Tuesday, December 7, 2010

AG perjelas mengapa Khir lewat didakwa

AG perjelas mengapa Khir lewat didakwa
Joseph Sipalan
Dis 6, 10
2:13pm

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata tempoh yang lama diambil sebelum mendakwa bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo di mahkamah berhubung isu kediaman mewahnya di Shah Alam adalah kerana ia memerlukan siasatan terperinci dan rapi.

Kkhir toyo mansion 060709 06atanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu
meneliti maklumat-maklumat terperinci yang meliputi nilai rumah, tanah dan hiasan dalamannya.

"Begini. Selepas membeli sebuah rumah dengan harga lebih murah, ia tidak terus menjadi satu kesalahan," katanya sambil menambah, jika tidak, setiap orang yang membeli barang-barang jualan, akan secara automatik melakukan kesalahan.

"Anda harus kembali kepada asasnya (kes), bagaimana hal itu dijalankan, (mendapatkan) saksi; rakaman laporan saksi; supaya segalanya jelas ... terutama ini sudah lama berlaku... kita tidak boleh menjalankan siasatan yang tidak rapi."

Abdul Gani memberitahu wartawan demikian selepas Khir Toyo dan pengarah Ditamas Sdn Bhd Shamsuddin Haryoni dihadapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan rasuah hari ini.

Khir Toyo didakwa membeli dua plot tanah untuk membina kediaman mewah itu dari Shamsudin pada diskaun yang besar. Shamsuddin turut didakwa bersubahat dengan Khir Toyo.

Saksi 'akan dilindungi'

NONEAbdul Gani juga memberitahu bahawa pihak pendakwa akan memanggil sekurang-kurangnya 16 orang saksi. Pendakwa juga telah memohon untuk kes itu didengar oleh Mahkamah Tinggi.

Ditanya mengapa kedua-dua tertuduh tidak didakwa di bawah Akta SPRM, Abdul Gani berkata kesalahan itu dilakukan di bawah Kanun Keseksaan.

"Tetapi tuduhan kami adalah dengan berdasarkan Akta SPRM. Jika anda ada mendengar di mahkamah, saya ada menyebutkan bahawa ini adalah kesalahan yang ditetapkan di bawah Akta SPRM, dan, berdasarkan itu, ia menjadi suatu kesalahan yang boleh dirampas.

"Jika ia hanya berdasarkan Kanun Keseksaan, ia menjadi kes saman dan anda mendapat waran tangkap, tetapi kita menggunakan Akta SPRM."

[Baca berita penuh]

http://malaysiakini.com/news/150101

Khir Toyo didakwa atas tuduhan rasuah

Khir Toyo didakwa atas tuduhan rasuah
Joseph Sipalan
Dis 6, 10
12:27pm

Bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Haryoni dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan rasuah.

NONEKedua-duanya tidak mengaku bersalah terhadap tuduhan tersebut.

Khir Toyo, 45, didakwa berhubung pemilikan dua lot tanah dan sebuah rumah mewah di Seksyen 7, Shah Alam.

Beliau mengaku tidak bersalah ketika tuduhan itu dibaca di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.

Beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya dan isteri Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barang berharga dengan suatu balasan yang beliau ketahui tidak mencukupi iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat no 8 & 10, Jalan Suasa 7/1 L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah Ditamas, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta, sedangkan hartanah itu telah dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

khir toyo mansion 060709 06Khir Toyo didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi menteri besar Selangor, di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7, Shah Alam, pada 29 Mei 2007.

ADUN Sungai Panjang merangkap Ketua Pembangkang DUN Selangor itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Shamsuddin didakwa di bawah akta yang sama serta satu tuduhan tambahan di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat dengan Khir Toyo.

Pendakwaan dijalankan oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang dibantu Ketua Unit Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

Azhanis menetapkan ikatjamin sebanyak RM750,000 tiap seorang.

Khir Toyo diwakili peguam M Athimulan dan Mohd Afifuddin Hafifi.

Beliau menjadi menteri besar Selangor ke-13 dari Ogos 2000 hingga Februari 2008.

Sebelum itu, SPRM menahan Khir Toyo ditahan di pejabatnya di Shah Alam kira-kira jam 9 pagi tadi sebelum dibawa ke mahkamah.

NONEDifahamkan kedua-duanya disoalsiasat pagi ini di ibupejabat SPRM Selangor di Wisma PKPS di Shah Alam.

Ketua pendakwaraya SPRM, Abdul Razak Musa tiba di mahkamah kira-kira jam 11.10 pagi dan terus menuju ke kamar DPP.

Khir Toyo pula tiba kira-kira jam 11.25 pagi.

SPRM telah menyiasat kes tersebut ekoran dakwaan yang dibuat oleh ADUN Sekincan, Ng Suee Lim.

Ng mendakwa hartanah seluas 50,000 kaki persegi itu dibina pada anggaran kos RM20 juta, manakala tanah itu dibeli dengan harga RM3.8 juta.

Khir Toyo telah menafikan dakwaan tersebut, dengan mengatakan beliau membeli rumah dan tanah tersebut pada harga RM4 juta. Beliau juga telah memfailkan saman fitnah terhadap Ng.

http://malaysiakini.com/news/150068

Najib setuju Umno tak putuskan dasar sendirian

Kow Gah Chie
Dis 5, 10
9:15pm

Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak berkata beliau menyetujui saranan supaya Umno tidak lagi membuat keputusan dasar yang penting dalam melalui mesyuarat parti itu sendirian.

Beliau berkata demikian ketika ditanya dalam sidang akhbar hari ini berhubung saranan berkenaan yang disuarakan presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

NONEDr Chua membuat saranan berkenaan dalam ucapan penggulungannya dalam Konvensyen BN di Kuala Lumpur petang ini.

Dalam ucapannya itu, Dr Chua berkata sebarang keputusan penting perlu dibuat secara bersama bagi mengelakkan berlakunya hubungan seperti "abang sulung dan adik bongsu" dalam BN.

"Kita mesti bekerja sebagai rakan kongsi yang setaraf, jadi keputusan mengenai dasar tidak sepatutnya diumumkan dalam perhimpunan agung Umno ataupun dalam mesyuarat majlis tertinggi," kata Chua dalam ucapannya.

Chua menjelaskan, mesyuarat berkenaan tidak setaraf dengan Kabinet.

Jaga perasaan komponen BN

Mengulas saranan itu, Najib berkata beliau memahami kehendak untuk menjaga perasaan anggota komponen parti BN.

NONENajib juga bersetuju dengan ulasan Chua bahawa pemimpim parti BN tidak patut menyebut perkataan dianggap sensitif seperti "ketuanan Melayu" demi menjaga perasaan anggota parti komponen BN.

Chua dalam perbahasan petang tadi turut meminta pemimpin tidak menyebut perkataan sensitif seperti "pendatang","penumpang" dan "tidak patriotik."

"Dalam lain perkataan, kita perlu sensitif mengenai semua parti komponen," kata Najib.

"Ini tidak bermakna Umno sahaja, tetapi MCA, MIC, dan semua pihak; ia terpakai kepada semua. Ini bukanlah ditujukan kepada Umno semata-mata," katanya lagi kepada pemberita petang ini.

Calon BN pilihan rakyat

Dalam pada itu, Najib turut memberi memberi jaminan bahawa calon Barisan Nasional (BN) yang bakal terpilih pada pilihan raya umum akan datang, adalah terdiri calon pilihan rakyat.

vote barisan nasional bn"Kita akan tekankan soal rakyat didahulukan," kata ketika ditanya mengenai kaedah pemilihan calon pilihan raya umum akan datang sama ada akan mendahulukan calon pilihan rakyat atau berdasarkan kehendak parti semata-mata.

Mengenai kuota pembahagian kerusi pula, Najib berkata perkara itu akan diputuskan atas semangat parti BN dengan mengadakan rundingan dengan semua 13 parti komponen.

Perdana Menteri menegaskan bahawa Konvensyen BN yang diadakan hari ini adalah sebagai satu proses untuk mengukuhkan dan menguatkan BN secara berterusan.

"Ia bukanlah menjelang pilihan raya umum ke-13, sebaliknya satu proses yang berterusan. Pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja.

"Terpulang kepada kami untuk menentukan bila masa yang paling baik," katanya, sambil menolak tanggapan bahawa konvensyen itu diadakan semata-mata untuk BN membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

http://malaysiakini.com/news/150049

BN lancar piagam berasaskan 1Malaysia

Dis 5, 10 8:01pm

Barisan Nasional (BN) hari ini melancarkan piagam baru berteraskan gagasan 1Malaysia yang antara lain memaparkan keazaman untuk memberi penekanan kepada usaha mempereratkan lagi hubungan antara kaum.

