebabkan kes itu berlarutan selama lima tahun.

Hakim Azizah Mahamud kemudian menetapkan 4 November ini sebagai tarikh akhir perbicaraan kes itu walaupun tanpa kehadiran tertuduh, Md Madzhar Mohd Sapuan, 48, dan ia dibuat mengikut Seksyen 264 Kanun Prosedur Jenayah.

Md Madzar yang digantung daripada menjalankan amalan guamannya sejak 1999, tidak hadir pada perbicaraan yang ditetapkan bermula pada 3 Disember 2007 atas alasan sakit.

Pada 6 Januari 2005, Md Madzhar didakwa melakukan pecah amanah sekeping cek Bumiputra Commerce berjumlah RM120,000, berhubung pembelian sebuah rumah ketika menjadi ejen kepada seorang doktor, Abdul Rahman Samion.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/10kalitakhadirbicara/Article

Menangis dijel 2 hari denda RM2j

2010/10/06

KUALA LUMPUR: ‘Are you happy or sad?’, (awak gembira atau sedih), tanya Hakim S M Komathy Suppiah apabila seorang bekas pengarah urusan syarikat pembinaan menangis selepas dijatuhi hukuman bagi dua tuduhan menipu membabitkan pembelian saham bernilai RM15.5 juta, 13 tahun lalu, di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Hakim Komathy mengenakan hukuman dua hari penjara dan denda RM2 juta bagi kesalahan itu selepas Ngu Tieng Ung, 43, menukar pengakuan bersalah terhadap pertuduhan.

Beliau memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula hari ini (semalam) dan turut membenar denda RM2 juta dibayar secara ansuran selama 12 bulan bermula sebelum atau pada 5 November ini. Sekiranya gagal menjelaskan denda pada tarikh ditetapkan dia boleh dipenjara 30 hari.

Mengikut pertuduhan pertama, Ngu didakwa memindahkan RM11 juta dari akaun syarikat Pancaran Ikrab (PIB) di Malayan Banking Berhad, ke akaun bank Amsteel Securities (M) Sdn Bhd di Hong Leong Bank.

Perpindahan wang itu bagi pembelian 3 juta unit saham PIB melalui akaun Task Avenue Sdn Bhd, yang mana tertuduh tahu wang terbabit bukan dimaksudkan untuk digunakan bagi pembelian saham itu antara 7 Oktober dan 13 Oktober 1997.

Bagi pertuduhan kedua, Ngu didakwa melakukan kesalahan sama, membabitkan pembelian 1.25 juta unit saham syarikat itu, bernilai RM4.5 juta melalui akaun North South Networking Sdn Bhd di OSK Securities Berhad antara 7 Oktober dan 20 Oktober 1997.

Ngu melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pancaran Ikrab Berhad, Tingkat 27, UBN Tower, 10 Jalan P Ramlee, di sini.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Menangisdijel2haridendaRM2j/Article

Bapa lepas geram

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

2010/10/06

SHAH ALAM: “Pasal dia tikam anak saya dekat dada. Saya kena tumbuk sekali badan dia.

“Hari ini saya dapat balas sekali pun jadilah,” kata bekas Setiausaha Umno Bahagian Klang, Shohimi Shafie, 42, selepas Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman gantung terhadap bekas konstabel kerana didapati bersalah membunuh anaknya, Muhammad Nurosama, 2, dan pengasuh kanak-kanak itu, Siti Rohana Baharom, 34, di sebuah flet, di Klang, dekat sini, tujuh tahun lalu.

Hakim Mohd Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Nahar Abu Bakar, 34, selepas berpuas hati pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah.

Shohimi menumbuk pembunuh anaknya itu kerana didorong perasaan geram ketika berselisih dengan tertuduh di pintu mahkamah. Dia yang ketika itu kelihatan begitu emosional turut didengar menjerit ‘kurang ajar’ terhadap tertuduh.

Hadir sama isterinya, Hamidah Harun, 40. Shohimi berkata, selepas lebih enam tahun menanti, mereka kini boleh berasa lega kerana orang yang bertanggungjawab membunuh Muhammad Nurosama menerima pembalasan sewajarnya. “Penjenayah ini sudah membunuh dua nyawa termasuk anak saya yang masih kecil, hanya berusia dua tahun. Alhamdulillah... kami reda dengan keputusan mahkamah,” katanya.

Sambil mengalirkan air mata, dia turut mengucapkan terima kasih kepada polis dan pendakwaan yang berjaya menjejaki tertuduh dan membawa lelaki itu ke muka pengadilan walaupun kejadian itu sudah berlaku tujuh tahun lalu.

Pasangan itu mempunyai empat anak. Muhammad Nurosama adalah anak ketiga mereka.

