Wednesday, October 6, 2010

Bapa lepas geram

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

2010/10/06

SHAH ALAM: “Pasal dia tikam anak saya dekat dada. Saya kena tumbuk sekali badan dia.

“Hari ini saya dapat balas sekali pun jadilah,” kata bekas Setiausaha Umno Bahagian Klang, Shohimi Shafie, 42, selepas Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman gantung terhadap bekas konstabel kerana didapati bersalah membunuh anaknya, Muhammad Nurosama, 2, dan pengasuh kanak-kanak itu, Siti Rohana Baharom, 34, di sebuah flet, di Klang, dekat sini, tujuh tahun lalu.

Hakim Mohd Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Nahar Abu Bakar, 34, selepas berpuas hati pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melampaui keraguan munasabah.

Shohimi menumbuk pembunuh anaknya itu kerana didorong perasaan geram ketika berselisih dengan tertuduh di pintu mahkamah. Dia yang ketika itu kelihatan begitu emosional turut didengar menjerit ‘kurang ajar’ terhadap tertuduh.

Hadir sama isterinya, Hamidah Harun, 40. Shohimi berkata, selepas lebih enam tahun menanti, mereka kini boleh berasa lega kerana orang yang bertanggungjawab membunuh Muhammad Nurosama menerima pembalasan sewajarnya. “Penjenayah ini sudah membunuh dua nyawa termasuk anak saya yang masih kecil, hanya berusia dua tahun. Alhamdulillah... kami reda dengan keputusan mahkamah,” katanya.

Sambil mengalirkan air mata, dia turut mengucapkan terima kasih kepada polis dan pendakwaan yang berjaya menjejaki tertuduh dan membawa lelaki itu ke muka pengadilan walaupun kejadian itu sudah berlaku tujuh tahun lalu.

Pasangan itu mempunyai empat anak. Muhammad Nurosama adalah anak ketiga mereka.

Terdahulu, Mohd Yazid dalam alasan penghakimannya berkata, mahkamah berpuas hati bahawa tertuduh pergi ke flet berkenaan, memasuki rumah Siti Rohana dan menikam pengasuh dan kanak-kanak berkenaan. Katanya, ini berdasarkan keterangan saksi yang melihat tertuduh naik ke flet, turun semula selepas mengambil pisau rambo dari but kereta. “Saya berpuas hati bahawa pisau itu adalah milik tertuduh dan dalam flet Siti Rohana, tertuduh adalah pihak yang menikam kedua-dua mangsa,” katanya.

Oleh itu katanya, keterangan tertuduh ketika membela diri tidak menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan di samping saksi yang melihat lelaki itu menikam kedua-dua mangsa di tempat kejadian.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nahar didakwa atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kematian Muhammad Nurosama Shohimi dan Siti Rohana, di rumah pengasuhnya itu di Flet Cempaka, Bandar Baru Klang, dekat sini, jam 1 tengah hari, 30 Disember 2003.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, bekas anggota polis berkenaan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail manakala tertuduh diwakili peguam bela, Amir Khusyari Mohd Tanusi.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bapalepasgeram/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...