Piagam itu yang dilancarkan di akhir konvensyen sehari BN di Wisma MCA di Kuala Lumpur turut memberi penekanan kepada usaha mencegah dan menentang segala bentuk ekstremisme dan rasisme demi memupuk perpaduan bagi sebuah masyarakat majmuk berteraskan gagasan 1Malaysia.

Piagam BN itu dibacakan oleh Setiausaha Eksekutif BN Datuk Abu Khamis sambil diikuti oleh 2,340 perwakilan, sebelum piagam itu diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN untuk ditandatangani.

Piagam berteraskan tujuh perkara itu turut memberi penekanan untuk menjunjung keluruhan Perlembagaan dan kedaulatan Undang-undang, menghormati hak dan keistimewaan setiap rakyat sebagai warganegara, mengiktiraf kesaksamaan rakyat di sisi undang-undang, menjamin kebebasan sebuah masyarakat yang aman, stabil, makmur dan selamat.

Selain itu, piagam BN turut menekan usaha memajukan ekonomi negara melalui peningkatan daya saing, di samping memberi komitmen terhadap pembahagian ekonomi yang adil dan mengekalkan kelestarian alam sekitar, menggalak penyertaan semua kaum dalam setiap bidang ekonomi dengan seimbang demi memastikan nikmat kemakmuran dan kekayaan negara dapat dikecapi bersama.

Prinsip piagam keempat juga memaparkan ikrar BN untuk menjamin pendidikan berkualiti untuk semua, memperkasakan pembudayaan ilmu pengetahuan sebagai asas pembentukan modal insan yang berketerampilan serta memastikan pendidikan kebangsaan menjadi wahana utama pembentukan insan yang mulia demi pengukuhan nasional.

BN turut berikrar untuk meneruskan tradisi membela rakyat dengan mengutamakan pembangunan ekonomi dan kebajikan sosial, peningkatan infrastruktur asas yang menyeluruh, serta menjadikan peningkatan kualiti hidup rakyat sebagai penanda aras utama pretasi kerajaan BN.

Piagam BN itu turut menekankan perlunya untuk memantapkan institusi keluarga, menggalakkan penyertaan wanita, belia, orang kurang upaya dan isi rumah secara berkesan dalam pembangunan muda dan masyarakat sivil sebagai rakan utama dalam pembinaan negara.

Prinsip ketujuh piagam BN menyaksikan BN berikrar untuk mendukung prinsip tadbir urus yang baik dan menolak amalan rasuah, menyokong dan membantu meningkatkan integriti dan kecekapan agensi kerajaan, dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan menghayati konsep "Rakyat Didahulukan" sebagai asas pewujudan kerajaan yang mengutamakan pencapaian dalam memenuhi keperluan dan harapan rakyat.

http://malaysiakini.com/news/150045

Kandungan memo air kepada Agong

Dis 5, 10 3:02pm

Memorandum
Isu Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air di Selangor Darul Ehsan


Kepada:
Duli Yang Maha Mulia
Tuanku Al-Wathiqu Billah Al-Sultan Mizan Zainal Abidin
Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah
Yang Dipertuan Agong, Malaysia

Daripada:
Rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Kerajaan Negeri
Selangor Darul Ehsan

2010

Dengan nama Allah s.w.t., Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., pesuruh Allah s.w.t. yang sangat mencintai dan menggesa umatnya berlaku adil.

Assalamu'alaikum w.b.t.
Ampun Tuanku beribu ampun, sembah rakyat harap diampun.

Dengan keinsafan bahawa kehidupan asasi manusia cukup bergantung dengan akses kepada air yang bersih pada kadar harga munasabah,

Dengan kesedaran perkembangan kos sara hidup rakyat kian meningkat berbanding pendapatan,

Dengan ketegasan menentang penyelewengan, salah guna kuasa dan kepura-puraan,

Dengan iltizam menegakkan sebuah kepimpinan yang prihatin, telus, bertanggungjawab, cekap, dan menghormati semangat dan amalan Persekutuan;

Maka dengan ini kami, Rakyat dan Kerajaan Negeri Selangor, berkumpul marafak sembah ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk menyampaikan suara hati kami terhadap isu Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air di Selangor Darul Ehsan.

Ampun Tuanku beribu ampun, sembah rakyat harap diampun.

1) Mengembalikan Hak Air kepada Rakyat

Kami, mewakili 150,000 rakyat Selangor yang telah menurunkan tandatangan sebagai tanda sokongan kepada Memorandum ini dan juga keseluruhan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mendapatkan perkhidmatan air yang sama, menuntut keadilan untuk diri kami membetulkan kesalahan dalam penswastaan Industri Perkhidmatan Air yang telah dibuat, sehingga menyebabkan kualiti dan perkhidmatan air yang teruk serta peningkatan tarif air pada kadar yang tidak munasabah. Justeru, kami menuntut kualiti air dan Perkhidmatan Air yang bersih pada kadar yang munasabah, dengan mengambil kira rakyat miskin serta mereka yang berpendapatan rendah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Kami merafak sembah memohon Tuanku menitahkan agar Hak Air ini dikembalikan kepada rakyat melalui pengambil-alihan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

2) Mematuhi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006)

Kami merafak sembah memohon Tuanku mendokong semangat dan matlamat Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang telah menjelaskan keperluan Industri Perkhidmatan Air ini distrukturkan semula secara holistik dan diuruskan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Sesungguhnya, Akta ini telah dirangka dan diluluskan dengan tujuan membetulkan kesalahan yang dibuat semasa menswastakan Industri Perkhidmatan Air sebelumnya. Kami merafak sembah memohon Tuanku mengingatkan Kerajaan Persekutuan agar tidak berdolak-dalik tentang keputusan ini.

3) Menghak-upayakan Rakyat

Perjanjian konsesi yang ditandatangani pada tahun 2004 antara Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (“SYABAS”), Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor mengandungi sejumlah persoalan yang jelas menunjukkan SYABAS tidak pedulikan kebajikan rakyat seperti kenaikan tarif air pada kadar yang tinggi (37% pada tahun 2009, dan 25%, 20%, 10% serta 5% pada 2012, 2015, 2018 dan 2021). Perjanjian ini seharusnya dirundingi dengan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana mereka adalah penerima kesan utama daripadanya. Kami merafak sembah memohon Tuanku menghak-upaya rakyat dengan memastikan bahawa sebarang perjanjian baru yang mahu dibuat perlulah dirunding dengan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sebelum dimuktamadkan.

4. Mengembalikan Kuasa Kerajaan Negeri

Perkhidmatan air yang telah dimasukkan dalam Senarai Bersama Perlembagaan Persekutuan 1957 memberikan kuasa bersama Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan dalam hal berkaitan. Kami mendesak Kerajaan Persekutuan untuk menghormati semangat Persekutuan ini dan kuasa yang dimiliki oleh Kerajaan negeri dalam isu berkaitan perkhidmatan air ini, dan jangan berdolak-dalik menentang Kerajaan Negeri Selangor. Kami merafak sembah memohon Tuanku untuk mengembalikan kuasa Kerajaan Negeri Selangor dalam hal ini.

5) Menghapuskan Kronisme

Telah menjadi persepsi umum bahawa Kerajaan Persekutuan mengambil sikap menyebelahi sektor swasta, dalam kes ini syarikat tertentu, yang boleh disabitkan dengan amalan kronisme. Telah terbukti bahawa usaha membolehkan syarikat-syarikat penerima konsesi ini mendapat sejumlah keuntungan tertentu, mereka dibenarkan untuk menaikkan kadar tarif yang tinggi dengan pemberian jaminan pinjaman Kerajaan Persekutuan yang bermaksud rakyatlah menjadi pembayarnya. Rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kini perlu membayar kadar harga air yang tinggi, dan pembayar cukai Malaysia perlu menjamin risiko perniagaan SYABAS. Kami merafak sembah memohon Tuanku mengingatkan janji Kerajaan Persekutuan untuk segera menghapuskan kronisme.

Dengan mandat diberikan rakyat, Kerajaan Negeri Selangor bertekad untuk memastikan nasib mereka terbela. Dengan pengambil-alihan Industri Perkhidmatan Air ini, Kerajaan Negeri Selangor berjanji untuk mengusahakannya dengan cara terbaik untuk manfaat semua.

