Friday, October 8, 2010

Panggilan Semula Gen2 Dan Satria Neo Beri Impak Minimum Ke Atas Proton

Jumaat Oktober 8, 2010

KUALA LUMPUR: Proton Holdings hanya mengalami impak minimum berikutan panggilan semula kereta Gen2 dan Satria Neo, kata MIDF Research pada Jumaat.

"Kami menjangkakan menerima reaksi negatif akibat panggilan itu, namun penyusutan harga saham Proton mungkin menyediakan peluang untuk membeli saham-saham pada paras rendah," katanya dalam nota kajiannya Jumaat.

MIDF bagaimanapun berkata ia mengekalkan saranan "beli" ke atas saham Proton, dengan harga sasaran tidak berubah pada RM5.80.

Pada Khamis, pembuat kereta nasional itu membuat panggilan semula sukarela Gen2 dan Satria Neo yang dikeluarkan antara 2004 dan 2008 disebabkan kerosakan "clock spring" yang boleh menjejaskan keselamatan.

Panggilan semula sukarela itu, yang merupakan sebahagian daripada program Jaminan Kualiti Global, melibatkan 15,911 (dua peratus) daripada 660,000 kereta yang dikeluarkan dan dijual dalam tempoh empat tahun.

Komponen "clock spring" menghubungkan suis dengan beg udara ke radio, hon dan kawalan "cruise".

OSK Research berkata saham Proton dijangkakan menyaksikan reaksi negatif sementara hari ini memandangkan tanggapan kualiti yang dipertingkat, akan dinilai semula oleh pelabur berpotensi.

"Ini akan memberi tekanan ke atas jualan Proton sehingga lebih banyak penjelasan dan statistik diberikan dan bagaimana kes itu muncul," katanya dalam nota penyelidikan.

Ia juga mengekalkan saranan "beli" ke atas saham Proton, dengan harga sasaran RM5.67.

"Tekanan menurun hari ini akan memberi peluang kepada pelabur untuk mengumpul ketika kami terus mengekalkan unjuran positif ke atas Proton," katanya.

OSK bekata Proton tidak memperlihatkan sebarang impak ketika panggilan terakhir membabitkan 34,000 kereta Proton Savvy berikutan kemungkinan masalah galas roda yang boleh menyebabkan air memasuki tayar, pada April 2008.

Meskipun begitu, perolehan tidak terjejas memandangkan jualan Proton kekal berdaya tahan kerana Savvy bukan penyumbang utama kepada jumlah jualan berikutan jumlahnya yang kecil.

Ia berkata harga saham Proton tidak terjejas semasa panggilan semula itu berdasarkan potensi pendapatan daripada pelancaran baharu Proton Saga ketika itu.- BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/10/8/mstar_berita/20101008124456&sec=mstar_berita

Raja Azura Berhasrat Rujuk Semula

Published: Jumaat Oktober 8, 2010 MYT 1:13:00 PM
Updated: Jumaat Oktober 8, 2010 MYT 2:08:48 PM

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyampai radio Sinar FM, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 38, masih menyayangi suaminya , Adzmin Othman,37, dan tidak menolak kemungkinan untuk rujuk semula.

Kata Raja Azura atau lebih dikenali sebagai Kak Engku, dia masih memberi peluang kepada suaminya untuk mencari jalan pendamaian dalam tempoh edah demi masa depan anak-anak.

"Selama ini saya hilang kepercayaan kepada suami dan dia perlu mengembalikan kepercayaan itu kepada saya semula. Penceraian hanyalah jalan untuk kami betulkan semula keadaan.

"Namun begitu saya masih lagi membuka peluang kepada dia untuk selamatkan rumah tangga kami sepanjang tempoh edah ini atau berkahwin semula selepas tempoh itu," katanya ketika ditemui selepas selesai menjalankan tugasnya mengendalikan segmen Sinar Pagi di Stesen Radio Sinar FM, di Astro Bukit Jalil di sini, Jumaat.

Raja Azura dan Adzmin bercerai talak satu di sebuah mahkamah syariah di Selangor pada 28 September lalu. Penceraian itu dilakukan dalam prosiding tertutup.

Dalam pada itu, Raja Azura turut memberitahu kasih sayang terhadap suaminya tidak pernah berubah malah keputusan untuk bercerai adalah keputusan bersama.

"Kami tidak pernah bergaduh, bertengkar, malah kami adalah pasangan romantik di luar. Saya akui hati saya tidak pernah berubah daripada menyayanginya.

"Kami ambil keputusan ini sebagai jalan terbaik untuk memperbaiki hubungan kami dari luar setelah cara lain gagal. Selepas ini saya harap lebih menghargai dan memerlukan antara satu sama lain," katanya.

Ujarnya, mereka turut berjanji akan menjalankan tanggungjawab sebagai ibu bapa kepada anak-anak dan menjadi sahabat paling baik.

"Sebelum berpisah kami telah berjanji akan menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan baik terutamanya memberi perhatian kepada kami.

"Saya tidak mahu anak-anak rasa terabai malah perkara ini masih menjadi rahsia kami dari pengetahuan mereka kerana mereka masih kecil untuk mengetahuinya," katanya.

Kata Raja Azura, hak penjagaan anak adalah atas persetujuan bersama dan suami berhak untuk berjumpa mereka pada bila-bila masa.

Raja Azura dan Adzmin mendirikan rumah tangga pada 10 Mac 2001 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq, 8, Megat Luqman Hakim, 7, serta Puteri Mia Maizurah, 4.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/10/8/mstar_hiburan/20101008130835&sec=mstar_hiburan

'Saya pasrah'


Oleh Roslen Fadzil dan Norhayati Nordin
am@hmetro.com.my
2010/10/08




KUALA LUMPUR: Pelakon, pengacara dan penyampai radio, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin, 38, menganggap perceraian yang berlaku dalam hidupnya suratan takdir walaupun situasi itu sangat berat untuk ditempuhi.


SAAT BAHAGIA...Kak Engku bersama Adzmin dan tiga anak mereka.
SAAT BAHAGIA...Kak Engku bersama Adzmin dan tiga anak mereka.
Sambil menyifatkan jodoh antara dia dan bekas suami, Adzmin Osman, 37, hanya sekadar ‘di sini’ (sembilan tahun), Raja Azura atau Kak Engku tetap pasrah malah bertawakal agar Tuhan memberikan kekuatan untuk meneruskan hidup.