Terdahulu, Mohd Yazid dalam alasan penghakimannya berkata, mahkamah berpuas hati bahawa tertuduh pergi ke flet berkenaan, memasuki rumah Siti Rohana dan menikam pengasuh dan kanak-kanak berkenaan. Katanya, ini berdasarkan keterangan saksi yang melihat tertuduh naik ke flet, turun semula selepas mengambil pisau rambo dari but kereta. “Saya berpuas hati bahawa pisau itu adalah milik tertuduh dan dalam flet Siti Rohana, tertuduh adalah pihak yang menikam kedua-dua mangsa,” katanya.

Oleh itu katanya, keterangan tertuduh ketika membela diri tidak menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan di samping saksi yang melihat lelaki itu menikam kedua-dua mangsa di tempat kejadian.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nahar didakwa atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kematian Muhammad Nurosama Shohimi dan Siti Rohana, di rumah pengasuhnya itu di Flet Cempaka, Bandar Baru Klang, dekat sini, jam 1 tengah hari, 30 Disember 2003.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, bekas anggota polis berkenaan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam bela, Amir Khusyari Mohd Tanusi.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bapalepasgeram/Article

Penjara seumur hidup

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

2010/10/06

SHAH ALAM: “Kamu sengaja memenjarakan diri sendiri dengan melakukan perbuatan ini.

“Kesalahan kamu ini seperti orang yang langsung tiada pegangan agama,” kata Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zaki Mohd Yasin selepas menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan terhadap tiga lelaki selepas mengaku salah menculik dan merogol pelajar berusia 18 tahun, di sini, lapan tahun lalu.

Juruteknik, Norazly Alias, 30, Norlizan Miswan, 29, (kerani) dan Arwin Ahmad, 35, (jurujual) sebelum ini meminta dibicarakan tetapi memilih untuk menukar pengakuan mereka selepas mahkamah mendengar keterangan 11 saksi pendakwaan.

Sehubungan itu, dalam prosiding semalam, mahkamah memerintahkan hukuman terhadap mereka bertiga bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 26 November 2002.

Mereka dihukum penjara seumur hidup dan lima rotan untuk kes culik.

Bagi kesalahan merogol, Norazly dan Arwin dipenjara 20 tahun dan 10 sebatan, manakala Norlizan menerima hukuman 10 tahun dan lima sebatan. Mahkamah juga mengarahkan hukuman bagi kesalahan culik berjalan serentak dengan hukuman kesalahan merogol.

Zaki ketika menjatuhkan hukuman itu berkata, tertuduh sepatutnya boleh dihukum gantung sampai mati kerana perbuatan mereka terlalu serius selain meninggalkan kesan mendalam terhadap mangsa.

“Sebelum tidur, cuba kamu muhasabah diri kerana perbuatan kamu ini amat keji. “Semuanya (tertuduh) adalah anak sulung. “Saya tidak tahu apa yang kamu fikirkan (pada masa itu). Kamu patut fikirkan mengenai adik-beradik kamu,” katanya.

Mengikut tuduhan, mereka didakwa menculik gadis berkenaan bagi mendapatkan wang tebusan RM250,000 di Bulatan Melawati, di sini, jam 6.15 petang, pada 20 November 2002.

Bagi tuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Norazly dan Arwin turut didakwa atas dua tuduhan merogol pelajar itu di rumah nombor 25, Jalan Sri Perkasa 2/6, Taman Tampoi Utara, Tampoi, Johor Bharu antara 12.30 tengah malam dan 8 pagi pada 21 November 2002.

Sementara itu, Norlizan didakwa merogol mangsa di rumah nombor 23, Jalan Pertanian, Taman Desa Rahmat, Tampoi, Johor antara jam 4 dan 6 pagi, pada 25 November 2002.

Tuduhan merogol dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan.

Mangsa yang kini berusia 26 tahun dilihat meninggalkan mahkamah sebaik prosiding selesai. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Alfred Egin membantah rayuan mengurangkan hukuman oleh tertuduh kerana walaupun itu jenayah pertama perbuatan mereka, ia meninggalkan kesan buruk kepada fizikal dan emosi mangsa.

Pada prosiding semalam, Norazly diwakili peguam bela V Rajehgopal, Norlizan oleh V Ayasamy, manakala Arwin diwakili oleh Sreekant Pillai. Mangsa yang kini berusia 26 tahun dilihat meninggalkan mahkamah sebaik saja selesai prosiding kes itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Penjaraseumurhidup/Article

Kanser payudara meningkat

2010/10/06

KUALA LUMPUR: Peningkatan kes kanser payudara di kalangan rakyat Malaysia agak membimbangkan dengan jangkaan 39.3 orang mendapat kanser berkenaan daripada 100,000 penduduk.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata pendedahan Laporan Daftar Kanser Kebangsaan pada 2006 itu turut menunjukkan sebanyak 3,525 kes baru dikesan dalam tempoh sama.