Sekianlah penjelasan daripada Kerajaan Negeri Selangor dan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bersama mendoakan dan menyokong tindakan penting ini.

Menjadi harapan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk melihat ia diambil perhatian serius oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Rakyat menjunjung kasih atas perhatian yang diberikan.

Sekian, terima kasih.
Daulat Tuanku.
5 Disember 2010.

http://malaysiakini.com/news/150030

Anwar 'anugerah Tuhan' jadi bahan ketawa

Salhan K Ahmad
Dis 5, 10
1:16pm

Tindakan presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail menyifatkan ketua umum parti itu sebagai satu 'anugerah Tuhan' minggu lalu, hari ini menjadi bahan ketawa di Konvensyen BN pula apabila isu tersebut disentuh dalam ucapan dasar pengerusinya,Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malah Najib mengaitkannya pula dengan “drama songsang" yang dipercayai ditujukan kepada ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

NONE"Ya, kita faham kesetiaan dan kekaguman seorang isteri terhadap kehebatan suaminya itu," kata Najib yang sengaja mengulangi dan menekankan perkataan "kehebatan" itu dalam ucapannya sehingga menyebabkan para perwakilan ketawa.

"Namun rakyat Malaysia ingin bertanya, berdasarkan nas atau hadis mana pendapat itu boleh dibuat?

"Berbekalkan justifikasi hukum atau istinbat mana sehingga pernyataan begini sanggup dikeluarkan?

"Adakah ini ijtihad baru atau lebih tepat sebenarnya satu ajaran songsang. Cukup-cukuplah sandiwara dan drama yang songsang-songsang itu," kata Najib lagi yang turut meminta rakyat supaya tidak dipengaruhi perkara "karut-marut" seperti itu.

'Tentang PKR habis-habisan'

Najib juga berkata PKR yang disifatkannya sebagai "Parti Keluar Ramai-ramai" merupakan parti yang kehilangan sokongan massa.

"Ramai pemimpin utama mereka sendiri yang telah keluar dari parti antara lain ialah timbalan presiden, naib presiden, setiausaha agung, ketua pemuda, naib ketua pemuda... Panjang senarai ini, bagi saya minum dulu," katanya lagi

NONEDalam berlucu, Najib bagaimanapun tetap mengingatkan supaya anggota parti itu mengawasi tindakan para pemimpin PKR.

"Mereka ini amat-amat berbahaya. Mereka sanggup menjual apa sahaja, termasuk memburukkan nama Malaysia di luar negara.

"Mereka ini anti-nasional. Kita mesti tentang habis-habisan dan pastikan negara ini tidak akan diporak-perandakan oleh kegiatan durjana mereka," tambahnya.

Najib berkata Pakatan Rakyat juga cuba meniru kerjasama dalam BN tetapi tidak berhasil kerana sikap talam dua muka yang ditunjukkan pemimpinnya.

"Gagasan Rakyat, Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat atau atas nama apa pun yang dicipta adalah hanya percubaan pembangkan yang hendak bersatu tetapi tidak mungkin berkekalan kerana masing-masing bersikap talam dua muka," katanya lagi.

Jelasnya, kerjasama di antara PAS dan DAP hanya kelihatan "seolah-olah bersatu" disebabkan wujudnya pihak ketiga.

"Kalau dulu parti Melayu Semangat 46, hari ini peranan tersebut diambil alih PKR. Sejarah jelas menunjukkan kerjasama seumpama ini tidak akan berpanjangan kerana matlamat mereka hanyalah untuk menipu atau menyeleng rakyat," katanya lagi.

Najib turut mempertikaikan penjawatan bagi kedudukan tertinggi dalam PKR yang didakwa tidak menunjukkan demokrasi di dalam parti itu.

"Daripada barisan tujuh orang kepemimpinan tertinggi mereka, hanya seorang sahaja yang mewakili kaum Cina. Orang India yang membentuk keahlian kedua terbesar dengan lebih satu perlima ahli, tidak mempunyai seorangpun perwakilan di peringkat tertinggi parti," katanya.

http://malaysiakini.com/news/150025

Demo air: Polis tembak gas pemedih mata

Demo air: Polis tembak gas pemedih mata
Jimadie Shah Othman & Fadzly Esa
Dis 5, 10
1:15pm

Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air ketika penyokong baju merah berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum membantah kenaikan bayaran air di Selangor kepada Yang di-Pertuan Agong.

selangor water demo - water cannonsMereka mula bergerak kira-kira jam 1.45 tengahari dan sejurus kemudian polis menembak gas pemedih mata ke arah mereka.

Ia berlaku ketika mereka melalui bulatan di Jalan Hishammuddin berhampiran Masjid Negara.Tidak dapat dipastikan dari arah mana gas pemedih mata itu ditembak

Berikutan itu, sebahagian peserta meneruskan perarakan dan berdepan dengan gas pemedih mata dan meriam air di hadapan stesen lama KTM.

Manakala yang lainnya kelihatan berpatah balik ke arah Masjid Negara.

selangor water demo crowdDifahamkan juga, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menaiki kereta yang diiringi oleh pihak polis menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum tersebut.

Sebelum itu, Khalid membaca kandungan memorandum yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong.

Kemudiannya, penyelaras perhimpunan tersebut, Badrul Amin memberitahu yang menteri besar Selangor itu akan diiringi polis ke Istana Negara.

Khalid kemudiannya menyerahkan memorandum serta 150,000 tandatangan kepada wakil Istana Negara. Menurut exco kerajaan Selangor, Teresa Kok, pihak polis tidak membenarkan mereka mengambil gambar.

selangor water demo crowdPada kira-kira jam 2.45 petang, polis mengarahkan kira-kira 2,000 penyokong baju merah yang masih berhimpun di Masjid Negara supaya bersurai.

Apabila mereka tidak bergerak, kira-kira 300 anggota polis bergerak ke arah masjid untuk menyuraikan mereka.

Sebelum itu, penyokong baju merah mula berhimpun di Masjid Negara mulai jam 11 pagi tadi.

Sehingga jam 1 tengahari tadi, lebih 1,000 orang yang memakai baju merah di lihat di sekitar kawasan masjid.

Angka itu bertambah sehingga 7,000 orang sebelum berselerak sedikit demi sedikit apabila disembur meriam air dan gas pemedih mata bertalu-talu.

Turut kelihatan mereka yang berpakaian biasa tetapi mengambil baju merah yang diedarkan di sekitar Masjid Negara.

selangor protest against syabas 20101205 student banner 02Mereka dilihat membawa plakad bertulis 'kembalikan hak rakyat', 'tolak penswastaan' serta memakai ikat kepala bertulis 'kembali hak air rakyat'.

Sebelum itu, kedengaran mereka bersorak 'hidup rakyat', 'kembalikan hak-hak rakyat', dan yang paling lantang ialah laungan kumpulan mahasiswa.

Mereka kemudiannya masuk ke masjid untuk menunaikan solat Zohor.
Difahamkan, selepas itu mereka akan mengadakan solat hajat sebelum perhimpunan bermula.

Turut kelihatan ialah beberapa pemimpin Pakatan, antaranya timbalan presiden PKR, Azmin Ali; pengarah strategik PKR, Tian Chua dan pemimpn PAS, Dr Zulkefly Ahmad serta timbalan ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin.

Kumpulan berbaju merah itu mula bersurai kira-kira 3.30 petang tadi setelah diberikan jaminan oleh Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh bahawa semua yagn ditahan akan dibebaskan.

"Saya berjanji tidak ada sesiapa yang ditangkap sekiranya tuan-tuan beredar secara sukarela dan aman," katanya melalui pembesar suara milik kumpulan baju merah.

Dr Zulkefly dan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad turut memainkan peranan menenangkan dan menyuraikan peserta perhimpunan itu.

http://malaysiakini.com/news/150026

Demo air: Dr Nasir, Arutchelvan ditahan

Demo air: Dr Nasir, Arutchelvan ditahan
Fadzly Esa & Jimadie Shah Othman
Dis 5, 10
12:00pm

Presiden PSM, Dr Nasir Hashim dan setiausaha agungnya, S Aruthcelvan antara tiga orang yang ditahan kerana didapati memakai baju merah.

selangor protest against syabas 20101205 nasir hasim arrestedMereka ditahan pada kira-kira jam 11.30 pagi di sekitar KL Sentral.

Ketika ditemui, Nasir memberitahu Malaysiakini:

"Saya tak pasti (ditahan). Polis halang saya (bergerak) sebab pakai baju merah."

