Wednesday, October 6, 2010

Menangis dijel 2 hari denda RM2j

2010/10/06

KUALA LUMPUR: ‘Are you happy or sad?’, (awak gembira atau sedih), tanya Hakim S M Komathy Suppiah apabila seorang bekas pengarah urusan syarikat pembinaan menangis selepas dijatuhi hukuman bagi dua tuduhan menipu membabitkan pembelian saham bernilai RM15.5 juta, 13 tahun lalu, di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Hakim Komathy mengenakan hukuman dua hari penjara dan denda RM2 juta bagi kesalahan itu selepas Ngu Tieng Ung, 43, menukar pengakuan bersalah terhadap pertuduhan.

Beliau memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula hari ini (semalam) dan turut membenar denda RM2 juta dibayar secara ansuran selama 12 bulan bermula sebelum atau pada 5 November ini. Sekiranya gagal menjelaskan denda pada tarikh ditetapkan dia boleh dipenjara 30 hari.

Mengikut pertuduhan pertama, Ngu didakwa memindahkan RM11 juta dari akaun syarikat Pancaran Ikrab (PIB) di Malayan Banking Berhad, ke akaun bank Amsteel Securities (M) Sdn Bhd di Hong Leong Bank.

Perpindahan wang itu bagi pembelian 3 juta unit saham PIB melalui akaun Task Avenue Sdn Bhd, yang mana tertuduh tahu wang terbabit bukan dimaksudkan untuk digunakan bagi pembelian saham itu antara 7 Oktober dan 13 Oktober 1997.

Bagi pertuduhan kedua, Ngu didakwa melakukan kesalahan sama, membabitkan pembelian 1.25 juta unit saham syarikat itu, bernilai RM4.5 juta melalui akaun North South Networking Sdn Bhd di OSK Securities Berhad antara 7 Oktober dan 20 Oktober 1997.

Ngu melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pancaran Ikrab Berhad, Tingkat 27, UBN Tower, 10 Jalan P Ramlee, di sini.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Menangisdijel2haridendaRM2j/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...