Isu Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air di Selangor Darul Ehsan
Kepada:
Duli Yang Maha Mulia
Tuanku Al-Wathiqu Billah Al-Sultan Mizan Zainal Abidin
Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah
Yang Dipertuan Agong, Malaysia
Daripada:
Rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Kerajaan Negeri
Selangor Darul Ehsan
2010
Dengan nama Allah s.w.t., Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w., pesuruh Allah  s.w.t. yang sangat mencintai dan menggesa umatnya berlaku  adil.
Assalamu'alaikum w.b.t.
Ampun Tuanku beribu ampun, sembah rakyat  harap diampun.
Dengan keinsafan bahawa kehidupan asasi manusia cukup  bergantung dengan akses kepada air yang bersih pada kadar harga  munasabah,
Dengan kesedaran perkembangan kos sara hidup rakyat kian  meningkat berbanding pendapatan,
Dengan ketegasan menentang  penyelewengan, salah guna kuasa dan kepura-puraan,
Dengan iltizam  menegakkan sebuah kepimpinan yang prihatin, telus, bertanggungjawab, cekap, dan  menghormati semangat dan amalan Persekutuan;
Maka dengan ini kami, Rakyat  dan Kerajaan Negeri Selangor, berkumpul marafak sembah ke bawah Duli Yang Maha  Mulia Tuanku untuk menyampaikan suara hati kami terhadap isu Penstrukturan  Semula Industri Perkhidmatan Air di Selangor Darul Ehsan.
Ampun Tuanku  beribu ampun, sembah rakyat harap diampun.
1) Mengembalikan Hak Air  kepada Rakyat
Kami, mewakili 150,000 rakyat Selangor yang telah  menurunkan tandatangan sebagai tanda sokongan kepada Memorandum ini dan juga  keseluruhan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mendapatkan  perkhidmatan air yang sama, menuntut keadilan untuk diri kami membetulkan  kesalahan dalam penswastaan Industri Perkhidmatan Air yang telah dibuat,  sehingga menyebabkan kualiti dan perkhidmatan air yang teruk serta peningkatan  tarif air pada kadar yang tidak munasabah. Justeru, kami menuntut kualiti air  dan Perkhidmatan Air yang bersih pada kadar yang munasabah, dengan mengambil  kira rakyat miskin serta mereka yang berpendapatan rendah di Selangor, Kuala  Lumpur dan Putrajaya. Kami merafak sembah memohon Tuanku menitahkan agar Hak Air  ini dikembalikan kepada rakyat melalui pengambil-alihan oleh Kerajaan Negeri  Selangor.
2) Mematuhi Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA  2006)
Kami merafak sembah memohon Tuanku mendokong semangat dan matlamat  Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang telah menjelaskan keperluan Industri  Perkhidmatan Air ini distrukturkan semula secara holistik dan diuruskan oleh  Kerajaan Negeri Selangor. Sesungguhnya, Akta ini telah dirangka dan diluluskan  dengan tujuan membetulkan kesalahan yang dibuat semasa menswastakan Industri  Perkhidmatan Air sebelumnya. Kami merafak sembah memohon Tuanku mengingatkan  Kerajaan Persekutuan agar tidak berdolak-dalik tentang keputusan ini.
3)  Menghak-upayakan Rakyat
Perjanjian konsesi yang ditandatangani pada tahun  2004 antara Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (“SYABAS”), Kerajaan  Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor mengandungi sejumlah persoalan yang  jelas menunjukkan SYABAS tidak pedulikan kebajikan rakyat seperti kenaikan tarif  air pada kadar yang tinggi (37% pada tahun 2009, dan 25%, 20%, 10% serta 5% pada  2012, 2015, 2018 dan 2021). Perjanjian ini seharusnya dirundingi dengan rakyat  Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kerana mereka adalah penerima kesan utama  daripadanya. Kami merafak sembah memohon Tuanku menghak-upaya rakyat dengan  memastikan bahawa sebarang perjanjian baru yang mahu dibuat perlulah dirunding  dengan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sebelum  dimuktamadkan.
4. Mengembalikan Kuasa Kerajaan Negeri
Perkhidmatan  air yang telah dimasukkan dalam Senarai Bersama Perlembagaan Persekutuan 1957  memberikan kuasa bersama Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan dalam  hal berkaitan. Kami mendesak Kerajaan Persekutuan untuk menghormati semangat  Persekutuan ini dan kuasa yang dimiliki oleh Kerajaan negeri dalam isu berkaitan  perkhidmatan air ini, dan jangan berdolak-dalik menentang Kerajaan Negeri  Selangor. Kami merafak sembah memohon Tuanku untuk mengembalikan kuasa Kerajaan  Negeri Selangor dalam hal ini.
5) Menghapuskan Kronisme
Telah  menjadi persepsi umum bahawa Kerajaan Persekutuan mengambil sikap menyebelahi  sektor swasta, dalam kes ini syarikat tertentu, yang boleh disabitkan dengan  amalan kronisme. Telah terbukti bahawa usaha membolehkan syarikat-syarikat  penerima konsesi ini mendapat sejumlah keuntungan tertentu, mereka dibenarkan  untuk menaikkan kadar tarif yang tinggi dengan pemberian jaminan pinjaman  Kerajaan Persekutuan yang bermaksud rakyatlah menjadi pembayarnya. Rakyat di  Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kini perlu membayar kadar harga air yang  tinggi, dan pembayar cukai Malaysia perlu menjamin risiko perniagaan SYABAS.  Kami merafak sembah memohon Tuanku mengingatkan janji Kerajaan Persekutuan untuk  segera menghapuskan kronisme.
Dengan mandat diberikan rakyat, Kerajaan  Negeri Selangor bertekad untuk memastikan nasib mereka terbela. Dengan  pengambil-alihan Industri Perkhidmatan Air ini, Kerajaan Negeri Selangor  berjanji untuk mengusahakannya dengan cara terbaik untuk manfaat  semua.
Sekianlah penjelasan daripada Kerajaan Negeri Selangor dan rakyat  Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang bersama mendoakan dan menyokong  tindakan penting ini.
Menjadi harapan rakyat di Selangor, Kuala Lumpur  dan Putrajaya untuk melihat ia diambil perhatian serius oleh Duli Yang Maha  Mulia Tuanku. Rakyat menjunjung kasih atas perhatian yang diberikan. 
Sekian, terima kasih.
Daulat Tuanku.
5 Disember 2010.
http://malaysiakini.com/news/150030
 
 
No comments:
Post a Comment