Apabila dihubungi setengah jam kemudiannya, Dr Nasir yang juga ADUN Kota Damansara mengesahkan mereka ditahan dan dibawa ke balai polis PGA Cheras.

"Mereka kata ianya perhimpunan haram. Tapi kami hanya tiga orang sahaja," katanya.

Dihubungi Malaysiakini lewat petang ini, Dr Nasir yang juga ADUN Kota Damansara memberitahu semua mereka yang ditahan di KL Sentral dibebaskan setelah sejam setengah.

Katanya, polis juga tidak merekodkan sebarang kenyataan malah menghantar mereka kembali ke KL Sentaral.

Sementara itu, polis mengadakan sekatan jalan raya ekoran rancangan kerajaan Pakatan Rakyat untuk mengadakan perhimpunan di Masjid Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong membantah kenaikan kadar bayaran air.

selangor protest against syabas 20101205 supporters indianManakala di Stadium Merdeka, kira-kira 200 penyokong Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) berhimpun mulai jam 11.50 pagi tadi.

Polis kemudiannya mengarahkan mereka bersurai. Kemudian selepas berunding dengan polis, mereka menaiki dua kenderaan ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum mendakwa penyelewengan Kerajaan Selangor.

Sementara itu, di tempat lain di sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam, Selangor, sekatan jalan raya diadakan untuk menghalang orang ramai daripada menghadiri protes kenaikan harga air dan penyerahan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

selangor water demo water cannonsPenganjurnya sebelum ini berkata, mereka akan berarak dari Masjid Negara menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum tersebut.

Menurut bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Badrul Hisham Shaharin, beberapa orang 'marsyal' telah ditahan. Beliau menggesa peserta lain supaya bertenang dan meneruskan perjalanan mereka ke Masjid Negara.

Menurut Twitter ADUN DAP Kampung Tunku, Lau Weng SAN, seorang jurugambar TV Selangor turut ditahan.

http://malaysiakini.com/news/150024

Baju hitam selesai, serah memo pada Agong

Baju hitam selesai, serah memo pada Agong
Fadzly Esa & Jimadie Shah Othman
Dis 5, 10
11:55am

Kira-kira 200 penyokong Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) mula berhimpun di Stadium Merdeka mulai jam 11.50 pagi ini.

Manakala pihak polis memberi mereka tempoh sehingga jam 12.10 tengahari ini untuk bersurai.

MNONEereka yang berkumpul itu kebanyakannya wanita dan golongan muda.

Mereka yang berpakaian hitam itu melaungkan `1Malaysia' dan 'Daulat Tuanku'.

Mereka merancang untuk berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum mengandungi dakwaan penyelewengan oleh Kerajaan Pakatan Selangor.

Pengerusi Gaps, Hamidzun Khairuddin yang tiba kira-kira jam 12 tengahari, memberitahu bahawa mereka sedang berunding dengan pihak polis sama ada dibenarkan berarak ke Istana Negara.

Sementara itu, Hamidzun memberitahu sidang akhbar bahawa pihaknya menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong meminta supaya dapat dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja dan berharap suasana di Selangor bertambah baik.

gaps protest 20101205 biker supporters 02Pihaknya berharap pemimpin politik dari Pakatan Rakyat dan BN supaya menumpukan perhatian kepada ekonomi negeri Selangor dan "bukan mempamerkan kehebatan politik".

Mengenai perubahan tempat mereka berkumpul ke Stadium Merdeka, Hamidzun berkata: "Kita hormati nasihat selepas berundingan dengan polis untuk pastikan keadaan terkawal dan aman".

Ditanya sama ada peserta yang hadir hari ini terdiri daripada ahli Wanita dan Pemuda Umno, beliau berkata: "Tidak sama sekali, mereka rakyat Selangor dan ahli NGO negeri Selangor".

Ditanya jangkaan 2,000 peserta yang tidak menjadi kenyataan, beliau berkata: "Ini merupakan kecemerlangan pasukan polis yang berjaya atur dengan baik".

gaps protest 20101205 show forceMalah menurutnya, perjalanannya dari Shah Alam mengambil masa dua jam untuk sampai ke Stadium Merdeka.

"Ramai sahabat yang tersangkut dalam kesesakan," tambahnya.

Sementara itu, selepas berunding dengan pihak polis, tidak ada perarakan tetapi wakil Gaps menaiki dua buah kereta untuk menyerahkan memorandum tersebut ke Istana Negara.

Hamidzun menyerahkan memorandum tersebut kepada wakil Istana Negara pada kira-kira jam 12.40 tengahari tadi.

http://malaysiakini.com/news/150021

Najib tak peduli apa jadi pada Islam

Majdan Yahya

KUALA LUMPUR, 6 Dis: Konvensyen Barisan Nasional, semalam tidak banyak yang diperkatakan tentang memartabatkan Islam khususnya oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak selaku pemimpin parti yang didakwa pejuang Islam.

Mengulas perkara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik, menyatakan bahawa Najib lebih mengutamakan isu-isu popular seperti konsep 1Malaysia yang diperkenalkan.

Pada masa yang sama tidak ada penekanan terhadap memartabatkan Islam

“Najib tidak ambil peduli apa akan jadi kepada Islam dan sensitiviti umat Islam. Beliau lebih memandang program-program yang menyeronokkan dan popular seperti mewujudkan hub hiburan demi menarik pelancong asing,” ujarnya pada sidang media di pejabat Harakah di sini, hari ini.

Beliau berkata, Najib yang juga Perdana Menteri sepatutnya membela hak-hak Islam dan orang Melayu sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan.

Pada masa yang sama, katanya banyak perkara-perkara pokok yang sepatutnya diberikan perhatian tetapi diabaikan oleh Najib seperti rasuah, penyelewengan kuasa dalam bidang kehakiman dan penafian konsep federalismne sehingga hak negeri-negeri diabaikan.

Baginya, secara senyap Najib kini menjadi diktator melalui bendera demokrasi dengan sekumpulan golongan elit yang dibangunkan.

Dalam pertemuan tersebut juga, beliau menekankan peranan media dalam memberi kesedaran kepada rakyat tentang pengabaian kerajaan kepada Islam dan Melayu.

Pada masa yang sama, katanya media alternatif hendaklah memberi kesedaran dan jaminan kepada rakyat marhaen, kakitangan kerajaan dan sebagainya bahawa mereka tidak akan terabai jika Pakatan Rakyat memerintah.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29710:najib-tak-peduli-apa-jadi-pada-islam&catid=1:utama&Itemid=50

Najib: BN jangan leka, pertahan Putrajaya

Salhan K Ahmad
Dis 5, 10
11:41am

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak mengingatkan anggota parti itu supaya tidak mudah terleka dan terpesona dengan kejayaan awal yang ditunjukkan parti itu dalam beberapa pilihan raya kecil selepas Mac 2008.

Sebaliknya, tambahnya, BN perlu terus mengukuhkan setiap parti komponennya dan memastikan supaya pentadbiran Putrajaya dapat dikekalkan di bawah parti itu.

"Berbanding pilihan raya umum 2008, BN yang cuba dimomok sebagai sudah suram, Alhamdulillah kini nampaknya semakin hari sudah semakin pulih," katanya dalam ucapan dasar di konvensyen BN di ibunegara hari ini.

Jelasnya, kejayaan awal itu perlu dijadikan asas kepada kemenangan yang lebih memberangsangkan.

Empat penyakit

Beliau turut mengulangi saranannya sebelum ini kepada pergerakan sayap-sayap parti Umno pada 2008 supaya menyisihkan empat penyakit utama - agar parti itu "berubah atau berisiko rebah."

"Empat penyakit tersebut ialah delusion atau khayalan, amnesia atau kelupaan, inertia atau kejumudan dan arrogance atau keangkuhan.

"Hakikatnya parti yang terlampau lama berkuasa jarang melakukan muhasabah atau introspeksi terhadap kelemahan diri," katanya lagi.

Jelasnya, pemimpin seperti itu akan berasa khayal bahawa sokongan yang diterima akan berterusan dan juga terlupa dengan tujuan perjuangan asal.

"Penyakit inertia (pula) terjadi apabila enggan membuat pembaharuan dan perubahan," katanya.

Tambahnya lagi, penyakit keangkuhan merupakan sikap enggan menerima teguran daripada orang ramai.

"Sesungguhnya semua penyakit tersebut terutamanya keangkuhan akan hanya menyebabkan rakyat benci dan berasa menyampah," katanya lagi.