“Saya seboleh-bolehnya tidak mahu komen langsung mengenai perkara ini. Saya sedar kebenaran itu kadangkala sangat pahit untuk ditelan, tapi saya tetap pasrah menerima dugaan terhebat dalam hidup saya ketika ini.

“Cuma saya mohon, buat masa ini, berilah ruang privasi kepada saya untuk bertugas seperti biasa, menenangkan fikiran dan berdampingan dengan anak-anak,”
katanya dalam nada sebak ketika dihubungi.

Raja Azura atau Kak Engku (KE) bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan berkata, dia mungkin membuat sidang media dalam waktu terdekat bagi menjelaskan perkara sebenar agar situasi tidak menjadi keruh selain menghindari spekulasi.

Semalam, Harian Metro memaparkan laporan eksklusif perceraian Raja Azura dan Adzmin selepas rumah tangga yang dibina sejak 10 Mac 2001, gagal diselamatkan lagi.
Sebelum ini, sumber mengesahkan, Raja Azura dan Adzmin bercerai talak satu di sebuah mahkamah syariah di Selangor, pada 28 September lalu dan ia dilaksanakan dalam prosiding tertutup atas permintaan pasangan terbabit.

Pada 6 Ogos lalu, pengacara program Ewah-Ewah itu mengadakan sidang media tergempar untuk menjelaskan khabar angin menyatakan rumah tangganya bergolak, sekali gus memberitahu sebab kunjungannya bersama Adzmin ke Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam, pada 3 Ogos lalu.
Pada sidang media itu, Raja Azura menegaskan kunjungan mereka ke mahkamah berkenaan tiada kena mengena isu memfailkan permohonan cerai seperti dihebohkan, sebaliknya bagi mendapatkan khidmat kaunseling demi menyelesaikan krisis rumah tangga.

Hasil perkongsian hidup, Raja Azura dan Adzmin yang juga anak bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff, dikurniakan tiga anak, Megat Muhammad Raziq, 8, Megat Luqman Hakim, 7, serta Puteri Mia Maizurah, 4.

Sementara itu, Pengurus Saluran Sinar FM, Rostam Said, ketika dihubungi semalam berkata, dia tiada hak memberi komen lanjut mengenai masalah rumah tangga membabitkan kakitangannya itu. Kata Rostam, ia masalah peribadi dan biarlah Raja Azura sendiri menjawabnya.

“Saya tidak mahu komen. Setakat ini, Raja Azura datang kerja seperti biasa dan mampu menjalankan tugasnya sebagai penyampai radio dengan baik. Selagi dia tidak membuka mulut memaklumkan kisah peribadinya, selagi itu saya takkan memberi apa-apa komen.

“Saya harap semua orang memahami perasaan Raja Azura. Saya menghormatinya sebagai penyampai yang sangat komited, rajin dan berdisplin,”
katanya. Sementara itu, rakan baik Raja Azura yang juga pengacara popular, Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar berkata, biarpun persahabatan mereka erat, Raja Azura tidak pernah memberitahu secara mendalam mengenai masalah rumah tangganya apa lagi soal perceraian.

“Kalau bercerita pun, yang biasa-biasa saja, bukan secara keseluruhan sebab adat setiap pasangan berkahwin, mesti ada salah faham. Tapi, saya tak sangka mereka sampai bercerai-berai. Semua ini ketentuan Tuhan. Hari ini, dugaan untuk Raja Azura, esok lusa belum tentu siapa pula. Justeru, sebagai manusia saya sentiasa berdoa yang terbaik untuk diri, keluarga dan sahabat.

“Saya harap sekalipun sudah berpisah, Raja Azura dan Adzmin teruslah berbaik demi anak-anak. Mengenali Raja Azura, saya yakin dia seorang yang sangat tabah,”
katanya.

Ditanya apakah dia tidak gusar jika Raja Azura tidak dapat hadir pada saat-saat akhir untuk mengacarakan majlis persandingan Datuk Wan Mohamad Sani Salleh dan pasangan, Fatimah Dalilah Omar di Ri-Yaz Heritage & Marina Resort & Spa, Pulau Duyong, Terengganu, Ahad ini, Sharifah Shahirah yakin Raja Azura pasti mengotakan janji.

“Kami sudah tempah tiket pesawat dan insya-Allah semua akan baik,” katanya.

Apabila tersiarnya berita perceraian itu semalam, beberapa wakil media terus memburu Raja Azura di Pusat Penyiaran Asia (ABC), Bukit Jalil sebaik saja dia selesai dari tugasan pagi di konti Sinar FM.

Namun, usaha mereka untuk mendapatkan komen dan pengesahan gagal kerana dia berjaya mengelakkan diri, dipercayai terlalu bersedih sekalipun tetap ceria tatkala ke udara di radio.



Hadir serah diri bersama peguam


Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee dan Muhammad Apendy Issahak
am@hmetro.com.my
2010/10/08

KUALA LUMPUR: Selepas bersembunyi dan menjadi buruan polis sejak identitinya didedahkan Isnin lalu, wanita paling dikehendaki, Jesyntha Clarene Isreal yang dipercayai mampu menyelesaikan kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, ditahan polis sebaik menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, petang semalam.


ANGKAT...ratusan fail dari pejabat suspek utama diangkat masuk ke dalam lori, semalam.
ANGKAT...ratusan fail dari pejabat suspek utama diangkat masuk ke dalam lori, semalam.
Jesyntha, 27, yang alamat terakhirnya di Lot 55, Batu 1/2 Jalan Jugra, Banting, Selangor, sebelum ini gagal dikesan dan bersembunyi selepas menjadi buruan polis.

Difahamkan, dia yang juga isteri kedua kepada seorang daripada suspek kes pembunuhan kejam itu dikehendaki kerana dipercayai mempunyai maklumat mengenai perancangan dan kejadian pembunuhan berkenaan.

Jesyntha hadir menyerah diri bersama peguamnya kira-kira jam 5 petang dan polis menahannya bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan jutawan kosmetik terbabit.

Pusat Media Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, semalam, melalui laman web facebook rasmi PDRM memaparkan maklumat terkini mengenai penahanan terbabit, namun beberapa pegawai PDRM yang dihubungi untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenainya enggan memberi ulasan.

Difahamkan, polis akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap wanita terbabit hari ini.
Selasa lalu, wajah dan maklumat wanita itu tersebar kepada umum melalui media dan orang ramai diminta membantu polis untuk mengesannya.