“Selain itu, laporan berkenaan juga mendapati majoriti pesakit kanser payudara dengan 64 peratus adalah wanita berusia antara 40 dan 60 tahun.

“Kanser payudara adalah ‘pembunuh’ dan menjadi punca utama kematian wanita di Malaysia, justeru kami minta semua pihak bekerjasama untuk mengatasinya,”
katanya dalam sidang media selepas merasmikan kempen ‘Wear It Pink 2010’ di Hospital Pantai, di sini, semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kanserpayudarameningkat/Article

Suspek utama buat laporan

2010/10/06

KUALA LUMPUR: Suspek utama dan adik lelakinya yang ditahan polis sejak 11 Sept berhubung dakwaan kaitan mereka dengan pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, membuat laporan polis di balai polis Teluk Panglima Garang semalam.

Suspek berusia 41 tahun itu dan adiknya berusia 38 tahun membuat laporan pada kira-kira 5 petang berhubung dakwaan mereka dinafikan hak representasi yang sah dan lawatan oleh anggota keluarga.

Adik beradik itu yang juga peguam kini ditahan polis Selangor sejak Sabtu lepas, mendakwa rayuan awal mereka untuk mendapatkan representasi sah dinafikan ketika dalam tahanan polis Kuala Lumpur.

Dalam laporan itu, mereka juga mendakwa ketika dalam tahunan polis di ibu pejabat kontinjen polis Kuala Lumpur selama hampir tiga minggu, mereka dipaksa menandatangani satu dokumen.

Mereka juga mendakwa disoal siasat berterusan oleh pegawai polis menyebabkan mereka rasa “teruk tertekan dan diseksa”. Mereka menyatakan bahawa mereka ingin menemui peguam sebelum tarikh tamat perintah reman mereka pada Khamis (7 Oktober).

Dalam pada itu, peguam Ravi Neeko menggesa polis mendakwa suspek termasuk anak guamnya jika mereka mempunyai ‘banyak’ bukti sebagaimana mereka dakwa.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Suspekutamabuatlaporan/Article

Produk mata RM3j dirampas

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

2010/10/06

KUALA LUMPUR: Sejumlah lebih 10,000 produk didakwa mampu mengatasi masalah penglihatan bernilai RM3 juta yang sedang dipromosi sebuah syarikat dirampas Bahagian Penguat kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Ops Mata di seluruh negara sejak Ogos hingga kini.

Difahamkan, lebih 30 rangkaian produk syarikat berkenaan diserbu dalam operasi berkenaan.

Sumber Bahagian Penguat kuasa Farmasi berkata, sehingga kini pihaknya sudah melakukan operasi dan rampasan bersepadu di seluruh negara membabitkan nilai hampir RM3 juta.

“Rampasan demi rampasan terpaksa dilakukan selepas beberapa mangsa mengadu terpedaya dengan janji manis penjual produk berkenaan yang mendakwa mata mereka akan pulih atau bertambah baik selepas menggunakan produk itu.

“Malangnya produk yang dibeli dengan harga ratusan ringgit terbabit gagal memberikan kesan positif seperti yang diingini. Malah, penjualan produk terbabit jelas tidak mempunyai asas saintifik bagi membuktikan ia berkesan untuk mengubati penyakit mata,” katanya.

Menurutnya, dalam operasi terbaru, pihaknya menyerbu lima premis menjual produk terbabit yang terletak di Bandar Baru Bangi, Shah Alam dan Keramat, di sini. “Sebelum ini, serbuan turut dilakukan di Kelantan, Kedah, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Sabah.

“Tindakan merampas produk itu bukan kali pertama berikutan pihak pengedar pernah diambil tindakan sama sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Eisah A Rahman sebelum ini pernah menasihati pengguna supaya tidak mempercayai sebarang kaedah alternatif atau bentuk iklan yang mendakwa boleh merawat penyakit mata.

Menurutnya, rangkaian produk itu dianggap tidak lebih sebagai produk kosmetik dan tidak boleh untuk kegunaan di dalam biji mata.

“Produk kosmetik dalam konteks ini semata-mata untuk digunakan di bahagian muka dan sekitar bahagian luar mata untuk tujuan estetika. Ia tidak sama sekali boleh digunakan ke dalam biji mata sebagai ubat titis mahupun sebagai ubat semburan,” katanya.