Pertahan Putrajaya

Dalam ucapan itu juga, Najib mengingatkan anggota BN supaya mempertahankan penguasaan parti itu daripada kemaraan parti pembangkang yang "hanya ingin memenuhi nafsu serakah dan tamakkan kuasa."

"Kita tahu mereka teringin sangat nak ada pejabat di Putrajaya, teringin sangat nak tinggal di Seri Perdana. Kerana itulah mereka sanggup berbuat apapun.

"Kalau teringin sahaja tak apa, tapi teringin sangat, itu yang bahaya," katanya yang disambut ketawa sinis hadirin.

Menurut Najib lagi, "angan-angan" 16 September yang dicanang oleh Pakatan Rakyat sebagai tarikh untuk merampas Putrajaya juga kini diketahui sebagai "satu pembohongan terbesar dalam sejarah politik tanahair."

"Walau apa pun terjadi, kita perlu pertahankan Putrajaya bukan kerana ego atau kepentingan diri yang sempit, akan tetapi demi kepentingan rakyat Malaysia seluruhnya," tambah Najib.

Kekuatan BN urus hubungan kaum

Tambahnya, kekuatan BN dalam menguruskan hubungan kaum di Malaysia merupakan satu perkara yang dibanggakan dan BN tidak pernah sekali-kali mengapi-apikan sentimen perkauman.

BN juga menurutnya tidak pernah menjadikan rasisme sebagai teras pengurusan hubungan kaum di negara ini.

Jika kita tinjau di Amerika Syarikat, kononnya sebagai negara yang dijadikan contoh kepelbagian demokrasi pun, telah mengambil masa lama yakni 87 tahun dari tarikh pengisytiharan kemerdekaan yang menyatakan 'semua manusia diciptakan sama.'

Ia memakan tempoh 102 tahun lagi selepas itu apabila semua diskriminasi dalam pendaftaran pengundi diharamkan," katanya lagi.

Katanya lagi, BN meraih kejayaan paling besar dalam menukar titik kelemahannya kepada satu kelebihan persaingan.

"Kejayaan ini begitu mengkagumkan kerana kita tidak mengambil jalan mudah mengamalkan kaedah 'kawah pelakuran' atau melting pot dalam membina negara – perbezaan yang wujud terpaksa dikorbankan manakala identiti tunggal perlu pula dicipta.

"Kita tidak pernah berusaha melenyapkan mana-mana budaya, tidak juga pernah cuba menukar asal-usul sesiapa. Sampai sekarang ini, masing-masing bebas mengekalkan jati diri," katanya lagi.

http://malaysiakini.com/news/150019

Majlis Peguam: Pelawa Orang Asli dalam pindaan

Dis 4, 10 10:35pm

Majlis Peguam mahu kerajaan mengambil kira pandangan masyarakat Orang Asli dalam cadangan meminda Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) sebelum meluluskan rang undang-undang itu.

Presidennya Ragunath Kesavan berkata kerajaan seharusnya mempelawa Orang Asli untuk perbincangan terbuka dalam forum bagi berkongsi pandangan mereka terhadap pindaan akta yang memperuntukkan pembentukan Tanah Simpanan Orang Asli.

batu talam polling eve 270107 orang asli house"Berunding sahaja dengan mereka (Orang Asli) mengenai pindaan dan tanya pandangan dengan apa yang mereka mahu dan juga berikan salinan pindaan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Bengkel Jawatankuasa Mengenai Hak Orang Asli (COAR) behubung "Hak Tanah Pribumi-Isu-Isu, Tuntutan dan Undang-Undang', anjuran majlis itu, di Kuala Lumpur hari ini.

Ragunath berkata hak Orang Asli tidak diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan kerana tidak menyentuh mengenai masyarakat itu.

Sementara itu, timbalan pengerusi COAR, Steven Thiru, bekata hanya satu peruntukan khusus yang menyentuh Orang Asli di bawah Artikel 8(5)(c) dalam Perlembagaan Persekutuan.

Peruntukan itu hanya membenarkan kerajaan meluluskan undang-undang memihak Orang Asli, katanya.

NONEKatanya mahkamah hanya menggunakan peruntukan itu baru-baru ini dalam kes bersejarah , Sagong Tasi Melawan Kerajaan Selangor, yang mengiktiraf hak Orang Asli kepada tanah.

Steven berkata sebanyak sembilan kes Orang Asli masih dalam perbicaraan di mahkamah.

Pengerusi COAR, Datuk S Ambiga, berkata objektif bengkel itu adalah untuk menjana kesedaran di kalangan Orang Asli, peguam dan orang awam mengenai hak masyarakat itu.

Seramai 80 peserta terdiri daripada peguam, pelajar dan wakil Orang Asli, menghadiri bengkel itu.

http://malaysiakini.com/news/150010

ISAkan Datin Seri Wan Azizah: Tragedi Sebuah Transformasi

Nasrudin Hassan at Tantawi


1. Asyik-asyik ISA! UMNO ni dah kehabisan hujjah ker? Hujjah hanya menyusun kata. Modalnya ilmu dan air liur, kenapa sampai mahu menggunakan ISA? Tangkap melulu tanpa bukti dan beri peluang membela? Saya jangka transformasi merubah segalanya, rupanya sekadar indah khabar dari rupa.

2. Datuk Hafarizam Haruni ni Penasihat Undang-undang UMNO. Sepatutnya sebagai pengamal undang-undang beliau tahu benar bahawa ISA ini adalah undang-undang jakun, primitif, barbarian dan ketinggalan zaman. Tidak sepatutnya diguna pakai dalam negara kita yang dijolok sebagai negara membangun dan menuju majunya pada 2020.

3. Letih saya dengan sikap UMNO nih! dah kata nak berubah, sudah-sudahlah dengan perangai dan sikap lama tu. Berlapang dadalah dengan pandangan orang lain sekalipun tidak serupa. kalau tidak setuju, hujjah dilawan dengan hujjah. Kenapa pula Datin Seri Wan Azizah mahu dihadapkan dengan akta sezalim itu.

4. Tidak setuju dengan Datin Seri Wan Azizah kerana beliau tidak setuju dengan Ketuanan Melayu? Masaalahnya bukan Datin Seri Wan Azizah sahaja yang tidak setuju! Saya pun tidak setuju, Tuan Guru Nik Abdul Aziz pun tidak setuju dan Tuan Guru Hj Abdul Hadi pun tidak setuju. Malah ribuan lagi dan mungkin jutaan rakyat yang tidak setuju dengan ketuanan melayu itu, apakah mereka juga akan di ISAkan? Aduss, letih tengok cara UMNO berfikir dan bertindak. Ada berapa hektar luasnya kandang ISA itu? atau UMNO sudah hilang aqal?

5. Saya tidak mahu berkasar dengan UMNO ni , kerana mereka punya segalanya. Mereka ada cota, ada gari, ada water canon, ada gas pemedih mata, ada PDRM, ada penjara dan menteri! Saya hanya ada gigi dan lidah. kalau UMNO tidak mahu berhujjah menggunakan lidah, apa boleh saya buat? Tapi saya tegas ingin nyatakan rasa tidak bersetuju dengan penggunaan ISA sebagaimana saya juga tidak bersetuju dengan Ketuanan Melayu yang dipertahankan oleh UMNO. Maka UMNO kena ajak orang yang tidak bersetuju dengan mereka berhujjah, bukannya ajak gaduh. Kata UMNO bersikap terbuka? Transformasi konon!

6. Sebab saya lihat, sudah 53 tahun rakyat beri mandat pada UMNO dan BN untuk berdaulat. Sehingga kini Melayu tidak menjadi tuan pun? Mereka pertahankan ketuanan Melayu itu untuk apa? Oh ya! Mereka kata menentang ketuanan Melayu membuatkan Melayu terancam. Rasanya tidak munasabah Datin Seri Wan Azizah mahu mengancam diri sendiri sebab dia juga Melayu. Saya pun begitu. Apabila saya tidak setuju dengan ketuanan Melayu, saya tidak terancam pun? Rasanya UMNO yang terancam sebab ketuanan Melayu selama ini adalah batu loncatan mereka untuk mereka meloncat naik ke takhta kuasa serta membolot harta negara agar menjadi kaya raya. Kata rakyat didahulukan? kalau begini, rakyat kena dulu. Transformasi konon!