Sementara itu, tiga suspek utama kes pembunuhan Sosilawati dan tiga rakannya ditahan semula semalam bagi membantu siasatan kes kehilangan dua ahli perniagaan yang dilaporkan hilang awal tahun ini.

Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah dalam kenyataan media yang dikeluarkan di sini berkata, tempoh tahanan reman peguam dan adiknya serta seorang lagi suspek bergantung keperluan siasatan.

Namun, dipercayai polis akan memohon lanjutan tempoh tahanan reman mereka bagi membantu kes kehilangan seorang kontraktor, Mohd Syafiq Abdullah, 37, yang dilapor hilang bersama rakan niaganya, April lalu.

Isteri Syafiq, Samson Nahar Mohamed Dali, 35 dilaporkan sudah membuat laporan mengenai kehilangan suaminya di IPD Kuala Muda, Sungai Petani.

Kes itu dipindahkan ke Balai Polis Petaling kerana suaminya dipercayai hilang di kawasan itu dan difahamkan, ketiga-tiga suspek kini ditahan di lokap balai polis berkenaan bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, ketiga-tiga mereka direman hingga semalam berhubung kes kehilangan seorang ahli perniagaan warga India, A Muthuraja yang datang ke negara ini untuk membuka perniagaan.

Dalam perkembangan berkaitan, peguam suspek, Ravi Neeko berkata dia dihubungi seorang pegawai polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bagi memaklumkan penahanan semula anak guamnya.

“Pagi tadi (semalam) saya dihubungi seorang pegawai polis dan memaklumkan anak guam saya akan ditahan semula dan mereka kini berada di dalam lokap di sebuah balai polis di Kuala Lumpur sehingga esok.

“Dijangka kedua-dua mereka (suspek utama dan adiknya) akan disambung reman esok atau lusa bersama enam yang lain,”
katanya ketika dihubungi, semalam.

Difahamkan, kedua-dua suspek kini di bawah siasatan IPK Kuala Lumpur dan bukan lagi IPK Selangor bagi membantu siasatan kes kehilangan Syafiq dan rakannya memandangkan soal siasat mengenai kes Sosilawati dan Muthuraja selesai.

Muthuraja, 34, dilapor hilang selepas dipercayai dijemput dua peguam rakyat tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba di negara ini 18 Januari lalu.

Sebelum berita kehilangan Muthuraja dan Syafiq dilaporkan, negara digemparkan dengan pembunuhan kejam seorang jutawan kosmetik dan tiga yang lain dipercayai dilakukan tiga suspek berkenaan dan lima yang lain.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas ke Banting untuk urusan pembelian tanah.


Thursday, October 7, 2010

'Ingat hari akhirat'

Oleh Hayati Ibrahim

2010/10/07

PUTRAJAYA: “Berdasarkan undang-undang Islam, kamu berdua wajib direjam sampai mati, bagaimanapun negara kita tidak melaksanakan undang-undang berkenaan.

“Tetapi, kamu kena ingat hukuman tetap akan ditentukan di mahkamah Allah iaitu di hari akhirat kelak, melainkan kamu betul-betul bertaubat dengan taubat nasuha,” kata Hakim Syarie Nasir Abdul Aziz di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam.


Nasir berkata demikian ketika menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau 12 bulan penjara jika gagal membayar denda terhadap seorang lelaki dan wanita yang dituduh berkhalwat 1 September lalu pada jam 2.49 petang di Blok C-T14-UO8, Parcel 15-12A, Presint 15, di sini.


Hukuman terbabit dijatuhkan Nasir apabila tertuduh, Nur Hafidh Mansor, 27, dan pasangannya Badauyah Abdul Rahim, 27, mengaku bersalah kerana berkhalwat selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapannya.


Kedua-dua mereka yang sudah berkahwin dan mempunyai anak menundukkan kepala serta kelihatan tenang ketika hukuman dibacakan.


Mereka dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 27 (a)& (b), Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997 dan boleh dijatuhkan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Nasir berkata, tindakan pasangan itu menyedihkan kerana berlaku pada Ramadan, malah masing-masing sudah mempunyai keluarga dan perbuatan itu juga mencemar ikatan perkahwinan kerana berlaku curang terhadap pasangan masing-masing.


“Saya amat sedih dengan perbuatan pasangan ini kerana ia berlaku pada Ramadan...bulan yang sepatutnya umat Islam memperbanyakkan amalan kerana Allah menjanjikan lebih banyak pahala kepada umatnya.


“Lebih-lebih lagi pasangan sudah berkahwin dan ada tanggungjawab masing-masing. Malah, ia berlaku di kuarters kerajaan yang disediakan untuk memberikan keselesaan kepada mereka supaya lebih dekat dengan tempat kerja,” katanya sambil menggelengkan kepala.


Mengikut fakta kes, sepasukan anggota Penguat kuasa Agama (PPA) Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bertindak menjalankan pemeriksaan hasil aduan awam mengenai kes khalwat di rumah terbabit.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ingathariakhirat/Article

Eksekutif rugi RM18,000 ditipu sindiket kad kredit

2010/10/07

KUALA LUMPUR: Seorang wanita diperdaya satu sindiket penipuan kad kredit yang ‘mencuri’ wangnya secara senyap membabitkan kerugian RM18,000 selepas mangsa diarah menukar nombor PIN semua empat kad kredit miliknya.

Mangsa, Lim Jit Ngoh, 47, mendakwa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Chan dari sebuah institusi kewangan yang memaklumkan dia supaya menambah jumlah had kredit mangsa kepada lebih RM10,000.


“Saya menerima panggilan berkenaan ketika sedang membeli-belah di sebuah pasar raya di ibu kota dan terkejut sejurus dimaklumkan lelaki terbabit kad kredit saya sudah mencapai had ditetapkan. “Dia memberitahu kad kredit saya itu dimohon individu lain di Sarawak yang menggunakan nama saya. Malah, kad terbabit turut dibelanjakan di sebuah kasino di Singapura,” katanya pada sidang media di Biro Pengaduan Awam, Wisma MCA Petaling Jaya Selatan, di sini, semalam.


Menurutnya, terkejut dengan maklumat yang dikemukakan lelaki berkenaan kononnya kad kreditnya dipalsukan, dia kemudian mengikut saja arahan diberikan lelaki terbabit.