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan iklan melalui media elektronik, cetak dan risalah diedarkan dalam kempen promosi beberapa syarikat mendakwa produk keluarannya dapat merawat penyakit mata seperti rabun, kerosakan saraf kerana kencing manis, mata berselaput, glaukoma dan sebagainya.

“Dakwaan sebegini tidak mempunyai asas dan bukti saintifik dari segi sains perubatan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/ProdukmataRM3jdirampas/Article

Ugut bakar isteri kedua


Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

2010/10/06

KUALA LUMPUR: Rahsia perkahwinan pertama yang terbongkar dan perebutan anak menyebabkan seorang lelaki berusia lewat 30-an bertindak di luar kawalan apabila menyimbah petrol serta mengugut mahu membakar isteri keduanya hidup-hidup, kelmarin.

Difahamkan, suspek mendirikan rumah tangga dengan wanita itu sejak dua tahun lalu, namun sepanjang setahun pertama perkahwinan mereka, mangsa yang berusia 26 tahun tidak tahu suaminya sudah mempunyai isteri serta enam anak.

Bagaimanapun, keadaan berubah apabila perkahwinan mereka memasuki tahun kedua selepas wanita itu mengetahui dia isteri kedua.

Menurut sumber, sejak rahsia itu terbongkar pasangan terbabit sering bertengkar dan suspek sering memukul wanita itu menyebabkan dia membawa anak tunggalnya berusia setahun keluar dari rumah serta tinggal di rumah kakaknya di Cheras, di sini.

“Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin, suspek pergi ke rumah kakak iparnya dan meminta mangsa menyerahkan semula anak mereka.

“Akibatnya, berlaku lagi pertengkaran. Kali ini suspek seperti hilang kawalan mengugut membakar semua barang di rumah itu dan mangsa ditampar beberapa kali,”
katanya.

Menurutnya, apabila kakak mangsa dan ahli keluarganya campur tangan bagi mengelakkan mangsa terus dikasari, suspek semakin berang, lantas mengugut untuk membakar isteri keduanya itu.

“Suspek pergi ke kenderaan yang diletakkan di hadapan rumah kakak mangsa sebelum berpatah balik dengan memegang sebuah botol. Suspek menyimbah cecair dipercayai petrol ke arah mangsa sambil berteriak mahu membakar isterinya hidup-hidup,” katanya.

Sumber itu berkata, keadaan tegang itu bagaimanapun berjaya ditenangkan ahli keluarga mangsa selepas mengancam hendak menghubungi polis jika suspek berkeras untuk meneruskan niatnya.

Menurutnya, suspek meninggalkan kawasan itu, namun mengugut tidak akan membiarkan isteri keduanya itu hidup tenang.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Brickfields semalam, sebelum kes itu dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan memberitahu siasatan lanjut dilakukan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ugutbakaristerikedua/Article

Isteri kedua suspek


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mohd Firdaus Ibrahim

2010/10/06

KUALA LUMPUR: Wanita dikehendaki, Jesyntha Clarene Isreal, 27, yang dipercayai mampu menyelesaikan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosila wati dan tiga individu lain dikatakan sedang menyembunyikan diri daripada dikesan pihak berkuasa.

Dia yang juga isteri kedua kepada seorang suspek kes pembunuhan kejam itu dikatakan mengetahui perancangan dan kejadian pembunuhan berkenaan.

Sumber polis berkata, wanita terbabit adalah individu yang mengetahui mengenai perancangan dan kejadian pembunuhan kejam itu.

“Dia (Jesyntha) yang mengetahui dirinya sedang diburu pihak berkuasa meninggalkan rumahnya di Banting dan bersembunyi di lokasi yang masih belum diketahui,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan selepas 36 hari siasatan, kes kematian jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, 47, memasuki episod baru apabila seorang wanita kini amat dikehendaki polis kerana mampu membantu memberi maklumat yang boleh menyelesaikan kes berprofil tinggi itu.

Melalui laman web facebook rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM), wajah dan maklumat wanita dikenali sebagai Jesyntha Clarene Isreal itu didedahkan kepada umum dan kerjasama orang ramai amat diperlukan untuk mengesannya.

Jesyntha berusia 27 tahun dan memegang MyKad bernombor 830630-10-6030. Alamat terakhirnya ialah di Lot 55, Batu 1/2 Jalan Jugra, Banting, Selangor.

Mengikut laman facebook PDRM, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Jesyntha diminta menghubungi Deputi Superintendan Khoo Leng Huat melalui talian 010-4203791.

Selain itu, mereka yang inginkan keterangan lanjut mengenai wanita terbabit boleh melawat laman sosial rasmi PDRM di www.facebook.com/PolisDirajaMalaysia.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Isterikeduasuspek/Article
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...