7. Ramai Melayu miskin tidak terbela. Rakyat Kelantan dinafikan hak sejak 20 tahun lalu semata-mata kerana negeri itu diperintah oleh PAS sedang rata- ata penduduk Kelantan adalah melayu malah pemimpinnya juga Melayu. Kenapa mereka sekat, halang dan tekan rakyat Kelantan kalau mereka perjuangkan ketuanan Melayu. Sejak RMK ke 6, ada 118 projek yang sepatutnya boleh membangunkan negeri Kelantan dengan lebih hebat di halang dan disekat oleh kerajaan yang sekarang mempertahankan ketuanan melayu. Tok Guru Nik Aziz tu tidak cukup Melayu kah untuk dibantu? Sekarang mereka sekat Royalti minyak petroleum pula. Transformasi konon!

8. Janganlah guna ISA nanti rakyat akan meluat dan bertambah benci kepada kamu! Setakat isu ketuanan Melayu dan kamu tidak bersetuju dengan Datin Seri Wan Azizah, takkanlah kamu hilang kewarasan dengan terus mencadangkan agar beliau ditahan dibawah ISA? Sudahlah kamu zalimi suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim sedemikian rupa. Kamu ni macam tidak ada perut pedal! Rakyat marah tau! Tidak percaya, cuba lah! Transformasi konon!

9. Saya pun tidak bersetuju dengan Datin Seri Wan Azizah apabila beliau tolak ketuanan Melayu lantas mencadangkan agar ketuanan rakyat diperjuangkan, sebab saya mahu Ketuanan Islam itu diperjuangkan justeru Islam itu adil untuk semua sekalipun terhadap non muslim. Panjanglah hujjahnya, kita boleh bincang dilain masa, tapi janganlah nak tangkap dia. Inilah penyakit orang berkuasa dan angkuh dengan kuasa yang dimiliki. tangkap tangkap tangkap... yang hendak ditangkap hanya lawan politik mereka, sedang penjenayah berleluasa, bermaharajalela dan semakin ketara. Negara tidak aman dan selamat. Saban hari ramai yang jadi mangsa jenayah kejam ini. Malangnya fokus orang politik yang diberi mandat memerintah ini, hanya kepada lawan politik mereka. Kata dokong demokrasi... Transformasi konon!

10.Yakinlah, rakyat masih benci UMNO kalau begini cara UMNO. Mereka buat Konvensyen Barisan Nasional menghimpun ribuan anggota untuk disuntik semangat, nyata ribuan juga rakyat diluar hadir tanpa sebarang upah untuk mengadakan demonstrasi, membantah, menolak dan menentang kezaliman. kalau naik tarif air rakyat marah, apakah UMNO jangka rakkyat tidak marah apabila mereka gunakan ISA? Macam mana UMNO boleh miliki penasihat undang-undang seperti itu? ermmm, Tragedi sebuah Transformasi.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29728:isakan-datin-seri-wan-azizah-tragedi-sebuah-transformasi&catid=113:ketua-pemuda-pas&Itemid=153

Peguam Umno: Tahan Wan Azizah ikut ISA

Dis 4, 10 4:23pm

Penasihat Undang-undang Umno, Datuk Mohd Hafarizam Harun (bawah, kiri), menyarankan agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diguna pakai dalam isu berhubung kenyataan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mengenai "Ketuanan Melayu" semasa Kongres Nasional PKR Sabtu lalu.

perak state govt crisis 030309 hafarizam harunBeliau berkata, kenyataan itu sekali lagi mencabar kedudukan dan hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan apa yang dikatakan oleh Dr Wan Azizah bahawa ketuanan Melayu harus "dibakulsampahkan" adalah satu bentuk cabaran secara khusus kepada peruntukan undang-undang iaitu Perlembagaan Persekutuan dan ia bukanlah satu hak kebebasan untuk bersuara.

Katanya, oleh kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sudah menyatakan bahawa jangan dipersoalkan hak keistimewaan Melayu dan ia disambut pemimpin daripada badan politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga pakar perundangan, beliau menyarankan supaya ISA diguna pakai dalam menangani isu itu.

"ISA perlu dilakukan terhadap pemain utama dalam PKR, DAP ataupun PAS yang masih lagi terus mempersoalkan kedudukan dan hak istimewa orang Melayu kerana terbukti mereka cuba mewujudkan kebencian terhadap orang Melayu disebabkan hak-hak istimewa ini," katanya dalam wawancara dengan Umno-online.com.

majlis raja raja rulers council 300609 2Beliau berkata, apabila kenyataan ketuanan Melayu, hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan Raja-raja Melayu dan apa juga yang berkaitan dengan Artikel 153 dan lain-lain perkara dikatakan dengan begitu terbuka, apatah lagi dalam satu kongres yang turut dihadiri bukan Melayu, ia bukan lagi berbentuk cabaran tetapi lebih kepada memperlekehkan kedudukan, status hak orang Melayu dan Majlis Raja-raja Melayu.

"Artikel 153 adalah sesuatu yang terpahat kemas dan tersimpul mati atau dalam bahasa undang-undangnya berbentuk 'entrenched' yang mana ia adalah satu perkara yang bukan hanya tidak boleh dipinda tetapi juga adalah terlarang untuk diperkatakan," katanya.

Mohd Hafarizam berkata, beliau menyokong penuh cadangan agar tindakan undang-undang diambil terhadap Dr Wan Azizah berikutan kenyataan itu.

"Bagi saya, kini sudah sampai masanya untuk pihak berkuasa mengambil tindakan dan orang Melayu bangkit mempertahankan hak mereka sama ada orang perseorangan, badan bukan kerajaan atau orang Melayu dari mana-mana parti politik pun," katanya.

NONEMohd Hafarizam berkata, terdapat empat perkara yang boleh dimasukkan dalam laporan polis berhubung kenyataan Dr Wan Azizah berkaitan ketuanan Melayu.

Perkara pertama ialah berbentuk hasutan selaras dengan Akta Hasutan 1948, Seksyen 3 yang menyatakan satu bentuk hasutan iaitu yang mempersoalkan tentang hak, status, kedudukan, keistimewaan seperti yang termaktub dalam bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan iaitu Artikel 152, 153 atau 181.

Artikel 152 ialah berkenaan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan manakala Artikel 153 khusus kepada hak keistimewaan orang Melayu iaitu kedudukannya daripada segi permit, biasiswa dan sebagainya dan Perkara 181 pula berkaitan dengan kedudukan Raja-Raja Melayu.

"Maka, dengan ini satu laporan polis dengan mengatakan bahawasanya satu kenyataan berbentuk hasutan telahpun dilakukan iaitu di bawah seksyen 3 (1) (f) dan boleh dihukum sekiranya disabitkan hukuman mengikut seksyen 4 pada Akta Hasutan 1948," katanya.

pkr congress 281110 wan azizahMohd Hafarizam berkata, perkara kedua yang boleh didakwa ke atas Dr Wan Azizah ialah kenyataannya bahawa ini bukanlah berbentuk kebebasan bersuara seperti mana termaktub dalam Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, kerana artikel ini ada kekangan atau sekatannya, melainkan ada undang-undang lain yang mengecilkan skop Artikel 10 iaitu walaupun ada hak untuk bersuara tetapi termaktub dalam Akta Hasutan 1948.

Perkara ketiga yang perlu diketengahkan dalam laporan polis ialah dengan mengatakan bahawa PKR telah secara zahir bersekongkol bersama dengan merelakan perbuatan oleh orang yang tidak lain tetapi presidennya.

NONE"Untuk itu, perlu juga satu laporan dibuat bersekali atau dalam laporan yang sama kepada Pendaftar Pertubuhan bagi melihat kedudukan PKR kerana telah nyata bahawa mereka memupuk semangat kebencian, prasangka antara kaum dan perlu diambil tindakan yang mana salah satu tindakannya ialah dibatalkan pendaftaran PKR ini," katanya.

Beliau turut menggesa Pendaftar Pertubuhan selaku pihak yang dipertanggungjawabkan mengawal selia pertubuhan politik dan bukan politik melihat dengan teliti kuasa yang ada padanya agar PKR diambil tindakan.

"Malah, Umno sendiri pernah dibatalkan pendaftarannya pada tahun 1987 dan mengapa PKR perlu mendapat keistimewaan seolah-olah mereka kebal," katanya.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/149987

Anwar: Kenapa subsidi syarikat kroni tak dipotong?