Difahamkan, dia yang bekerja sebagai Eksekutif Akauntan di sebuah syarikat di Puchong, di sini, amat panik dengan berita yang diterimanya itu kerana menganggap dirinya sudah menjadi mangsa sindiket pemalsuan kad kredit.


“Lelaki itu menyuruh saya menghubungi pusat pengurusan kad palsu Bank Negara menggunakan nombor talian yang diberikan. Malah, dia turut mendesak saya menyelesaikan masalah itu pada hari kejadian iaitu 16 September lalu.


“Saya terus menghubungi ‘Bank Negara’ dan bercakap dengan seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Sam. Lelaki itu memberitahu bahawa dia akan mengambil tindakan berdasarkan aduan saya itu dan meminta saya menghubungi talian aduan serta memberikan nombor untuk dihubungi,” katanya.


Lim berkata, tanpa mengesyaki apa-apa, dia memberikan semua maklumat sulit berkaitan kad kreditnya kepada lelaki terbabit kononnya bertujuan dimasukkan ke dalam sistem pengawalan penipuan.


Menurutnya, beberapa minit kemudian dia menerima panggilan daripada seorang wanita yang memperkenalkan dirinya Irene dari Bahagian Pengurusan Kad Palsu Bank Negara.


“Wanita itu memberitahu maklumat kad kredit saya sudah bocor dan menyuruh saya mengikut arahannya untuk membuat kad kredit baru.


“Bagaimanapun, sebelum itu, dia menyuruh saya menukar nombor PIN bagi mengelakkan wang di dalam akaun lama hilang. Saya kemudian pergi ke mesin ATM berhampiran untuk menukar nombor PIN,” katanya.

Beliau berkata, dengan arahan yang diberikan wanita itu, keempat-empat kad kredit miliknya ditukarkan nombor PIN baru mengikut nombor yang diberikan. Malangnya, tiga hari selepas kejadian itu, mangsa mahu memeriksa kad kreditnya itu dan terkejut sejurus mendapati wang semua kad kreditnya sudah dipindahkan, ekoran kejadian itu, beliau membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya.


Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Selangor, Datuk Teeng Book berkata, pihaknya sudah menerima pelbagai kes berhubung kejadian penipuan licik seperti mangsa dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap sindiket.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/EksekutifrugiRM18_000ditipusindiketkadkredit/Article

Pijak perut isteri

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

2010/10/07

KUALA LUMPUR: Tidak tahan mendengar leteran isterinya selepas tidak pulang ke rumah sejak dua bulan lalu, seorang suami berusia 30 tahun membelasah isterinya selain memijak perut wanita terbabit yang sedang mengandungkan enam bulan, kelmarin.

Difahamkan, lelaki berkenaan hilang kawalan selepas mangsa yang berusia 26 tahun menuduhnya sudah berkahwin lain sehinggakan mengabaikan kebajikannya.


Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, di sebuah rumah di Cheras, di sini, suspek menampar dan mencekik isterinya itu selepas tidak tahan mendengar leterannya.


Menurut sumber, mangsa yang cuba mempertahankan dirinya bertindak melawan suaminya hingga menambahkan lagi kemarahan suspek.


“Suspek kemudian menampar mangsa sehingga terjatuh. Sebaik terjatuh, suspek terus memijak perut mangsa walaupun menyedari wanita berkenaan sedang mengandungkan anak sulung mereka,” katanya.


Beliau berkata, akibat terlalu sakit, mangsa merayu agar dikasihani.


“Namun, suspek yang bagaikan sudah dirasuk syaitan itu terus menendang dan memukul mangsa.


“Wanita malang itu bagaimanapun bernasib baik apabila adik mangsa berusia 20-an yang juga tinggal di rumah berkenaan menghalang suspek daripada bertindak lebih ganas,” katanya.


Sumber berkata, tersentak dengan campur tangan adik iparnya itu, suspek meninggalkan rumah.


“Mangsa kemudian dibawa ke klinik swasta berhampiran kediaman mereka selepas mengalami pendarahan,” katanya.


Difahamkan, kandungan wanita berkenaan masih baik, namun mangsa dinasihatkan supaya berhati-hati.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Cheras, di sini, berhubung kejadian berkenaan untuk siasatan dan tindakan lanjut.


Difahamkan, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pijakperutisteri/Article

Dua samun pelajar dijel 28 bulan

2010/10/07

KUALA LUMPUR: Seorang pelayan sambilan dan penganggur dikenakan hukuman 28 bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan menyamun seorang pelajar pada Disember tahun lalu.

Hakim Zainal Abidin Kamarudin menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd Nasir Satapa, 36, dan Sayed Zukinai Sayed Ab Aziz, 43, menukar pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.


Zainal Abidin memerintahkan hukuman penjara itu berjalan dari tarikh kedua-dua tertuduh ditangkap iaitu pada 8 Disember 2009.


Mengikut pertuduhan mereka didakwa menyamun beg sandang warna hitam berisi dompet yang mengandungi kad pengenalan, cukai jalan motosikal, wang tunai RM500, pengecas telefon bimbit dan satu telefon bimbit jenis Sony Ericcson milik Abdul Aziz Mahmud, 19.


Kesalahan dilakukan di Jalan Segambut, Jinjang, di sini, pada jam 7 malam, 5 Disember 2009.


Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman sehingga 20 tahun penjara dan sebat, jika sabit kesalahan.


Mengikut fakta kes, mangsa disamun ketika sedang berjalan di Jalan Segambut Bahagia. Secara tiba-tiba, dia didatangi sebuah kereta jenis Gen. 2 warna merah yang dinaiki kedua-dua tertuduh.


Salah seorang tertuduh turun dari kereta itu dan menarik beg sandang milik mangsa sebelum melarikan diri dengan kereta itu. Kawan pengadu kemudian bertindak mengejar kereta tersebut sehingga berjaya menangkap tertuduh di Jalan Kuching sebelum dibawa ke balai polis.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ashiqin Zulkifli.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Duasamunpelajardijel28bulan/Article

Buruh diarah bela diri

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

2010/10/07

SHAH ALAM: Seorang buruh diarah membela diri atas tuduhan membunuh anak lelakinya berusia dua tahun, yang rangka mayatnya ditemui nelayan, dalam beg pakaian di perairan Selat Melaka, berhampiran Pulau Sembilan, Teluk Intan, Perak, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki membuat keputusan itu terhadap M Murthy selepas berpuas hati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.


Murthy, 32, didakwa membunuh anaknya, Ruthren, dalam sebuah rumah di Lot 1848, Jalan Sungai Pinang, di sini, pada jam 4.15 petang, 20 Januari 2007.


Bagi pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.


Berdasarkan keterangan saksi pendakwaan, mangsa, anak keenam daripada tujuh beradik dilaporkan ditendang di kepala selepas bapanya dikatakan tidak tahan mendengar tangisannya.


Anak kedua tertuduh, M Thinesh, 11, dalam keterangannya berkata, dia melihat bapanya menampar dan menendang mangsa sehingga kanak-kanak itu terperosok ke dalam longkang dalam bilik air rumah mereka.


Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata, dia melihat adiknya cuba bangun, namun ditendang sebelum dipijak oleh bapanya.


Ketika itu katanya, dia melihat kepala mangsa sudah lembik dan keadaan adiknya itu seperti sudah tidak sedarkan diri.


Ibu mangsa, K C Selvi, pula memberitahu mahkamah dia melihat anaknya meraung akibat tangan sudah kejang dengan muka kebiru-biruan selepas kanak-kanak itu dipukul dalam bilik air rumah mereka.


Menurut saksi pendakwaan ke-13 itu, dia cuba menghalang perbuatan suaminya itu, namun hanya mengundang padah apabila lelaki berkenaan mengikat dan mengurungnya di satu bilik rumah itu.


Tertuduh kemudian mengambil beg baju dan menyumbat kanak-kanak malang itu ke dalamnya, sebelum membuangnya ke dalam sebuah longkang berhampiran Pelabuhan Klang.

Ibu mangsa kemudian terpaksa berbohong mengenai kematian anaknya kerana mendakwa tertuduh mengancam untuk membunuh anak mereka yang lain, jika perkara itu terbongkar.


Mayat kanak-kanak malang itu yang sudah hampir terurai itu ditemui nelayan berhampiran Pulau Sembilan, Teluk Intan, Perak, beberapa bulan kemudian.


Laporan bedah siasat mendapati mayat mangsa yang berpakaian baju kanak-kanak itu sudah tidak memiliki otak dengan tulang hidung kanannya patah.


Bagaimanapun sebab kematian tidak dapat dipastikan, namun mungkin disebabkan oleh kepatahan tulang di pinggang dan pinggul berdasarkan keadaan mayat dalam beg.

Sepanjang perbicaraan pada kes peringkat pendakwaan, seramai 20 saksi dipanggil memberi keterangan.


Mohtarudin kmenetapkan 25 Oktober depan sebagai tarikh untuk tertuduh membela diri.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Buruhdiarahbeladiri/Article

Keburukan lebih banyak daripada manfaat

2010/10/07

KUALA LUMPUR: Manfaat laman web rangkaian sosial popular sama ada Facebook, Friendster dan Myspace bukan hanya sekadar mengeratkan silaturahim serta bertanya khabar sedangkan keburukan ‘ditawarkan’ lebih banyak.

Pengerusi Rumah Iman Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan dan Iman Malaysia (Sidim), Hanafi Abdul Malek berkata, antara keburukan menanti ‘penagih’ laman web itu merangkumi membentuk sikap lalai, boleh meruntuhkan rumah tangga termasuk mempengaruhi remaja berzina.


“Rumah Iman kendalian Sidim menempatkan beberapa remaja perempuan yang terjebak dalam gejala zina berpunca daripada Facebook. Mereka terpengaruh dan ghairah dengan kata-kata pujian serta pujaan lelaki menerusi Facebook sehingga membawa perbuatan zina.


“Facebook itu juga menyebabkan berlaku kes perceraian kerana suami atau isteri curang selepas berkenalan dengan kekasih menerusi laman web sosial itu, sekarang ada pula kejadian seorang pelajar dipukul kerana Facebook,” katanya yang dihubungi semalam.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas muka depan Harian Metro Isnin lalu mengenai pelajar tingkatan lima sebuah sekolah asrama di Lenggong, Perak yang cedera di mata dan dahi akibat dipukul rakan sekelas selepas dituduh menceroboh laman sosial facebook milik kawannya.


Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang Khamis lalu, Aiman Asyraf, 17, dibelasah teruk kerana dikatakan menceroboh akaun Facebook milik rakannya kerana mengetahui kata laluan.


Hanafi berkata, walaupun kejadian itu boleh dianggap terpencil namun ia jelas menunjukkan akibat buruk daripada penggunaan laman web sosial.


“Kalau di jabatan kerajaan atau swasta pula, ketagihan melayari laman web sosial ini menyebabkan produktiviti menurun dan pendapatan bulanan sepatutnya diperoleh daripada bekerja disia-siakan dengan aktiviti melalaikan sebenarnya tidak berkat.


“Facebook baru diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu saja tetapi kesannya menyebabkan kita lalai dan ia boleh menjurus ke arah keghairahan maksiat. Kalau sekadar mahu bertanya khabar atau mengeratkan silaturahim, banyak lagi medium lebih baik boleh digunakan,” katanya.


Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi sebuah kenyataan sebelum ini berkata, kematangan berfikir penting bagi setiap individu yang menggunakan media baru seperti laman web sosial untuk menilai kebaikan dan keburukan setiap aktiviti di alam maya.


“Kewujudan laman web sosial dapat mengeratkan tali silaturahim, mempertemukan sahabat lama terpisah, mengikuti perkembangan aktiviti pemimpin, bertanya khabar dengan cara paling menjimatkan, berbincang, nasihat menasihati, berkongsi pengalaman dan petua serta banyak lagi kebaikan yang mampu dimanfaatkan pengguna laman web rangkaian sosial ini.

“Tetapi tidak dinafikan terdapat penyalahgunaannya oleh segelintir masyarakat. Segelintir pihak menggunakannya sebagai medium meluahkan rasa tidak puas hati dan ia bukan cara terbaik kerana penyalahgunaan laman web sosial tidak dapat menyelesaikan masalah dihadapi,” katanya.


Menurutnya, apa yang penting semua pihak perlu berhati-hati, cermat dan bertanggungjawab ke atas segala maklumat yang ingin disebarkan serta dikongsi agar ia tidak membawa padah kepada diri dan orang lain.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Keburukanlebihbanyakdaripadamanfaat/Article

Tikam perut rakan akibat dikutuk dalam Internet

2010/10/07

MUAR: Mereka bersahabat baik sejak di bangku sekolah lagi, malah turut bekerja di syarikat sama sebagai jurujual sejak setahun lalu, namun angkara laman sosial facebook, dua lelaki terbabit bertikam lidah dan bergaduh hingga bertindak melampaui batas dengan seorang daripadanya ditikam di khalayak ramai, semalam.