Dis 4, 10 10:17pm

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyelar kerajaan kerana terus menaikkan harga barangan keperluan seperti petrol dan gula tetapi pada masa yang sama enggan mengurangkan subsidi untuk syarikat-syarikat kroni.

pkr congress 271110 anwarKatanya, syarikat-syarikat penjana tenaga persendirian atau IPP umpamanya terus menikmati subsidi gas yang tinggi manakala rakyat dipaksa menanggung kenaikan harga petrol RON95 untuk kali kedua dalam tempoh enam bulan.

“Walaupun kerajaan sebelum ini berjanji untuk memotong subsidi yang diberikan kepada syarikat-syarikat IPP milik kroni, ia tidak di lakukan.

“Anehnya, setiap pemotongan subsidi yang dilakukan oleh kerajaan setakat ini hanya membabitkan barang keperluan asas yang menambah beban kewangan rakyat,” kata Anwar.

Selain petrol, turut dinaikan harga, hari ini adalah gula (20 sen) diesel dan petroleum gas cecair, masing-masing lima sen.

Anwar berkata amalan Umno-BN melindungi syarikat-syarikat korporat besar yang diberi lesen IPP amat merugikan rakyat.

Menurut Anwar yang juga ketua umum PKR, tren kenaikan harga petrol jelas menunjukkan bahawa kerajaan berhasrat mengurangkan subsidi setiap enam bulan, sekali gus meningkatkan harga petrol kepada RM2.10 seliter dalam tempoh setahun dari RM1.90 sekarang.

taman wahyu tnb electrical power cables tower 051206 02Beliau kesal kerana kerajaan memotong subisidi untuk rakyat dan bukannya kemudahan yang diberikan kepada syarikat IPP dan sektor-sektor lain.

“Perdana Menteri dan kerajaan pimpinannya harus menjelaskan kenapa ia amat tekun untuk menarik balik subsidi bagi petrol, gula dan LPG yang tentunya memberi tekanan kepada rakyat berpendapatan rendah, namun syarikat korporat yang kaya-raya dikecualikan dari tindakan sedemikian,” tegas Anwar.

Sebelum ini, Perdana Menteri Najib Razak berkata agensi PEMANDU yang ditubuhkan dirinya sendiri menjangka kerajaan dapat menjimatkan RM1.12 bilion ringgit tahun ini jika subsidi untuk IPP dan sektor lain dikurangkan.

Pada masa sekarang, kerajaan, menerusi Petronas menghulurkan subsidi RM19 bilion kepada IPP dan syarikat berkenaan setiap tahun.

Menurut Anwar, apa yang dikesali ialah kerajaan Umno-BN begitu ghairah menjimat RM126 juta hasil pemotongan subsidi terbaru rakyat tetapi sanggup membayar RM131 juta ringgit kepada perunding-perunding asing.

azlanBayaran lumayan itu dibuat untuk menubuhkan agensi PEMANDU dan sebagai kos operasi setahun agensi berkenaan.

“Apakah kewibawaan yang ada pada kerajaan untuk mengambil RM126 juta dari rakyat miskin untuk membayar perunding asing RM66 juta bagi menubuhkan sebuah unit kerajaan dan sebanyak RM65 juta lagi sebagai kos operasi,” katanya.

http://malaysiakini.com/news/150009

Hijrah demi tegak ketuanan Islam

Nik Abdul Aziz Nik Mat

Firman Allah SWT, maksudnya: “Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiaya, pasti kami akan memberikan tempat yang bagus kepada mereka di dunia. dan sesungguhnya pahala di akhirat adalah lebih besar, kalau mereka mengetahui. (Iaitu) orang-orang yang sabar dan hanya kepada Tuhan saja mereka bertawakkal..” (Surah an-Nahl 16: 41-42)

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk terus hidup di bumi-Nya ini. Kini kita menyambut tahun baru 1432 Hijrah maka setahun lagi usia kehidupan kita bertambah. Sesungguhnya nikmat kehidupan yang terus menerus dikurniakan Allah SWT kepada kita ini wajarlah digunakan untuk meningkatkan amalan dan ketaqwaan sebagai bekalan untuk mengadap Allah SWT suatu masa kelak.

Sesuai dengan kedatangan tahun baru Hijrah ini, maka ada baiknya kita memperingati Peristiwa Hijrah yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan ia selari dengan perintah al-Quran sendiri. Allah SWT berulang kali di dalam al-Quran memerintahkan supaya manusia mengambil pengajaran daripada peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh umat-umat yang terdahulu sebagai iktibar dan peringatan untuk semua.

Firman Allah SWT, maksudnya: “Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) ia bukanlah cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.” (Surah Yusoff 12:111)

Justeru, memperingati Peristiwa Hijrah ertinya membelek semula lembaran sejarah untuk melihat dan mempelajari bagaimana pengorbanan yang telah dilalui oleh baginda Rasulullah SAW dan para sahabat demi menegakkan ketuanan Islam di muka bumi ini seperti mana di perintahkan oleh Allah SWT.

Hari ini, setelah 1432 tahun ia berlalu, kisah hijrah Rasulullah SAW masih kekal segar dan terpahat kukuh dalam ingatan kita. Persoalannya, adakah cukup sekadar ia diingati dan disebut tanpa dihayati semangatnya? Tentulah tidak. Justeru, saya mengajak diri saya dan semua pihak agar sama-sama melakukan gerak kerja berhijrah untuk menjadi manusia yang lebih baik pegangan dan perilakunya selepas ini.

Lakukanlah hijrah ke arah kebaikan dalam semua aspek. Di bidang ekonomi, berhijrahlah dari ekonomi riba kepada ekonomi yang diredhai oleh Allah SWT. Di dalam bidang pendidikan, berhijrahlah dari sistem pendidikan yang hanya mengutamakan merit dan sijil semata-mata kepada sistem pendidikan yang benar-benar berteraskan wahyu dan berorientasikan pembentukan minda dan akhlak yang baik. Di dalam bidang politik, tinggalkanlah politik sekular dan berhijrah kepada politik Islam sebenar yang mengambil kira soal dosa dan pahala. Seterusnya di dalam semua bidang di dalam kehidupan, selaraskanlah semua aktiviti hidup kita agar selari dengan tuntutan mencari keredhaan Allah SWT. Insya-Allah, jika semangat ini dapat dihayati dengan sebaik mungkin, maka kita tidak akan berdepan dengan pelbagai masalah untuk mengurus tadbir kehidupan ke arah masyarakat yang aman dan sejahtera.

Semoga kehadiran tahun 1432 Hijrah ini memperkukuhkan keimanan dan ketakwaan demi memartabatkan ketuanan Islam dalam kehidupan kita di dunia menuju akhirat.

Sekian.

MEMBANGUN BERSAMA ISLAM

* KELANTAN MENERAJUI PERUBAHAN *

Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

Pejabat Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh: 1 Muharam 1432H / 7 Disember 2010M

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29724:hijrah-demi-tegak-ketuanan-islam&catid=114:mursyidul-am&Itemid=116

Jangan berpolemik, tukar kerajaan lebih penting

Hafiz Baqi

KAJANG, 7 Dis: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Pakatan Rakyat mempunyai pemimpin-pemimpin yang lebih berwibawa untuk mentadbir negara ini berbanding pemimpin Barisan Nasional (BN).

Justeru, beliau yang meminta rakyat bersatu padu untuk membuat perubahan dalam pilihan raya akan datang mengesa semua pihak khususnya penyokong Pakatan Rakyat supaya tidak tenggelam dengan polemik yang cuba ditimbulkan sehingga menyebabkan perpecah belah.

Kata Abdul Hadi, keutamaan adalah menukar kerajaan BN dahulu yang beliau sifatkan tidak melaksanakan amanah dengan baik.

Presiden PAS itu berkata demikian ekoran tercetusnya polemik 'siapa timbalan perdana menteri' sekiranya Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya akan datang.

“Kita jangan jadi seperti dua orang sahabat, seorang mahu merancang untuk memelihara kambing dan seorang lagi mahu menanam sireh...kemudian bergaduh mengenai siapa yang perlu membuat pagar sedangkan kambing dan pakok sireh belum ada lagi," kata beliau membuat perumpamaan.

Dalam pada itu, beliau juga mengkritik konsep ketuanan yang sering digunakan oleh pemimpin Umno sebaliknya berkata konsep yang betul adalah kepimpinan.

"Kalau ada tuan mesti ada hamba," katanya menolak konsep itu.

Bagaimanapun beliau melahirkan kekecewaanya apabila pemimpin Umno tidak berjaya menunjukkan kepimpinan yang baik walaupun mereka memilikinya sejak dari negara merdeka lagi.