Peristiwa berdarah itu berpunca daripada salah faham dan kutuk mengutuk yang berlaku di laman sosial beberapa hari sebelum itu berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka bertindak di luar batas dengan menikam mangsa di rusuk kirinya dalam kejadian jam 1 tengah hari di sebuah kafe di bandar ini.


Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli berkata, sebelum itu, kedua-dua sahabat terbabit mengadakan pertemuan bagi membincangkan secara baik hal berkaitan kutuk-mengutuk yang berlaku di laman sosial terbabit di kafe berkenaan.


“Mangsa berusia 24 tahun dan suspek berumur 23 tahun bertemu untuk menyelesaikan salah faham yang timbul.


“Bagaimanapun, pertemuan itu tidak berlangsung dalam suasana aman, berlaku pertikaman lidah yang turut disaksikan pelanggan kafe.


“Akibat terlalu marah, suspek kemudian mengeluarkan sebilah pisau lantas menikam mangsa sebelum meninggalkan rakan baiknya itu dalam keadaan berlumuran darah,” katanya ketika ditemui, semalam.


Menurut beliau, mangsa yang cedera dibantu pelanggan di kafe itu sebelum dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, untuk mendapatkan rawatan.


Pasukan perubatan memerlukan lima jam untuk menyelamatkan nyawa mangsa yang ketika itu berada dalam keadaan kritikal.


“Suspek bagaimanapun berjaya ditahan polis kira-kira jam 5.45 petang hari yang sama di sekitar bandar Muar ketika cuba melarikan diri.


“Polis turut merampas sebilah pisau serba guna yang dipercayai digunakan bagi mencederakan mangsa,” katanya.


Suspek direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Ketika mengulas berkaitan keadaan mangsa yang masih menerima rawatan di HPSF, Mohamad Nasir mengatakan mangsa masih lemah, namun berada dalam keadaan stabil serta menunjukkan tanda positif untuk pulih.


Beliau juga menasihatkan pengguna laman sosial sentiasa berfikiran positif dan tidak terlalu terbawa-bawa dengan kritikan mahupun pendapat yang diterima sehingga bertindak di luar batas.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/TikamperutrakanakibatdikutukdalamInternet/Article

Pulang kumpul pengikut

2010/10/07

BESUT: Selepas lima tahun mengelak ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Terengganu, ketua ajaran sesat, Arffin Mohamad atau Ayah Pin, 70, dikesan aktif menghidupkan kembali ‘Kerajaan Langit’ pimpinannya di Kampung Batu 13, Hulu Besut di sini.

Meskipun kegiatannya tidak sehebat dulu, namun Ayah Pin dilihat cuba mengumpul sebanyak mungkin pengikut daripada pelbagai lapisan yang sanggup datang ratusan kilometer semata-mata mahu mendengar ‘tazkirah’ di sebuah warung dalam perkampungan itu.


Bagaimanapun, bukan mudah memasuki kampung terbabit kerana persekitarannya dikawal rapi pengikut tegar mendiami perkampungan berkenaan selain menjadi mata dan telinga kepada pemimpin mereka sekiranya terhidu kelibat orang luar yang mencurigakan.


Kegiatan menghidupkan kembali ajaran sesat itu dihidu wartawan akhbar ini selepas bertemu saudara terdekat Ayah Pin yang juga pengikut ‘Kerajaan Langit’ di perkampungan berkenaan, Isnin lalu.


Dalam pertemuan itu, lebih 10 pengikut ajaran sesat dilihat berada di sebuah warung di dalam perkampungan itu untuk mendengar ‘tazkirah’ yang disampaikan pemimpin terbabit selama tiga jam bermula dari jam 10 pagi hingga 1 tengah hari.


Sepanjang pemerhatian, didapati keadaan Ayah Pin tidak secergas sebelum ini kerana menghidap diabetes dan dia yang berpakaian singlet putih serta berseluar pendek memberikan tazkirah sambil duduk serta menghisap rokok di bangku dengan menghadap ke arah pengikut setia.


Ketika memasuki warung terbabit, setiap pengikut dikehendaki ‘menyembah diri’ sebanyak tiga kali dan kali terakhir perlu berlutut di hadapan Ayah Pin sambil mencium tangan sebagai simbolik menzahirkan taat setia kepada pemimpin mereka itu.


Difahamkan, pengikutnya yang hadir itu ada antaranya datang dari Selangor, Pahang dan Johor dengan menaiki pelbagai kenderaan mewah termasuk Toyota Wish dan Mitsubishi Grandis.


Individu yang menghadiri majlis tazkirah itu dikatakan berjawatan tinggi termasuk peguam, pegawai bank, guru serta penduduk Orang Asli dari Rompin, Pahang.


Dalam sesi pertemuan itu, Ayah Pin turut mengasingkan pengikutnya berdasarkan jantina dengan pengikut lelaki duduk di hadapannya, manakala perempuan pula berada di bahagian dapur warung berkenaan sambil mendengar tazkirah.


Ketika memberikan ‘tazkirah’, Ayah Pin turut menceritakan pengalamannya naik ke langit hingga arasy ketujuh untuk meninjau keadaan syurga dan neraka ketika dia kononnya berada dalam alam ghaib sebelum ini.

Ayah Pin mendakwa, ketika dalam perjalanan, dia turut menyertai sesi mesyuarat dengan malaikat, jin dan iblis sebelum mereka berpecah dengan jin dan iblis untuk kembali semula ke bumi, manakala malaikat kekal di langit.


“Saya dilantik wakil Kerajaan Langit bagi memantau keadaan di atas dunia supaya berada dalam keadaan selamat dan tiada sebarang sengketa sesama sendiri, baik yang beragama Islam, Kristian, Buddha dan Hindu.


“Semua agama di muka bumi ini adalah sama. Semua pengikut hendaklah sentiasa beramal ke arah kebaikan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pulangkumpulpengikut/Article

Kedua-dua isteri boleh mohon fasakh di mahkamah

2010/10/07

KUALA LUMPUR: Suspek yang menyimbah petrol dan mengugut mahu membakar isteri keduanya hidup-hidup bukan saja berdepan hukuman akibat perbuatan jenayahnya itu, malah boleh kehilangan kedua-dua isteri di bawah undang-undang keluarga.

Peguam Syarie, Datuk Mohd Zaidi Zain, berkata kedua isteri lelaki terbabit boleh mengambil tindakan untuk mendapatkan fasakh di Mahkamah Syariah dengan alasan keganasan rumah tangga serta berpoligami tanpa kebenaran dan pengetahuan.


“Selain di Mahkamah Sivil, lelaki terbabit boleh juga diambil tindakan di Mahkamah Syariah. Isteri pertama ada hak untuk meminta fasakh atas alasan poligami tanpa pengetahuannya dan berlaku unsur penipuan ketika poligami.


“Isteri kedua juga boleh meminta fasakh dengan sebab keganasan rumah tangga. Jadi, kedua-dua isteri boleh minta fasakh dan dia boleh hilang isteri,” katanya, diminta mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam, mengenai tindakan luar kawalan lelaki terbabit ke atas isteri keduanya.


Suspek berusia lewat 30-an itu bertindak liar selepas rahsia perkahwinan pertama terbongkar, ditambah dengan masalah perebutan anak.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kedua-duaisteribolehmohonfasakhdimahkamah/Article

Kes cerai bekas pengacara WHI selesai

2010/10/07

KUALA LUMPUR: Kemelut yang melanda rumah tangga bekas pengacara, Nadia Shahrul Annuar, 26, berakhir apabila suaminya, Sulaiman@Mohd Helmi Mohd Ilyas melafazkan cerai talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.

Sulaiman, 29, (plaintif) membuat lafaz itu secara tertutup di dalam kamar Hakim Syarie Mohd Amran Mat Zain selepas kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan perceraian itu secara baik.


Peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain yang mewakili plaintif ketika ditemui selepas prosiding itu memberitahu anak guamnya sudah melafazkan cerai dan mahkamah membenarkannya.


“Melalui perjanjian yang dipersetujui secara bersama, plaintif bersetuju untuk menarik balik dakwaan nusyuz dan defendan (Nadia) bersetuju untuk menarik balik permohonan cerai yang difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.

“Anak akan dijaga plaintif. Melalui perjanjian jelas menunjukkan tohmahan defendan sebelum ini tidak benar dan plaintif memilih untuk tidak menjawab semua tuduhan itu kerana menitikberatkan soal kebajikan anak mereka, Mohd Aaron Erwin, tiga tahun,” katanya.


Dalam perjanjian penyelesaian bertarikh 25 Ogos lalu, Sulaiman bersetuju membenarkan defendan mengambil anak itu pada petang Jumaat dan mengembalikan semula pada petang Ahad, minggu pertama setiap bulan.


Selain itu, defendan dibenarkan membawa anak itu ke tempat lain asalkan ia lokasi munasabah dengan syarat mendapat keizinan lisan daripada plaintif serta defendan perlu membawa bersama pengawal peribadi yang disediakan jika mahu membawanya keluar dari rumah.


Plaintif dan defendan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa berhubung perjalanan hidup anak itu seperti perkembangan pendidikan, tempat dan masa percutian atau keluar negeri, kecemasan atau kesihatan.


Nadia diwakili peguam syarie Wan Amir Akram Zainal Abidin.


Pada 22 Februari lalu, Nadia yang pernah mengacara rancangan Wanita Hari Ini (WHI) memfailkan perceraian secara baik di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam terhadap Sulaiman yang juga pengarah VW Cars Sdn Bhd.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KesceraibekaspengacaraWHIselesai/Article

Jerat kenalan Facebook

Oleh Suraya Roslan dan Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

2010/10/07

KUALA LUMPUR: Tiga beranak, seorang rakannya dan dua anggota polis yang cuba meleraikan satu pergaduhan dibelasah sekumpulan 50 lelaki di sebuah medan selera di Bandar Tun Razak, awal pagi kelmarin.

MANGSA...Mohd Nazren  cedera  dibelasah  kumpulan samseng.
MANGSA...Mohd Nazren cedera dibelasah kumpulan samseng.

Kejadian dipercayai bermula apabila seorang jurujual, Mohd Farhan Othman, 20, meminta rakannya, Mohd Nazren Akmar Nazlan, 20, menemaninya untuk bertemu seorang wanita yang baru dikenali melalui laman sosial Facebook, kira-kira jam 2 pagi.


Mohd Farhan berkata, dia hanya beberapa kali berhubung dengan wanita berkenaan dan tidak pernah bertemu muka atau bercakap di telefon.


“Seperti dijanjikan, saya dan Nazren berjumpa dengan wanita terbabit yang dikenali sebagai Linda berusia 20-an. Saya yang memandu kereta kemudian mengarahkan Linda masuk ke dalam kereta tetapi wanita itu enggan sebaliknya mengajak kami minum di gerai berhampiran.


“Tiba-tiba muncul sekumpulan lelaki diketuai teman lelaki Linda yang bertindak mengepung medan selera berkenaan. Melihat perbuatan itu, Nazren cuba bertanya apa sebenarnya yang berlaku.


“Teman lelaki Linda kemudian menuduh kami menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur lucah kepada teman wanitanya sedangkan saya tidak tahu pun nombor telefon bimbit wanita berkenaan,” katanya ketika ditemui.


Beliau berkata, dia meminta teman lelaki wanita terbabit menunjukkan bukti dan SMS lucah berkenaan.


“Bagaimanapun, mereka gagal menunjukkan bukti itu sebelum bertindak membelasah Nazren. Saya sempat mengelak sebelum bapa Nazren dan abangnya yang dimaklumkan kemungkinan berlaku pergaduhan tiba sebaik dihubungi,” katanya. Katanya, sebaik bapa Nazren dan abangnya tiba untuk membantu, mereka turut dibelasah kumpulan itu. Kali ini jumlah mereka yang terbabit membelasah mereka bertambah ramai kerana pekerja gerai makan di medan selera itu turut mengambil kesempatan.


“Pada masa sama dua anggota polis yang kebetulan melakukan rondaan jenayah di kawasan itu cuba masuk campur untuk meleraikan pergaduhan itu sebaliknya mereka turut dibelasah.


“Bagaimanapun, anggota terbabit hanya cedera ringan. Semua lelaki terbabit sempat melarikan diri sebaik sebuah kereta peronda polis muncul untuk memberi bantuan,” katanya.