"Pada asasnya pelbagai kaum dalam negara ini menerima kepimpinan mestilah dari kalangan orang Melayu berdasarkan jumlah orang Melayu yang Islam itu paling ramai (majoriti).

"Tapi malangnya kepimpinan Melayu itu tidak menjalankan amanahnya, tidak bertangungjawab dan tidak menunjukkan wajah kepimpinan yang baik,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Makan Malam Rakyat Marhaen anjuran Lujnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat serta pelancaran Alumni Bekas Pegawai-Pegawai Felda di Stadium Kajang malam tadi.

Mengulas tentang perubahan dijanjikan Pakatan Rakyat ketika menyampaikan ucapan tersebut, Abdul Hadi berkata ia memerlukan kemenangan menyeluruh kerana kemenangan hanya di beberapa buah negeri sahaja amat menyukarkan untuk melakukan perubahan tersebut.

Sedangkan kata beliau, perubahan di negara ini amat perlu kerana kezaliman pemerintahan kerajaan hari ini terhadap rakyat.

Katanya, terlalu banyak penganianyaan dilakukan terhadap rakyat tetapi ramai tidak mengetahuinya ekoran sistem demokrasi tidak sihat di mana media menutup keburukan-keburukan kerajaan atau melaporkan keburukan itu sebagai kebaikan.

Sebaliknya beliau mendakwa terdapat rakyat yang rumah kediaman dan tanaman mereka dimusnahkan, malah ada berjuta-juta rakyat yang masih tiada tanah untuk rumah kediaman.

Sebahagian yang lain pula katanya, terpaksa bercucuk tanam secara haram kerana terlalu sukar untuk mendapatkan tanah daripada kerajaaan.

“Lihat diri kita dan tanah air kita, terlalu banyak penganiayaan dan kezaliman yang berlaku tetapi kita dilekakan dengan hiburan dan sedikit kemudahan. Sedangkan harta kekayaan negara hanya berlegar di kalangan orang tertentu sahaja," ujarnya.

Justeru beliau menyeru semua pihak supaya sedar dan memperbetulkan semula kepincangan-kepincangan yang berlaku dengan menggunakan hak demokrasi.

Turut berucap dalam majlis tersebut Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasation Ismail; Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching; Pengerusi Lujnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman; Naib Presiden SNAP, Dr John Bampar dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Hamzah Abdullah.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29722:jangan-berpolemik-tukar-kerajaan-lebih-penting&catid=41:utama-muka-depan&Itemid=124

Ezam dijulang setelah Khir didakwa?

Wartawan Kita

SHAH ALAM, 6 Dis: Bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Senator Ezam Mohd Noor diletak di posisi tinggi dalam Umno Selangor dikatakan sebagai balas budi selepas beliau berjaya mengaibkan bekas ketuanya dengan pelbagai tuduhan.

Sumber Umno memberitahu, kehadiran Ezam di Perhubungan Umno Selangor direstui pengerusinya, Datuk Seri Najib Razak, kini dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan bekas pemimpin PKR terbabit.

“Ezam disebut-sebut sebagai tokoh Umno di Selangor kerana tiada tokoh lain lagi yang dipercayai Najib, lagi pun Datuk Seri Noh Omar lebih perlu diperlukan Najib di peringkat persekutuan.

“Jadi dalam projek menawan Selangor daripada Pakatan Rakyat, tugas besar diletakkan kepada Ezam kerana beliau mempunyai ramai kenalan dalam PKR,” katanya di sini.

Difahamkan nama Ezam dijulang berikutan bekas Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo diseret Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke mahkamah atas tuduhan isu rasuah.

Hari ini, Khir yang juga bekas Menteri Besar Selangor dan Datuk Shamsuddin Hayroni, 54, dihadap ke Mahkamah Sesyen Shah Alam di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan di atas kesalahan mendapat dua lot tanah dengan cara yang meragukan.

Lot banglo itu dibeli dengan harga RM3.5 juta pada 2007 melalui Shamsuddin yang merupakan Pengarah Syarikat Ditamas Sdn Bhd, sedangkan hartanah tersebut dibeli syarikat tersebut dengan harga RM6.5 juta pada 2004.

Sumber Umno terbabit memberitahu kemungkinan Ezam akan dilantik sebagai Ketua Penerangan Umno Selangor dalam masa terdekat bagi membantu Noh.

“Tidak dapat dinafikan Najib akan melepaskan jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor menjelang pilhan raya nanti bagi memberi peluang kepada Noh dan Ezam merangka strategi merampas Selangor.

“Selangor cukup penting kepada BN memandangkan sumber ekonominya boleh membantu menguatkan Umno,” katanya.

Sumber lain pula mendakwa Umno dan BN Selangor akan menggunakan pengundi pos bagi membolehkan projek merampas negeri terbabit benar-benar menjadi kenyataan.

Katanya, pengundi pos bukan lagi di kalangan anggota polis dan tentera, sebaliknya anggota Rela juga akan disenaraikan sebagai pengundi pos di Selangor.

Menurutnya, biar pun perkara itu dinafikan berkali-kali kerajaan, namun proses menyerapkan anggota Rela sebagai pengundi sedang dilakukan secara sulit.

“Perkara itu berjaya dilakukan di Terengganu pada 2004 apabila peratusan keluar mengundi begitu luar biasa sekali sehingga ada yang mencecah 95 peratus,” katanya.

Penganalisis politik tempatan mendakwa usaha Noh melenyapkan karier politik Khir kini semakin menjadi kenyataan apabila kes rasuahnya dihadap ke mahkamah.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29712:ezam-dijulang-setelah-khir-didakwa&catid=1:utama&Itemid=50

Sultan gesa bersatu atas kalimah tauhid


Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 7 Dis: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menggesa umat Islam khususnya rakyat di negeri ini supaya menggerakkan usaha mewujudkan umat Islam bersatu padu atas ‘kalimah tauhid’.

Ini penting bagi merealisasikan status umat Islam sebagai ‘khaira ummah’ dan seterusnya mencapai kejayaan cemerlang di akhirat kelak.

Baginda mengajak umat Islam supaya sedar dan insaf bahawa tanggungjawab besar itu tidak akan berjaya dicapai tanpa perpaduan dan persaudaraan di kalangan ummah.

“Sudah tiba masanya kita sebagai satu ummah melaksanakan muhasabah diri dan menilai semula tahap perpaduan yang diamalkan di kalangan umat Islam pada hari ini, sekaligus melakukan anjakan perubahan atau ‘penghijrahan’ ke arah suatu tahap yang lebih baik dalam aspek hubungan sesama manusia,” titah baginda pada Majlis Sambutan Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan 1432 Hijriah di Balai Islam, Lundang dekat sini, malam tadi.

Baginda mengajak rakyat dan umat Islam supaya sama-sama menghayati ruh dan semangat perjuangan ‘hijrah’ yang telah diteladani dari Junjungan Besar Nabi Muhammad khususnya dalam aspek perhubungan dan persaudaraan sesama Islam dan masyarakat bukan Islam.

“Sejarah Hijratul Rasul sendiri telah membuktikan kejayaan kita menempa kegemilangan hasil kerjasama erat antara kaum Ansar dan Muhajirin.

“Di hadapan kita terbentang masa depan yang tidak diketahui untung nasibnya, bergantung kepada fungsi dan peranan masing-masing. Kita semua bakal mencorakkan wajah kejatuhan atau kebangkitan semula umat Islam,” titah baginda.

Pada sambutan Hijratul Rasul bertema “Satu Ummah, Satu Matlamat” itu, baginda turut menekankan komitmen ummah dalam amalan sunnah yang merupakan kunci kekuatan dan kejayaan dalam mendidik ruh dan hati supaya menjadi baik, tenang dan bersangka baik.

Bagi menjunjung kegemilangan Islam, baginda menaruh penuh harapan agar umat Islam sama-sama berusaha mengembalikan kemuliaan umat Islam dan bangsa dengan bertaqwa kepada Allah.

“Dengan semangat Hijrah untuk memartabatkan umat Islam di negeri Kelantan khususnya dan di Malaysia amnya, marilah kita membangunkan masyarakat dengan budaya Islam yang unggul iaitu ‘faqiihan’, ‘rahiiman’, ‘ilman’ dan ‘salaaman’ dalam menelunsuri kehidupan masa depan kita yang kian mencabar,” titah baginda.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29726:sultan-gesa-bersatu-atas-kalimah-tauhid&catid=1:utama&Itemid=50

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...