Sebaik semua lelaki itu melarikan diri, Nazren didapati mengalami pendarahan teruk di kepala dipercayai dihentak dengan objek keras dan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Dia terpaksa menerima 20 jahitan di kepala manakala ibu jari kakinya hampir hancur manakala abangnya turut dirawat di hospital sama akibat kecederaan di dagu. Bapanya, Farhan dan dua anggota polis pula hanya cedera ringan.


Sementara itu, Mohd Nazren berkata, dia yang ketika itu sudah lemah dibelasah teruk kumpulan terbabit tiba-tiba melihat dua daripada mereka mengambil sebatang besi dan menghentak kepalanya hingga pengsan.


“Apa yang dikesalkan, saya dapat melihat orang awam di sekitar medan selera itu turut membelasah kami, malah ada antara mereka yang memakai ‘apron’ dapur semata-mata untuk menyertai ‘pesta’ berkenaan. Mereka sepatutnya membantu kami, bukannya menyokong kumpulan samseng berkenaan.


“Saya hanya sedar apabila berada di wad kecemasan dengan kepala berlumuran darah dan tidak dapat mengingati apa yang berlaku, saya sedih kerana abang turut dimasukkan ke wad hanya kerana ingin membantu saya,” katanya.

Nazren turut membuat laporan polis di PPUKM kerana tidak berpuas hati dipukul tanpa sebab. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah Othman mengesahkan mengenai kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/JeratkenalanFacebook/Article

Tasik unik di Austria



SEORANG penyelam menyelam di dasar Green Lake yang mempunyai pokok-pokok hijau di Tragoess, Austria baru-baru ini.


TRAGOESS, Austria - Satu kawasan tasik di sini mempunyai pemandangan unik kerana di dasarnya mempunyai pokok, rumput, bangku dan jambatan, lapor sebuah akhbar semalam.

Tasik itu dikenali dengan nama Green Lake yang terletak di sini mempunyai pokok, rumput, bangku dan jambatan asli kerana ia tenggelam buat seketika.

Apabila musim sejuk, kawasan tasik itu akan kering dan ia dijadikan taman.

Namun, apabila suhu semakin meningkat, ais dan salji di kawasan pergunungan dekat tasik itu mula cair menyebabkan kawasan taman berkenaan dipenuhi air.

Tasik itu kini menjadi tumpuan penyelam untuk melihat keunikan pemandangan semulajadi yang tidak ada di tempat lain. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1007&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Lelaki dirogol tiga wanita bergilir-gilir

HARARE - Seorang lelaki Zimbabwe mendakwa sekumpulan tiga wanita menculik, memberinya dadah sebelum merogolnya dalam kejadian serangan seks ke atas lelaki yang berlaku buat kali kelima dalam tempoh setahun, kata seorang jurucakap polis semalam.

Lelaki berumur 26 tahun itu memberitahu polis dia ditawarkan untuk menumpang kenderaan yang dinaiki wanita berkenaan di bandar Bulawayo selatan Zimbabwe.

Namun, lelaki itu kemudian tidak sedarkan diri apabila tubuhnya ditolak ke belakang manakala kepalanya ditutup dengan pakaian semasa berada di dalam kenderaan tersebut.

Dia mendakwa tidak sedarkan diri selepas diberikan sejenis bahan yang rasanya seperti alkohol.

"Selepas dia terjaga, lelaki itu berada dalam keadaan bogel dan wanita-wanita itu merogolnya bergilir-gilir dan menderanya," kata jurucakap polis itu, Wayne Bvudzijena.

Lelaki itu memberitahu polis, dia tidak sedarkan diri selepas serangan itu tetapi kumpulan wanita tersebut kemudian bertindak meninggalkannya.

"Wanita-wanita itu mengambil wang sebanyak AS$300 (RM929.25) dan telefon bimbit," kata jurucakap polis tersebut.

Kejadian yang berlaku pada Jumaat itu merupakan serangan kali yang kelima dilaporkan pernah berlaku di beberapa tempat di negara ini melibatkan sekumpulan wanita pelbagai saiz badan.

"Ia mungkin satu kumpulan atau lebih yang melakukan kejadian itu. Dalam semua kes, si mangsa tidak sedarkan diri dan mereka diberikan dadah supaya berasa pening," kata jurucakap tersebut.

Serangan seks yang dilakukan oleh sekumpulan wanita ke atas seorang lelaki dilaporkan buat kali pertama pada November tahun lalu.

Menurut akhbar Herald, dalam serangan itu, tiga wanita menculik seorang lelaki berumur 18 tahun.

Pada Februari lalu, empat wanita memaksa seorang lelaki berumur 25 tahun untuk melakukan hubungan seks dengan mereka.

Bulan lalu, seorang lelaki berumur 44 tahun yang dipaksa memakai kondom menjadi mangsa rogol dua wanita.

Seramai tiga wanita turut merogol seorang lelaki berumur 30 tahun yang telah diberikan dadah.

Berdasarkan undang-undang Zimbabwe, dakwaan merogol hanya dikenakan terhadap lelaki. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1007&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Dipenjara kerana kerat kanak-kanak



BAIKUNI (kanan) dikawal dua anggota polis selepas dia dihukum penjara seumur hidup di sebuah mahkamah di Jakarta semalam.


JAKARTA - Sebuah mahkamah Indonesia memenjarakan seumur hidup seorang lelaki kerana membunuh dan mengerat empat kanak-kanak jalanan.

Lelaki itu, Baikuni, 50, ditangkap pada Januari lalu beberapa hari selepas kepala dan bahagian-bahagian badan seorang budak lelaki berusia 9 tahun ditemui di dalam satu beg plastik di sebuah sungai di sini.

Semalam, Mahkamah Daerah Jakarta Timur mendapati Baikuni bersalah kerana membunuh, meliwat dan mengerat empat budak lelaki sejak 2007.

Semua mangsa berusia antara 6 tahun hingga 12 tahun.

Pihak pendakwa raya menyatakan, Baikuni dipercayai membunuh sehingga 14 mangsa.

Baikuni dikenali dengan panggilan bapa di jalanan kerana dia dikatakan bersimpati terhadap kanak-kanak dengan memberikan mereka tempat berteduh.

Baikuni menyatakan, dia tidak akan mencabar keputusan mahkamah berkenaan. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1007&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...